April 18, 2016

Wahabi: Melihatnya Dari Segi Akidah Secara Hati-Hati


BBB, 09 Rajab 1437 =  17 April 2016 (Ahad): 


Wahabi ada persamaan dengan fahaman Ibn Taimiyah dan asalnya sama mendukung mazhab Hanbali. Masing-masing mendakwa bagi mengembalikan kepada Al-Qur`an dan Al-Hadith.  Jika Ibn Taimiyah bergerak di Syria, tetapi Wahabi yang jauh kemudian daripadanya bergerak di Najd di dalam kawasan `Arab Sa`udi sekarang. Nama pengasas bagi aliran yang dikenali dengan Wahabi dinisbahkan kepada Muhammad bin Abdul Wahhab lahir di Ainiyah (1115-1206H = 1702-1787M) dan meninggal di Najd berasal dari Bani Tamim. Muhammad Abdul Wahhab mendapat pelajaran  antaranya dengan ayahnya dan abangnya bernama Sulaiman dan beberapa guru yang lain.  Mereka sekeluarga adalah pendukung aliran Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah.  Namun Abdul Wahhab meminati pemikiran Ibn Taimiyah dan berkesempatan membaca buku-buku Ibn Taimiyah lantaran itu pemikiran Ibn Taimiyah banyak mempengaruhinya.
Muhammad bin Abdul Wahhab kemudian ke Makkah dan Madinah – selepas datang kali pertama menunaikan haji dan kali ini lama beliau bermukim di kedua tanah suci itu kerana menuntut ilmu    Selama di Madinah beliau tidak menyenangi melihat amalan yang disifatkan bid`ah dan khurafat orang Islam  di makam Nabi.
Ada dua fasa penting dilalui oleh faham wahabi, iaitu fasa menentang bid`ah dan khurafat dan fasa kedua penguasaan politik pemerintahan dari turunan.
Fasa menentang apa yang disifatkan bid`ah dan khurafat:
Sebagaimana Ibn Taimiyah menyibarkan fahamannya secara mengajar, memfatwa dan mengarang, maka pada tahap pertama ialah menyebarkan fahaman yang boleh disifatkan dakwah baginya.
Bagi menyampaikan dakwah beliau berpindah ke Basrah. Di sini beliau mengeluarkan fatwa-fatwanya yang dianggap ganjil sehingga beliau diusir oleh pehak penguasa pada masa itu. Beliau berpindah ke Hassa dan ke Hunaimalah satu desa kecil dekat dengan Najd. Begitu juga bergerak  di Ainiyah tempat lahirnya. Menyedari fatwa-fatwa beliau yang pelik beliau tidak disenangi, bahkan ada usaha dari pihak berkuasa untuk membunuhnya.
Kemudian ia berpindah ke Dur`iyah. Penguasa (Raja) Dur`iyah bernama Muhammad bin Su`ud menolong Muhammad bin Abdul Wahab menyiarkan fahamannya. Kedua-dua Muhammad yang mempunyai  tujuan dan kepentingan masing-masing itu bekerjasama. Muhammad bin Abdul Wahab memerlukan perlindungan pihak pemerintah, sedangkan Muhammad bin Su`ud memerlukan ulama yang keras bagi mengukuhkan kedudukan dan pemerintahan. Keduanya bekerjasama yang menyebabkan mereka menjadi gugatan kepada pemerintah Khalifah Turki yang menguasai Timur Tengah, termasuklah Makkah dan Madinah. Mereka berdua pernah menghubungi dan menghantar perwakilan kepada  Sharif Makkah – Wakil Khalifah dan mengeluarkan fatwa-fatwa yang ganjil. Sebahagian dari perwakilan ditangkap dan dibunuh dan sebahagian pulang dan melaporkan kepada Muhammad Abdul Wahhab.
Mulai daripada itu berkobarlah semangat Wahabi dan pendukung-pendukung menentang Sharif-Sharif Makkah dan menuduh mereka melakukan pembunuhan di Tanah Suci, pada hal cukup dengan pengusiran.
Bagi tahap dua ialah pengusaan politik pemerintahan
Dengan sokongan pengikut-pengikut pihak wahab, menurut K.H. Zainuddin pihak Wahabi pernah menguasai Hijaz pada  1803-1813 dari pihak Turki, tetapi penguasaan muktamad hingga kini iaitu selepas kejatuhan Turki kalah dalam Perang Dunia Pertama kepada pihak Tentera Berikat Barat 1920an dan negara-negara Islam yang pernah di bawah kerajaan Turki dibahagi-bahagikan kepada kuasa Berikat seperti British, Perancis dan sebahagian dikuasai Komunis Rusia. Mulai 1925 Semenanjung Arab berfaham Wahabi berkuasa dengan dikenali Kerajaan Suudi dengan kerajasama pihak yang mengalahkan Turki. Kekuasaan mereka berterusan hingga sekarang.
K.H.Sirajuddin yang pada 1927, berada di Makkah iaitu selepas dua tahun Kerajaan Su`udi menguasai Makkah mencatat pengalamannya menyaksikan kelainan praktis di Tanah Suci Makkah mengenai 20 perkara antaranya: 
1. Larangan merokok
2. Dilarang melakukan banyak azan sebagaimana sebelumnya  diazankan di atas 7 menara dengan berlainan lagu.
3. Tidak dibenarkan menggunakan radio dan gramophone
4. Dilarang melagukan qasidah
5. Tidak boleh melagukan Qur`an dengan lagu fuqaha`
6. Tidak boleh membaca Dala`il al-Khairat dan lagu Burdah
7. Tidak boleh mengaji sifat 20 sebagaimana di dalam kitab Kifayat al-`Awwam.
8. Tidak dibenarkan imam berlainan solat di Masjid al-Haram. Mereka disatukan di bawah satu imam yang dikenali `Abu Samah`.
9. Mewajibkan solat berjamaah di Masjid al-Haram, jika didapati tidak solat dirotan.
10. Kubah-kubah di atas maqam sahabat-sahabat di baqi`, Ma`la dan Uhud diruntuhkan, tapi kubah hijau Masjid Nabawi tidak diruntuhkan kerana banyak bantahan dari kalangan umat terhadap tindakan yang mau diambil
11. Qubah di atas tempat Nabi dilahirkan dirubuhkan.
12. Menyambut Maulid al-Rasul setiap tahun dilarang kerana bid`ah
13. Perayaan Isra` Mi`raj pada 27 Rajab dilarang kerana bid`ah
14. Pergi untuk menziarahi maqam Nabi dilarang. Dibolehkan pergi untuk bersolat di Masjid Madinah.
15. Berdoa menghadap ke Makam Nabi dilarang, hendaklah mengadap Kiblat
16. Berdo`a dengan bertawassul dilarang –Syirik
Di atas disaksi oleh K.H. Sirajuddin pada pemergian pertama. Tahun 1959 K.H. Sirajuddin datang lagi ke Makkah, tapi bukan musim Haji – Penyaksian tambahan
17.  Amalan-amalan tarikat dilarang
18. Membaca zikir beramai-ramai seperti La ilaha illa Allah  selepas solat sebagaimana diamalkan d kalangan umat Islam Nusantara dilarang.
19. Tidak membaca Bismillah awal surah di dalam solat dan tidak membaca qunut solat subuh.
20.  Dan lain-lain. 
Aspek-aspek yang bertentang dengan akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah sebagaimana disusun oleh K.H. Sirajuddin Abbas:
1)       Berdoa dengan bertawassul adalah syirik
2)      Beristighathah juga syirik
3)      Ziarah kubur haram
4)      Membina kubah di atas kubur haram
5)      Menghisap rokok haram dan syirik
6)      Kubah maulid Nabi diruntuh
7)      Larang mempelajari sifat 20, galak  mempelajari tauhid Uluhiyyah dan Rububiyyah
Oleh kerana penganut Islam di Alam Melayu bermazhab Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah, sedangkan pegangan Wahabi banyak bertentang dengan akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah, maka penganut-penganut Islam di Alam Melayu berwaspada terhadap pegangan Wahabi. Jika sebelum Wahabi dulu, pusat pengajian Islam utama ulama` dari Alam Melayu belajar di Makkah (juga Madinah) seperti Nuruddin Al-Raniri, Shaykh Abdul Rauf Singkel, Shaykah Abdul Malik bin Abdullah, ulama-ulama Fatani, Kelantan dan lain-lain belajar di Makkah, tapi kini pusat pengajian Islam luar negara lebih kepada Mesir, Jordan dan Syria. Pengajian di universiti di Madinah misalnya bukan menjadi rebutan. Makkah dan Madinah dilihat lebih kepada tempat menunaikan haji dan ibadat.
Ada semacam berlaku kepupusan dari kelahiran ulama` dan intelektual dari Makkah-Madinah, tidak seperti silam ianya menjadi pusat pengajian Islam. Buku-buku keilmuan Islam yang bermutu tiada dihasilkan di Makkah-Madinah. Sepatutnya Makkah-Madinah sebagai tempat pusat ibadat keislaman seharusnya juga menjadi pusat keilmuan Islam.
Pada masa dulu  Makkah Madinah juga dilihat sebagai pusat kepimpinan Islam, kini tidak jelas dari segi paksi kepimpinan bagi negara-negara Islam.
Walaupun kini persoalan mazhab dan pertentangan pegangan akidah ahlu al-sunnah wa al-Jamaah dan Wahabi  tidak begitu ditonjolkan bila beribadat di tanah suci, tetapi bagi pengikut-pengikut Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah selalu waspada dan hati-hati.

Sekian.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                

April 17, 2016

Ibn Taimiyah Pendukung Salaf; Fatwanya Banyak Bercanggah


BBB, 08 Rajab 1437 = 16 April 2016 (Sabtu):



K.H. Sirajuddin memasukkan Ibn Taimiyah sebagai seorang tokoh yang membawa aliran khusus dalam akidah dan keilmuan Islam. Nama Ibn Taimiyah ialah Taqiyuddin Ahmad bin Abdul Halim bin Taimiyah yang dikenali dengan Ibn Taimiyah. Beliau dilahirkan pada awal tahun  (661H.)   menjelang Baghdad dan Timur Tengah diserang tentera Tartar (667). Dia dan keluarganya dibawa ayahnya menyelamatkan diri ke Damshiq, Syria. Jadi Ibn Taimiyah hidup dalam keadaan negara, politik dan sosial tidak tenteram. Namun Ibn Taimiyah yang keluarganya mempunyai kesedaran pengajian yang tinggi menghantar Ibn Taimiyah belajar  di pengajian di Damshiq di dalam bidang-bidang keilmuan akidah, fiqh, tafsir, Hadith, Usul al-Fiqh dan lain-lain. Akhirnya Ibn Taymiyah menjadi tokoh rujukan dalam bidang Hadith, fiqh dan berbagai-bagai fatwa.
Dalam suasana umat Islam yang tidak stabil, Ibn Taimiyah amat menekankan soal  jihad dan beliau terkenal berani dan bercita-cita syahid fi sabilillah. Ibn Taimiyah adalah pengikut Mazhab Hanbali. Beliau banyak mengarang kitab-kitab sejumlah ratusan buah. Antaranya:
1.       Ma`alim al-Usul – sanggahan terhadap falsafah
2.       Al-Tibyan fi Nuzul al-Qur`an
3.       Al-`Aqidah al-Wasitiyyah
4.       Risalah fi al-Qadha` wa al-Qadr
5.       Al-Kalam `ala al-Fitrah
Dan banyak lagi.
 dan pada masanya terdapat ulama-ulama terkenal seperti Imam Nawawi (L. 630H.) seorang ulama besar pendukung mazhab Shafie, Ibn Hajar al-Haitami (L. 883H.) lahir di Mesir (banyak memperbaiki kesilapan-kesilapan di dalam kitab-kitab Ibn Taimiyah.
Ibn Taimiyah melihat banyak penyelewengan dan khurafat yang terjadi pada zamannya dan berusaha memperbaikinya. Tetapi kata K.H. Surajuddin:
``Akan tetapi sangat disayangkan bahawa beliau (Ibn Taimiyah) terpengaruh dengan fahaman kaum Mushabbihah  dan  Mujassimah  yang menyerupakan Tuhan dengan makhluk dan juga banyak mengeluarkan fatwa-fatwa dalam fekah yang berbeza jauh dengan fatwa-fatwa dalam mazhab Hanbali sendiri dan juga dari mazhab-mazhab Hanafi, Maliki dan Shafie.``  
Di dalam karangannya yang berjudul al-Munazarah fi al`Aqidah al-Wasitiyyah dan Al-`Aqidah al-Hamiwiyyah al-Kubra Ibn Taimiyah menjelaskan tentang dasar mazhabnya ialah menjelaskan ayat-ayat Al-Qur`an dan Hadith-Hadith Nabi yang berhubung dengan sifat Tuhan menurut erti lafaznya  yang zahir, yakni secara harfiyyah sahaja.
Dengan maksud lahir ini menurutnya, Tuhan mempunyai muka, tangan, mata, rusuk, duduk bersila, datang dan pergi dan cahaya langit dan bumi kerana maksud yang sedemikian terdapat di dalam Al-Qur`an.
Dia mengatakan Tuhan berada di atas langit dan boleh ditunjuk dengan jari dan sebagainya. Dengan ini menurut K.H. Sirajuddin Ibn Taimiyah boleh digolongkan  di bawah Mujassimah dan mushabbihah. Pasndangannya dibawa di dalam pengajaran dan ucapan-ucapan. Beliau turut menentang pendapat-pendapat imam-imam mazhab yang empat.. Kononnya ia akan memperbaharui pengajian ulama-ulama terdahulu dan mengembalikan mereka kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasul. Ia menegaskan akan memerangi khurafat dan bid`ah ulama-ulama terdahulu. Beliau menentang taqlid kepada mazhab.

Dalam khutbahnya di Masjid di Damshiq beliau menerangkan tentang sebuah Hadith yang memaksudkan Tuhan turun dari langit dunia tiap-tiap malam.
Dicatatkan bahawa pada tahun  705H. Raja Mesir yang menguasai Syria pada masa itu memanggil Ibn Taimiyah, beliau dibawa ke mahkamah dan dituduh membawa pengajaran sesat dengan ungkapan-ungkapannya tentang Tuhan. Beliau tidak mau diadili dengan hujah yang mengadilinya adalah musuh-musuhnya. Beliau ditahan dan dipenjarakan selama 18 bulan. Selepas bebasnya, ia melanjutkan pendapatnya tentang Tuhan bertempat dan bersifat sebagai manusia, bahkan beliau menyerang pengajaran tasawuf dan guru-guru sufi yang mendapat tempat di Mesir. Beliau sekali lagi dibawa ke muka pengadilan dan ditahan.  Pada tahun 709H. beliau dibuang dan diasing ke Iskandariah selama 7 bulan oleh kerana fatwa-fatwanya yang aneh dan bercanggah dengan pegangan akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah dan beliau menyerang terhadap ulama` mazhab empat dan juga `ulama` usuluddin dari kalangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah.
Pada tahun 712H. beliau kembali ke Damshik.  Sikap  Ibn Taymiyah tidak berubah, bahkan makin bertambah. Di Damshiq beliau bukan saja mengeluarkan pengajaran berkenaan akidah yang bercanggah dengan akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah, tetapi melancarkan serangan terhadap imam-imam mazhab empat – termasuk Mazhab Hanbali yang diikutinya selama ini. Ingatan-ingatan dari sultan pemerintah di Syria pada masa itu disampaikan. Tetapi perintah dan larangan terus dilanggarnya. Maka melalui persidangan ahli-ahli hukum,  pada 22 Rajab tahun 720 beliau dikenakan tahanan. Beliau dilepaskan pada tahun 721H., tetapi beliau tidak berhenti dari meneruskan sikapnya yang bertentangan sehingga terpaksa ditahan dan meninggal dalam tahanan  di Damshik pada  27 Syawal 728H.
Antara pengajarannya yang tidak menyenangkan
1)       Tuhan duduk di atas `arash sebagai gambaran duduknya manusia 
2)      Tuhan turun dari langit tiap-tiap malam serupa turunnya Ibnu Taimiyah  dari mimbar.
3)      Ibn Taimiyah mengharamkan menziarah kubur Nabi Muhammad s.a.w. di Madinah dan perjalanan kepadanya dianggap maksiat.
4)      Menghukum kafir atau syirik terhadap orang berdoa secara bertawassul
5)      Mengharamkan tarikat-tarikat sufi yang banyak dilakukan pada zamannya.
Demikianlah sikap Ibn Taimiyah yang keras dan mudah mengkafirkan orang yang tidak bersetuju dengan pendapatnya. Untuk mencegah dari kekacauan akibat dari pendapat dan fatwa-fatwanya ulama dan pemerintah pada zamannya mengambil tindakan menahannya, agar tidak menimbulkan kekeliruan dan kekacauan dari berlaku.

Sekian.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                    

April 16, 2016

Aliran Qadariyyah Dan Jabariyyah Serta Firqah Kecil Lain


BBB,  07 Rajab 1437 = 15 April 2016 (Juma`at):
Antara aliran yang bercanggah dengan aliran Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah ialah Aliran Qadariyyah dan Jabariyyah. Dua aliran ini selalu bergandingan dari segi pembicaraan, bukan kerana persamaan, tetapi kerana kontra antara satu sama lain. Namun  keduanya ada hubungan dengan Mu`tazilah dan ada pertindihan pendapat.  Namun kedua-duanya bertentangan dengan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah.
Aliran Qadariyyah dapat ditanggap dari nama aliran itu sendiri yang menggunakan istilah `Qudrat` yang bererti  `Kuasa`  yang dikaitkan dengan aliran ini.  Faham ini ada hubungan dengan Muktazilah yang antara pandangan Muktazilah bahawa manusia mencipta perbuatannya sendiri dan bertanggungjawab ke atasnya.   Qadariyyah mengatakan, Manusia yang menggunakan kuasanya yang diberi Allah, maka dibalas dengan kebaikan di atas tindakan baiknya dan jika melakukan kejahatan dia dibalas di atas pemilihan yang tidab baik. Bagi Qadariyyah Tuhan tidak perlu tahu apa yang dilakuakan manusia dan tahu  saelepas sesuatu itu dilakukan
Sebagaimana dikatakan bahawa ada hubungan Qadariyyah dan Muktazilah. Pemimpin bagi Qadariyyah ialah Ma`bad al-Juhani dari generasi tabi`in yang merupakan murid bagi Wasil bin Ata`. Ma`bad al-Juhani dihukum mati awal abad kedua Hijrah oleh Governor Basrah Al-Hajjaj bin Yusof kerana kesalahan Ma`bad membawa faham yang dianggap menyeleweng. Seorang lagi pemimpin bagi aliran Qadariyyah ialah Ghaylan al-Dimashqi yang bergerak di Damshiq Syria pada zaman  Khalifah Hisham bin Abdul Malik (105-125H.). Sebagaimana Ma`bad, begitulah dengan Ghaylan dihukum bunuh oleh pihak pemerintah  lantaran membawa ajaran yang dianggap salah.
Pegangan Qadariyyah antaranya:
1)       Perbuatan manusia dicipta  manusia sendiri dengan kudrat yang diberi Allah kepadanya
2)      Tidak ada hubungan perbuatan manusia dengan Tuhan. Bahkan Tuhan tidak tahu apa yang dilakukan manusia kecuali selepas dilakukan
3)      Tuhan memberi pahala di atas perbuatan yang baik  dan menghukum di atas perbuatan yang tidak baik.
Pandangan Qadariyyah di atas adalah bercanggah dengan Ahlu al-Sunnah. Tuhan Maha Mengetahui segala-galanya baik dulu hingga kini, tiada suatu yang tersembunyi dariNya, Dia melakukan apa yang dikehendakiNya
Kontra bagi pegangan Qadariyyah, ialah Jabariyyah. Sebagaimana dari istilah Qadariyyah mencerminkan falsafah penganagan Qadariyyah, maka demikian juga dengan Jabariyyah, Istilah Jabar  yang kena perinbtah, yang dikuasi, demikian secara tanggapan dapat difahami aliran ini kontra dengan Qadariyyah dan Mu`tazilah yang Jabariyyah memaksudkan semua tindak tanduk  manusia  dikuasai Allah, tiada daya upaya bagi manusia.
Jabariyyah ini di bawah kepimpinan awal yang dikenali sebagai Jaham bin Safwan  yang berasal dari Khurasan. Tokoh ini terkenal. Sehingga aliran dipimpinnya  dikenali juga sebagai Mazhab Jahmiyyah.
Faham falsafah Jabariyyah adalah kontra dengan faham Qadariyyah. Jika Qadariyyah mengatakan manusia melakukan perbuatan dengan pilihan sendiri, maka Jabariyaah adalah berpendapat sebaliknya bahawa manusia tidak ada daya usaha yang dapat dilakukan, semua apa yang dilakukan adalah perbuatan yang ditentukan oleh Tuhan.  Sebagaimana pemimpin-pemimpin Qadariyyah dihukum bunuh, maka demikianlah juga dengan Jaham bin Safwan anak murid Ja`d bin Dirham juga dihukum bunuh.
Antara pegangan faham Jabariyyah ialah:
1)       Tidak ada daya ikhtiar pada diri manusia. Ia bagai sehelai bulu yang bergerak dibawa angin ke mana sahaja. Pandangan hidup yang begitu pasif sekali.
2)      Beriman cukup dengan mengucap  di dalam hati walau tidak diikrar dengan lisan
K.H. Sirajuddin membicarakan juga  sebuah lagi ajaran yang dikenali dengan Najariyah. Aliran ini diasaskan oleh seorang yang bernama Abu Abdillah Hussein bin Muahammad al-Najar. Beliau berada zaman pemerintahan Al-Ma`mun sekitar (198.-218H.) berguru dengan seorang guru bermazhab Muktazilah bernama Bashar al-Mansi.
Anatara pegangannya sebagai Mazhab Muktazilah mengatakan Tuhan tidak bersifat demikianlah juga dengan padangan Najariah.
Demikian juga pandangannya bahawa mukmin yang berdosa masuk neraka juga mempunyai persamaan dengan Muktazilah.
Demikian pendapat Najariah, bahawa Tuhan tidak boleh dilihat lantaran yang Abadi dan Kekal tidak mungkin berdeopan dengan makhluk yang kena cipta. Aliran ini tidaklah begitu berpoengaruh walaupun pernah mendapat tempat, kemudian menghilang tanpa dokongan dan sokongan.
Sebuah lagi aliran dikenali dengan aliran mushabbahah Mujassamah, bermaksud, iaitu mereka yang menyamakan Tuhan dengan makhluk seperti berwajah,  bertangan dan bertubuh seperti manusia. Golongan ini mengambil maksud Al-Qur`an atau Hadith secara lahir dan tidak ditakwil. Terdapat tokoh-tokoh yang berpegang dengan lahir ayat. Antara mereka  yang mendukung Mushabbihah - Mujassamah:  
1)       Abu Abdullah bin Hamid bin Ali al-Baghdadi al-Warraq (m. 403H.).
2)      Qadir Abu Ya`la  Muhammad bin Hussein (m. 458H.)
3)      Abu Hasan Ali bin  `Ubaidillah (m. 257H.)
Dan ramai lagi.
Antara pegangan mereka:
a)        Allah bermuka dan bertangan.
Diasaskan kepada firman Allah bermasud ``Dan yang kekal wajah Tuhan engkau yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan (Al-Rahman: 27).
Dan firmanNya lagi bermaksud:
```Tangan Allah di atas tangan-tangan mereka itu (.`` (Al-Fath: 10).
b) Tuhan duduk bersila di atas `arash.
Firman Allah bermaksud: ``Al-Rahman di atas `arash memerintah.`` (Taha: 5)
c) Tuhan di atas langit
Firman Allah bermaksud: ``Bahkan Allah mengangkat (Nabi `Isa) kepadaNya.
d)  Allah bertubuih seperti Nur 
Firman Allah bermaksud: ``Allah adalah cahaya langit dan bumi.`` (Al-Nur: 35)
Dan contoh-contoh yang lain yang menggambarkan Tuhan sebagai ditasybih dengan makhluk yang menyerupai manusia, tanpa huraian dan takwil yang boleh mengelirukan.
Demikian aliran-aliran yang bercanggah dengan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah.

Sekian.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                      

April 15, 2016

Muktazilah Berprinsip Rasional Akal


BBB,  06  Rajab 1437 =  14  April 2016 (Khamis):


Pada dasarnya ilmu akidah apa lagi yang disifatkan sebagai ilmu al-Kalam adalah berasaskan akal, termasuklah pendekatan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah. Tempat bertolak bagi keilmuan akidah sendiri adalah  pada pembicraan hukum akal dan yang menguasainya dan memahami tentang wajib, mustahil dan harus layak membicarakan persoalan akidah. Seluruh pembicaraan tentang Dhat, sifat ketuhanan juga kerasulan, bahkan rukun-rukun iman juga adalah dibicarakan berasaskan akal yang bersifat rasional. Bahkan keilmuan akidah dan al-kalam sebenarnya bersifat kering dari kerohanian dan keihsanan. Kita tidak menjumpai di dalam membahaskan keilmuan akidah istilah-istilah seperti kasih, cinta, rasa kehambaan, taqwa, rindu, mesra, harap dan raja` dan sebagainya. Bahkan ilmu fiqh lebih lembut dan ada rasa kemanusiaan dan kerohanian dalam mana dalam keilmuan berkenaan ada aspek, taat, khusyuk, rahmat, kasih sayang, taqwa dan sebagainya.
Semua pendekatan akidah dan al-Kalam adalah menggunakan akal dan pertimbangan rasional, Cuma ada di sana batas-batas pertimbangan yang perlu dilihat dari segi bukti dan dalil yang bersifat naqal dan akal.  Cuma di dalam perbahasan bagi setengah aliran ada yang bersifat melampau dan melanggar batas-batas. Muktazilah adalah aliran akidah yang terlampau berpegang pada rasional akal yang terhad pada  kemampuan fizikal otak yang alamiah, terhad dan lemah itu. Pengagungan terhadap kemampuan otak yang bersifat rasional terhad begitu diagung-agungkan.
Demikianlah Mu`tazilah yang bertapak di Basrah  diketuai Wasil bin Ata` (m. 131H.)  dan Umar bin `Ubaid (m.144H.) memperkembangkan aliran mereka di Basrah, manakala satu lagi tempat perkembangan Mu`tazilah ialah di Kota Baghdad yang diketuai oleh Bashar bin al-Mu`tamad  yang pindah dari Basrah ke Baghdad dan dan mendapat dokongan  pembantu-pembantunya seperti Abu Musa al-Murdar, Ahmad bin Abi Daud (m. 240H.), Ja`afar bin al-Mubashshar (m. 234H.) dan Ja`afar bin al-Harb al-Hamdani (m. 236H.).
Sebagaimana telah diperkatakan bahawa era berkenaan adalah era pertumbuhan dan perkembangan ilmu pengetahuan. Salah satu yang menyemarakkan pengagungan akal dan sifat rasional termasuklah berlakunya pertembungan budaya dengan tradisi Yunani yang mula masuk melalui terjemahan terhadap karya-karya logik Aristotle dan juga pemikiran Plato.  Antara pengajian yang dipelajari ialah ilmu lagik. Kaedah logik ini diguna sebagai pendekatan keilmuan akidah dan al-kalam termasuklah oleh pendekatan Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah, khususnya oleh Abu Hasan Ash`ari dan Abu Mansur al-Marifdi. Tetapi di dalam masa pendekatan Sunni menggunakannya  sebagai dalil dan burhan bagi membicarakan aspek-aspek akidah, tetapi bagi Muktazilah mereka terlampau terpesona dengan rasional akal dan meletakkan perbahasan, hatta tentang ketuhanan di bawah tempurung akal.
Ada lima prinsip yang menjadi dasar pengajian Muktazilah yang mempengaruhi pula pandangan-pandangan  tentang yang lain.
1.        Mentauhidkan  Allah
2.       Tuhan wajib  Adil
3.       Tuhan wajib membalas yang baik (wa`ad) dan yang jahat (wa`id)
4.       Menyediakan tempat Antara Dua Tempat sebagai balasan
5.       Wajib menyuruh membuat baik dan melarang membuat kejahatan
Muktazilah amat menekankan dari segi ketauhidan dan keadilan Tuhan sehingga mereka menggelarkan diri dan perjuangan mereka sebagai `Ahlu al-`Adl wa al-Tauhid`. Bagi menunjukkan pegangan mereka bahawa Tuhan wajib adil, maka sebab itu Allah wajib menyediakan tempat bagi dua tempat, sebagai tempat khas bagi anak-anak yang mati kecil dan tidak berdosa, maka disediakan tempat khas bagi mereka antara syurga dan neraka. Juga boleh diaplikasikan bahawa Tuhan wajib membalas yang baik ke syurga dan yang jahat ke neraka sebagai menandakan keadilkan Tuhan. Juga jastifikasi bahawa perlu menyuruh membuat baik bagi mendapat keadilan balasan di syurga dan wajib mencegah kejahatan supaya dapat menhendar balasan ke neraka.  Bagi membuktikan bahawa Tuhan bersifat tauhid, mereka berpendapat Tuhan tidak bersifat, kerana dengan bersifat akan menggambarkan ada yang lebih dari Dhat. Tuhan melihat, mendengar, berkuasa dan sebaginya adalah dengan Dhat.
Banyak peyimpangan Muktazilah dari pegangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah seperti:
1)       Baik dan buruk ditentukan oleh akal
2)      Allah tidak mempunyai sifat
3)      Al-Qur`an adalah makhluk – diciptakan
4)      Mereka yang melakukan dosa besar dan tidak taubat dihukum ke dalam neraka sebelum ianya layak ke syurga.
5)      Tuhan  tidak dapat  dilihat
6)      Menerima Isra` dan tidak meyakini Mi`raj
7)      Manusia menjadikan pekerjaannya dan bertanggungjawab
8)      Tidak meyakini adanya `arasy dan kursi
9)      Tidak mengakui adanya Raqib dan `Atiq (Kiraman Katibin). Ilmu Allah meliputi semuanya
10)   Sifat neraka tidak kekal
11)   Tidak menerima adanya timbangan, hisab, titian, kolam dan shafa`at
12)   Tiada azab kubur
13)   Adanya salah dan aslah
14)   Wajib membalas baik dan buruk
15)   Tuhan wajib Adil
Demikianlah pegangan Muktazilah yang menilai sesuatu berasaskan rasional Akal, meskipun bercanggah dengan Al-Qur`an, Hadith, syari`at dan akhlak. Bagi mereka tiada takwilan. Pendapat mereka perlu dinilai dan dipastikan kesalahan-kesalahan agar tidak merosakkan akidah yang dipegang oleh Ahli al-Sunnah wa al-Jama`ah.

Sekian.


April 14, 2016

Dari Politik Ke Tradisi Intelektual


BBB,  05 Rajab 1437 = 13 April 2016 (Rabu):
Dari pergolakan politik pada pertengahan abad pertama Islam telah melahirkan kelompok-kelompok penentangan seperti Shi`ah, Khawarij, Murjiah, termasuk Qadariyyah dan golongan yang dikenali dengan  Jabariyyah.
Dilihat dari segi positif, pertikaian di kalangan umat mencetuskan daya gerak intelektual, membahaskan persoalan falsafah yang berhubung dengan akidah yang dengan keilmuan berkenaan melihat di mana seharusnya batas-batas kemanusiaan, hak dan kedudukan ketuhanan dalam rangka falsafah dan akidah keislaman.   Antara kelompok yang lahir, maka Mu`tazilah adalah kelompok menonjol dalam bidang akidah yang  sebahagian dari pegangannya adalah kontra dengan akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah. Dalam pendekatan Mu`tazilah tidak lagi digerak oleh penentangan yang bersifat politik, tetapi lebih kepada bersifat rasional dan boleh dikatakan juga bersifat intelektual. Ia merupakan pancaran ilmu hasil dari pengajian dan dialog keilmuan yang berlaku.
Namun ciri keilmuan dan intelektual yang berlaku, khususnya dari segi akidah bukanlah bersifat tersendiri, bermaksud kelahiran tradisi intelektual ini adalah diiringi, bahkan bersekali dengan perkembangan bidang-bidang keilmuan yang lain yang berlaku sebelum dan semasa dengannya. Misalnya sebelumnya telah tumbuh pengajian yang berhubung dengan Al-Qur`an yang tokohnya seperti Abdullah bin `Abbas (m. 687H.), dan murid-muridnya seperti Sa`id bin Jubayr (m. 713M.), Mujahid (m. 721M.), dan `Ikrimah (m. 724M.).
Tradisi mencatat Hadith Rasulullah s.a.w. bermula antaranya dilakukan oleh Al-Sha`bi (m.721M.), `Urwah bin al-Zuhayr (M. 712M.), `Asim ibn `Umar Ibn Qatadah (m. 737M.), dan Al-Zuhri (m. 742). Keilmuan Hadith kemudian berkembang dengan ciri dan identiti tersendiri sebagai sumber keilmuan dan keislaman.
Bidang fiqh juga berkembang sejak awal lagi Di Madinah dua tokoh ulama` terkenal, iaitu Abdullah bin `Unar dan juga Abdullah bin `Abbas yang juga mendalami di dalam bidang Al-Qur`an. Antara tokoh terawal terkenal yang lain ialah Ibrahim al-Nakha`i (m. 714M.). Pada akhir pemerintahan Umayyah di Madinah terdapat 7 orang peguam Islam terkenal. Mereka ialah Sa`id ibn al-Musayyab, `Umar ibn al-Zubayr, Abu Bakar ibn Abdul Rahman, `Ubaidillah ibn `Abdullah ibn `Utbah, Kharija ibn Zayd ibn Thabit, Sulayman Ibn Yasar  dan Qasim ibn Muhammad ibn Abu Bakar.
Manakala bidang tasawuf lahir tokoh-tokoh yang menghasilkan penulisan  bidang tasawuf  seperti Abdullah al-Mubarak (m. 181 H.) menghasilkan -   Kitab al-Zuhd wa al-Raqa`iq, Al-Harith bin Asad al-Muhasibi (243H.)  menghasilkan kitab Al-Ri`ayat li Huquq Allah dan beberapa yang lain lagi pada peringkat awal. Sebelum kelahiran kitab-kitab tasawuf sudah tentulah sudah ada pengamal-pengamal tasawuf pada peringkat yang lebih awal.
Apa yang hendak ditekankan di sini, bahawa perkembangan akidah dan kelahiran tokoh-tokoh dan aliran-aliran sepert Shi`ah, Khawarij, Murjiah, Qadariyyah dan Jabariyyah adalah bersama dengan perkembangan keilmuan yang lain dan pengajaran keilmuan-keilmuan berlaku secara popular dan terbuka. 
Asas utama akidah Islam, khususnya bagi Ahliu al-Sunnah wa al-Jama`ah adalah bersumberkan Al-Qur`an di samping akal, tetapi Mu`tazilah dalam bahasan mereka berhubung dengan akidah meletakkan keutamaan rasional akal, kadang-kadang mengkesampingkan sumber naqal.
Tentang kelahiran dan istilah `Mu`tazilah banyak pendapat mengenainya. K.H. Sirajuddin mengemukakan pendapat yang mengaitkan Istilah ini lahir dari isu yang berhubung dengan akidah, bahawa pada masa tradisi pengajian giat berlaku antaranya di Masjid Kota Basrah.  Imam Hasan Basri (m. 110H.) mengajar di Masjid Basrah yang antara mereka yang mengikuti pengajaran ilmu tauhidnya ialah  muridnya bernama Wasil bin `Ata` (m. 131H.). Suatu isu pengajaran yang disebut Hasan Basri bahawa mereka yang berdosa besar adalah dikira sebagai muslim yang berdosa, kelak ia dihukum masuk neraka sebelum ianya layak masuk ke syurga.   
Pendapat yang diutarakan oleh Hasan Basari ini dikatakan tidak disetujui oleh Wasil bin `Ata` yang memisahkan diri dan mengadakan pengajaran pada bahagian lain di masjid dengan pengikut-pengikutnya. Tetapi ada pendapat lain  seperti di dalam Jauharat al-Tauhid mengatakan dialog berlaku  antara Hasan Basri dengan gurunya Al-Jubai berhubung dengan balasan orang yang berdosa besar di atas, Hasan bertanya bagaimana dengan anak yang mati kecil, dijawab al-Jubai , bahawa dia tidak berdosa dan dimasukkan dalam syurga. Ini dihujahkan Hasan  sebagai tidak adil kepada yang mati tua berdosa dan masuk neraka. Dari segi keadilan adalah lebih adil bagi yang berdosa itu dimati kecil supaya dapat masuk syurga. Wasil bin Ata` berpendapat, untuk keadilan diwujudkan `Satu Tempat Antara Dua Tempat (syurga dan Neraka) bagi anak kecil, persoalannya`, bagaimana yang mati tua yang masuk neraka, tidakkah wajar dia dimatikan kecil, dia dimasukkan ke dalam tempat antara dua tempat.   Begitu juga ditimbulkan dari segi keadilan, bagi anak kecil dihujahkan, bahawa jika dia dimatikan tua secara patuh kepada Allah dia dapat masuk ke syurga – tidak berada di tempat antara dua tempat. Dikatakan Al-Jubai tidak dapat  memberi jawapan, maka Hasan Basri yang asalnya pengikut Mu`tazilah itu mengasingkan diri dengan pengikut-pengikutnya dan mengajar akidah yang kemudian dikenali sebagai Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah. Dikatakan peristiwa berlaku pada zaman pemerintahan Khalifah Hisham bin Abdul Malik pada (100-125H.) zaman kerajaan Umawiyyah.
K.H. Sirajuddin juga mengemukakan pendapat yang lain bahawa puak pengasing diri ini pada asalnya bermazhab Shi`ah, tetapi mereka keciwa apabila Hasan bin Ali menyerahkan kekhalifahan kepada Mu`awiyah. Kerana kekeciwaan mereka mengasingkan diri dan tidak terlibat dengan politik dan kekacauan. Mereka mendirikan pengajian yang dikenali dengan Mu`tazilah, kerana pengasingan diri mereka dari masyarakat dan politik semasa. Pemgasingan diri kelompok ini adalah sekitar tahun 40H. kerana penyerahan kekhalifahan Hasan kepada Mu`awiyah adalah pada tahun 40H. Selain dari pendapat-pendapat di atas, ada beberapa pendapat kecil yang lain yang mengaitkan peristiwa-peristiwa tertentu yang menyebabkan berlakunya pengasingan yang melahirkan kelompok yang mempunyai pendekatan yang antaranya berlainan dan bertentangan dengan pendapat Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah.
Pokoiknya sekitar awal abad kedua Hijrah, telah berlaku perkembangan ilmu pengetahuan di dalam berbagai bidang keilmuan yang disebutkan di atas, lantaran itu berlaku dialog-dialog keilmuan termasuklah di dalam bidang akidah. Perkembangan ini adalah sesuatu yang sihat dan positif bagi perkembangan ilmu-ilmu keislaman termasuklah di dalam bidang akidah. Melalui dialog dan pengajian dapatlah dimurnikan keilmuan dan diikuti mana yang benar dan menjadi pegangan.

Sekian.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                   

April 13, 2016

Kesan Politik: Khawarij Radikal Dan Murjiah Skeptis


BBB, 03 Rajab 1437 = 11 April 20-16 (Isnin):


Telah dibicarakan konflik politik pada akhir pemerintahan Khulafa` al-Rashidin yang melibatkan Sayyiduna Ali k.w. dan Mu`awiyah dan turunan mereka terutama Saydina Hussain – Yazid telah melahirkan golongan Shi`ah yang simpati, ta`assub dan mengagung dan mengangkat keturunan Ali yang dijelmakan ke dalam konsep kepimpinan imamah.
Kesan dari konflik politik ini juga melahirkan antaranya ialah golongan Khawarij dan Murjiah.
Khawarij bererti mereka yang keluar dalam maksud golongan yang menentang kepimpinan yang menyebabkan sengkita, peperangan dan memecahbelahkan umat. Mereka menegakkan falsafah dan sikap tersendiri yang radikal sifatnya. Pihak Khawarij mengecam tindakan A`ishah yang bersekongkol dengan Zubair dan Talhah memerangi Ali (Peperangan al-Jamal). Mereka menentang tindakan `Tahkim` antara Abu Musa al-Ash`ari mewakili Sayyidina `Ali dan Amr Ibn al-As mewakili Mu`awiyah dan berikutnya persengkitaan yang membawa kepada  pembunuhan Saydina Hussein di Padang Kerbala`. Mereka tidak berpihak kepada semua, bahkan mengambil sikap radikal sebagaimana dilambangkan di dalam slogan mereka, ``Tiada berhukum melainkan dengan Kitab Allah` dan `Wajib Mengubah Kebatilan`. Mereka bertindak membunuh secara serentak `Ali, Mu`awiyah dan Amru Ibn al-`As, tetapi hanya berjaya membunuh Sayyidina `Ali.  Mereka  dengan mudah menjatuhkan hukum `kufur` terhadap mereka yang dianggap melakukan kesalahan besar termasuklah terhadap A`ishah, Talhah, Zubair, Muawiyah,  Amru Ibn al-As,  Abu Musa al-Ash`ari dan Yazid.
Sikap mereka terhadap khalifah-khalifah yang dilantik, bahawa mereka bersetuju dan menerima perlantikan Khalifah Abu Bakar dan Umar. Pandangan ini bersamaan dengan pegangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah, tetapi bagi Khalifah `Uthman bin `Affan mereka menerima pada bahagian awal, tetapi menolaknya pada peringkat akhir kerana dianggap `Uthman telah menyeleweng.  Manakala perlantikan Ali diterima oleh kaum Khawarij, tetapi Ali dianggap melakukan kesalahan yang besar dengan penerimaan `Tahkim`, lantaran ini Ali juga dicop sebagai kafir.
Bagi kaum Khawarij yang bersifat radikal berpendapat bahawa keimanan sebagaimana dikata oleh Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah, iaitu qasad dihati, iqrar dengan lisan dan beramal dengan rukun-rukun, tetapi bagi kaum Khawarij bahawa dalam semua aspek itu amalan adalah bukti keimanan yang utama, bahkan bagi Khawarij yang keras itu mengatakan orang yang tidak solat, puasa dan zakat juga dikatakan sebagai kufur.
Walaupun kelihatan pihak Khawari bersifat radikal dari segi sikap dan pendapat, namun tidak tertonjol tidakan radikal mereka, kecuali membunuh Sayyidina `Ali  kepada tindakan fizikal dan radikal  yang mengubah suasana politik dan pemerintahan seperti yang dilakukan golongan Shi`ah. Mereka juga mempunyai pimpinan yang juga menghadapi perpecahan.
Pada dasarnya Khawarij tidaklah subur berkembang. Ini mungkin diakibat oleh sikap keras mereka dari segi pendapat dan mudah menghukum. Pertapakan mereka  bertempat di negara Arab seperti di Yaman, Iraq, Hadhramaut dan Taif. Sebahagian berkembang di Parsi. Tokoh-tokoh mereka juga tidak begitu terkenal, tetapi antara mereka ialh Nafi` bin Azraq yang disifatkan sebagai Khalifah bagi golongan Khawarij. Pimpinan-pimpinan lain ialah: Abu Thaluf, Najdah bin Amin, `Urwah bin Hudair, Najdah bin Uwaimir, Mustaurid bin Sa`ad, Hautarah bin As`ad, Qurrab bin Marrah, Najdah bin Amir, Ubaidillah bin Bashir, Zubir bin Ali, Qathari bin Fujaah dan Abdu Rabbih.
Menurut K.H. Sirajuddin, faham radikal yang berasal dari protes kepada berpandangan radikal ini menjadi satu cabang sikap politik membawa kepada satu aliran pendapat. Walaupun ianya tidak terbina sebagai satu faham falsafah yang kuat dan pengaruhnya bagai telah hilang, tetapi rangka fikirannya meninggalkan kesan dan masih diperkatakan sebagai  aliran yang telah tumbuh dalam pemikiran Islam.
Satu lagi golongan yang lahir akibat dari politik adalah golongan yang dinamakan `Golongan Murjiah, Kelahirannya ialah sebagai respond terhadap situasi semasa akibat persengkitaan yang berlaku di kalangan umat Islam  pada pertengahan abad pertama Hijrah. Respond dimaksudkan berlainan cara. Kita melihat Khawarij mengambil sikap radikal dan keras, sedangkan glongan Shi`ah bersikap menentang dan mendirikan konsep keimamiah dan pemerintahan, walaupun di tengah tekanan dan penindasan. Namun di sana ada satu sikap lagi yang kita namakan sikap `Skeptis`   yang diambil oleh pihak yang mendukung pendekatan ini. Sikap ini diambil melihat penentangan pihak Shi`ah yang dianggap berlaku ketidakadilan terhadap keturunan Ali yang merupakan turunan dari Rasulullah. Ini mengeciwakan golongan ini. Lebih mengeciwakan berlaku perselisihan antara `Aishah bersama Talhah dan Zubair menentang Sayyiduna Ali yang sepatutnya peristiwa ini tidak berlaku. Lebih mengeciwakan dari pertelagahan politik berlaku pertukaran khalifah dari Ali kepada Mu`awiyah, kemudian berlaku pembunuhan terhadap Sayyiduna Hussein. Kekacauan juga akibat timbulnya puak-puak yang tidak berpuashati terhadap situasi yang berlau seperti lahirnya Shi`ah dan Khawarij. Namun bagi pihak ini, walaupun tidak menyenangi, tetapi puak ini berpendapat tiada daya bagi mereka untuk menolak segala kekacauan dan dalam keterpaksaan menerima situasi sedemikian. Walaupun tidak puas hati mereka menyerahkan kepada Allah dan mengharapkan sesuatu yang positif akan menjelma. Golonganm inilah yang dinamakan Murjiah yang bermaksud adalah menangguh segala permasalahan kepada Allah dan mengharapkan dapat terselesai. Segala permasalahan jika dihadapkan kepada mereka tentang pendapat mengenai pertikaian Ali-Muawiyah dan apa sepatutnya tindakan , dengan pesemis dan skeptis mereka menagguhkannya kepada penentuan di hadapan Allah. Begitulah dengan berbagai-bagai persoalan yang lain.
Pendirian Murjiah berbanding dengan Khawarij tidak mengancam kedudukan masa-mana pihak politik, kerana mereka tidak bertindak atau sekurang-kurang melahirkan pendapat yang mengancam pihak berkuasa.
Kelahiran puak-puak seperti Khawarij dan Murjiyah dari satu segi dapat dilihat sebagai benih permulaan bagi melahirkan pandangan yang bersifat falsafah di dalam aspek aqidah Islam. Misalnya dengan pendirian Khawarij, bahawa manusia harus merubah situasi ketidakadilan yang dihadapi, seolah-olah menjadi benih kepada faham Qadariyyah dan Mu`tazilah. Demikian sikap skeptis dan menyerah oleh golongan Murjiah dapat dilihat sebagai benih permulaan bagi pertumbuhan faham Jabariyyah yang menyerahkan semua kepada Allah.
Dengan keduidukan sedemikian, semua golongan yang lahir ini, walaupun antaranya dilihat kecil dan tidak menmggugat, di samping yang menggugat seperti Shi`ah dan Khawarij, sebenarnya mempunyai impak dan pengaruh yang lebih penting dari sengketa yang berlaku. Bermaksud peperangan dan mana-mana episod sejarah pertikaian yang berlaku ianya berakhir setakat itu dan menjadi fakta sejarah, tetapi perkembangan idea dan falsafah serta berkait dengan akidah, ianya lebih lama dan terus diperkatakan di dalam konteks aliran akidah yang berlaku seperti Shi`ah, Khawarij, Murjiah, Mu`tazilah, Jabariyyah dan sebagainya.

Sekian.