Banyak lagi tafsir di dalam bahasa Arab telah
dihasilkan di dalam perkembangan zaman dan perkembangan pentafsiran itu
sendiri. Tafsir-tafsir berkenaan ialah:
1. Tafsir Jami` al-Bayan dengan tafsir Al-Tabari oleh Al-Imam Ibn Jarir
al-Tabari
2. Tafsir Ibn Kathir oleh Al-Hafiz
Imad al-Din Ibn Kathir al-Dimashqi
3. Tafsir Al-Ruh al-Ma`ani oleh Al-`Allamah
Syed Mahmud Shukri al-Alusi
4. Tafsir Al-Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta`wil oleh Al-Imam Nasir al-Din
Al-Baydawi (telah dibicarakan)
5. Tafsir al-Jalalayn oleh Al-Imam Abdul Rahman al-Mahalli dan Al-Imam Abdul
Rahman Al-Suyuti (telah dibicarakan)
6. Tafsir Al-Manar oleh Al-Imam Muhammad Abduh dan Al-Allamah Muhammad
Rashid Rida.
7. Tafsir Mahasin al-Ta`wil oleh Al-`Allamah Jamaluddin al-Qasimi
8. Tafsir al-Maraghi oleh Ustaz Ahmad Mustafa al-Maraghi
9. Tafsir al-Qur`an al-Karim oleh Shaykh Muhammad Shaltut Bekas Shaykh
al-Azhar
10. Tafsir al-Jawahir oleh Al-`Allamah Tantawi Jauhari
11. Tafsir fi Zilal al-Qur`an oleh Syed Qutb
12. Tafsir Gharib al-Qur`an oleh Ibn Qutaibah al-Dinauri
(Tafsir Pimpinan Al-Rahman
Kepada Pengertian Al-Qur`an oleh Abdullah Basmih, Jabatan Perdana Menteri
Bahagian Hal Ehwal Islam, Kuala Lumpur, 1985: XIII).
Pendekatan secara keseluruhan ialah menghurai
dan mentafsir bagi menjelaskan kandungan ayat-ayat Al-Qur`an bagi setiap surah
yang daripadanya dapat difahami, dimanfaatkan keilmuan, diamalkan segala
tuntutan. Antaranya:
1) Diketahui ayat-ayat sama ada diturunkan di Makkah atau di Madinah
2) Diketahui sebab-sebab Nuzul
3) Diketahui ayat-ayat hukum yang dijadikan panduan ibadat dan hukum-hukum
yang lain
4) Mengetahui tentang hakikat ciptaan Alam dan kandungan
5) Mendapat panduan keilmuan seperti aqidah, shariat, akhlak, astronomi,
pertanian dan berbagai-bagai keilmuan yang lain
6) Mengetahui tentang rasul-rasul dan nabi-nabi
7) Mengetahui sejarah silam dan lain-lain yang boleh menjadi panduan
kajian
8) Mendapat maklumat mengenai alam ghaib
9) Menjadi panduan kebahasaan dan kesusasteraan seperti nahu, saraf dan
balaghah
10) Menyedari akan berlakunya hari kiamat
11) Perlembagaan yang menjadi panduan dunia akhirat
12) Berbagai-bagai bidang yang lain.
Walaupun begitu terdapat kajian-kajian tentang
tafsir-tafsir yang telah dihasilkan. Misalnya Tafsir Ibn Kathir yang begitu
popular digunakan. Antara pendekatannya ialah dengan menghuraikan ayat dengan
menggunakan ayat-ayat Al-Qur`an, Hadith, perkataan sahabat seperti Ibn Abbas, tabi`in
seperti Mujahid bin Jabr, Ibn Jarir, Muhammad bin Ishaq, Said bin Jubayr,
Ikrimah, Ata` bin Abi Rabah,, Qatadah, al-Dahhaq dan lain-lain (Ibn Kathir,
Sahih Ibn Kathir, Pustaka Ibn Kathir, Jakarta, 1421H./2000M.: 26-27).
Terdapat ciri-ciri khusus yang mengidentitikan
pentafsir-pentafsir dengan pendekatan masing-masing. Misalnya Tafsir Al-Manar
oleh Muhammad Rashid Reda (1282-1354H./1865-1935M.) yang dipengaruhi pemikiran
gerakan pembaharuan dari Jamaluddin al-Afghani pada akhir abad ke 20 bersama
dengan Muhammad Abduh. Mereka berjihad membawa tajdid, juga mendukung
pembaharuan yang dibawa oleh Ibn Taymiah dan Ibn al-Qayyim al-Jauzi. Tafsir
al-Manar dianggap tafsir terbaik yang mengenengahkan aspek adabi sastera, serta
analisis mendalam dengan kefahaman ilmu fiqh yang tinggi dalam memohon hidyah
dari Allah melalui Al-Qur`an. Tafsirnya mengambil pendekatan tafsir Al-Qur`an
dengan Al-Qur`an dan Hadith. Perjuangannya melalui pendidikan diterapkan dengan penggunaan Tafsir Al-Qur`an disamping
disalurkan idea dan tajdid melalui risalah-risalah yang dikeluarkan. Kesannya
dilihat secara jangka panjang di dalam menyedarkan umat Islam dan turut
terpengaruh dengan idea pembaharuannya oleh pejuang-pejuang pembaharuan di alam
Melayu.
(Muhd. Najib Abdul Kadir, Fadlan Mohd Othman
dan Najidah Zakariya, Manhaj Tafsir Al-Manar oleh Muhammad Rashid Ridha,
dlm.Manhaj Tokoh-Tokoh Tafsir, Penerbit UKM, Bangi, 2015: 138-149).
Beberap tafsir yang lain ialah tafsir `Al-Asas
fi al-Tafsir oleh Said Hawwa yang memberi penekanan terhadap aqidah, fiqh dan
tasawuf, manakala tafsir Manhaj Tafsir Safwat al-Tafasir dihasilkan oleh
Muhammad Ali l-Sabun yang pernah menjadi pensyarah di Universiti Umm al-Qura
dan Universiti King Abdul Aziz Arab Saudi. Kitb Safwah dihasilkan 1399H./1979M.
setebal tiga jilid menekankan perbahasan `Asbab al-Nuzul`. Pentafsir juga
seorang pakar di dalam bahasa dan balaghah, sebab itu aspek-aspek ini diberi
perhatian di dalam pentafsirannya. Beliau bersifat terbuka dan membawa berbagai
pandangan ulama yang lain di dalam perbahasan mengenai berbagai-bagai isu dalam
tafsirannya. Manakala tafsir terakhir yang dapat disentuh ialah `Fi Zilal
Al-Qur`an` - Di Bawah Bayangan Al-Qur`an` dihasilkan oleh Syed Qutb sebanyak 6
jilid. Tafsir ini agak berbeza dari tafsir-tafsir yang lain, kerana huraian
bersifat fikiran. Sebagai seorang ahli bahasa dan sasterawan fikiran dan imaginasinya
tinggi. Syed Qutb menghurai ayat Al-Qur`an dengan ayat Al-Qur`an dan juga
Hadith. Kekurangan rujukan mungkin kekurangan bahan rujukan, kerana Tafsir Fi
Zilal al-Qur`an` ini dihasilkan semasa beliau di dalam tahanan pihak berkuasa
Mesir. Beliau meninggal secara syahid. Tafsir `Fi Zilal Al-Qur`an telah menarik
minat seorang pelajar dari Malaysia yang mengikuti perkembangan penulisan dan
penghasilan kitab tafsir ini semasa beliau belajar di Qahirah. Di atas minat
ini pelajar berkenaan. iaitu Yusof Zaky Yaakob dari Kota Bharu, Kelantan yang
bergiat di dalam bidang persuratan dan penerbitan telah menterjemahkan tafsir
Syed Qutb ini ke dalam bahasa Melayu `Tafsir Fi Zilal Al-Qur`an – Dalam Bayangan
Al-Qur`an (1992).
Berbagai-bagai tafsir dengan berbagai
pendekatan telah dihasilkan oleh para mufassirin yang menjadi panduan di dalam
memahami kandungan Al-Qur`an. Pun begitu rahsia Al-Qur`an tidak akan
habis-habis untuk digali dan kita percaya pada masa mendatang akan muncul lagi
pentafsir-pentafsir secara lebih dalam dan lebih canggih di dalam mentafsir dan
menggali ilmu-ilmu, hikmat-hikmat dan rahsia-rahsia Al-Qur`an yang menjadi
panduan bukan saja kepada umat Islam, tetapi adalah bagi manusia keseluruhan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment