BBB, 29
Syawal 1436 = 14 Ogos 2015 (Jumaat):
Slain dari tumpuan diberikan terhadap
ikhtilaf pendapat mengenai kaedah bacaan setengah ayat-ayat Al-Qur`an yang
diletak di bawah judul (Faidah), satu ciri lagi di
dalam penafsiran Tarjuman Al-Mustafid, bahawa penafsir yang diikuti terjemahan
ialah menyebut tentang keistimewan surah dan kepentingan. Sebagai contoh kata pentafsir:
``Ini Surah Al-Fatihah iaitu tujuh ayat yang
dibangsakan ia kepada Makkah yakni yang turun di Makkah, maka tersebut di dalam
Baydhawi bahawa Fatihah itu penawar bagi tiap-tiap penyakit dan tersebut di
dalam `Manafi` Al-Qur`an` barangsiapa
membaca dia adalah baginya daripada pahala yang tiada dapat menggandai dia
kitab dan memberi manfaat akan berbaik-baik orang dan perkasih. Wallahiu a`lam.
Berhubung dengan Surah Al-Baqarah, kata
pentafsir::
``Maka tersebut di dalam Baydhawi belajar dia
thabit berkat dan meninggalkan dia itu menyesal dan tiada kuasa akan dia
ha(m)batan. Dan tersebut di dalam Manafi` Al-Qur`an barang siapa menyurat dia
maka dicatitnya atas dirinya nescaya hilang daripadanya segala penyakitnya dan
demikian lagi jikalau digantung atas katip kanak-kanak nescaya dimudahkan Allah
Ta`ala ia menceraikannya atas susunya dan tiada ketakutan segala yang menyakiti
dan jin jikalau digantungkan orang yang dicabul oleh syaitan nescaya hilang
daripadanya yang demikian itu. Wa Allah a`lam. (hlm. 3).
Dan contoh terakhir diambil dari Surah Al-Kafirun
tentang kepentingan dan keistimewaan, kata pentafsir:
``Maka tersebut dalam Baydhawi hadith
barangsiapa mengaji Surah Al-Kafirun maka adalah ia seolah-olah mengaji Qur`an
dan jauhlah daripada maraddah segala
syaitan dan jauhlah ia daripada sharr.`` (hlm. 608).
Pentafsir juga gemar menyelitkan `Kisah` yang
berhubungan dengan ayat. Tidak ada kisah dalam tafsiran terhadap Surah
Al-Fatihah yang hanya mengambil ruang satu halaman sahaja, tetapi pada awal
Surah Al-Baqarah yang berkait dengan maksud ayat:
``Yang
mereka beriman dengan apa yang diturunkan kepada engkau dan apa yang diturunkan
sebelum dari engkau.`` (Al-Baqarah: 4)
Diperturunkan:
[Kisah]
Pada suatu qaul yag tersebut di dalam Khazin bahawasanya Allah Ta`ala
telah me(n)janjikan kaum Bani Israil atas lidah Nabi Allah Musa bahawa ia lagi
akan menurunkan rasul akan dia daripada anak cucu Nabi Allah Ismail maka
tatkala berpindah Rasulullah s.a.w. ke Madinah pada hal di dalamnya beberapa
makhluk yang amat banyak maka diturunkan Allah Ta`ala surah ini akan
menyempurnakan janji, wallah a`lam.`` (hlm.
3).
Di dalam Surah Al-A`raf bagi ayat menceritakan
tentang Adam dan Hawwa` di Syurga sebelum dikeluarkan kedunia (Al-A`raf: 19) dibawa:
[Kisah] Disebut di dalam Khazin adalah pakaian
keduanya itu daripada nur tidak dilihat seorang kan aurat seorang maka tatkala
mengenai keduanya dosa maka nyatalah bagi keduanya aurat keduanya. Wa Allah
a`lam (hlm. (hlm. 153).
Berhubung dengan Surah Al-Kahfi dibawa:
[Kisah]
Tatkala ditanyai oleh orang Makkah akan Nabi s.a.w. daripada khabar bagi
segala orang yang di dalam guha itu maka sahut Nabi s.a.w. lagi akan kukhabar
esok hari pada hal tiada dikatanya insya Allah Ta`ala (ayat Qur`an bermaksud:
Jangan engkau katakan sesuatu aku buat itu esok melainkan dikehendaki Allah)
dan jangan kau kata bagi sesuatu bahawa lagi aku berbuat demikian-demikian itu
esok hari melainkan dan memakai mushiat Allah seperti bahawa kau kata insya
Allah Ta`ala ... (hlm. 297).
Demikianlah terdapat begitu banyak kisah-kisah
yang dibawa oleh pentafsir.
Daripada perhatian yang dibuat didapati
pentafsir tidak mengambil pendekatan secara sedar kaedah mentafsir ayat
Al-Qur`an dengan ayat Al-Qur`an, iaitu kaedah pentafsiran yang paling kukuh.
Pengambilan yang dibuat adalah secara bukan sebagai kaedah atau pendekatan pentafsiran. Begitu juga didapati
pentafsir juga tidak menggunakan Hadith Nabi sebagai kaedah pentafsiran.
Pentafsir juga tidak menjadikan `Asbab al-Nuzul` sebagai satu kaedah
pentafsiran yang penting, walaupun dalam setengah penerangan, contoh di dalam
setengah (Faidah) sebenarnya adalah `Asbab al-Nuzul`
Dari segi rujukan yang dibuat terhadap
sumber-sumber kitab, nampaknya rujukan yang dibuat di sana sini, terhadap dua sumber iaitu Tafsir Khazin dan
Baydhawi, mungkin dimaksud kepada tafsir Baydhawi sendiri atau dari karangan
Baydhawi yang lain. Selain daripada itu
Pentafsir tidak memberi penegasan tentang hukum,-hukum di dalam penafsiran,
sebaliknya dibicarakan secara tidak langsung dalam penterjemahan dan
penafsiran.
Pendek kata pendekatan dan penekanan oleh
pentafsir juga terjemahan agak berbeza dari tafsir-tafsir umum. Aspek-aspek
yang diberi tumpuan seperti ikhtilaf pembacaan sebagai pendekatan, walaupun
baik, tetapi tidak diberi penekanan oleh penafsir-penafsir biasa. Begitu juga
memberi perhatian yang lebih terhadap kisah-kisah agak berlainan dari
pendekatan-pendekatan tafsir yang lain. Pentafsir juga menyebut tentang
kepentingan dan keistimewaan setengah ayat-ayat Al-Qur`an dari khasiat
perubatan yang tidak diberi perhatian oleh pentafsir-pentafsir yang lain.
Sebaliknya `Asbab al-Nuzul`, tafsiran ayat Al-Qur`an dengan ayat Al-Qur`an juga
Hadith serta penekanan tentang ayat-ayat hukum yang menjadi pendekatan popular
dalam pentafsiran nampaknya tidak menjadi kaedah tafsiran bagi Tafsir Baydawi
atau Tarjuman al-Mustafid
Namun sebagai tafsir terjemahan terawal di dalam bahasa Melayu, Tafsir
Baydhawi dan terjemahan sebagai Tarjuman al-Mustafid mempunyai kedudukan yang
istimewa di dalam keilmuan tafsir berbahasa Melayu dan perkembangan Islam dan
keilmuan itu sendiri.
Sekian.
No comments:
Post a Comment