Kitab Tarjuman al-Mustafid adalah tafsir
terawal dalam bahasa Melayu secara terjemahan dilakukan oleh Shaykh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri terhadap
tafsir Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta`wil oleh Shaykh Abdullah Umar bin
Muhammad al-Shirazi al-Baydawi – secara ringkas dikenali sebagai Tafsir Baydawi.
Shaykh Abdul Rauf (1615-95M.) adalah salah seorang ulama terkenal di Aceh pada
abad ke 17M. Beliau yang juga dikenali sebagai Abdul Rauf Singkel tempat
kelahiran beliau di kawasan pantai barat Aceh. Di dalam kitabnya yang berjudul
Umdat al-Muhtajin beliau menyatakan bahawa beliau berada selama 19 tahun di
Tanah Arab berguru antaranya dengan Shaykh Ahmad al-Qushashi (m. 1661M.) dan
juga berguru dengan Shaykh Ibrahim al-Kurani Murid Shaykh Ahmad Al-Qushashi di
Makkah. Selain dari menuntut di Makkah dan Madinah, beliau juga belajar di
Yaman. Beliau kembali ke Acheh dan membuka pondok pengajian di Singkel di Kuala
Sungai Aceh (Beliau juga dikenali sebagai Teungku Shaykh Kuala) pada zaman
Sultanah Safiyatuddin Tajul Alam Shah Permaisuri dan Pengganti Sultan Iskandar
Thani yang memerintah Aceh (1641-1675). Beliau adalah merupakan Ulama` Istana
bagi Sultanah Safiyatuddin Tajul Alam Shah. Semasa bergiat di dalam pengajaran
dan selaku Ulama Istana inilah beliau menghasilkan kitab-kitab antaranya
Tarjuman al-Mustafid terjemahan terhadap Tafsir Baydawi, Umdat al-Muhtajin
(fiqh), Mir`at al-Tullab (fiqh) dikarang di atas permintaan Sultanah Safiyatuddin,
Kifayat al-Muhtajin (Tasawuf). (T.Iskandar, Abdurrauf Singkel Tokoh Shatariyah
(Abad 17), Dewan Bahasa, Mei, 1965: 195-200).
Berhubung dengan usaha Shaykh Abdul Rauf
menghasilkan Tafsir Tarjuman al-Mustafid ini Richard Winstedt mencatat:
``He did a Malay translation, not always
accurate, of Baidhawi`s commentary On the Qur`an, which was published as
recently as 1884 at Constantinople.`` (Winstedt, R., A History of Classical
Malay Literature, Oxford University Press, Kuala Lumpur, 1969: 147-148).
Penghasilan kitab Tafsir Tarjuman al-Mustafid
pada abad ke 17 ini pada awalnya adalah tersebar secara salinan tangan dan
terawal tercetak sebagaimana disebut oleh Winsdeth ialah pada 1884 di Turki,
iaitu pada zaman Turki merupakan kuasa Empayar Islam yang kuat dn Aceh
mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan tersebut dan kitab berbahasa
Melayu dapat diterbitkan di sana selain dari di Makkah dan Mesir berikutnya
menjadi tempat penerbitan kitab-kitab bahasa Melayu sebelum lahirnya percetakan
di Singapura dan Penang..
Kitab Tarjuman al-Mustafid kemudiannya dicetak
di percetakan Sulayman Mar`i di Singapura. Tafsir Tarjuman al-Mustafid yang
Penulis gunakan ialah terbitan Sulaiman Mari`, Singapura pada tahun 1370H./1951M.
Cetakan ke 4 dalam dua bahagian setebal 610 halaman. Bahagian pertama bermula
dari Al-Fatihah dan Surah Al-Baqarah. Bahagian kedua bermula dari Surah
Al-Kahfi sehingga akhir Surah al-Nas. Menurut penerbit bahawa kitab tafsir ini
telah ditashih oleh Shaykh Abdul Rauf al-Marbawi al-Azhari seorang ulama Melayu
yang tinggal di Mesir dan menerbitkan kitab-kitab dan antara yang terkenal
ialah Kamus al-Marbawi. Teks bagi tafsir ini dirujuk kepada Al-Fadhil Shaykh
Ali al-Dhabba`i seorang qari dan rujukan pengajian Al-Qur`an terkenal di Mesir.
Kitab tafsir Tarjuman al-Mustafid adalah
berukuran kitab biasa iaitu 30 x 20 sm setebal 610 halaman yang pada halaman
permulaan bagi bahagian pertama diberi tulisan berwarna merah dengan hiasan
pada bahagian tepi, manakala bagi Surah Al-Fatihah dan halaman bagi awal Surah
al-Baqarah berwarna hijau dengan hiasan kelilingnya berwarna hijau. Bagi
bahagian kedua menjadi sebalik, iaitu muka awal bagi bahagian kedua berwarna
hijau dan hitam dengan hiasan keliling, manakala Surah Al-Kahfi, teksnya dengan
kelilingnya berwarna merah. Adapun bagi surah-surah yang lain diberi hiasan
pada bahagian atas, tetapi semuanya berwarna hitam sama dengan teks dan huraian
tafsir.
Sebagaimana judul kitab, iaitu:
Al-Qur`an Al-Karim Wa Bi Hamishihi – Tarjuma
Al-Mustafid
Bermaksud: Al-Qur`an Al-Karim Dan Di Tepinya
Tarjuman al-Mustafid
Maka sedemikianlah format kitab tafsir ini,
iaitu pada bahagian tengah kitab adalah teks Al-Qur`an Al-Karim secara seturut
dan lengkap. Teks Al-Qur`an adalah berada
betul-betul pada bahagian tengah, pada kanan dan kiri halaman, manakala pada
bahagian atas, kanan dan di bawah adalah tafsiran, manakala pada bahagian kiri,
atas kiri dan bawah adalah tafsiran. Dengan kedudukan teks Al-Qur`an pada
bahagian tengah berterusan halaman demi
halaman, tafsiran adalah dibuat lengkap bagi halaman berkenaan. Di dalam tafsir
adalah diperturunkan kembali teks Al-Qur`an pada bahagian tengah dan diberi
tafsiran bagi ayat-ayat secara seturut bermula dari ayat permulaan teks dan berakhir
dengan teks hujung halaman dan demikian dengan tafsiran. Ini bererti bahawa
format kandungan dihasilkan dengan teliti dari segi panjang dan pendek sehingga
dapat dimuat sempurna dengan ayat Al-Qur`an dan tafsiran bagi satu-satu halaman.
Bagi kitab tafsir Tarjuman al-Mustafid ini tidak diberi sebarang ruang bagi
kata pendahuluan, selepas nama bagi kitab pada halaman pertama terus diikuti
dengan tafsir bagi Surah Al-Fatihah bagi bahagian separuh pertama dan bagi
bahagian separuh kedua, ialah nama bagi tafsir bagi separuh kedua dan berikutnya
terus bermula dengan tafsir Surah Al-Kahfi. Ini bererti kita tidak mendapat
maklumat tentang pengarang dan kepengarangan bagi kitab tafsir. Kecuali pada
bahagian akhir kitab bagi separuh pertama dan kedua disertakan senarai
surah-surah pada helaian tambahan. Dua halaman senarai tambahan bagi separuh
bahagian pertama dan sehalaman bagi separuh bahagian kedua. Yang menarik bagi
surah-surah yang diberi huraian tafsir dengan menyertkan kisah-kisah
(cerita-cerita), maka bagi cerita-cerita berkenaan diberi helaian rujukan.
Misalnya bagi Surah Al-Kahfi ada diberi tiga kisah, iaitu:
Kisah adalah apabila berbalik mereka itu - hlm.
296
Kisah tatkala ditanyai oleh orang Makkah - hlm.
297
Kisah bahawasnya tiada ada masuk - hlm. 303
Demikianlah dikuti oleh Surah Maryam dan
senarai kisah di bawah:
Kisah adalah pada langit yang keempat - hlm. 310
Kisah tatkala lambat datang wahyu - hlm. 310.
Begitulah seterusnya dengan surah-surah dan
kisah-kisah yang disertakan di dalam surah-surah berkenaan.
Tafsir
Tarjuman Al-Mustafid sebagai tafsir permulaan di dalam bahasa Melayu amat
menarik, khususnya untuk dijadikan kajian. Banyak aspek yang dapat dibicarakan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment