Dengan membaca Al-Qur`an secara tartil,
ditambah lagi dengan kemerduan suara pembacanya cukup memberi kekhusyukan dan
kekudusan bagi yang membaca dan yang menghayatinya. Bahkan memberi kejutan dan
kekaguman seperti yang dialami oleh Umar al-Khattab pertama kali mendengarnya
yang membawa kepadanya menerima Islam, juga sebagaimana yang dialami oleh
Al-Walid Ibn al-Mughirah seorang pakar bahasa dan sasterawan bahasa Arab
pertama kali mendengarnya dan terloncat darinya kata-kata kekaguman dan memuji
keindahannya !
Tetapi bagi umum, bagi yang membaca dan yang
menghayatinya, iaitu semata-mata bacaan, Al-Qur`an membawa suasana berlainan,
dari biasa kepada suasana tenteram dan membawa mood kekudusan, bahkan
membacanya di dalam konteks ibadat seperti di dalam solat membawa kepada
suasana ibadat dan keintiman hubungan dengan Tuhan – Mi`raj rohani dan Munajat
!.
Tetapi di luar dari pengalaman kejutan dan
kekaguman yang kita tidak sampai kepada taraf sedemikian, apakah yang kita mau
ketahui sebagai pelajar dan pengaji berdepan dengan Al-Qur`an ? Sudah tentulah
mengenai kandungan yang ada di dalamnya. Sebenarnya berdepan dengan Al-Qur`an,
bukan saja bagi yang tidak mengetahui bahasa Arab, bahkan yang mengetahui
bahasa Arab, tidak mampu memahami kandungan secara konteks, jika setakat
mengetahui bahasa Arab sahaja. Ia mungkin dapat memasang makna secara harfiyah
dan menanggapinya secara selapis sahaja. Di dalam hal ini adalah pentingnya mempelajari
tafsir beserta ilmu-ilmu bantu bagi memahami kandungan, khususnya bagi mereka
yang terlibat dengan bidang dan kerjaya yang mempunyai kaitan dengan Al-Qur`an,
sebagai contoh bagi mufti, kadhi, peguam syar`i, para pensyarah, guru-guru agama
dan pengamal agama Islam.
Berdepan dengan Al-Qur`an dan membacanya
secara teliti dan mendalam kita mau tahu pada lapisan permukaan ialah makna dan
maksud ayat atau ayat-ayat yang dibaca. Tetapi seharusnya bagi yang membaca
sebagai kajian bagi mengetahuinya secara mendalam membaca terlebih dahulu
tentang latar dan kaitan nuzul Al-Qur`an dengan kebangkitan Rasulullah menjadi
Rasul dan dakwah Baginda yang mempunyai pertalian rapat dengan penurunan Al-Qur`an
dan kandungan ayat-ayat.
Membaca Al-Qur`an, contoh membaca Surah
al-Fatihah, kita membcanya dan mengetahui maknanya dari pengertian bahasa yang
kita pelajari dari guru-guru yang mengajar tentang solat yang memberi ertinya
secara tidak langsung. Tetapi membacanya secara lebih dari bacaan permukaan,
kita memahaminya secara serentak dengan kedudukan dari segi nahu, tetapi secara
lebih dalam lagi kita memahaminya dari segi pembelajaran tentang konsep
Ketuhanan Allah yang bersifat Rahman dan Rahim dan perbezaan maksud dari kedua
peristilahan tersebut. Kita juga memahami konsep pandangan wujud dari Allah yang
Abadi kepada konsep pandangan wujud tentang alam yang nisbi (fana) dan hubungan mengenai Tuhan
bagi sekalian alam dan mengapa perlunya `Pujian` terhadap Tuhan sekalian alam
tersebut. Alam pula bukan setakat alam nyata tetapi alam ghaib, termasuk `Hari
Akhirat` - `Yaum al-Din` yang menjadi sebahagian dari kepercayaan yang
merupakan satu daripada rukun Iman.
Pemahaman juga berkait dengan persoalan nahu
dan bahasa, bagaimana susunan bahasa, mengapa disusun bahasa, iyyaka` mendahului
`na`budu` yang merupakan maf`ul bih mendahulu fi`il mudari` dan fa`il dan
mengapa digunakan dengan fi`il mudari`, begitu juga dilihat dari susunan nahu
bagi `iyyaka nasta`in` yang polanya sama dengan ayat iyyaka na`budu. Ini adalah mencerminkan keutamaan
fokus kepada `Engkau - Tuhan` dan penegasan dan keperluan tentang `na`budu` dan
`nastai`n.
Kalau kita lihat dari segi nahu dan ayat
bahawa sebelum ayat `iyyaka na`budu` dan `iyyaka nasta`in` adalah semuanya
dalam jumlah ismiyyah, mengapa kepada ayat tersebut bertukar kepada jumlah
fi`liyyah yang berkait dengan masa. Antaranya jumlah sebelumnya mencerminkan
keabadian yang Esa yang tidak tertakluk oleh masa dan tempat, sedang makhluk,
khususnya manusia dan alam adalah tertakluk dengan masa dan kefanaan. Iaitu
wujudnya elemen yang berubah, lantaran itu perlu kepada pertolongan di dalam
memasti dan penetapan `Al-Sirat al-Mustaqim`.
Signinicant juga dari segi pertukaran jumlah
fi`liyyah dari fi`il mudari` bagi kedua ayat disebutkan, bertukar kepada jumlah
fi`il amar termasuk fi`il madhi dalam ungkapan `an`amta `alayhim` (nikmat telah
diberi itu dipohon turut terus diberi kepada kami) yang secara nahu dan
bahasa dapat dilihat di dalam surah
al-Fatihah sebagaimana ianya disebut sebagai inti Al-Qur`an, maka di dalam
surah ini juga lengkap dengan contoh-contoh ilmu nahu dan saraf.
Dari segi balaghah juga dapat dilihat
kehalusan bahasa Al-Qur`an yang tersusun dari jumlah ismiyyah (mubtada` dan
khabar`) dan jumlah fi`liyaah yang ada fi`il madi, mudari` dan amar dan ada
dengan haraf, kita lihat dari gaya bahasa dalam mana pertukaran dari orang pertama, kepada orang
kedua dan ketiga dari maksud `Jalan yang engkau beri nikmat ke atas mereka
itu`, tetapi bagi maksud `tidak yang dimerkai di atas mereka itu` secara
balaghahnya tidak disebutkan mereka secara langsung (mereka) dan tidak
mengaitkan dengan masa, begitu juga mereka yang sesat, juga tidak dikaitkan
dengan masa, yang seolah-olah sesuatu yang perlu dijauhkan `jalan yang dimurkai
dan sesat` bagi segala masa. Dari segi damir, terdapat sebutan yang lengkap dan
berubah dari, kami, engkau, mereka –
orang pertama, kedua dan ketiga.
Dari satu segi susunan ayat di dalam
al-Fatihah semacam percakpan dan dialog antara hamba dan Tuhan dan bukan
sebagai penceritaan dan pernyataan semata-mata. Sememangnya terdapat Hadith yang
menyatakan tentang dialog percakapan dan dialog di dalam surah al-Fatihah ini
(Riwayat Abu Hurirah – Hadith Bukhari). Ini mencerminkan suasana keintiman
antara hamba dengan Tuhan yang lebih menimbulkan suasana yang komunikatif dan
intim. Penekanan dari segi hamba di dalam al-Fatihah lebih merujuk kepada
kumpulan dan jamaah yang menyebut, kami dan mereka. Ini juga mencerminkan kehidupan
di dalam masyarakat Islam adalah secara berjamaah. Ia juga mencerminkan bahawa
di dalam membaca l-Fatihah di dalam solat adalah merujuk kepada galakan bagi
hamba sentiasa berjamaah.
Selain dari mengetahui maksud dalaman adalah
menjadi lebih menarik mengetahuinya dari segi penurunan ayat ini dan kepentingannya
sebagai part and parcel bagi pemahaman terhadap kandungan Al-Qur`an.
Ini adalah merupakan secebis tnggapan terhadap
al-Fatihah yang juga dikenali sebagai `Umm al-Kitab dan Al-Sab` al-Mathani`.
Tentulah di sana huraian-huraian yang lebih mendalam bila dipelajari melalui pengajian tafsir. Demikianlah dengan ayat-ayat
Al-Qur`an yang lain yang berdepan dengannya lebih dari berdepan lautan keilmuan
yang tidak bertepi. Di sinilah pentingnya pengajian tafsir sebagai pengajian
pada peringkat tinggi dan penting bagi memahaminya kepada keilmuan-keilmuan
bantu yang membantu kita ke arah memahami kandungan dan rahsia Al-Qur`an itu.
Sekian.
No comments:
Post a Comment