April 3, 2008

HIMPUNAN RAKYAT & MALAM MUNAJAT


Shah Alam, 31 Mac 2008 : Satu Himpunan Rakyat dan Munajat Perdana telah diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam. Sungguh Bersejarah! Buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia apabila Stadium yang sebelum ini hanya digunakan untuk bersukan dan berhibur penuh sesak dengan orang ramai yang hadir untuk mendengar amanat daripada pimpinan mereka.

Sungguh mengkagumkan! Buat pertama kalinya stadium ini menjadi saksi kepada solat Isya’ berjemaah dan solat hajat serta munajat perdana.

Program anjuran Parti Islam SeMalaysia (PAS) itu mendapat sambutan ribuan manusia yang hadir dari seluruh pelusuk Selangor sehingga ada yang tidak dapat memasuki stadium. Kehadiran rakyat bukan sahaja dari Negeri Selangor, malah ada yang datang dari Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan juga Kelantan. Sungguh syahdu melihat lautan manusia sujuk dan ruku’ kepada Allah. Jelas terpancar di wajah mereka kegembiraan yang teramat sangat dengan nikmat kemenangan Barisan Rakyat yang membolehkan program Himpunan Rakyat dan Munajat Perdana ini dilangsungkan. Majlis itu diadakan bagi menyatakan kesyukuran atas kerjasama dan persefahaman yang wujud dalam Barisan Alternatif (BA) setelah berjaya membentuk kerajaan baru di Selangor. Rombongan dari PAS Kawasan Serdang juga tidak ketinggalan meraikan sejarah ulung ini. Rombongan dengan sebuah bas bertolak sekitar jam 6.30 petang. Manakala YB Dr Shafie Abu Bakar juga turut ke sana dengan kenderaan berasingan.


Kehadiran YB Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang (Presiden PAS), YAB Tan Sri Khalid Ibrahim (Menteri Besar Selangor merangkap Setiausaha Agung PKR), YB Ust Nasharudin Mat Isa (Timbalan Presiden PAS), YB Dato’ Dr Hasan Ali (Pesuruh Jaya PAS Selangor), YB Ronnie Liu (Setiausaha DAP Selangor), Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negeri dari PAS turut memeriahkan lagi majlis.

Program dimulakan dengan solat Isyak berjemaah dan diteruskan dengan solat hajat serta doa munajat dipimpin oleh Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang. Program diteruskan dengan persembahan dari kumpulan nasyid Islamic Voice dan In-Team. Kira-kira jam 10.00 malam ceramah dimulakan dengan dipengerusikan oleh Ustaz Sollehin Mukhyi (Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor). Ucapan pertama disampaikan oleh YB Ronnie Liu. Seterusnya majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Pengarah program iaitu Ustaz Osman Sabran.


Sementara itu, Pesuruh Jaya PAS Selangor, Dato’ Dr Hasan Ali dalam ucapannya menyebut bahawa PAS akan berusaha sepenuhnya untuk mengurus dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Manakala dalam ucapan Ustaz Nasharudin Mat Isa pula, beliau dengan nada berseloroh menyatakan bahawa stadium ini sudah lama dibina untuk PAS.
“Sebenarnya untuk makluman hadirin, stadium ini sudah lama dibina untuk PAS namun hari ini baru kita dapat masuk. Sebagai bukti, cuba lihat kat atas, semua catnya hijau,” katanya. Selorohnya itu disambut dengan laungan takbir dan tepukan gemuruh hadirin. Dalam ucapannya juga, beliau mengingatkan wakil-wakil rakyat yang menang bahawa kemenangan ini adalah amanah yang akan dipersoalkan oleh Allah di akhirat nanti.


Selesai ucapan Ustaz Nasharudin, Menteri Besar Selangor pula menyampaikan ucapannya. Memulakan ucapan, beliau menyatakan bahawa tanpa hadirin tidaklah beliau menjadi Menteri Besar. Justeru, oleh kerana budi rakyat yang memilih beliau maka beliau berjanji akan membalas budi tersebut dengan menjadi wakil rakyat yang baik dan memastikan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan yang lain turut menjalan kerja dengan baik dan amanah. Katanya, beliau akan terus mendesak kerajaan pusat supaya menghapuskan undang-undang zalim seperti ISA, OSA dan AUKU. Beliau juga melahirkan rasa terima kasih kepada Tuan Guru Hadi Awang kerana memberi kepercayaan kepada beliau di mana ketika pemilihan nama MB, Tuan Guru memilih namanya seorang sebagai MB. Kepada rakyat, beliau berpesan agar tolong berikan peringatan kepada beliau dan rakan-rakannya yang lain untuk menjalankan amanah dengan baik kepada rakyat.

“Usrah perlu diperkukuhkan untuk mengikut jejak langkah Nabi Muhammad S.A.W serta pandai mempraktikkannya dalam konteks kenegaraan dan kepelbagaian kaum,” pesannya lagi.

Majlis diakhiri dengan amanat daripada Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang. Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa bukan Kerajaan BN sahaja yang mengadakan pembamgunan. Malah kerajaan yang dimurkai Allah seperti Kerajaan Firaun turut mengadakan pembangunan.


Katanya, semua orang boleh buat pembangunan tetapi tidak ada seorang pun yang boleh tunjuk jalan ke akhirat melainkan Nabi-nabi a.s. Nabi-nabi ini diturunkan bukan semata-mata untuk membawa pembangunan fizikal semata-mata malah yang lebih penting dari itu adalah pembangunan rohani dan petunjuk ke arah keselamatan di akhirat. Beliau juga menyatakan ketidakinginan PAS untuk bergabung dengan UMNO memandangkan pengalaman perit yang dialami PAS ketika bergabung dengan UMNO selepas PRU 1969. Sambungnya, PAS hanya diajak bergabung ketika UMNO hilang pengaruh namun setelah kuat, mereka menendang PAS keluar dari BN selain daripada penafian hak untuk menubuhkan cawangan di Johor dan sebaginya.

Justeru, beliau mencadangkan supaya kali ini, UMNO pula yang bergabung dengan Pakatan Rakyat tetapi dengan syarat UMNO buang sifat ego dan sombong mereka. Cadangan tersebut disambut dengan laungan Takbir, Reformasi dan Makkal Sakhti. Majlis ceramah tersebut berakhir sekitar jam 12 tengah malam. Wajah kepuasan jelas tergambar walaupun terpaksa berhadapan kesesakan lalulintas yang teruk.

No comments:

Post a Comment