April 2, 2008

Jamuan Rakyat Dun Bangi

Bangi, 30 Mac 2008 : Satu Jamuan Pemimpin Bersama Rakyat bagi meraikan kemenangan YB. Dr. Shafie Abu Bakar telah diadakan di perkarangan Pejabat Wakil Rakyat DUN Bangi. Jamuan ini dianjurkan sebagai tanda kesyukuran di atas kemenangan besar Barisan Rakyat dalam pilihan raya baru-baru ini. Majlis Jamuan Pemimpin Bersama Rakyat ini turut diisikan dengan beberapa sub-program iaitu Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang, Pelancaran Kelab Penyokong PAS DUN Bangi dan ucapan-ucapan daripada YB. Dr. Che Rosli Che Mat, YB. Lee Kim Seng serta YB. Teo Nie Ching. Majlis yang menyajikan lima ekor lembu, 6 ekor kambing dan 1200 ekor ayam itu mendapat sambutan hebat daripada penduduk DUN Bangi. Turut hadir membuat liputan majlis Jamuan Rakyat ini ialah NTV 7, Harakah dan Tamil Nessan.

MAJLIS ANUGERAH PELAJAR CEMERLANG

Jamuan yang bermula sekitar jam 10.30 pagi itu dimulakan dengan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang DUN Bangi. Majlis ini diadakan bagi mencapai beberapa tujuan penting. Antaranya ialah:

1) Penghargaan kepada pelajar-pelajar cemerlang di kawasan DUN Bangi.
2) Memberi galakan kepada anak-anak untuk cemerlang.
3) Melahirkan rasa prihatin masyarakat terhadap usaha melahirkan masyarakat berilmu.

Dalam ucapan YB. Dr. Shafie Abu Bakar, beliau menyatakan penghargaan dan ucapan tahniah kepada pelajar-pelajar cemerlang DUN Bangi. Beliau juga melahirkan rasa bangga dan optimis untuk menjadikan Bandar Baru Bangi sebagai Bandar Ilmu. Keyakinan yang diluahkan itu bertitik tolak daripada keadaan Bandar Baru Bangi yang dikelilingi pelbagai Pusat Pengajian Tinggi.

Dalam kenyataan media yang dibuat, YB. Dr Shafie Abu Bakar menyatakan bahawa galakan terhadap pelajar-pelajar meningkatkan kecemerlangan mereka di dalam pengajian telah lama dilakukan. Iaitu semasa kita menjadi ADUN Kajang (1999-2004). Katanya, Galakan dan insentif demikian terus dilakukan, walaupun kita tidak menjadi wakil rakyat (2004-2007). Sebagai contoh, kita mengadakan program `Selamat Kembali ke Sekolah` sejak 2003 dan program ini terus dilakukan. Contoh bagi tahun 2006 kita mengeluarkan peruntukan sebanyak RM5,000 bagi membantu pelajar-pelajar miskin dan cemerlang dan bagi tahun 2007 kita mengeluarkan peruntukan sebanyak RM7,000 bagi tujuan berkenaan.

Bagi tahun ini (2008) kita wujudkan program Anugerah Pelajar Cemerlang DUN Bangi. Peruntukan sebanyak RM8,000 disediakan sebagai galakan dan insentif kepada pelajar-pelajar cemerlang. Kali ini anugerah cemerlang (2008) melibatkan semua pelajar cemerlang di sekolah-sekolah menengah di DUN Bangi dan pelajar-pelajar cemerlang dari DUN Bangi yang belajar di sekolah-sekolah di luar dari DUN Bangi. Penilaian dan anugerah ialah bagi peringkat STPM dan SPM. Jumlah mereka semua ialah 68 orang. Jumlah pelajar STPM hanya 3 orang. Iaitu seorang meraih 3A dan 1B (Yoges A/P Sandra Babu) SMK Kajang Utama, Kedua 4B (Ruqayyah Ahmad) SMK Jalan Reko dan 1A, 2B, 2C (Navien Rajendran A/L Rajendran).

Bagi SPM maksimum pencapaian bagi tahun ini bagi pelajar-pelajar di sekolah-sekolah menengah di Bandar Baru Bangi ialah 13A dan paling minimum yang diberi insentif ialah 10A. (Kecuali seorang anak ibu tunggal dari Council Home 9A). Pelajar yang berjaya meraih keputusan cemerlang 13A ialah Farhana Binti Tajarudin dan Nurhafiza Binti Hassan Ganny. Kedua-duanya beroleh 12A1 dan 1A2 merupakan pelajar Maahad Hamidiah Kajang.

65 Pelajar SPM Menerima Anugerah

Pelajar-pelajar SPM yang menerima anugerah ialah sebagaimana berikut:

Sekolah Menengah Jalan 2, Bandar Baru Bangi 04 orang
Sekolah Menengah Jalan 3, Bandar Baru Bangi 06 orang
Sekolah Menengah Jalan 4, Bandar Baru Bangi 23 orang
Sekolah Menengah Jalan Reko B. Baru Bangi 04 orang
Sekolah Menengah Jalan Bukit, Kajang 09 orang
Sekolah Menengah Kajang Utama, Kajang 02 orang
Sekolah Menengah Hamidiah Kajang 17 orang
Sekolah Menengah Wilayah Persekutuan Kajang 01 orang
Sekolah Menengah Keb. Agama Labu, N. S 01 orang
Sekolah MRSM Langkawi 01 orang

Jumlah pelajar SPM 65 orang

Beliau turut mengharapkan agar dengan dengan galakan yang diberi ini, walaupun kecil, iaitu sebanyak RM100/= seorang bersama dengan 'Warqah Pengiktirafan' merupakan suntikan semangat kepada pelajar-pelajar lebih bersungguh di dalam menghadapi pelajaran mereka dan mereka akan lebih berjaya lagi pada masa hadapan.Katanya, pelajar-pelajar tersebut sebenarnya menjadi duta-duta yang membawa dan mengangkat ‘Bendera Ilmu’ bagi rakyat di DUN Bangi dan mereka juga adalah pewaris yang akan meningkatkan imej Bangi sebagai ‘Bandar Ilmu’.

PELANCARAN KELAB PENYOKONG PAS

Pada jam 12.30 tengah hari, program diteruskan dengan pelancaran Kelab Penyokong PAS DUN Bangi yang disempurnakan sendiri oleh YB. Dr. Shafie Abu Bakar. Seramai 150 orang telah menyertai ahli Kelab Penyokong PAS. Penyerahan borang kelab penyokong PAS kaum India diwakili oleh Lethumanan A/L Govindasamy. YB Dr Shafie dalam ucapannya menyebut bahawa Kelab Penyokong PAS ini ditubuhkan untuk menjadi wadah bagi bukan Islam untuk memberikan sokongan mereka kepada PAS. Katanya, orang bukan Islam juga berhak mendapat peluang yang sama untuk berkhidmat kepada masyarakat. Ini jelas terbukti apabila PAS memberikan peluang kepada calon bukan Islam iaitu Kumutha Rahma untuk bertanding di Johor. Beliau juga berharap agar Kelab Penyokong ini menjadi “orang tengah” di dalam membantu PAS untuk mendapatkan maklumat dan aduan daripada kaum masing-masing. Malah ia juga diharapkan dapat membantu PAS untuk mengadakan program-program bagi mendekati masyarakat bukan Islam.

Turut menyampaikan ucapan pada majlis itu ialah YB Dr Che Rosli, YB Lee Kim Seng dan YB Teo Nie Ching. Dalam ucapan mereka, kesemua YB mengucapkan terima kasih kepada para pengundi kerana kesediaan mereka membuat perubahan sehingga memenangkan Pakatan Rakyat.

UCAPAN TAHNIAH DAN TERIMA KASIH

Saudara Shukor Bin Atan dan AJK pelaksana “Jamuan Rakyat”
AJK PAS Kawasan Serdang
Para penyumbang program “Jamuan Rakyat” RELA
Unit Pertahanan Awam (JPA3)
JASA Alumni
Unit Amal
Dewan Muslimat PAS Serdang
Dewan Pemuda PAS Serdang
Nisa’ Serdang


Juga jutaan terima kasih kepada yang turut sama terlibat secara langsung atau tidak langsung di dalam menjayakan program ini. Mohon maaf kepada semua hadirin atas segala kekurangan.

1 comment:

  1. Sebutlah juga kami terima kasih pada kami ni PAS Bangi ni walaupun hanya sebagai AJK Alam Flora. bukan mengungkit tapi hari tu hujan dan ramai ahli AJK Alam Flora yang membersihkan sampah tengah hujan hingga balik rumah demam. Namun kami pusahati dapat berbakti kepada rakyat

    ReplyDelete