May 31, 2015

Aras Satu (Tingkat Tiga) Bukan Untuk Muslimat Sahaja. Pola `Belah Dua Sama Serupa` Pada Setiap Aras


BBB,  12 Sya`ban 1436 = 30 Mei 2015 (Sabtu):


Aras satu pada dasarnya untuk muslimat, tetapi sebenarnya terdapat ruang-ruang untuk kegunaan yang lain yang lebih luas dari ruang muslimat. Namun aras satu lantainya tidak seluas ruang aras utama di bawahnya, kerana ruang terbuka pada bahagian hadapan aras utama yang dipuncaki hingga kubah adalah ruangan kosong. Lantai bagi aras satu adalah separuh ke belakang dari ruang utama dengan bahagian tepi kiri kanan  merupakan lantai sisi. Tidak ada lantai atas bagi bahagian hadapan ke atas dari mihrab. Di belakang dari ruang muslimat terdapat ruang-ruang bagi berbagai fungsi. Lantai bagi muslimat berada pada bahagian tengah dengan tepi kiri kanan adalah ruangan kosong. Pada kiri kanan mempunyai jalan yang menyambung ke bahagian bahagian belakang ke hadapan. Sebagaimana bahagian bawah (aras utama) sebagai berbelah dua yang kiri kanan adalah sama. Ciri kiri kanan bertentangan dengan ruangan kiri dan kanan adalah sama merupakan pola seni bina masjid ini. Ciri ini juga boleh dilihat pada aras bawah tanah (tidak sangat ketara). Jadi ciri kukuh dapat dilihat pada masjid ini ia adalah sebagai sebuah badan yang boleh dibedah dan dibahagi dua yang kiri kanannya adalah sama dari segi bentuk. Apakah ini merupakan ciri sebuah masjid atau sebuah bangunan ? Tidak semestinya sedemikian (tidak pada Masjid al-Haram dan tidak pada Masjid Nabawi), tetapi demikianlah orientasi arkitek yang polanya diikuti, walaupun ada perubahan-perubahan berlaku, tetapi tidak menjejaskan konsep `belah dua sama serupa`.


Walaupun pola binaan kiri kanan adalah sama, tetapi penggunaan ruang yang sama dengan lawan sebelahnya adalah tidak sama. Ruang muslimat pada bahagian tengah – ke belakang adalah pemisah bagi bahagian kiri kanan, bahkan ruang bagi belakangnya adalah boleh dipecah dua, begitu juga ruang muslimat juga  boleh dipecah dua dengan garisan pembahagian dua di tengahnya. Adalah boleh dibuat kesimpulan, bahawa manusia amat dipengaruhi dengan falsafah pemikiran dan sudut pandangan bahawa hidup adalah berpasangan, apa jua yang dibuat amat dipengaruhi dengan sudut pandangan bahawa pada diri ada kiri, kanan dan diri ada pasangan lelaki perempuan. Hasil reka cipta diorientasi dengan pandangan ini - ada dua bahagian selaku belahan yang bahagian sebelah adalah sama di antara satu sama lain. Sebagaimana pecahan di bawah – aras utama, ada toilet pada kiri kanan, maka demikianlah di atas. Pada sebelah kanan dari ruang muslimat ada dua ruang utama (bilik) yang juga pada sebelah kiri juga demikian.
Aras satu ini dapat dikatakan di samping aras bagi muslimat adalah juga berfungsi sebagai aras pembelajaran, sebab itu ruang pada sayap kanan dicadangkan sebagai bilik mesyuarat dan bilik seminar, manakala dua-dua bilik bahagian belakang kiri dan kanan sebagai kelas tahfiz dan bilik sumber dan IT (Cadangan-cadangan mungkin menerima perubahan). Bilik mesyuarat yang juga ada pada aras utama, mungkin digunakan sebagai bilik pentadbiran. Cadangan bagi bilik seminar adalah bagi seminar yang bersifat kecil-kecilan. Adapun bagi seminar yang bersifat besar-besaran, maka tempat yang paling sesuai ialah di ruang aras bawah tanah yang boleh memuatkan peserta-peserta dengan agak ramai.. Sebagaimana disebutkan kegiatan yang bertempat di aras bawah tanah itu kurang mengganggu ketenangan di masjid.


Idea bagi mengadakan kelas tahfiz memang merupakan idea awal dicadangkan sejak permulaan tercetusnya keinginan mendirikan masjid. Hasrat ini timbul oleh kerana, Bandar Baru Bangi, walaupun dikatakan Bandar Ilmu, tetapi tiada tempat pengajian yang mengeluarkan para huffaz di Bangi, bahkan untuk mendapat khidmat para huffaz terutama pada bulan Ramadhan, maka terpaksa dibawa dari luar ke masjid dan surau-surau di Bandar Baru Bangi. Apa yang sepatutnya Bandar Baru Bangi yang mengexport para huffaz dari Bandar Baru Bangi ke tempat-tempat yang lain. Lantaran itu tercetus idea bagi mengadakan pengajian tahfiz, agar Bangi mengeluarkan para huffaznya sama. Pelajar tahfiz mungkin tidak ramai diambil dan bagi satu-satu sesi mungkin diambil hanya dalam lingkungan  belasan orang yang mengutamakan anak-anak tempatan. Mereka tidak rerpisah dari aliran kebangsaan, bermaksud mereka mengikuti pengajian persekolahan berdekatan dan ditambah dengan bahagian tahfiz di masjid. Kerjasama dengan sekolah-sekolah setempat perlu dilakukan, begitu juga dengan pusat-pusat tahfiz bagi memahami perjalanan dan kita tidak mesti mengikuti secara sepenuh pusat-pusat tahfiz lain, sebaliknya mengadakan penyesuaian dan penambahbaikan.
Pada aras satu ini pada bahagian belakang adalah dicadangkan diadakan pusat sumber atau perpustakaan dan juga pusat IT. Mengadakan perpustakaan adalah penting, bukan sahaja bagi pelajar tahfiz, tetapi menyediakan kitab-kitab dan buku-buku bagi bahan pengajaran dan rujukan yang boleh digunakan oleh guru-guru, pelajar-pelajar dan juga para jamaah dan masyarakat setempat. Perpustakaan ini bukan saja menjadi sumber bagi pengajian tahfiz dan guru-guru yang mengajar di masjid, tetapi juga bagi pengajaran ala pondok moden yang dicadangkan dan mereka yang berminat mencari bahan-bahan bacaan dan sumber-sumber rujukan. Berkemungkinan melalui perpustakaan pihak masjid akan menerbitkan buku-buku dan bahan-bahan bacaan.  Selari dengan perkembangan komunikasi moden, maka turut diadakan di masjid ialah bilik IT untuk pengajaran dan aplikasi penggunaan.
Difahamkan dari keterangan di atas, masjid dari awal dikenalpasti bukan sahaja menjadi pusat ibadat, tetapi juga sebagai sumber keilmuan, khususnya pengajian keagamaan dan keilmuan-keilmuan yang berhubung dengan kehidupan biasa seperti konsep keluarga bahagia, ekonomi Islam, kesihatan dalam kehidupan dan yang berkait dengan kegiatan kemasyarakatan termasuklah riadah dan gaya hidup sihat.


Mengenai ekses ke dan dari aras satu, maka untuk kemudahan turun naik ke aras satu ini sebenarnya disediakan tangga sisi pada bahagian kiri kanan masjid dengan tangga langsung dari aras bawah tanah ke aras utama dan ke aras satu, selain daripada itu kiri kanan bahagian depan juga disediakan tangga pada kiri kanan, di samping adanya perkhimatan lif bagi warga emas dan yang uzur, juga bagi kegunaan mengangkat dan menurunkan barang-barang.


Terkeatas dari bahagian aras satu ini ialah bumbung masjid dan atap yang rekabinanya adalah bersesuaian dengan iklim setempat yang lembab dan sering hujan (tidak menggunakan sutuh sebagaimana negeri Arab yang kurang hujan). Walau bagaimana kawasan masjid dan berdekatan sebagaimana telah disebutkan tanah tinggi yang berada pada tanah rendah (lembah)  bagi kedua bukit berkenaan, tidak timbul soal banjir pada kawasan masjid Al-Umm.
Dengan adanya MasjidAl-Umm dapat memberi kemudahan bagi masyarakat di Bandar Baru Bangi menunaikan ibadat dengan selesa di samping masjid Al-Hasanah dan beberapa tempat yang lain, kami merasa terpaggil bagi memenuhi keperluan yang dapat disediakan. Sudah pastilah untuk lebih sempurna akan di sambung oleh pelapis-pelapis yang akan mengisi keperluan-keperluan dengan penuh keikhlasan – Insya Allah.

Sekian.

May 30, 2015

Aras Utama Ruang Terbuka Selari Dengan Permukaan Bumi


BBB, 11 Sya`ban 1436 = 29 Mei 2015 (Jumaat):
Dipanggil aras utama, kerana ianya merupakan ruang paling utama bagi masjid dan penggunaan jamaah. Ruang utama bagi Masjid Al-Umm, ialah ruang yang berada pada aras tengah antara aras bawah tanah dan aras satu bagi muslimat dan penggunaan lain-lain. Pada dasarnya aras ini paling mudah dibina, lantaran lantaianya di atas permukaan bumi. Memasukinya adalah terus dari bahagian depan melalui pintu gerbang dipermukaan bumi dan terus menjejak lantai yang membawa para jamaah boleh terus masuk ke dalam hingga kepada saf pertama di bahagian hadapan berdekatan dengan mihrab bahagian tengah yang berada pada kanan ialah mimbar, diikuti saf-saf hingga ke belakang yang boleh memuatkan para jamaah sehingga jumlah tiga ribu orang.


Antara elemen penting pada aras utama ini ialah mihrab yang menandakan arah kiblat. Mihrab ini meninggi ke aras satu dan menurun ke aras bawah tanah, sebab itu dilihat dari luar ia adalah memanjang turun dari atas ke bawah, satu ciri yang agak berlinan dari masjid-masjid lain. Pada asalnya mihrab ini dibuat bagi dua tingkat. Tingkat utama dan tingkat atas, tetapi oleh kerana kelihatan seperti tong tergantung, maka dicadang dipanjangkan hingga ke bawah (aras yang ditambah). Selain dari mihrab ialah mimbar masjid yang pada asal mau dibuat dari besi dan semin, tetapi dicadangkan agar menggunakan kayu tempatan yang didekorasi dengan hiasan geometrik, flora dan fauna. Dengan menggunakan bahan tempatan seperti kayu cengal, jati, merbau, medang dan sebagainya adalah lebih menarik. Dinding bahagian hadapan juga diberi dekorasi yang sesuai dengan suasana sebuah masjid. Terdapat dua bilik di bahagian hadapan untuk imam/khatib dan sebuah lagi bagi peralatan. Selain dari ruang tengah yang terbuka terdapat ruang lempah yang dibatasi dengan dinding cermin. Maksud ruang lempah ialah ruang tepi di luar dari dewan tengah utama. Antara tujuannya untuk digunakan oleh mereka yang tidak selesa menggunakan  air-cond pada kedua-dua belah pihak. Dari ruang lempah kini kanan terdapat tangga untuk turun ke bawah – ruang bawah tanah  yang bermata tangga antara 10 + 10 mata tangga.
Adapun tiang pada bahagian hadapan, jika dari bawah adalah 16, maka  bagi ruang utama dicampur dengan tiang-tiang sisi – kanan kiri berjumlah adalah 32 tiang (termasuk tiang seri – 4) yang ketinggian adalah 11 meter.
Pada ruang utama dengan memasukinya melalui ruang tengah maka terdapat elemen bertentangan bagi kiri kanan seolah-olah boleh dibelah dua yang setiap belah mempunyai bahan-bahan yang bersamaan. Ini bermula dari bahagian masuk melalui pintu gerbang, maka terdapat kiri kanan dua menara yang bertentangan yang sama bentuk dan sama tinggi. Masuk ke dalam sebelum tiba ke ruang terbuka yang paling utama, kita dapati pada kiri- kanan ialah jumlah tiang yang banyak yang sederhana besar. Jumlah tiang sebelah kanan ialah 60, demikian juga tiang sebelah kiri juga 60. Tiang-tiang ini ialah bagi menjunjung aras satu (tingkat 3), aras bagi muslimat dan ruang-ruang yang lain juga menjunjung bumbung dan atap yang ketinggiannya adalah normal.


Pada kiri dan sama juga bagi kanan ialah terdapat bilik air (toilet) juga pada sebelah kiri, terdapat juga ialah tempat wudhu` (Sebelah kanan terdapat bilik mayat yang tak terdapat di sebelah kiri). Pada sisi sebelah kanan terdapat tangga dari aras utama ke aras  satu (tingkat tiga) yang bermata tangga 10 + 13 mata tangga. Terdapat juga tangga pada sebelah kini dengan jumlah mata tangga yang sama. Namun di sisi tangga sebelah kiri terdapat perkhidmatan lif bagi OKU perempuan dan yang uzur dan juga bertujuan untuk mengangkat dan menurunkan barang-barang. Adapun bagi OKU lelaki dn yang uzur tidak perlu kepada lif. Dengan kerusi rodanya boleh terus disorong ke ruang utama masjid. Terdapat pula sebelah kanan sebuah ruang terbuka yang diruang dapat dihiasi dengan taman mini, sama ada menggunakan pohon dan bunga hidup atau mati dan boleh juga dihias dengan taman batu dengan meja dan kerusi sebagai tempat rehat. Ruang seumpama ini juga terdapat di sebelah kiri. Ruang ini juga boleh dijadikan tempat mainan anak-anak, kerana terdapat sebuah bilik yang dicadang untuk tempat penjagaan anak-anak kecil bila ibu mereka datang bersolat atau mengikuti pengajian-pengajian yang dianjur oleh masjid. Sebuah bilik seumpama ini juga terdapat di sebelah kanan yang boleh digunakan sebagai bilik mesyuarat dan sebagainya.
Setakat ini kerja-kerja pembinaan dan infra-struktur secara kasar telah dapat disiapkan yang dapat dikira 70% siap, namun persiapan sebagai finishing mengambil masa. Bayangkan semua lantai masih kosong dan baru permulaan untuk memasang tile, marble dan marmar. Perbincangan mengenai dekorasi dinding bahagian hadapan dan tiang-tiang masih berterusan dalam perbincangan dan masih belum tiba kepada permulaan kerja. Kubah yang langsung dari ruang utama ke puncak bangunan walaupun sudah dinaikkan pada 29 Mac 2015 (Ahad), tetapi kerja-kerja bagi menyiapkannya dijangka memakan masa dan tidak dapat disiapkan dalam masa terdekat. Kerja-kerja agak rumit melibatkan pengangkatan rangka kubah dan pemasangan di atas lapis demi lapis yang peralatan dan bahan terpaksa dibawa dari kilangnya di Johor. Demikian dengan menara yang asalnya 70 kali tinggi diubahsuai dengan design terkini dan ketinggiannya akan meningkat kepada 90 kaki atau lebih. Sememang normal menara seharusnya jauh lebih tinggi daripada kubah secara ketara. Contoh empat menara Masjid Sultan Salahudin Ibn Sultan Andul Aziz Shah Shah Alam jauh lebih tinggi dari kubah besar di tengah.


Kerja-kerja yang tidak mudah diselesaikan, walau telah dilakukan ialah berhubung dengan letrik yang melibatkan kerja-kerja pemasangan air-cond. Bagi semua ruang secara keseluruhan dan secara split berasingan. Kerja-kerja ini walaupun di bawah perunding, tetapi perundingan masih berterusan disamping pemasangan-pemasangan peralatan dilakukan. Persoalan yang berkait dengan letrik juga ialah berhubung dengan sound sistem. Sound sistem tidak boleh dipandang ringan, kerana jika pemasangan tidak sampai piawaian tertentu dan tidak menghasilkan sound yang baik ia menimbulkan masalah. Ini berlaku di kalangan masjid-masjid. Perkara ini walau dilakukan rundingan pihak perunding, tidak dapat ditentukan selagi bangunan tidak benar-benar siap dan ujian kelayakan dapat dilakukan. Persoalan yang berhubung dengan letrik ini  juga amat bergantung dengan kelulusan dan pemasangan peralatan letrik di sub station letrik yang dari awal lagi disiapkan agar urusan berhubung dengan letrik ini dapat segera diluluskan.
Selain daripada itu rundingan bagi membuat pilihan permaidani bagi lantai aras utama dan yang lain juga juga dilakukan dan memerlukan masa untuk diorder dari luar dan untuk pemasangan. Banyak perkara besar dan kecil yang perlu diberi perhatian dan tindakan, apa lagi kerja-kerja pada peringkat akhir tidak mengikuti jadual yang ditentukan sehingga jangkaan masjid Al-Umm dapat digunakan pada bulan Ramadhan 1436, tetapi pihak kontrektor menjangkakan tidak dapat memenuhi masa yang ditentukan dan terpaksa memohon tambah masa sehingga akhir Ogos (tempoh dibenarkan). Satu cara bagi menyegerakan kerja-kerja, barangkali ialah dengan menambahkan tenaga kerja yang setakat ini dalam lengkongan 25 – 30 orang kepada jumlah sekali ganda lagi. Dengan cara itu adalah diharapkan tempoh yang diberi dapat disiapkan. Setakat ini kerjasama dari berbagai pihak amat memuaskan. Kita percaya Masjid Al-Umm akan segera dapat disiapkan.

Sekian.

May 29, 2015

Aras Bawah Tanah, Takmilah Idea: Bonus Bagi Masjid Al-Umm


BBB,  10 Sya`ban 1436 = 28 Mei 2015 (Khamis):


Pada peringkat awal, pelan arkitek bagi Masjid Al-Umm adalah masjid dua tingkat, iaitu aras utama bagi jamaah dan aras  satu bagi muslimat. Dalam perbincangan dalam mesyuarat-mesyuarat AJK Pembinaan dan perunding-perunding tentang ketidakcukupan kawasan parkir dan cadangan menggunakan kawasan di bawah cable TNB di kanan jalan masuk ke tapak masjid Al-Umm yang juga bersebelahan dengan padang awam berdekatan dengan Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, tercetus idea dan cadangan agar dipindahkan tanah  bahagian hadapan masjid ke kawasan parkir di bawah cable TNB dan ruang hadapan bahagian bawah masjid dijadikan aras bawah tanah bagi masjid. Dengan itu masjid akan menjadi tiga tingkat (Ini merupakan keindahan idea yang merupakan estetika maknawi bagi Takmilah). Kewajaran cadangan ini membawa kepada penerimaan ialah:
1)      Nature tapak masjid yang merendah ke bahagian hadapan berhampiran jalan dan tanahnya adalah lembut yang ditolak dari bahagian tengah dan mudah dikeluarkan
2)      Pada masa itu plan arkitek belum diangkat kepada pihak MPKj dan plan cadangan tiga tingkat ini sempat dipamerkan semasa Lawatan Tapak oleh Y.A.B. Dato` Menteri Besar Selangor pada  6 Januari 2013.
3)      Reka bentuk bagi aras bawah tanah ini dibincang secara bersama dalam mesyuarat-mesyuarat AJK. Ianya merupakan dapatan bernas berkat dari mesyuarat.
Keluasan bagi aras bawah tanah ini ialah  5,600 kaki persegi yang terletak pada bahagian depan bagi masjid. Keempat-empat tiang seri bagi kubah masjid adalah berada di bahagian aras ini dengan tiang-tiang yang lain yang lebih kecil. Pembinaan bagi aras bawah tanah ini diberi tumpuan awal selepas aras utama diseminkan lantai utamanya. Tumpuan diberi kepada aras bawah tanah adalah sesuai dari segi krolonologi perkembangan pembinaan bermula dari bahagian bawah membawa ke bahagian atas. Bahagian bawah adalah menanggung beban terlebih dahulu dari bahagian atas.
Dengan diratakan semin pada aras utama, maka kelihatan aras utama lebih tinggi, manakala ruang bawah tanah dengan tiang-tiang yang muncul kelihatan berada di bahagian lebih bawah dari aras utama.yang lantai pada aras bawah tanah ini juga telah diratakan dengan semin. Secara kasar sudah kelihatan berbezaan aras antara bawah tanah dan aras utama. Tiang-tiang pada aras bawah tanah ini adalah tiang-tiang utama dan besar – termasuk empat tiang seri, Ada dinding bahagian belakang aras bawah tanah  yang bertembokkan pada tanah pada bahagian dalam bagi dinding.Tiang-tiang utama inilah menjunjung lantai aras utama hingga pada puncak bagi empat tiang seri yang  menjunjung kubah, manakala tiang-tiang lain menjunjung struktur binaan masjid bagi bahagian kiri kanan dan sisi bagi ruang utama. Adapun tiang-tiang pada bahagian sebelum masuk ke ruang jamaah utama di aras utama adalah lebih kecil, tetapi banyak bagi menjunjung aras satu dan bumbung di atas. Dengan tiang-tiang lebih besar bahagian hadapan yang menjunjug bangunan lebih berat dan bahagian sebelum masuk ke bahagian tengah dengan tiang yang lebih banyak tetapi lebih kecil berlaku keseimbangan antara kedua bahagian berkenaan.



Bahagian hadapan bagi aras bawah tanah ini kelihatan lebih tinggi lantaran berada berhampiran di tepi benteng yang sudah agak tinggi (12 kaki). Ianya ditinggikan lagi dengan pandangan dari luar mihrab yang kelihatan bulatan separuh bulat (mihrab) dari aras bawah membawa kepada aras utama dan ke aras satu (tingkat tiga) yang mana dipuncaki oleh kubah, manakala dilihat dari bahagian masuk dari depan melalui pintu gerbang kelihatan rendah, bahkan bagi mereka yang pertama kali datang tidak menyedari bahawa ada aras bawah tanah di hadapan, lantaran memasuki ke ruang utama adalah secara terus bersama aras tanah. Kehebatan bagi bahagian masuk ialah dengan pintu gerbang dan sepasang menaranya yang tiga sebaris sebagai mengucapkan selamat datang `ahlan wa sahlan` bagi mereka yang masuk melalui gerbang masjid.
Konsep ruang bagi aras di bawah tanah adalah `ruang terbuka`  bersesuaian dengan fungsi ruang tersebut, iaitu ruangan untuk persidangan, konvension, seminar, ceramah,  graduasi, kenduri kahwin, gethering, sambutan maulid al-Rasul, hariraya yang ruangnya dijangka dapat menampung 1,000 tamu. Oleh kerana ruang agak luas, maka adalah dicadangkan ruang terbuka berkenaan diadakan `partition` agar dua majlis bersesuaian dapat diadakan secara serentak atau digunakan separuh daripadanya. Dengan cara itu dapat menyelematkan ruang dan mengurangkan penggunaan tenaga letrik. Pihak masjid tidak akan menyediakan kerusi meja secara sepenuh, kerana ketiadaan ruang untuk stor, sebaliknya menyediakan secara minimum. Majlis juga dapat diadakan secara duduk dilantai. Ada dua bilik disediakan. Pertama ruang akad nikah bagi majlis perkahwinan yang ruang ini boleh bertukar menjadi bilik mesyuarat atau bilik meraikan tamu. (Sebuah bilik kecil ialah bilik persalinan), manakala  sebuah lagi bilik ialah bilik yang agak besar ialah bilik penyediaan jamuan yang masakan dibawa dari luar untuk jamuan.



Keluar masuk ke aras bawah tanah ini tidak mengganggu aras sebelah atas dan kemasukan ke arahnya melalui dua jalan masuk kiri kanan di tepi bangunan sebelah hadapan. Kenderaan tidak dibenarkan masuk, kecuali bagi lori yang menghantarkan makanan, oleh kerana ruang jalan sempit dan tiada parkir bahagian atas. Bahagian depan ke tepi benteng juga sempit, Cuma ada sedikit ruang bagi mendirikan satu dua khemah yang sederhana besar, jika dibenarkan. Walau bagaimana tamu yang hadir ke ruang bawah tanah ini boleh naik ke atas untuk bersolat dan sebagainya melalui dua tangga kiri kanan yang disediakan, begitulah sebaliknya para jamaah di aras utama juga boleh turun ke bawah bagi menyertai majlis yang diadakan pada aras bawah tanah. Terdapat uit-unit toilet disediakan bagi tamu-tamu di aras bawah tanah, selain dari toilet-toilet yang disediakan pada aras utama dan aras satu.
Sudah tentulah penambahan aras bawah tanah ini adalah bagi kepentingan pulangan bagi masjid. Masjid sudah tentulah memerlukan peruntukan yang agak tinggi bagi operasi dan maintenance bulanan. Adalah dijangkakan dengan kegiatan yang diisi, kos tidak akan dapat ditampung dengan pungutan derma mingguan pada hari Jumaat sahaja, tetapi memerlukan berbagai-bagai sumber kewangan, maka penggunaan ruang di aras bawah ini adalah termasuk di dalam perkiraan bagi mendapat sumber kewangan yang dijangka dapat menampung keperluan kewangan masjid.
Dapatlah dikatakan bahawa jika aras utama dan satu  masjid ialah aras ibadat dan pengajian, maka aras bawah tanah adalah aras kemasyarakatan. Masjid Al-Umm diharap di samping menjadi pusat ibadat dan pengajian, maka ianya juga dapat memberi khidmat kepada masyarakat dari segi kemasyarakatan.

Sekian.

May 28, 2015

Cerocok, Tiang Seri Dan Tiang-Tiang Mengiringi: Bulat Lambang Takmilah


BBB, 09 Sya`ban 1436 = 27  Mei 2015 (Rabu):
Berikut dari piling bagi tanah tapak masjid yang melebihi 300 point, adalah diikuti dengan penanaman cerocok. Penanaman cerocok ialah menegakkan kerangka besi keluli yang diikat bulat dan dipasang ke atas tiang dipiling dengan kaedah ikatan dan cap bagi penegakan besi cerocok itu yang dibalut (case) dengan papan yang tegak ke atas, melalui lubang ini dicurah semin yang dengannya setelah kering tertegak tiang-tiang. Antara tiang ke tiang diperkukuhkan dengan slab dan beam di dalam atau dipermukaan tanah. Antara beam dan slab ini diratakan semin di antara jejaring besi yang dihampar yang menjadi lantai pada permukaan bumi.


 Kerja-kerja ini adalah bermula dari pertengahan bulan Mei 2014 dan berterusan sehingga bulan Julai 2014 dengan tenaga pekerja dalam lingkungan 25 orang. Dari segi praktiknya adalah memakan masa bagi  menegakkan tiang-tiang  yang dari cerocok-cerocok inilah menjadi tiang-tiang bagi semua tiang-tiang Masjid Al-Umm dari yang paling besar – empat tiang seri, membawalah kepada tiang-tiang yang mengiringi, yang sederhana dan lebih kecil.
Adalah menarik, semasa tiang-tiang masjid berkenaan sedang naik, Penulis sendiri pernah beberapa kali membilang jumlah tiang-tiang yang naik dan mendapati bahawa pendapat saudara Azhar Ahmad Kerani Tapak bahawa point-point bagi piling – juga tanam cerocok adalah lebih dari 300 membuktikan kebenaran. Adalah dilihat bahawa asas pendirian tiang adalah bermula dari tiang seri dan berkembang – bertambah sekeliling adalah dari:
4 kepada 8, kepada 12, 16, 20, 24, 28, 32, 36 .... seterusnya hingga kepada 360. Ini adalah konklusi jumlah bilangan tiang yang Penulis beberapa kali datang membilangnya. Dan membuat konklusi adalah berjumlah 360 tiang (Mungkin ada kesilapan, tetapi bertolak dari angkat 4 kepada 360 mempunyai significant dari segi matematik dan geometri). Kerja arkitek dan pembinaan banyak melibatkan ukuran, sebab bukan saja arkitek perlu mahir matematik, geometri dan seni, demikian juga dengan pekerja-pekerja, khususnya Kerani Tapak dan pihak kontrektor. Perlu disebut, bahawa di dalam mesyuarat-mesyuarat selalu diingtkan bahawa bentuk tiang-tiang masjid adalah seharusnya mengambil bentuk bulat (kurang halangan dari segi pandangan), begitu juga dengan elemen-elemen yang lain seperti kubah, menara dan mihrab adalah bulat. Bulat adalah lambang sempurna dari segi matematik dan geometri yang kandungan lengkapnya adalah 360 darjah. Bentuk bulat juga adalah bentuk-bentuk bagi matahari, bulan, bumi dan planet-planet yang lain. 360 hari juga adalah jumlah hari di dalam setahun. Menurut pakar fisiologi juga bahawa tubuh kita dibina di atas tulang-temalang yang mengandungi 360 sendi.


Tanpa dipengaruhi oleh pandangan  sebarang falsafah atau pegangan tertentu secara kebetulan  bahawa Masjid Al-Umm hadir dengan jumlah tiang-tiang sejumlah 360 tiang secara kebetulan mencerminkan `kesempunaan` bagi jumlah bilangan berkenaan. Ia mencerminkan juga konsep bulat bagi Masjid Al-Umm, walaupun pada hakikatnya tidak sebenarnya bulat, tetapi banyak dari elemen-elemen Masjid Al-Umm mengambil bentuk bulat. Paling utama sebagai topik yang dibicarakan, bahawa bentuknya bulat, ialah tiang-tiang.
Konsep `Tiang`  amat significant dari segi bahasa dan juga maksud dari segi agama. Dalam bahasa disebut bulat sebagai sempurna; Contoh:
Bulat air kerana pembetung
Bulat pendapat kerana sepakat.
Begitu juga jika persetujuan secara ramai, maka disebut `sebulat suara`. Yang semuanya menunjukkan makna sempurna.
Demikian juga juga istilah `tiang` membawa maksud tempat sempurna, seperti menjadi `tiang seri` atau kesempurnaan bergantung padanya seperti  ungkapan:
``Tiang agama`` dimaksudkan kepada solat.
Lantaran sedemikian `bulat` dan `tiang` memainkan peranan penting, khususnya di dalam membicarakan ciri-ciri senibina yang berunsur bulat yang banyak terdapat di Masjid Al-Umm yang memberi makna  secara  yang agak significant. Contoh elemen bulat yang terdapar di kubah, menara, mihrab, pintu, tingkap, tiang dan tiang pula juga mempunyai daya tarikan. Contoh tiang seri yang tegak dari level bawah naik ke atas – level biasa dan naik ke aras satu  dan hingga ke kubah. Tiap tiang dari bawah naik ke atas hingga ke puncak. Namun faktor kekukuhan diberi keutamaan dari kepentingan estetika dan sebagainya.


Dengan kenaikan tiang-tiang dari cerocok-cerocok, maka sebahagian besar dari `kerja tanah` berakhir, kecuali jalan dan tepian masjid,  tumpuan kerja adalah terhadap pembinaan bangunan, bermula dari bahagian bawah membawa ke atas, tempoh yang diambil hingga kepada fasa pembinaan adalah melebihi dari setengah tahun. Ini bererti melebihi seperempat dari tempoh pembinaan. Walau bagaimana tempoh dari kerja tanah membawa kepada tegaknya tiang-tiang berjalan lancar, bahkan hingga awal Ogos 2014. kerja-kerja tanah, menanam cerocok, benteng retaining wall., pile cap,, lower ground beam, ground beam, R.C. Shear wall, lower ground slab dan lower ground column adalah mencapai 100%, bahkan sedikit laju dari jadual yang dijangkakan. Kelicinan kerja adalah kerana tidak ada gangguan dari segi bahan, semin, tenaga dan cuaca yang baik.
Nampaknya sejak dari mula pelancaran kerja tanah, semua pihak bergerak dan menjalankan fungsi dengan baik, di atas kerjasama yang baik, maka pembinaan di bawah kawalan dan terus berjalan sebagaimana dirangkakan.

Sekian.

May 27, 2015

Piling Dari Point Utama Ke Perluasan Menurut Kiraan Berimbang


BBB.  08 Sya`ban 1436 = 26 Mei 2015 (Selasa):
Berdepan dengan ruang, kita sering membuat perkiraan, jauh dan dekat, tinggi dan rendah, tohor dan dalam. Ukuran selalunya bertolak dari point yang dimulakan kiraan dan darinya meluasnya jarak yang sempurnanya biasanya bersifat berimbang, maka titik atau point itu dapat diistilah sebagai paksi yang darinya diukur kelilingan, demikian jauh dan dekat, lebar dan panjang serta tohor dan dalam. Jauh antara planet selalu dikira jauh jarak berpaksikan matahari, jauhnya jarak dibumi dikira berpaksikan titik pada garis tengah yang dikenali sebagai khat al-istiwa`.


Bagi bangunan, khususnya masjid untuk dikira dari segi perluasan juga mempunyai titik paksinya. Maka Masjid al-Umm sebagaimana masjid-masjid moden yang dibina dari batu, ialah memperkukuhkan tapak dengan tiang-tiang yang tertanam di dalam tanah. Proses ini dikenali dari segi pembinaan ialah `piling` tanah. Demikianlah perkembangan selepas daripada membina tembok yang mengukuhkan kedudukan bagi menahan pergerakan tanah, khususnya selepas siapnya bangunan yang tentunya amat berat yang tanpa benteng boleh menggerak dan merekahkan tanah dan seterusnya menjadikan bangunan crack dan rosak.
Jika tujuan dibina benteng untuk menyekat dari berlakunya pergerakan tanah, agar tanah menjadi mantap dan padat, maka tujuan filing ialah bagi mengukuhkan tanah dan menjadi junjung bagi tiang-tiang yang akan dibangunkan. Lantaran itu mempiling tanah tidak dilakukan sembarangan, tetapi adalah menurut point-point yang ditentukan di dalam plan pembinaan. Pada dasarnya point utama yang menjadi titik tengah bagi pembinaan Masjid Al-Umm ialah `tiang seri` yang menjunjung  kubah. Tidak bererti tempat ini menjadi tempat awal bagi piling. Piling boleh bermula dari mana-mana point dari bahagian tapak sebagai permulaan, tetapi tapak bagi tiang seri adalah paksi tengah yang utama. 
Dalam perbincangan Penulis dengan saudara Azhar Ahmad Kerani Tapak bahagian Kejuruteraan Awam bagi Masjid al-Umm pada 01 Sya`ban 1436 bersamaan 19 Mei 2015, bahawa;
``Piling point bagi tapak Masjid Al-Umm adalah melebihi dari 300 point,`` tambahnya.
`Bagi satu point dipiling tiang dari satu batang tiang yang panjang setiap batang ialah 6 meter. Kebiasaan bagi satu point antara satu batang kepada 3 batang, bergantung pada kekerasan atau kelembutan tanah, kebiasaan adalah dua tiang bagi satu point, namun ada juga point yang hanya setengah tiang sahaja.``


Namun piling yang paling banyak bagi satu point ialah bagi setiap tiang seri daripada empat tiang seri yang menjunjung kubah yang merupakan puncak dan bahagian paling tengah bagi masjid.``Kata saudara Azhar, ``Bagi setiap tiang seri maksimum piling adalah 8 batang. Bererti piling bagi empat tiang seri tersebut adalah 32 batang tiang semin yang berkerangkakan besi keluli.``
Sememangnya jika kita lihat, maka empat tiang seri inilah tiang yang paling besar bagi tiang-tiang masjid. Pasak pilingnya di tengah bangunan ke perut bumi naik ke atas.  Tiang Seri ini adalah merupakan tiang tengah paling utama yang menegakkan bangunan dan bahagian tengah utama yang menjunjung keberatan bangunan. Sebab itu lilitnya bagi setiap batang lebih dari sepemeluk. Empat tiang besar ini melindungi ruang jamaah utama dan tidak ada tiang-tiang kecil bagi keluasan ruang jamaah dan tidak diganggu pandangan dengan banyak tiang.
Kerja-kerja piling ini berlaku berikut dari piling dan memakan masa hampir sebulan. Maka dalam tempoh tersebut dari pagi hingga ke petang kedengaran ketukan mesin yang mengetuk tiang bagi menanamnya sedalam yang mungkin. Ketukan biasanya bukan setakat bunyi, tetapi juga mengeluarkan asap berikut dari ketukan yang berlaku. Dari permulaan piling berlaku, maka kelihatan tiang demi tiang ditanam dan diketuk dan setiap tiang tidaklah terus diketuk hingga tertanam dalam tanah, sebaliknya sebahagian dari tiang berkenaan masih tinggal di permukaan, lantaran itu, kelihatan tiang-tiang berceracak timbul bagai batang kayu yang tidak berdahan. Dapatlah diimaginasikan bahawa, tiang-tiang piling ini bagai `paku alam` yang diketuk ke perut bumi bagi mengukuhkan kedudukan tiang-tiang bangunan  yang kelak di atasnya akan  ditanam cerucuk bagi ditegakkan di atasnya tiang-tiang. Piling adalah merupakan satu sistem bagi menjadi pasak bumi yang di atasnya ditegakkan tiang-tiang. Terdapat satu kaedah lagi digunakan di dalam pembinaan masjid dan bangunan termasuk Masjid UKM dan juga bangunan Fakulti Islam UKM (1980an), ialah dengan cara menggerudi tanah dengan penggerudi sedalam yang bersesuaian. Selepas digerudi, maka dimasukkan ke dalam lubang yang digerudi rangka besi keluli dan dicurah ke dalamnya semin dan dibiarkan tiang yang tidak menggunakan sistem piling ini kering dan di atasnya kemudian dipasang cerocok bagi tiang-tiang bangunan berkenaan.


Kembali kepada piling bagi point-point bagi tiang-tiang bagi bangunan masjid Al-Umm ini, maka melebar kiri ke kanan, dan juga dari hadapan ke belakang menurut seluas lantai utama bagi masjid al-Umm adalah dibarisi dengan point-point piling bagi tiang-tiang Masjid Al-Umm yang jumlahnya disebut lebih daripada 300 point itu. Kedudukan point-point adalah berkeseimbangan. Misalnya dari titik tengah berpaksikan empat tiang seri yang menjunjung kubah, melebar sayap ke kanan bahagian masjid, maka bagi sayap kanan ini mempunyai jumlah point bagi tiang piling, jumlah ini sama bayaknya dengan sayap kiri masjid., lantaran keluasan dan bentuk lahir bagi sayap kiri adalah sama dengan sayap kanan. Kesamaan dan keimbangan berlaku bagi bahagian hadapan bagi sebelah kanan dan kiri bagi mihrab, lantaran dilihat dari lahiri dari luar antara bahagian kanan dan kiri juga adalah bersamaan. Keadaan yang sama dilihat dari permulaan masuk ke dalam ruang utama masjid. Bahagian hadapan ini seolah terbahagi dua selepas memasuki pintu gerbang. Sebelah kanan ada kawasan wudhu` dan demikian juga bagi kawasan kiri yang juga sama bentuknya yang bererti point-point bagi piling tiang-tiang bagi kedua bahagian adalah sama. Cuma bahagian masuk di depan yang menjunjung bahagian atas satu tingkat, maka tiang-tiang bagi point-point berkenaan lebih kecil berbanding dengan tiang-tiang yang menjunjung tiga level lapisan lantai yang bererti lebih berat dari segi tanggungan. Dapatlah difahamkan mengapa dilakukan piling sebanyak point disebutkan, bahawa ianya tentulah untuk menjamin dari segi kemantapan kedudukan tiang yang juga akan memantapkan bangunan masjid. Jika tidak dilakukan sedemikian akan berlaku pergerakan tanah yang tidak diperkukuhkan dengan tiang-tiang konkrit yang kukuh dan utuh. Kerja-kerja piling berkenaan adalah untuk sebuah masjid yang hanya sebanyak tiga tingkat. Bayangkan jika bangunan lebih tinggi seperti twin-towers, maka tentulah bahagian ground dibina asas yang terkukuh yang mampu menjunjung bangunan yang tinggi dan berlapis itu.
Adalah diharapkan dengan piling dan asas yang kukuh maka dapat memberi kekukuhan binaan Masjid Al-Umm dan menjangkau jangka hayat yang lebih lama. Bahkan adalah diharapkan bahawa Masjid Al-Umm menjadi satu monumen yang penting yang menjadi land mark utama di Bangi yang memancarkan imej Bangi dalam sejarah bakal dilalui. 

Sekian.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                      

May 26, 2015

Mengimbangi Kedudukan Tapak Masjid Al-Umm: Benteng Memperkasa Kedudukan, Menarik Pandangan


BBB, 07 Sya`ban 1436 = 25 Mei 2015 (Isnin):
Tapak Masjid Al-Umm sudah dikenalpasti dan diperuntukkan sejak awal dibangunkan BBB (1975). Kedudukan fizikalnya tidak boleh diubah lagi, iaitu diatas Lot 5117, Jalan 1/4A, Seksyen Satu, 43650 Bandar Baru Bangi seluas 1.89 ekar, bersempadan dengan jalan ke Seksyen 2, bersebelahan padang awam dan perumahan semi D dan jalan dari Seksyen Satu ke Sekolah Rendah dan Menengah Kebangsaan. Dari segi landscaping tapak Masjid Al-Umm adalah berada di antara dua kaki bukit, iaitu Bukit Bangi dan Bukit Mutiara (nama baru sesudah wujudnya perumahan di situ). Lantaran dengan kedudukannya di kaki bukit, maka kelihatan tapak Masjid Al-Umm berada pada tapak yang relatifnya sedikit tinggi dari level tanah biasa. Keberadaannya pada lembah antara dua bukit, maka dilihat juga tapak dan masjid berada di lembah bagi kedua bukit yang darinya mengalir turun air ke bahagian bawah ke Sungai Langat, lantaran itu perlembahan ini juga dikenali sebagai `wadi` (lembah) dan kerana di keliling kawasan berkenaan terdapat Dar al-Shifa`.  sekolah-sekolah – dua  rendah dan sebuah menengah, integrasi, kafa, sekolah agama, kompleks pendidikan Islam dan surau-surau yang giat menyebarkan keilmuan Islam, maka `wadi` berkenaan dikenali dengan `Wadi Ilmu`. Adalah diharapkan dengan berdirinya Masjid Al-Umm ianya memperkukuhkan kedudukan kawasan tersebut sebagai `Wadi Ilmu`.


Untuk menyempurnakan dari segi tapak, dengan kedudukannya yang sedia ada, maka pihak kontrektor yang memulakan kerja-kerja tanah memikirkan berdasarkan pengalaman, bagaimana kedudukan terbaik bagi tapak Masjid Al-Umm. Arah Qiblat menjadi pedoman utama bagi kedudukan masjid. Kerja permulaan ialah bagi meratakan tapak yang makin ke tepi, kedudukan tanah makin lembut. Tanah bahagian tepi jalan ke sekolah, bersebelahan dengan Medan Usahawan, adalah tanah yang ditolak dari bahagian dalam (atas) ke tepi.  Bahagian tepi ini dikira lebih lembut. Sebagai bukti tepian bersempadan dengan rumah semi –D, lama sebenarnya dari timbunan tanah dan sampah dan tembok bagi perumahan berkenaan tidak mempunyai konkrit bahagian bawah dan bagi menghadapi tanah mungkin turun dan merosakkan tembok, kaedah mengukuhkannya dilakukan (benteng L shape)  sebagai sempadan bagi salah satu bagi jalan masuk ke Masjid.


Bagi mengelak dari berlaku pergerakan tanah pada bahagian tepi tapak ke sebelah medan usahawan, naka pihak perunding mencadangkan dibina tembok bagi mengukuhkan tapak masjid. Lantaran itu selepas dari perataan tanah di dalam kawasan yang berpagar zinc biru (hoarding), maka antara kerja-kerja awal dilakukan ialah membina tembok (R.C.Wall). Tembok adalah sepanjang dari  sebelah kanan masjid hingga ke bahagian kiri yang tingginya lebih dari 10 kaki. Kerja-kerja dari bulan Januari 2014 hingga awal Februari 2014 adalah memakan masa selama 26 hari. Fungsi tembok ini adalah mengukuhkan tapak bagi masjid dan menahan pergerakan tanah yang menahan keberatan bangunan. Secara tidak langsung dengan pembinaan benteng ini, ia adalah sebagai dinding pagar yang memisahkan kawasan masjid dengan jalan awam pada bahagian bawah. Ruang tidak berpagar ialah jalan masuk berpintu pada bahagian kiri dan kanan. Dengan demikian dengan adanya benteng ini mengelak pencerobohan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ke dalam kawasan masjid pada bahagian depan masjid. Manakala jalan masuk dari bahagian permukaan adalah dikelilingi pagar.
Sebagaimana dibicarakan, bahawa pembinaan masjid tidak lari dari mengikuti elemen-elemen dominan yang mengidentitikan masjid seperti kubah, menara, mihrab,  mimbar, ruang wudhu` dn sebagainya, tetapi pembinaan sesebuah masjid tidak seharusnya mengambil seratus peratus plan binaan masjid lain, tanpa penambahan dengan daya kreativiti dan inovasi setempat sukar membezakannya dari masjid yang lain. Setiap masjid di samping mempunyai ciri-ciri dominan sesebuah masjid, seharusnya mempunyai kelainan dan ciri-ciri tersendiri yang boleh dikaitkan dengan ciri dan imej setempat. Misalnya Masjid Shah Alam (Masjid Sultan Salahuddin ibn Sultan Abdul Aziz Shah) berlainan dari masjid Alor Star dan berlainan dengan Masjid  Kuala Kangsar dan Johor Baharu (Sultan Abu Bakar) yang tiap satu ada ciri dan identiti tersendiri.
Kita berpendapat dari awal pembinaannya Masjid Al-Umm membawa ciri kelainan tersendiri. Pembinaan tembok (R.C.Wall) memberi imej dan identiti tersendiri terhadap masjid Al-Umm. Tembok seolah-olah satu tingkat terkeatas dari level bahagian bawah biasa yang menjadikan orang yang melihat mendongak ke atas, walaupun pada level benteng adalah tanah. Ini menjadikan Masjid Al-Umm yang tiga tingkat itu bagai 4 tingkat, walaupun pada hakikatnya adalah tiga tingkat sahaja.
Kedudukan Masjid Al-Umm dipinggir bukit dan berbenteng pada bahagian hadapan, dapat diimaginasikan sebagai sebuah bahtera atau kapal besar yang sedang berlabuh di dermaga, walaupun masjid ini tidak mempunyai elemen air yang memberi identiti bagi masjid di tepi air sebagai `Masjid Terapung` atau `Masjid Tasik` dan sebagainya. Bagi menghidupkan imej benteng bagi Masjid Al-Umm, ianya tidak akan berada sebagai benteng konkrit semen semata-mata, tetapi sedang difikirkan bagaimana benteng dapat digunakan sebaik mungkin bagi menghidupkannya sebagai imej masjid seperti menjadikannya sebagai latar bagi `Taman Mini` bagi masjid yang dari atasnya menjalar ke bawah tumbuh-tumbuhan berjalir menghijau dan berbunga. Sebahagian mungkin diguna sebagai ruang iklan yang dikomersilkan atau digunakan sebagai latar bagi ``Islamic Mural`` yang berunsur pendidikan.


Walau bagaimana benteng adalah sebahagian dari bahagian bawah bagi tapak masjid. Adalah diharapkan ianya menjadi salah satu imej dan mekanisme bagi mempromosikan masjid yang fungsi utama tidak lain dari menyediakan tempat ibadat yang selesa bagi sesiapa yang menggunakannya. Di samping sebagai tempat ibadat masjid akan menjadi sumber ilmu pengetahuan keislaman yang melaluinya masyarakat dapat memetik bahkan mendalami ilmu pengetahuan keislaman, begitu juga masjid menjadi sumber pengajian bagi generasi muda dari peringkat anak-anak membawalah kepada anak-anak remaja. Bahkan melalui masjid ini adalah diharapkan ianya menjadi pusat kegiatan kemasyarakatan bagi semua lapisan masyarakat.


Walaupun masjid mendukung fungsi utama bagi pengibadatan, keilmuan, pendidikan dan kemasyarakatan elemen-elemen yang membawa kepada keselesaan dan keceriaan tidak diabaikan. Sesungguhnya masjid yang indah mengkhusyuk, mendamaikan  jiwa dan fikiran. Kita berharap Masjid Al-Umm berada di tengah masyarakat dengan imej-imej fizikalknya yang positif, tetapi lebih-lebih lagi dengan imejnya sebagai pusat keilmuan, pendidikan dan kemasyarakatan, sesuai dengan keberadaannya di Wadi Ilmu di Bangi Bandar Ilmu.

Sekian.

May 25, 2015

Konsep `Imbang` Adalah Ciri Takmilah


BBB. 06 Sya`ban 1436 = 24 Mei 2015 (Ahad):
Makna imbang bermaksud, keberadaan sesuatu pada tempatnya secara saksama, tidak melebihi bahagian dari bahagian yang lain,  berukur dan bersukat secara sama dan saksama di antara satu dengan yang lain. Imbang dan berimbang adalah fenomena kewujudan yang boleh disaksi dengan mata kepala dan juga dengan mata minda. Dengan berimbang cakerawala menghasilkan putaran yang harmoni dan tidak berlaku pertentangan dan pertembungan yang merosakkan. Firman Allah bermaksud:


``Dia menggerakkan matahari, bulan dan bintang-bintang (berimbang) di atas orbit masing-masing menurut perintah Nya.`` (Al-A`raf: 54).
Dengan berimbang antara malam dan siang menghasilkan iklim dan cuaca yang baik yang memberi keselesaan hidup bagi hidupan dan tumbuhan, dengan berimbang dari segi makan dan minum memberi kesihatan yang baik bagi pengamalnya. Firman Allah bermaksud:
``Dan Dia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar, untuk kepentingan kemudahan kamu, dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu. Dan Dia telah memberi kepada kamu dari tiap-tiap apa jua yang kamu berhajat kepadanya, dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya lemahlah kamu menghitungnya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) begitu zalim dan kufur (Ibrahim: 33-34).
Fenomena yang lain dapat dilihat dari segi keimbangan ialah sebuah pesawat kapalterbang dapat meluncur laju dari lapangan terbang ke angkasa dan terbang berpuluh jam  hingga sampai ke destinasi secara selamat, sebuah pokok yang rendang dapat berdiri tegak dan tidak mudah ditumbangkan oleh angin dan ribut lantaran keseimbangan dahan-dahan dan daun-daun yang mengimbangkan tegak berdirinya pokok tersebut.
Ciri keimbangan juga berlaku dalam sastera dan seni bina. Sebuah pantun mempunyai keimbangan dari segi susunan baris, susunan kata dan suku kata bagi setiap baris dan susunan barisnya pula mengikut skema  ab, ab. Sebagai contoh pantun:
Pagi-pagi pergi ke ladang,
        Hendak menyemai si benih padi;
Betapa tinggi Gunung Ledang,
        Tinggi lagi harapan hati.
                                   (Sekalung Budi Seuntai Bahasa, DBP, 1990: 48).
Keimbangan dapat dilihat dalam mana setiap baris mempunyai empat perkataan dan bagi setiap baris mempunyai 9 – 10 suku kata. Susunan barisnya menurut skema pantun iaitu ab, ab. Dalam mana  dua baris pertama sebagai pembayang dan baris kedua adalah sebagai maksud. Pantun di susun berimbang dan digubah oleh orang yang faham dengan ciri dan estetika pantun. Pantun di atas begitu indah dan tinggi dari segi daya estetik.
Seterusnya konsep `Imbang` dan `Berimbang` adalah seharus, bahkan semestinya menjadi ciri seni bina. Keimbangan seharusnya diberi perhatian bermula dari segi pemilihan tapak. Apakah tapak berada di atas tanah rata yang jika demikian mungkin lebih mudah bagi mendirikan rumah, jika rumah tradisi yang menggunakan kayu dan papan, boleh diasas dan diletakkan tiang di atas alas batu, dan tiang diperkukuh dengan belira menurut keluasan yang diperlukan dan dipasang rasuk,  gelegar, lantai, dinding dan atap menurut ketinggian yang sesuai. Rumah sedemikian boleh diangkat dan dipindah secara gotong royong, jika perlu kepada pemindahan. Kekukuhan adalah kerana adanya keseimbangan dari segi pemasangan – biasanya tidak menggunakan paku, meskipun tiang-tiangnya tidak ditanam di dalam tanah dan boleh diangkat dan dipindahkan dengan mengangkatnya secara gotong royong, sebagaimana berlaku bagi rumah-rumah tradisi di kampung-kampung, bahkan masjid dan surau boleh diangkat dan dipindahkan. Contoh Masjid Kg. Laut di Kelantan dipindah ke Nilam Puri.


Adapun bagi rumah moden – rumah batu dan bertingkat pula, maka perlu dibuat kajian tentang struktur tanah, lembut atau keras, adakah berada pada tanah rata atau pada pinggiran bukit atau atas bukit. Jika demikian, maka perlu dikaji oleh bahagian pakar tanah, agar bangunan yang akan didirikan adalah mantap dan berimbang kedudukan rumah dan tanah hingga tidak condong dan runtuh. Bahkan lebih dari itu sebelum pembinaan dilakukan perlu kepada juru ukur yang mengukur tapak dan ukuran bangunan agar sesuai dengan kedududukan tapak. Untuk mendirikan bangunan perlu kepada arkitek yang dapat menyediakan plan arkitek yang seharusnya berimbang dan harmoni antara bangunan utama dengan bahagian-bahagian yang lain. Arkitek bekerja melibatkan kerja-kerja ukur bersifat matematik dan geometrik yang melibatkan ketepatan untuk piling, penanaman cerocok, memasang tiang-tiang, beam-beam, lantai,  dinding, level-level bangunan hingga kepada bumbung dan atap, saluran dan saliran.


Arkitek pada dasarnya menyediakan plan bangunan yang plan berkenaan harus bermutu, sesuai dan menepati dengan keperluan bangunan dan keperluan-keperluan yang berkait dengan bangunan, terutama berkait dengan keselamatan dan paling penting setelah semua disediakan menurut plan yang dikehendaki, seharusnya mendapat kelulusan dari pihak berkuasa kerajaan tempatan dan jabatan-jabatan yang berhubungan. Sebuah bangunan atau rumah yang dibina, khususnya di dalam perbandaran, bukanlah rumah berasingan, tetapi adalah sebahagian daripada perumahan, misalnya berada di dalam taman perumahan. Rumah-rumah sedemikian perlu kepada plan yang bersesuaian dengan plan-plan perumahan yang lain setaman – biasanya hampir sama, agar kedudukan berimbang dan harmoni dan sama mendapat kemudahan infrastruktur dan kemudahan awam. Rumah sedemikian melibatkan kontrektor berwibawa yang mempunyai bahagian engineering, ukur bahan, letrik, keperluan bomba dan keselamatan. Sebab itu perumahan di dalam taman-taman tersusun dikendalikan pembinaannya oleh kontrektor berwibawa, bertauliah dan berpengelaman. Satu-satu taman pula berada didalam rangkaian perumahan-perumahan yang lain yang merupakan sebahagian dari pembangunan tersusun yang banyak memberi kemudahan infra-struktur dan kebajikan penduduk. Perumahan juga melibatkan landscaping dan susunatur bandar yang melibatkan kemudahan lalu-lintas, perhubungan, keselamatan dari banjir, kebakaran dan pencemaran. Kemudahan tempat belajar, beribadat, pejabat, tempat perniagaan. Semuanya ini merupakan keperluan yang mengimbangkan keperluan penduduk dan keharmonian masyarakat.
Kediaman dan kehidupan yang teratur dan berimbang dengan berbagai kemudahan mencerminkan tahap tamadun dan peradaban yang dicapai oleh masyarakat.

Sekian.

May 24, 2015

Awal Tahun 2014 Bermula Pembinaan Fizikal: Pengukuhan Modal Insan


BBB, 05 Sya`ban 1436 – 23 Mei 2015 (Sabtu):


Jika akhir 2013 AJK Pembinaan Masjid Al-Umm mengambil keputusan perlunya dilantik AJK Teknikal bagi meneliti persediaan ke arah pembangunan fizikal termasuk dari segi plan arkitek, tapak, bahan binaan, kejuruteraan, letrik (TNB), bomba dan tenaga manusia. Pendek kata semua yang terlibat dengan persediaan ke arah pembinaan dibincang terlebih dahulu dan ianya memakan masa lebih kurang setahun, sambil menunggu kelulusan plan dari MPKj. Perbincangan melalui  jawatan Tenikal yang dipengerusikan oleh Ir. Tuan Haji Ishak bin Arshad dan pada peringkat Induk dipengerusikan oleh Dr. Shafie Abu Bakar dengan dibantu oleh Perunding-Perunding yang telah dilantik iaitu Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal, Arkitek, Ukur Bahan dan Kontrektor.


Telah dibicarakan modal insan berkualiti adalah perkara utama di dalam pembinaan Masjid Al-Umm, bahkan di dalam apa jua kegiatan. Sebarang cadangan bernas dan bermutu yang dapat diutarakan bagi pembinaan adalah sesuatu yang kadang-kadang tidak dapat dinilaikan dengan nilai material – duit. Sebagai contoh hasil dari mesyuarat AJK, mencetuskan idea menjadikan Masjid Al-Umm yang asalnya dua tingkat, menjadikan tiga tingkat yang menjadikannya lebih luas, indah dan menarik. Sudah tentulah banyak lagi cadangan yang bernas yang timbul berterusan dan menjadi cadangan dan dterima di dalam siri mesyuarat yang diadakan.
Hasil dari mesyuarat-mesyuarat mencetuskan pula pandangan, bahawa di samping adanya AJK Induk dan Teknikal, sempena dengan pembangunan fizikal yang baru bermula perlunya diwujudkan satu AJK yang dikenali dengan `AJK Tapak` yang akan meneliti dari segi perkembangan pembinaan, mengawal, menilai, mengkritik dan mencadang pembaikan, menjaga mutu dan sebagainya dan melaporkan kepada AJK Teknikal dan akhirnya dibawa kepada peringkat tertinggi – Induk bagi penilaian dan keputusan, bahkan berkait dengan tuntutan-tuntutan pembayaran. Maka dengan itu dilantik AJK Tapak yang pada hakikatnya adalah perluasan bagi AJK teknikal dan AJK ini bertanggungjawab dan perlu melaporkan kepada AJK Teknikal.
Perlantikn AJK Tapak ialah terdiri dari:
1)      Ir. Haji Ghazali Hussin Pengerusi Mesyuarat
2)      Ir. Haji Ishak Arshad    Pengerusi AJK Teknikal
3)      Hj. Abdul Rahman bin Daud – Pengurus Projek
4)      Nik Mohd. Adham Nik Anuar Setiausaha Kerja
5)      Ar. Raja Fuaddin bin Raja Ahmad (Arkitek Urusbina)
6)      Haji Halim Lebai Din – Clerk of Works
7)      Ir. Mohd Safari -  Safari Ingeniuers
8)      En. Azhar Ahmad - Sivil dan Struktur
9)      En. Ahmad Shahir Saufi - Perunding Azfar
10)   En. Azanul Amri Muhammad Azmi - Perunding Azfar
11)   En. Muhasan Muhamad - May Consult
12)   En. Marzuki bin Omar - Tekad Nusantara Sdn. Bhd.
13)   En. Azim Asnawi – Tekad Nusantara Sdn. Bhd.
14)   En. Akbar Khan Mohamad Yunos -  Tekad Nusantara.
15)   Sdr. Razak Rahman – Site Agent Tekad Nusantara
·         Wakil-wakil dari perunding boleh berubah dan bertukar.
·         Mesyuarat berkenaan turut sama hadir Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari.
·         Dalam laporan mesyuarat bulanan yang disenaraikan ialah nama AJK Induk dan perunding-perunding. Bukan senarai di atas.
Dari rekod menunjukkan bahawa mesyuarat dan laporan pertama dikeluarkan oleh Mesyuarat tapak ialah bermula dari 10 Januari 2014 bersamaan 8 Rabiul Awal 1435H.
Mulai dari permulaan kerja-kerja pembinaan dilantik beberapa orang pegawai (dalam senari di atas). Iaitu:
1)      Haji Halim bin Lebai Din sebagai Clerk of Works di bawah tanggungan AJK
2)      En. Azhar bin Ahmad bagi kerja Civil dan Struktur di bawah Tanggungan AJK
3)      En. Razak bin Rahman  Site Agent  (Tekad Nusantara).
Sebagai tambahan seorang lagi ditambah bagi AJK Induk yang asal dari AJK Pendidikan, iaitu Dr. Mohamad Sabri bin Haron.


Dengan perlantikan-perlantikan di atas dapat dikatakan lengkaplah senarai tenaga manusia bagi mengurus perjalanan pembinaan Masjid Al-Umm terdiri dari 30 orang tenaga pentadbir dan perunding-perunding dan 25 orang pekerja binaan. Dari segi perejalanannya AJK Tapak bermesyuarat pada pagi Selasa setiap bulan berhubung dengan berbagai aspek berkenaan binaan yang dibantu penerangan, jawapan dan huraian oleh perunding-perunding. Satu yang menarik bahawa bagi setiap mesyuarat pihak Site Agent – Saudara Razak Rahman dari Tekad Nusantara bersama  saudara Azhar Ahmad menyediakan Laporan kerja yang dijadikan bahan laporan dan perbincangan. Misalnya dari segi kemajuan dan peratusan kerja yang telah dicapai secara graf, laporan cuaca, rekord pekerja dan rekord Jentera dan Laporan bergambar. Laporan berkenaan akan dibawa kepada mesyuarat teknikal pada minggu berikutnya juda Selasa yang melibatkan pembentangan oleh arkitek, perunding kontrektor dan pembentangan-pembentangan oleh pihak-pihak tertentu mengenai tawaran misalnya penyediaan keperluan dari segi dekorasi , kubah, menara, perabut dan sebagaimya. Penilaian dan perbincangan peringkat akhir ialah pada peringkat Induk yang diadakan pada hari Selasa minggu ketiga yang melibatkan laporan teknikal, laporan kewangan, tuntutan-tuntutan dan berbagai proposal dan cadangan. Tidak jarang pula selepas mesyuarat AJK keluar ke lapangan bagi melihat permasalahan yang dibangkitkan berhubungan dengan bangunan dan cadangan-cadangan. Proses dan siri mesyuarat adalah merupakan penapisan dan keperihatinan semua pihak yang melibatkan kepakaran masing-masing untuk dipastikan semua yang terlibat dengan pembinaan masjid diperhati dan dipasti berjalan secara sempurna dan jika kedapatan kesilapan dan ketidaksempurnaan dari awal diambil tindakamn. Dengan demikian walaupun tidak dapat dinafikan ada kekurangan dan ketidaksempurnaan, usaha dilakukan untuk mengatasinya dengan sebaik mungkin.
Adalah diharapkan bila siap bangunan Masjid Al-Umm kelak memberi kepuasan bagi semua pihak. Berikutnya diikuti dengan fasa pengisian.

Sekian.

May 23, 2015

Derma Dari Dato` Dr. Haron Din Dan Usahanya Meningkatkan Dana Pembinaan Masjid Al-Umm: Berbagai Derma


BBB, 04 Sya`ban 1436 = 22 Mei 2015 (Jumaat):
Wujudnya dana pembinaan Masjid Al-Umm memberi keyakinan kepada AJK dan kontrektor melakukan kerja-kerja pembinaan. Walau bagaimana sejak pelancaran derma dilakukan pada 19 Mei 2012 sehingga ke akhir  tahun 2013 (31 Disember) jumlah dana yang terkumpul dari orang ramai relatifnya masih sedikit, iaitu sejumlah RM2,641,102.35. Dengan jumlah ini kerja-kerja pembinaan dimulakan dengan kepercayaan bila genap RM6 juta nanti akan mendapat sejumlah yang dijanjikan oleh kerajaan Negeri Selangor.


Namun pihak Masjid Al-Umm dan AJK menerima rahmat pada Majlis Penetapan Qiblat semasa berbual-bual dengan  Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din telah bertanya tentang jumlah dana yang dapat dipungut setakat ini. Jumlah di atas dikemukakan kepada beliau. Menurut Dato` Dr. Haron Din insya Allah beliau akan mencuba mendapatkan sejumlah RM1.5 juta dalam masa terdekat bagi menambahkan dana Masjid al-Umm. Pengumuman itu melegakan pihak AJK yang dengan pengumuman itu akan menambahkan dana hingga melebihi RM4 juta. Janji yang dibuat oleh Tuan Guru pada 2 Januari 2014 itu tidak sampai seminggu kerana keesokan hari beliau meminta AJK ke rumahnya pada Sabtu 4 Januari untuk mengambil cek yang dijanjikan. Hadir bagi menerima cek tersebut ialah Pengerusi, Bendahari Tuan Haji Mohd. Nor bin Yasin, Tuan Haji Abdul Rahman bin Daud AJK dan Dr. Tajul Ariffin Noordin juga AJK.
Bila menerima cek tersebut kami agak terkejut, lantaran janji asal ialah berjumlah RM1.5 juta, tetapi bertambah sebagaimana tertulis pada cek ialah sebanyak RM1.52 juta. Ertinya bertambah RM20,000 dari jumlah yang dijanjikan. Dengan cek itu bererti dana Pembinaan Masjid Al-Umm yang terkumpul adalah sebanyak RM4,161,102.35.
Usaha Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din di dalam menambahkan dana pembinaan Masjid Al-Umm tidak setakat itu, tetapi melalui beliau diadakan pertemuan dengan pihak Lembaga Zakat Selangor yang membawa kepada pertemuan dengan YAM Tan Sri Dato` Seri Syed Anwar Ibni al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail Pengarah Lembaga Zakat Selangor di rumahnya pada 6 Februari 2014 dan atas usaha Tan Sri bersama Dato` Dr. Haron Din maka pihak AJK mendapat dana sebanyak RM1.8 juta. Penerimaan dilakukan di rumah Tan Sri pada 24 April 2014 bersamaan 24 Jamadil Akhir 1435. Dengan pertambahan dana ini di samping usaha terus dilakukan bagi mendapat dana memberi keyakinan kepada AJK bagi meningkatkan usaha seterusnya mendapat dana bagi pembinaan Masjid Al-Umm.


Berbagai usaha sebenarnya di lakukan bagi penambahan derma dan berbagai cara pula derma disampaikan oleh orang ramai. Antaranya dengan menulis kepada berbagai-bagai institusi bagi mendapatkan dana, termasuklah kepada bank-bank yang antaranya memberi respond yang baik. Antaranya ialah melalui Tabung derma yang diletakkan di masjid-masjid dan surau-surau yang dipungut setiap Jumaat dan dari masa ke masa. Usaha ini banyak dilakukan oleh Tuan Haji Abdul Rahman bin Daud dan beberapa AJK yang lain.
Banyak derma pula datang dari orang ramai. Antara derma didapati dari kenalan peribadi dan cara pendekatan tersendiri. Beberapa orang dikenalpasti memberi derma secara bulanan dan berterusan antara RM1,000 dan RM500 sebulan. Manakala yang lain datang menyerahkan derma kepada AJK yang diberi hak memungut derma dengan berbagai-bagai jumlah. Jika derma antara RM10,00 hingga RM100.00 mereka diberikan kopon yang tersedia antara RM10.00, RM30.00 dan RM50.00. Terdapat pula jenis sijil waqaf dari RM500.00 hingga RM5,000.00, RM10,000 RM30.000, RM50,000 dan RM100,000. Manakala derma-derma yang biasa ialah dengan mengeluarkan resit biasa ditulis menurut jumlah yang didermakan. Tetapi ramai daripada penderma yang menderma secara terus ke dalam akaun ``Tabung Masjid Al-Umm`` – May bank Islamic. No. Akaun ialah 5628 -3460 – 7208  atau Akaun Bank Islam – Tabung Masjid Al-Umm . No Akaun 12 – 029 – 01 -007126 – 9 . Mutakhir derma yang agak banyak disumbangkan ialah oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang terus dimasukkan ke dalam Account sebanyak RM500,000 pada 23 Safar 1436 bersamaan 16 Disember 2014.  Turut menderma ialah Bank Rakyat (RM10,000) pada 01 Safar 1436 bersamaan 24 November 2014. Dapatan yang dipungut oleh AJK yang diberi hak memungut derma adalah diserahkan kepada Tuan Bendahari. Biasanya sebelum memulakan mesyuarat bulanan yang diadakan. Bendahari pula akan melaporkan secara bertulis pungutan dan perbelanjaan bulanan dan jumlah kesemua bagi setiap bulan – termasuk dapatan melalui akaun terus. Pihak penderma juga boleh mendapatkan resit pelepasan Cukai Pendapatan yang diberi pengecualian oleh pihak Cukai Pendapatan – Kebenaran yang didapati mulai 1 Mac 2014 hingga 28 Februari 2017.
Pada peringkat permulaan pembinaan tidak banyak tuntutan dari pihak kontrektor, lantaran kerja-kerja adalah baru pada peringkat permulaan. Tetapi sebarang tuntutan, maka kerja yang dilakukan dinilai oleh pihak Perunding, penilaian ini dibawa kepada penilaian peringkat teknikal sebelum pihak Bendahari pada peringkat Induk menerima nasihat untuk diluluskan yang turut menandatangani kelulusan tuntutan oleh pihak Pengerusi Induk atau sebaliknya tuntutan ditangguhkan jika ada masalah dan perkara yang dikira tidak menurut keperluan tuntutan.


Sesungguhnya berdasarkan pengalaman Penulis semasa menjadi Wakil Rakyat baik sebagai Wakil Rakyat Kajang (1999-2004) atau Wakil Rakyat Bangi (2008-2013) banyak terlibat dengan usaha pembinaan masjid-masjid dan juga surau-surau. Sesungguhnya untuk mendirikan masjid bergantung pada derma orang ramai tidak mudah dilakukan. Banyak halangan yang terpaksa ditempuh. Antaranya ialah masalah tanah tapak masjid yang tidak dapat diselesaikan. Contoh pengalaman untuk mendirikan masjid di West Country, Seksyen Lima BBB dan juga Masjid di Taman Melur, Seksyen Tujuh, BBB yang urusan berkenaan tanah mengenai cadangan mendirikan masjid di situ masih belum dapat diselesaikan. Halangan yang besar juga ialah untuk memungut derma yang bukan saja perlu mendapat keizinan dari MAIS, tetapi ialah usaha untuk mendapat derma itu sendiri yang memerlukan komitmen yang tinggi dari AJK. Namun ada yang berjaya sebagai contoh pembinaan Masjid di Bandar Seri Putera yang Penulis sedikit sebanyak terlibat semasa menjadi Adun termasuk bagi kawasan itu (2008-2013). Akhirnya masjid yang didirikan dari derma orang ramai dapat disiapkan dan dapat digunakan sejak 2013. Berlaianan dengan mendirikan surau-surau kejayaan lebih banyak dicapai apabila ada tapak dan komitmen AJK dan penduduk setempat memudahkan sesebuah surau disiapkan. Berpuluh surau dapat disiapkan dalam masa Penulis menjadi Adun Bangi. Syukur di dalam usaha mendirikan Masjid Al-Umm, tidak banyak masalah yang dihadapi. Ini tidak lain dari kerja kuat AJK dan keterlibtan berbagai pihak di dalam membiayai pembinaan Masjid Al-Umm.

Sekian.