May 31, 2016

Mendekati Ketuhanan Melalui Makhluk Ciptaan

BBB,  23 Sha`ban 1437 =  30 Mei 2016 (Isnin):


Memahami Ketuhanan, seharusnya melalui ilmu bagi memahami Ketuhanan, iaitu Ilmu `akidah al-tauhid atau usuluddin sebagaimana pendekatan sedemikian adalah menjadi sebahagi besar dari pembicaraan telah dilakukan. Memahami Ketuhanan juga dilakukan melalui Kitab Suci Al-Qur`an yang juga telah kita bicarakan. Pendekatan yang lain  ialah melalui makhluk ciptaan, keinsanan, kealaman dan melalui keilmuan-keilmuan khusus.  Pendekatan-pendekatan yang dibicarakan seperti  makhluk, keinsanan dan kealaman bukan suatu yang asing, bahkan di dalam membicarakan ketuhanan aspek-aspek  berkenaan  memang digunakan bagi pembuktian sebagai dalil dan burhan di dalam  membicarakan ketuhanan. Melihat keseluruhan, bagi memahami Ketuhanan boleh didekatai melalui tiga dimensi  sebagai rangka pendekatan bagi pembicaraan. Dimaksudkan ialah;1)     Dimensi  fizikal2)    Dimensi   Akli3)   Dimensi   Rohani Dimensi   FizikalDari segi fizikal bahawa kemakhlukan mungkin tidak berbeza dari segi bermula asal kejadian, ia adalah pecahan kecil dari elemen bermula kejadian sama ada permulaan dari gas, asap, wap atau air (pendapat  umum)yang melalui maratib kejadian yang memakan masa yang panjang akhirnya mewujudkan cakrawala yang di dalamnya berpelbagaian termasuk manusia yang awalan bernama Adam dan pasangannya yang bernama Hawa.  Tentang persoalan bagaimana dijadikan Adam dan pasangan adalah sama dengan persoalan dan pertanyaan bagaimana terjadinya pelbagai binatang dan membiaknya. Persoalan juga bagaimana mereka survive  di tengah kejadian yang lain yang mendepani banyak bahaya dan cabaran. Juga persoalan yang sama bagaimana binatang dan kejadian yang lain menempuh kehidupan. Sebenarnya dari peringkat awal kejadian lagi terserlah Keagungan Pencipta yang semuanya bukannya secara tidak sengaja. Persoalan dapat ditimbulkan bahawa, `Mengapa semasa bertebarnya segala pecahan partical yang tak terpermenai banyaknya mengambil ruang di cakrawala ini dari sudut ke sudut yang tidak diketahui (bagi makhluk) betapa luas watasnya, tiba-tiba (bagi kita) – Pencipta lebih Mengetahui, sebuah planet yang bernama dunia, terhantar pada posisinya  yang berada kini. Apakah hikmat kejadian, ianya jauh dari matahari dan lebeh dekat dengan bulan dan berjiran dengan planet-planet yang lain  serta dipagari dan dihiasi dengan bintang-bintang. Bagaimanakah mekanisme yang secara realiti dan imaginasi segala kandungan di dalam cakrawala ini dari gugusan-gugusan bintang-bintang, planet-planet dan berbagai kejadian bergerak berputar mengelilingi di atas orbit masing-masing dengan timing gerak kelajuan yang serentak dan seimbang berkitaran.  Betapa Kuasa, Bijaksana dan teliti Pengatur bagi semuanya ini yang tidak mungkin semuanya secara kebetulan, sebaliknya ada yang Berkemahuan yang menggerakkan semuanya ini. Bayangkan seluruh jadian sebagai sebuah kenderaan besar bergerak dengan tenaga raksaksa bergerak secara teratur dan tepat dengan waktu yang diatur yang darinya memberi kesan kalau di dunia berlaku musim-musim  yang memberi kesempatan  tiap bahagian bergerak cergas dan produktif yang memberi faedah bagi yang lain pula. Ini yang kita fikirkan ialah apa yang berlaku di permukaan bumi. Bagaimanakah aturan dan kegiatan-kegiatan yang berlaku di planet-planet, di bintang-bintang dan pada bahagian-bahagian yang lain yang tidak sampai kepada fikiran kita tentang maklumat sekaliannya.  Apakah planet-planet dan bintang-bintang   yang lain menunggu makhluk manusia dari bumi datang memakmurkan setelah mereka mampu bergerak dari satu planet-ke planet yang lain selepas mempunyai  peralatan dan alat perhubungan yang amat canggih ?  Masya Allah semuanya mencerminkan Kekuasaan, Keagungan dan Kebijaksanaan Maha Pencipta.Dengan makhluk yang bagi insan tidak ketahui seluas mana watas sebenar, sebanyak mana kandungan  yang wujud, apakah kepelbagaian yang lain, semuanya ini apakah tujuan diciptakan.  Tidak mungkin ia sekadar mainan sebagai anak yang menghamburkan pasir dan debu berterbangan, kemudian gugur dan hilang. Apakah tujuan ?  Untuk  siapa khusus untuk manusiakah alam buana yang begitu luas   diciptakan ?
Kita tidak mampu memahami selain dari apa yang dilihat dan perhatikan dengan mata kita yang terhad kemampuan kelihatan.  Kita tidak dapat memahami selain dari kemampuan kita berfikir, itupun terhadap yang nyata kita fikirkan.  Kita tidak dapat menghayati, selain dari apa yang kita dapat resapi dengan inderawi yang amat terhad kemampuan.Kalau pada kejadian ciptaan, kemampuan kita amat terhad – Amat jauh bagi kita terhadap Pencipta untuk ditanggap !
Sekian.



May 30, 2016

Puncak Kebenaran Dan Budaya Ilmu

BBB,   22  Sha`ban 1437 =  29 Mei 2016 (Ahad):

Tajuk  mau membuktikan  bahawa setiap ilmu  yang dikaji dan dipelajari akhirnya pada puncaknya menyampaikan kepada kebenaran. Apa yang dinamakan ilmu ialah sesuatu yang benar dan tidak dinamakan ia ilmu, jika tidak benar. Ilmu iaitu bererti tahu. Kesampaian kepada tahu (ilmu) lantaran:

1)    Pengalaman yang berulang dengan hasil berterusan dan tidak berlaku perubahan. Contoh cahaya terang dan gelap malam.

2)    Pembelajaran  yang menghasilkan jawaban seperti mempelajari kaedah matematik yang menghasilkan jawaban yang betul.

3)   Kajian  saintifik membawa kepada penemuan. Seperti penemuan tamadun purba melalui  kajian arkiologi

4)   Penggunaan minda dengan kaedah logik tentang kebenaran. Juga penggunaan hati/jiwa terarah kepada kehalusan dan kerohanian.

5)   Maklumat  yang disampaikan secara berterusan dan diterima kebenaran dan boleh diuji dengan  kaedah-kaedah pengujian seperti di  atas.

Apa yang hendak disampaikan, bahawa ilmu jika diibaratkan sebagai  satu objek  yang bulat, maka dari angle mana bertolak – diandaikan permulaan dari bawah, maka pergerakan ke atasnya, walaupun tidak terus ke atas, tetapi ada penyimpangan ke  kiri atau kanan, dibaratkan berlaku  kekhilapan dalam pencarian atau pendekatan, tapi ianya terus bergerak secara vertical ke atasnya yang akhirnya semuanya akan tiba pada puncak bagi  objek yang bulat berkenaan. Apa yang hendak ditekankan bahawa sekalian ilmu  yang betul (tidak ada yang tidak betul bagi ilmu) yang disampaikan dengan betul dan dipelajari dengan betul akhirnya menyampaikan jawapan bagi pembelajaran ilmu berkenaan secara betul,  adalah betul.

Dari segi praktiknya, bagi memupuksubur  ilmu  ada budaya ilmu yang mengukuhkan keilmuan, menyebut budaya ini adalah sebagai sesuatu yang lumrah, tetapi mungkin  ada penemuan tidak melalui saluran budaya, tetapi selepas itu ia membudayakan ilmu berkenaan. Umumnya apa yang dipelajari oleh masyarakat awam (pelajar umum) adalah menerima budaya  ilmu yang telah mantap,  dibakukan  bahkan dibukukan. Guru-guru yang belajar melalui budaya ilmu meneruskan budaya ini kepada pelajar-pelajar sebagai meneruskan budaya ilmu berkenaan. Masyarakat yang menerima dan meneruskan budaya ini dapat dikatakan maju dalam kerangkan yang tidak bertambah, namun dilihat secara keseluruhan adalah statik dan kurang maju. Perubahan ke arah kemajuan ialah  perubahan dan pertambahan keilmuan  yang diterokai oleh pengkaji-pengkaji dan penyelidik-penyelidik yang menambahkan  penemuan dan dapatan - Pertambahan ilmu yang ada dan pertambahan keilmuan dengan yang baru teroka. Dalam kata lain kemajuan yang sebenarnya adalah kemajuan dengan pertambahan ilmu-ilmu yang  baru atau pertambahan terhadap ilmu-ilmu yang sedia ada. Dalam hal ini betapa penting penerokaan dan pengkajian ilmu bagi memberi ruang kepada pihak-pihak yang berusaha mengkaji dan menambahkan keilmuan.


Pada puncak pengkajian dan penyelidikan adalah penemuan kebenaran. Kebenaran adalah menyerlahkan hakikat Keagungan. Misalnya mempelajari ilmu akidah meyakinkan tentang Ketuhanan – Allah. Juga mempelajari ilmu tasawuf hasil dari keyakinan mencetus cinta terhadap Allah.  Mempelajari matematik dan geometri  menemui jawapan yang betul dari kiraan dan ukuran.


Dari segi budaya ilmu juga, bahawa melalui penerusan  zaman banyak bidang ilmu diteroka. Bidang-bidang ini dihimpun, dikategorikan,  diabadikan dan digunakan bagi pengajaran seperti guru-guru di institusi-institusi pengajian yang dipelajari oleh-pelajar yang meneruskan kemajuan intelektual yang terus di wariskan kepada generasi ke-generasi. Sememangnya pada hakikatnya menerusi perjalanan ilmu makin  mendalam dikaji   makin bertambah keimanan.

Misalnya makin diterokai ilmu perubatan membawa kekaguman tentang ciptaan Tuhan terhadap diri manusia dan dengan rahsia-rahsia  kajian dan penemuan makin mendekatkan diri kepada Tuhan.


Sebenarnya menerusi pertambahan ilmu dan kemajuan zaman ianya merupakan proses pembinaan tamadun dan peradaban manusia itu sendiri. Maksud tamadun ialah kemajuan tampak yang bersifat fizikal hasil dari ilmu yang diterokai dan peradaban lebih kepada  kemajuan ilmu pengetahuan yang lebih bersifat subjektif dan nilai.


Pada hakikatnya kemajuan dari segi tamadun dan peradaban sudah merentasi sempadan negara dan bangsa. Bermaksud keilmuan kini adalah bersifat terbuka. Sesiapa dapat mempelajari sama ada bersifat tempatan atau melangkaui keluar ke peringkat antarabangsa. Tamadun dan peradaban  boleh dibina oleh sessiapa saja yang mempu mengolah ilmu bagi kemajuan bersifat  tamaduan dan peradaban.



Sekian.

May 29, 2016

Kelebihan Al-Qur`an: Kitab Panduan Dan Pegangan Ummah


BBB,  21 Sha`ban 1437 = 28 Mei 2016 (Sabtu):
Mengakhiri buku `The Power of Al-Qur`an , Dr. Danial membicarakan tentang Mu`jizat Al-Qur`an.
Mu`jizat  bererti  `Melemahkan`, iaitu sesuatu kurniaan yang merupakan kelebihan  yang melemahkan yang lain melaku dan mengadakan seumpamanya. Bagi rasul-rasul dikurniai mu`jizat yang menyimpang dari kebiasaan yang tidak berlaku atau dilakukan oleh  yang lain seumpamnya. Misalnya Nabi Ibrahim tidak terbakar  ketika dicampak oleh Namrud ke dalam api yang sengaja dinyalakan untuk membakarnya (Al-Anbiya`: 69), Nabi Musa selamat dari tentera Fir`aun yang mengejarnya  dan pengikut-pengikutnya dengan membelah Laut Merah (al-Shu`ara`: 63) dan contoh-contoh yang lain. Mu`jizat berlaku dalam keadaan yang memerlukan tindakan kemu`jizatan dan ujian bila berdepan dengan  musuh  membuktikan kebenaran.
Mu`jizat terbesar bagi Rasulullah s.a.w. ialah Al-Qur`an al-Karim. Mu`jizat Al-Qur`an dapat dilihat dari berbagai  aspek:
1)       Bahawa Rasulullah s.a.w. diutuskan dalam zaman  dalam mana orang-orang Arab Quraisy amat menyanjung mereka yang berkemahiran berbahasa dan bersastera. Peraduan menggubah puisi dilakukan secara tahunan di Pasar Ukkaz. Puisi terbaik dan terpilih digantung di dinding Ka`abah sebagai penghormatan dan san jungan.Tokoh-tokoh sasterawan yang  sezaman Rasulullah s.a.w (Al-Mukhadramun)  ialah seperti Ka`b bin  Zuhayr, Hassan bin Thabit al-Ansari, Labid  dan  Abdullah bin Rawahah. Berdepan dengan keunggulan bahasa Al-Qur`an yang bukan prosa dan bukan puisi mengkagumkan mereka dan mereka mengakui tentang keunggulan Al-Qur`an, bahkan menerima Islam. Antara mereka menjadi Penyair Nabi seperti Hassan bin Thabit.
2)      Pada permulaan Hijratul Rasul s.a.w. umat Islam berdepan dengan musuh utama Islam pada masa itu, iaitu orang Yahudi. Mereka melakukan berbagai ujian terhadap Rasulullah untuk mempastikan ketulenan kerasulan Baginda seperti bertanya misalnya tentang roh, tentang Nabi Isa dan usaha mereka menyembunyikan tentang fakta kerasulan Rasulullah s.a.w. Soalan mereka  dijawab dengan tepat dan pendustaan mereka didedah oleh Al-Qur`an (Ali Imran: 70-71).
3)      Al-Qur`an sebagai mu`jizat Rasulullah s.a.w. adalah menghadapi ujian berterusan sejak Baginda diutuskan hingga  kini dalam maksud apa yang terkandung di dalam Al-Qur`an adalah bersifat terbuka dan bereterusan menghadapi ujian – boleh diuji dan dikaji dari segi kebenaran  apa  yang terkandung di dalamnya.
Konsep Ahlu al-Kitab
Konsep Ahlu al-Kitab yang diberi kepada rasul-rasul yang diturunkan kepada rasul-rasul dahulu sepert  Taurat bagi Nabi Musa, Zabur bagi Nabi Daud, Injil bagi Nabi Isa dan Al-Qur`an bagi Nabi Muhammad s.a.w.dan mushaf-mushaf bagi yang lain  adalah keistimewaan bagi Rasul-rasul bahawa dalam zaman silam dan bahari dalam mana manusia  berada di dalam kegelapan bahawa rasul-rasul diutuskan dengan dokumen tertulis sebagai bukti kebenaran zaman dengan pertunjukan, maklumat-maklumat dan peristiwa-peristiwa sudah lebih dari cukup membuktikan kebenaran yang dibawa oleh rasul-rasul, Khususnya  dengan Al-Qur`an yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Pembuktian dalaman dari kandungan Al-Qur`an:
a)        Kandungan Al-Qur`an yang antaranya mempunyai  asbab al-nuzul membuktikan adalah keberadaan  di dalam  era  Makkiyyah-Madaniyyah
b)      Maklumat kejadian alam yang  bermula dengan luapan (asap)  - (Fussilat : 4)  dan penyatuan kemudian berlaku perpisahan adalah benar dan dibuktikan dengan kajian saintifik.
c)       Al-Qur`an membawa maklumat-maklumat ghaib yang bukan dari rekaan dan imaginasi manusia
d)      Al-Qur`an menyatakan tentang asal usul kejadian manusia dan manusia bermula dari Adam dan pasangan Hawa
e)      Al-Qur`an membawa sejarah silanm seperti turunan Adam dari  Hawa. Antaranya kisah Qabil dan Habil dan anak-anak yang lain di luar maklumat manusia, jika tidak diebri tahu oleh Al-Qur`an
f)       Watak-watak manusia termasuk yang jahat seperti  Namrud, `Aad, Thamud, Haman dan Fur`aun yang benar berada dan berlaku dalam sejarah.
g)      Rantaian kerasulan dan kenabian selain dari membawa risalah bagi rasul-rasul tidak lain dari membawa keimanan, kemajuan, tamadun dan peradaban manusia.
h)      Al-Qur`an merakam  kerajaan-kerajaan yang pernah wujud seperti Babylon, Mesir kuno, Saba` dan Parsi yang realitinya wujud dalam sejarah.
i)        Al-Qur`an memaklumkan kepada Rasulullah peristiwa yang bakal terjadi misalnya kekalahan Kerajaan Rum kepada kerajaan Parsi dalam masa terdekat, benar-benar terjadi (Al-Rum: 1 -4).
j)        Mimpi menjadi kenyataan  yang Rasulullah dan sahabat-sahabat akan memasuki Kota Makkah bagi ibadat dan berlaku pada tahun ke 6H. dan pembukaan Kota Makkah pada tahun ke 8H.
k)      Al-Qur`an memaklumkan tentang kejadian langit  (Nuh: 15) planet-planet dan gugusan bintang-bintang  yang ibarat  lampu-lampu bagi  alam (Al-Furqan: 61). Demikian dengan kejadian matahari dan bulan yang memberi cahaya kepada alam (Yunus: 5).
l)        Allah juga memaklumkan tentang kejadian bumi – tujuh lapis yang antara terdapat di dalamnya bijih besi ( (Al-Hadid: 25) yang memberi manfaat kepada manusia di dalam kegiatan kehidupan mereka. Pada muka bumi pula dijadikan gunung ganang sebagai pasak bagi muka bumi berkenaan (Al-Anbiya`: 6-7).
m)    Allah menjadikan muka bumi untuk bercucuk tanam dan mengeluarkan hasil pertanian. Juga diturunkan hujan dan sungai bagi kepentingan pertanian  (Al-Mu`minun: 18-19).
n)      Allah juga menjadikan lautan yang di dalamnya berbagai hasil yang dapat dimanfaatkan dari hidupan – ikan-ikan, bahan-bahan hiasan.
o)      Allah memaklumkan tentang proses kejadian manusia  dari benih ibu bapa ( Al-Insan: 2) dan stege-stage perkembangnya hingga kepada lahir  (Al-Mu`minun:  12-14).
Dan dapat ditambah lagi fakta-fakta kemu`jizatan Al-Qur`an dari berbagai-bagai ayat yang lain yang membuktikan bahawa  Al-Qur`an adalah Kitab Yang Unggul yang bukan dicipta oleh manusia, tetapi ia adalah kitab  yang diturun dari Allah Subahanahu wa  Ta`ala  ke atas Rasulullah s.a.w. yang disampaikan kepada umat bahkan kepada alam sebagai  Kitab Panduan.

Sekian.

May 28, 2016

Sains Dan Al-Qur`an


BBB,  20 Sha`ban 1437 = 27 Mei  2016 Jumaat):

Membaca judul  di atas yang merupakan bab dari bab-bab yang dibicarakan oleh Dr. Danial mengingatkan kita pada bukunya yang berjudul  `Qur`an Saintifik`. Tetapi pendekatan bab  di dalam buku `The Power of the Al-Qur`an` ini tidak sama dengan `Qur`an Saintifik`, apa lagi ianya merupakan satu bab kecil dari buku `The Power of  Al-Qur`an. Pada asalnya kita menjangka Dr. Zainal akan membicarakan penegasan Al-Qur`an tentang kepentingan ilmu, persediaan yang ada dalam diri insan  bagi penerimaan ilmu,  potensi insan untuk menerima ilmu.  Pertumbuhan tradisi keilmuan dalam tamadun dan peradaban Islam, institusi yang mengembangkan  keilmuan, ayat-ayat Al-Qur`an berhubung dengan bidang-bidang keilmuan,  perkembangan keilmuan, klasifikasi ilmu dan tokoh-tokoh ilmuan Islam. Dengan membicarakan topik-topik berkenaan dapat memberi gambaran tentang sains dan Al-Qur`an. Tetapi mengharapkan Pengarang membicarakan semua topik yang disebutkan di  atas adalah tidak adil, kerana ianya memerlukan ruang yang lebih panjang.
Bagi topik `Sains Dan Al-Qur`an` di atas Penulis Dr. Danial bertolak dari ayat Al-Qur`an yang menjadi topik bagi tajuk. Beliau bertolak dengan kenyataan bahawa di dalam Al-Qur`an terdapat lebih dari 750 ayat Al-Qur`an berhubung dengan kejadian alam semesta. Ini diikuti dengan ayat-ayat Al-Qur`an yang menggesa penganutnya  memikirkan tentang isi al-Qur`an (Al-Nisa`: 82) dan  mengkaji ciptaan Allah (Ali `Imran: 191). Penekanan dibuat dengan ayat Al-Qur`an yang bermaksud:
``Akan kami tunjukkan kepada mereka  bukti-bukti kekuasaan Kami di segenap ufuk alam dan pada diri mereka sendiri sehingga jelas kepada mereka bahawa Al-Qur`an itu benar.`` (Fussilat: 53).
Dengan ayat ini penulis memberi huraian panjang lebar dengan mengemukakan pendapat berbagai ulama dan sumber – khususnya diambil dari berbagai tafsir.
Sebenarnya untuk membicarakan  tentang Sains Dan Al-Qur`an ada beberapa pendekatan  dapat dilakukan. Antaranya dengan  mengklasifikasikan keilmuan yang bersumberkan Islam.
Keilmuan yang utama bagi Islam ialah keilmuan-keilmuan  yang fardhu. Keilmuam yang terpenting ilmu akidah atau yang dikenali dengan  tauhid, usuluddin  atau al-kalam. Keilmuan ini penting kerana ia berkait dengan keimanan seseorang. Tanpa kesempurnaan keilmuan tauhid tidak menyempurnakan keimanan seseorang . Bagi  Kemantapan keilmuan ini lahir ulama`-`ulama seperti Ash`ari, Maturidi dan Al-Tahawi dengan pendukung-pendukung masing-masing.
Keperluan yang paling rapat dengan seseorang Islam ialah menunaikan ibadat-ibadat yang fardhu seperti solat, zakat, puasa dan menunaikan haji, maka ilmu ini adalah antara ilmu yang terawal berkembang di dalam Islam yang melahirkan tokoh-tokoh `ulama` fiqh seperti  Imam Malik, Shafie, Hanbali dan Hanafi. Mereka mengarang kitab-kitab panduan. Antara mereka menghasilkan kaedah fiqhiyyah yang dikenali dengan Usul al-Fiqh dan al-Qawa`id al-Fiqhiyyah. Ilmu ini adalah keilmuan falsafah murni yang lahir di dalam Islam yang tidak terpengaruh dengan unsur luar. Dengan pendekatan-pendekatan  yang disusun oleh `ulama ilmu fiqh menjadikannya  keilmuan yang mantap. Dalam masa yang sama lahir keilmuan tafsir bagi memahami Al-Qur`an sebagaimana yang telah dibincangkan dan juga lahir keilmuan Hadith  yang mempunyai kaedah yang teratur dan ilmiah. Hadith dan Tafsir sebagai sokongan bagi berbagai-bagai keilmuan Islam.
Satu daripada bidang ilmu Islam yang dikenali dengan ilmu tiga serangkai ialah ilmu tasawuf yang dikira penting, kerana ianya melibatkan persoalan batin seseorang dan nilai diri yang dikenali dengan ilmu akhlak. Antara tokoh terkenal yang memantapkan keilmuan ialah Al-Imam Al-Ghazali yang banyak menghasilkan karangan-karangan di dalam ilmu tasawuf, khususnya Ihya` `Ulum al-Din.
Bagi memantapkan terutama akidah dan juga beberapa ilmu yang lain terdapat penggunaan pendekatan dari luar, terutama ilmu logik, lantaran itu berlaku kemasukan ilmu falsafah dari luar yang tokoh-tokoh yang mentransformkan ilmu-ilmu berkenaan seperti Al-Kindi  dan ,Al-Farabi. Keilmuan berkenaan di samping ada kebaikan ada kontroversi seperti berlaku pada Al-Ghazali – Tokoh-tokoh falsafah Islam yang lain seperti Ibn Sina, Ibn Rushd, al-Biruni dan lain-lain.
Pertumbuhan dan perkembangan ilmu sains tulen di dalam Islam ada kepentingan bagi keperluan fardhu. Misalnya keperluan pelayaran bagi menunaikan haji atau pelayaran bagi tujuan dakwah dan perniagaan. Bagi panduan pelayaran maka diterokai keilmuan yang berhubung dengan astronomi  dan matematik, lagi pula ayat-ayat yang berhubung dengan  astronomi begitu banyak di dalam Al-Qur`an, sebab itu bidang astronomi adalah bidang yang berkembang di dalam Islam terutama bidang yang  dikenali dengan ilmu falaq bagi melihat anak bulan bagi menntukan tarikh berpuasa dan tarikh dan masa-masa yang lain. Bagi kepentingan bagi menunaikan haji dan menentukan kedudukan geografi setempat maka lahirnya keilmuan geometri, al-gibra dan al-Kimya`. Tokoh-tokoh terkenal antaranya ialah   Al-Khuarizmi, Ibn al-Haitham, Al-Biruni dan sebagainya.
Islam bukan semata-mata agama tetapi adalah pemangkin bagi kemajuan umat. Dalam perkembangannya Islam melahirkan  tamadun dan peradana  yang unggul sebagaimana yang berlaku di di Sham (Syria), Baghdad, Andalus, Samarqand, Mesir, Maghribi, Turki, Delhi, Acheh, Melaka dan berbagai-bagai pusat pemerintah Islam, khususnya sebelum kebangkitan barat mulai abad ke 17. Islam telah memimpin tamaduan dan peradaban. Jadi bersama dengan kelahiran tamadun dan peradaban ini turut  lahir berbagai-bagai bidang keilmuan seperti pelayaran, perniagaan, perkapalan, penghasilan barang-barang  keperluan perniagaan yang menghubungkan pergerakan antara timur tengah ke barat dan juga timur jauh.
Sesungguhnya dengan keilmuan yang secara luas dikenali sebagai sains yang tidak lain berkembang dari keperluan manusia dalam kehidupan dan komunikasi mereka mencetus kemajuan dan mewujudkan tamadun dan peradaban yang dimanfaatkan  bagi keperluan sejagat. Kemajuan yang dicapai kini adalah lanjutan dari apa yang telah tumbuh dan berkembang sebelumnya. Islam  dengan keilmuan bersumberkan Al-Qur`an  tumbuh dan berkembang dalam rahim tamadun dan peradaban memberi  saumbangan yang penting di dalam memajukan manusia di dalam meneruskan kelangsungan tamadun dan peradaban.

Sekian.

May 27, 2016

`Ulum Al-Qur`an Berbeza Dari `Ulum Sains ?

y
BBB, 19 Sha`ban 1437 =  26 Mei 2016 (Khamis):


Menyebut    `Ulum  al-Qur`an, maka terlintas di dalam minda kepelbagaian ilmu di dalam Al-Qur`an, termasuk ilmu kerohanian, Ilmu tafsir, ilmu sejarah, pertanian, astronomi dan berbagai-bagai keilmuan lagi. Sudah tentulah amat banyak keilmuan yang dapat disenaraikan dan sudah tentulah luas dan panjang lebar  boleh diperkatakan, tetapi di dalam buku `The  Power of Al-Qur`an`  ini, selain dari  disebut Ilmu Ulum al-Qur`an, ada diberi satu lagi bab iaitu  Sains dan Al-Qur`an. Maka  dengan pengasingan ini dapat difahami bahawa Dr. Danial sengaja memisahkan keilmuan yang bersifat sains daripada bab `Ulum Al-Qur`an dan `Ulum al-Qur`an adalah mempunyai kaedah,  pendekatan dan sifat yang tersendiri.
Dari tanggapan kita terhadapUlum al-Qur`an  yang dibicarakan oleh Dr Danial adalah khusus kepada
``Metodologi Memahami Al-Qur`an – manakala kandungan yang bersifat keilmuan di dalamnya diletakkan di bawah bidang sains. Dalam kata lain `Ulum al-Qur`an  yang dimaksudkan oleh Dr. Danial, ialah bagi memahami Al-Qur`an itu sendiri  sebagaimana diasaskan oleh ulama` yang mendalami  Al-Qur`an yang sifatnya  adalah tradisional dan khusus  diaplikasikan kepada Al-Qur`an. Keilmuan Al-Qur`an yang dibicarakan ialah:
1.       Makkiyyah dan Madaniyyah
Dr. Zainal pergi kepada asas dari segi membicarakan ayat-ayat Al-Quran dari segi Makkiyyah dan Madaniyyah.  Sebahagian besar dari ayat-ayat Al-Qur`an adalah diturunkan di Makkah, khususnya sebelum Hijratul Rasul s.a.w. ke Madinah al-Munawwarah.
Dilihat kepada kandungan  tafsir Pimpinan Al-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur`an maka:
Jumlah Surah diturunkan di Makkah adalah  86  Surah
Jumlah surah diturunkan di Madinah              28
Surah diturunkan di Makkah adalah antaranya pendek-pendek, manakala surah diturunkan di Madinah adalah panjang-panjang contoh Surah al-Baqarah dan Ali Imran. Diketahui tentang surah Makkiyyah antaranya melalu asbab al-Nuzul dan konteks kandungan persoalan yang peristiwa berlaku. Tafsir Ibn Kathir banyak menyebut asbab al-Nuzul dan kaitan peristiwa yang berlaku. Walau bagaimana menyebut satu surah, contoh yang panjang, terdapat di dalamnya Makkiyyah dan ada Madaniyyah. Jadi jumlah surah sahaja bukan mutlak Makkiyyah dan Madaniyyah.
2.        Nasakh Mansukh
Satu bidang keilmuan yang khusus bagi al-Qur`an ialah  berhubung dengan Nasikh dan Mansukh. Yakni terdapat ayat-ayat, khususnya berkait dengan hukum yang turun dimansukh oleh ayat yang diturunkan kemudian. Ini diterang oleh ayat Al-Qur`an sendiri yang bermaksud:
``Tidak kami menasakh dari satu ayat atau dijadikan manusia lupa, melainkan kami datangkan dengan yang lebih baik daripadanya atau seumpamnya. Adakah engkau tidak ketahui bahawa Allah Ta`ala itu berkuasa di atas setiap sesuatu ? (Al-Baqarah: 106).
Konsep nasakh pula berbagai-bagai ada yang dinasakh hukum, tetapi ayatnya masih ada. Ada yang dinasakh ayat dan hukum dan berbagai lagi.
Contoh nasakh tentang minuman arak bertahap
Permulaan menerang implikasi arak – Bersifat mendidik  (Al-Baqarah: 219).
Permulaan melarang meminum arak semasa hampir solat (Al-Nisa`: 43).
Melarang sama sekali dari meminum arak  (Al-Ma`idah:  90).
3.       Tafsir
Bidang ketiga yang dibicarakan oleh Dr Danial ialah tafsir. Sememangnya tafsir adalah ilmu yang  asli di dalam perkembangan keilmuan Islam. Ianya terhasil dari tujuan untuk memahami Al-Qur`an secara lebih mendalam. Sebab itu lahir keilmuan tafsir. Tokoh-tokoh tafsir  pada peringkat  awal seperti Ibn Kathir, Al-Tabari , Al-Samarqandi, Al-Qurtubi membawalah kepada yang lebih baharu seperti Hamka dan Al-Zuhaily. Berbagai kaedah tafsiran yang didekati, misalnya yang menekankan dari segi hukum, bahasa, asbab al-Nuzul.  Muhkamat, mutashabihat  dan berbagai pendekatan
Meskipun pentafsiran dibuat dari dahulu hingga sekarang, kandungan Al-Qur`an tidak habis-habis diteroka dan rahsianya begitu banyak belum difahami dan terus terbuka untuk dikaji selidik.
Tambahan
Mungkin dapat ditambah lagi keilmuan yang lahir berhubung kajian Al-Qur`an  dan  pembacaan  ialah:
a)       Tajwid
Adalah keilmuan yang lahir bagi membetulkan bacaan Al-Qur`an ya`ni mengenali makhraj-makhraj huruf dan sifat-sifat huruf  Serta hukum-hukum bacaan seperti idgham, izhar, ikhfa` dan berbagai-bagai  jenis mad. Dengan kemahiran ilmu tajwid meningkatkan pembacaan Al-Qur`an. Dan membaca Al-Qur`an ada  berbagai qira`at (Qira`at Tujuh) dan ada pengajian secara tarannum dan sebagainya.
b)      Nahu dan Saraf
Al-Qur`an meningkatkan keilmuan bahasa, bahasa `Arab.   Al-Qur`an   menjadi induk bahasa `Arab. Daripadanya dikeluarkan kaedah-kaedah ilmu bahasa `Arab yang standard dan juga saraf. Pengajian ilmu nahu dan saraf adalah pengajian utama di dalam pengajian bahasa `Arab, khususnya bagi  memahami Al-Qur`an.
c)       Ilmu Balaghah
Al-Qur`an adalah piawayan tertinggi bahasa `Arab, bukan sahaja dari segi bahasa, tetapi juga dari segi adabiyyah (sastera). Dari Al-Qur`an terbina ilmu balaghah (Ma`ani, bayan dan badi`) – Ilmu mementingkan ketepatan, kejelasan dan keindahan berbahasa.
Demikianlah -antara ilmu-ilmu  khusus yang lahir dari Al-Qur`an bagi kepentingan pengajian terhadap Al-Qur`an dan bagi keilmuan-keilmuan yang lain.

Sekian.                                                                              


May 26, 2016

Pendekatan `The Power Of Al-Qur`an`


BBB, 18 Sha`ban 1437 =  25 Mei 2016 (Rabu):
Bila membaca sebuah buku, kita tentu ingin tahu kandungan yang terdapat di dalam buku itu.  Bersama untuk mengetahui kandungan, kita ingin mengetahui pendekatan yang diambil bagi mempersembahkan kandungan buku berkenaan bagi memudahkan kita memahami, di samping mengetahui  rangka pemikiran dan mesej  yang hendak disampaikan.
`The Power of Al-Qur`an` dapat difahami sebagai significant Al-Qur`an  yang di dalamnya dibicarakan tentang:
1.        Kesan Al-Qur`an  (Pencetus Kemajuan)                 
2.       Ciri-ciri Al-Qur`an
3.       Ulum Al-Qur`an
4.       Al-Qur`an dan Sains
5.       Mu`jizat Al-Qur`an
Dari segi format The Power of al-Qur`an hampir bersamaan dengan buku `Qur`an Saintifik. Buku ini adalah terdiri dari 28 bab. Sebagaimana buku Qur`an Saintifik terdiri dari 107 bab (318hlm.) yang tiap babnya adalah ringkas, demikian buku The Power of Al-Qur`an yang lebih nipis (197hlm.) adalah juga dipecah kepada bab-bab, iaitu sebanyak 27 bab. Tiap-tiap bab antara 2 – 10 halaman, terbanyak 26 halaman.  Bab-bab ini dapat diletak di bawah lima pecahan di atas,
Satu yang ketara bahawa bab-bab yang di susun tidak mencerminkan kesinambungan persoalan, bahkan terasa setiap bab tidak merupakan persambungan  kepada  bab yang berikutnya. Mengingati bahawa buku yang disediakan adalah sebagai kurikulum bagi pengajian tahfiz, maka pada kebiasaan kurikulum mengandungi topik-topik keilmuan yang mau diajar dan dari topik dan kandungan disediakan boleh dicari bahan sendiri oleh pelajar-pelajar dari senarai buku atau kitab yang disenaraikan. Pelajar juga  harus mencari dan membaca sendiri berbagai-bagai buku sebagai tambahan.
Di bawah Kesan Al-Qur`an  (Pencetus Kemajuan)
Dibicarakan tentang  peranan Al-Qur`an mengubah landscape bangsa Arab dari bangsa badui di padang pasirkepada bangsa yang meningkat tamadun. Al-Qur`an juga memberi kesan kepada tamadun  Barat yang mengalami zaman kegelapan pada abad ke 7 menerima sinran peradaban melalui kerajaan Umawiyyah di Spanyol dan Kerajaan Abbasiyyah berikutnya. Kesan dari kemajuan yang dibawa Islam, Dr. Danial memetik:
``Memadai rasanya sekiranya kita memetik nama beberapa tokoh Islam yang tidak ada tandingannya di Barat ketika itu. Antaranya ialah Jabir bin Hayyan, Al-Kindi, Al-Khawarizmi, Al-Fargani,  Al-Razi, Thabit bin Qurra, Al-Battani, Al-Hunain bin Ishak, Al-Farabi, Ibrahim bin Sinan,, Al-Mas`udi,, Al-Tabari, Abul Wafa,, Ali bin Abbas, Abul Qasim,, Ibn al-Jazzar,, Al-Biruni,, Ibn Sina,, Ibn Yunus, Al-Kashi, Ibn al-Haitham, Ali bin Isa, Al-Ghazali,, Al-Zarqab, dan Omar al-Khayyam. Ini adalah nama-nama yang mengagumkan dan senarainya  adalah lebih panjang daripada ini..Kesemuanya ini berlaku antara tahun 750 hingga 1100 Masehi.
Tentang ciri-ciri Al-Qur`an   Dr. Danial membicarakan secara lebih panjang, iaitu tentang
Konsep Al-Qur`an Tujuh Huruf
Dr. Danial memetik pendapat, ``Kebanyakan ulama mengatakan, ``Tujuh huruf ialah tujuh loghat ataupun diallek yang berbeza dalam bahasa Arab, tetapi membawa maksud yang sama. Antara loghat itu ialah Quraishi,  Huzaili, Thaqif, Hawazin, Kinanah,  Tamim, dan Yaman.
Pengarang juga membicarakan tentang `Turunnya Al-Qur`an pada bulan Ramadhan` bermaksud Al-Qur`an diturunkan dari Lauh Mahfuz . Darinya diturunkan secara berperingkat menurut peristiwa-peristiwa  berkenaan.
Pengarang menyebut tentang ayat pertama yang diturunkan iaitu  ayat   `Iqra` (al-`Alaq, 1-5). Ayat terakhir dipetik oleh Pengarang dari riwayat dari Abdullah bin `Abbas dab Sa`ad bin Jubair, iaitu ayat bermaksud:;
``Takutlah kamu hari yang kamu padanya dikembalikan kepada Allah, kemudian dimatikan setiap diri  dengan apa yang dilakukan  dan mereka itu tidak dizalimi.`` (Al-Baqarah: 281).
Pengarang nampaknya tidak memetik pendapat yang lain yang mengatakan bahawa ayat terakhir Al-Qur`an yang diturunkan bermaksud:
``Pada hari ini aku lengkapkan bagi kamu agama kamu dan dan aku sempurnakan nikmatku ke atas kamu. Dan Aku redhakan Islam sebagai agama.`` (Al-Ma`idah: 3).
Di bawah ciri-ciri Al-Qur`an ini dibincangkan oleh Dr. Danial tentang keaslian Al-Qur`an yang  terpelihara dari  sebarang kerosakan.  Pendapat ini bukan sahaja ditegaskan di dalam Islam, tetapi dibuktikan juga oleh pengkaji-pengkaji bukan Islam yang antara mereka turut menganut agama Islam. Dr. Danial juga membicarakan tentang  proses penulisan Al-Qur`an dilakukan oleh penulis-penulis Rasulullah seperti  Zaid bin Thabit, Ubay bin Ka`b, Mu`az bin Jabal. Mu`awiyah bin Abi Sufyan,Sayyiduna `Ali dan Sayyiduna `Uthman bin Affan. Tulisan-tulisan bagi Al-Qur`an di simpan oleh Hafsah  bin Umar. bimbang hilang dengan kematian ramai penghafal-penghafal Al-Qur`an.  Sayyiduna `Uthman Khalifah ketiga memerintah membukukan Al-Qur`an dan naskhahnya dikenali dengan Naskhah  Uthman yang diwarisi kini. Dr. Danial membicarakan perbezaan antara Hadith Nabi biasa dengan Hadith Qudsi, iaitu Hadith yang disandarkan oleh Nabi dengan kalam Allah.
Tentang ciri-ciri khusus bagi Al-Qur`an ditegaskan bahawa:
1)      Tidak ada yang tidak betul di dalam Al-Qur`an (Tiada bengkang bengkok).
2)      Tiada keraguan  padanya
3)      Bukan ciptaan manusia
4)      Al-Qur`an Kitab Mubarak
5)      Al-Qur`an Kitab Tibyan dan Mufassalan
6)      Al-Qur`an Shifa` dan Rahmah
7)      Kitab bagi   bertaqwa
8)      Kitab yang Aqwam
Al-Qur`an adalah prinsip panduan akidah dan panduan amalan hidup di dunia dan akhirat .

Sekian.

May 25, 2016

The Power Of Al-Qur`an: Komitmen Dr. Danial Mengkaji Al-Qur`an


BBB, 17 Sha`ban 1437 – 24 Mei  2016 (Selasa):
Selepas menghasilkan buku  `Qur`an Saintifik` (Cetakan Pertama 2007), Dr. Danial menghasilkan pula buku `The Power of Al-Qur`an (2013). Ini menandakan komitmen yang tinggi Dr. Danial  terhadap kajian  Al-Qur`an secara saintifik.


Buku ini dihasilkan atas permintaan  pihak Yayasan Pahang yang antaranya mengendalikan Ma`ahad Tahfiz Pahang.  Dr. Danial diminta oleh pihak Yayasan cadangan (2008) bagi penambahbaikan kurikulum bagi Ma`ahad Tahfiz berkenaan. Bagi menunaikan hasrat Yayasan Pahang ini Dr. Danial telah mengadakan beberapa bengkel dan multaqa  di Yayasan Pahang yang  menghasilkan cadangan Penambahbaikan  Kurikulum Ma`ahad  Tahfiz Yayasan Pahang (2009). Buku yang terhasil iaitu `The Power of Al-Qur`an`  adalah merupakan hasil dari bengkel dan multaqa yang diadakan yang digunakan di Ma``ahad Tahfiz di bawah Yayasan Pahang.
Antara visi dan misi dari kurikulum dan kandungan buku ini, bahawa Dr. Danial, berharap  buku yang menjadi kurikulum di Ma`ahad Tahfiz Yayasan Pahang menjadi  sebagai `Kurikulum Jambatan` yang menghubungkan Al-Qur`an dengan keilmuan semasa (Sains).
Beliau memuji pihak Yayasan Pahang, khususnya Ma`ahad Tahfiz yang telah berjaya mengeluarkan pelajar-pelajar  cemerlang, tetapi beliau mahu pelajar-pelajar tidak setakat hanya berjaya dari segi hafalan, tetapi juga adalah memahami dan menghayati Al-Qur`an. Beliau merujuk kepada pendapat Dr. Yusof al-Qaradhawi di dalam bukunya `Fiqh al-Awliyat yang mementingkan kefahaman bersama hafalan daripada hafalan semata-mata. Di dalam ungkapan yang lain `mementingkan al-Dirayah dari al-Riwayah`. Dengan kefahaman bersama hafalan dapat memahami kandungan Al-Qur`an, bahkan dengan kefahaman dapat membuka berbagai-bagai dimensi kefahaman berkait dengan berbagai-bagai keilmuan
Adalah dilihat konsep kefahaman di samping hafalan mempunyai  kaitan rapat yang membuat Dr. Danial memiilih  tajuk bagi bukunya The Power of Al-Qur`an. Apa yang dilihat bahawa `power` yang paling utama  ialah `Kebenaran Al-Qur`an` itu.
Beberapa contoh significant dari kefahaman  menghasilkan kesan yang jelas kepada  pengkaji-pengkaji yang memahami dan mendalami  kandungan Al-Qur`an mendapat kesan dari kebenaran Al-Qur`an sebagaimana dikatakan oleh Dr. Danial iaitu :
1.        Seorang ilmuan, iaitu Dr. Jerald Frederck Dirks dari Kansas, Amerika Syarikat  tokoh Kristian yang mendalami Bible, dalam kajiannya  beliau mendapati tidak semua kandungan kitab Bible asli. Beliau dapati sebahagian daripadanya adalah tambahan yang dilaku manusia.
2.       Kitab  Injil juga adalah versi baru yang disusun pemuka-pemuka agama Kristian. Penulisan disusun  kemudian  lantaran kitab asalnya telah hilang.
3.       Dr. Jerald Frederick mengkaji tentang kandungan Al-Qur`an dan terbukti asli Al-Qur`an, tiada berlaku  penambahan dan pembaharuan sebagaimana berlaku pada kitab Bible dan Injil.  Meyakini terhadap Al-Qur`an, maka pada tahun 1993 Dr. Jirald Frederick Dirks memeluk agama Islam.
4.       Dr. Maurice Bucaile, seorang pakar bedah di Pranchis, mengkaji tentang asal usul manusia dan kagum dengan apa yang terkandung di dalam Al-Qur`an dan memeluk agama Islam. Beliau menulis antaranya  tentang The  Origin of Man  dan  The Bible,The Qur`an And  Science
5.       Profesor Jeffrey Lang, seorang pakar matematik dari Universiti Kansas, Amerika juga memeluk agama Islam pada 1982, juga selepas mengkaji Al-Qur`an dan menulis buku tentang Islam
6.       Dr. Gary Muller juga seorang pakar matematik dari Toronto, Kanada juga mendalami Ilmu Ketuhanan dan 1978 beliau berkesempatan mengkaji Al-Qur`an yang membawanya memeluk agama Islam.
Berhubung dengan perubahan  yang berlaku di dalam kitab Taurat dan Injil, memang disebut di dalam Al-Qur`an. Antaranya  ayat yang bermaksud:
``Wahai ahlu al-kitab, mengapa kamu mengelirukan  perkara yang b enar dengan yang batil. Kamu menyembunyikan perkara yang benar, sedangkan kamu mengetahuinya (Ali `Imran: 71).
Pada ayat yang lain firman Allah bermaksud:
``Dan adalah dari kalangan mereka itu ada golongan yang memutar lidah mereka  (berdusta)  berhubung dengan kitab suci, supaya kamu menyangka dia adalah dari al-kitab, sebenarnya bukan daripada kitab Allah. Mereka berkata ia adalah dari Allah dan tidak dia daripada Allah. Mereka sebenarnya mendustai Allah dan mereka tahu yang mereka dusta (Ali `Imran: 78).
Menurut Ibn Kathir dan al-Zuhaily dalam tafsir mereka Golongan yang merubah dan munukar ayat –ayat Allah ialah kaum Yahudi  yang mengubah kandungan kitab Suci al-Taurat.
Usaha penyelewengan mereka  juga dapat dikaji oleh pengkaji-pengkaji mutakhir dan membuktikan kebenaran  apa yang disebut di dalam Al-Qur`an. Mereka mendapati kedustaan dilakukan oleh penyeleweng-pnyeleweng terhadap kitab suci Al-Taurat dan juga Injil dan didapati apa yang disebut di dalam Al-Qur`an adalah benar. Ini menyebabkan pengkaji-pengkaji berkenaan mereima Islam (masuk Islam).
Dr. Danial mahu agar pelajar-pelajar  tahfiz  mempelajari Al-Qur`an tidak setakat meriwayat, termasuk membaca dan menmghafal semata-mata, tetapi hindaklah mempelajari dan mengkaji secara `dirayah` iaitu mengkaji dan menyelidik terhadap kandungan Al-Qur`an dan mengeluarkan mutiara-mutiara kebenaran dan penemuan-penemuan baru yang dapat memberi faedah bukan saja kepada orang Islam, tetapi kepada manusia sejagat. Dengan ini menyerlahkan Islam, terutama kepada yang bukan Islam dan semoga menerima Islam berdasarkan keyakinan terhadap kandungan  Al-Qur`an dan Islam itu sendiri.
Hasrat seperti di atas ditimbulkan oleh Pengarah Ma`ahad Tahfiz Negeri Pahang (Dato` Hj Zulkifle Hj. Ali) yang menyatakan dalam Kata Pengantarnya, `Betapa perlunya huraian dan tafsiran Al-Qur`an  dengan tafsiran semasa yang releven dengan keperluan semasa.``
Manakala Pengurus Besar Yayasan Pahang (Dato` Hajah Sa`ariah binti Saad) mengharapkan Ma`ahad Tahfiz Negeri Pahang yang mula beroperasi (1996) dengan konsep `Al-Dirayah` mengharap pihak Ma`ahad Tahfiz dapat mengeluarkan pelajar-pelajar cemerlang yang bukan sahaja menghafal Al-Qur`an, tetapi memahaminya secara mendalam dan dapat menyebarluaskan keilmuan yang dipelajari terhadap masyarakat umat.

Sekian.


May 24, 2016

Hikmah Dari Suruh-Larang Shara` - Tingkatkan `Ubudiyyah Insan


BBB,  16 Sha`ban 1437 =  23 Mei 2016 (Isnin):
Telah disebut pecahan keempat dari buku Qur`an Saintifik oleh Dr. Danial Zainal Abidin diberi judul bagi bahagian empat ini sebagai Tujuan Dan Matlamat Hidup Manusia. Pada kebiasaan tujuan dan matlamat hidup manusia muslim ialah `Kejayaan Dunia Akhirat`  atau lebih khusus bagi `Beribadat Kepada Allah.
Tetapi melihat kepada kandungan bagi bab ini agak panjang dan berbagai topik dibicarakan (46 bab – Persoalan), maka ianya lebih sesuai diberijudul
`Hikmah Dari suruh larang Shara` - Tingkat Ubudiyyah Insan`
Di bawah tajuk ini dapat dimasukkan bab-bab di atas di bawah slot-slot tajuk di atas.
Tujuan utama hidup  insan untuk memperhambakan diri kepada Allah adalah tepat sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
``Tidaklah kujadikan jin dan manusia melainkan untuk taabbudiyyah (beribadat dalam  erti yang luas yang merangkumi segala kepatuhan dan kebaikan) – ( Al-Dhariyat: 56).
Di bawah tujuan  taabbudiyyah termasuk apa yang dibicarakan oleh Pengarang bahawa:
`Ibadah  sebagai tujuan hidup – Termasuk  judul Hikmah Ibadah, antaranya mematuhi  aturan, menepati waktu, membersih jiwa dan membentuk jiwa dengan taqwa.
Termasuk diwah hikmah ialah persoalan larang. Tiap larangan di dalam shara`,  adalah mempunyai hikmat dan  kepentingan bagi  insan. Larangan dari berjudi, kerana ianya merosakkan kehidupan baik dari segi moral dan harta yang biasanya judi menjerumus manusia kepada kepapaan. Larang dari mencuri, kerana merosakkan akhlak pencuri di samping merosakkan ketenteraman masyarakat. Demikian larangan dari berzina menjdikan penzina rosak akhlak,  rosak maruah dan turunan. Pengarang turut membicarakan seks bebas dan peranan media merangsang  pembaca dengan elemen berkenaan yang sebenarnya membawa elemen yang tidak baik bagi masyarakat. Islam amat menjaga  dari segi kebersihan keturunan  dan ianya menjadi salah satu maqasid al-Shari`ah.  Lantaran itu Islam amat menekankan pembinaan keluarga melalui perkahwinan dan melalui perkahwinan  menjalin hubungan antara keluarga dan membina masyarakat harmoni.
Pengarang melihat kaedah permakanan adalah berkait dengan nilai saintifik. Misalnya Islam menenkankan umat Islam  agar memakan makanan yang halal lagi baik seperti firman Allah Ta`ala bermaksud:
Maka makanlah  kamu daripada apa yang direzekikan oleh Allah daripada makanan yang halal lagi baik dan bersyukurlah dengan nikmat yang dikurniai Allah (Al-Nahl: 114).
Dengan makanan yang halal terhindar dari makanan haram yang boleh  merosakkan dari segi kebersihan maknawi yang merencatkan minda dan jiwa, ianya hilang keberkatan dan tiada pahala di sisi Allah. Makanan yang halal ialah makanan yang diurus penghasilannya sebaik mungkin . Ayat Al-Qur`an juga menekankan makanan yang di makan hendaklah makanan yang baik.Dengan baik makanana dapat menjaga kesihatan dan membantu tumbuh besar anak-anak. Makanan yang baik juga dan tidak rosak tidak terganggu dari segi kesihatan. Makanan yang tidak baik ialah makanan yang didapatkan secara tidak halal, dicuri atau makanan itu sendiri rosak dan tidak sesuai dari segi untuk di makan.   Memilih makanan yan g merosakkan dilarang di dalam Islam.  Makanan  – termasuk minuman seperti meminum arak,  penyalahgunaan dadah, makan daging babi adalah dilarang dan boleh merosakkan. Firman Allah bermaksud:
``Jangan kamu campakkan dirii kamu di dalam kebinasaan` (Al-Baqarah: 195).
Pengarang memberi tumpuan kepada makanan yang halal, baik dan berkhasiat. Aspek  ini dikira sebagai aspek saintifik  dari segi permakanan di dalam Islam. Tujuan makan ialah untuk mendapat kecergasan bagi  melaksanakan peranan ubudiyyah hamba kepada Tuhan dan kebaikan kepada masyarakat, dan makan adalah tujuan untuk hidup dan bukan hidup untuk makan. Makan pula biar berimbang menurut keperluan, tetapi makan berlebihan sehingga menjadi masalah bagi kesihatan hingga badan menjadi berat dan gemuk dan akibat makan berlebihan mengundang berbagai-bagai jenis penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung.
Dr. Daniel menyebut khasiat makanan dan buah-buahan seperti  khasiat gandum biji-bijian seperti khasiat tamar yang terkenal dapat memberi tenaga dan dikaitkan dengan juadah berbuka puasa, tembikai, mentimum. Khasiat sayur mayur, berbagai-bagai jenis makanan yang bervitamim. Beliau juga membicarakan secara khusus tentang khasiat selepas tamar, ialah  buah zaitun, buah tin, khasiat air zamzam,. Turut dibicarakan kaedah penyembelihan dalam Islam bagi mendapat daging yang halal menurut cara Islam. Juga dibicarakan tentang konsep dan keperluan khatan di dalam Islam, konsep suci dan bersih dalam Islam, konsep solat dan puasa dan kepentingan. Terasa makin akhir bukunya, makin banyak persoalan yang ditimbulkan, bukan saja tentang makanan, tetapi juga persoalan ibadat yang mungkin masih releven dengan soal saintifik Qur`an, tetapi semakin meluas. Sebenarnya jika mau dibincangkan persoalan dan bidang-bidang yang bersifat saintifik amat banyak, tetapi apa yang dibincangkan oleh Dr. Danial adalah dilihat sebagai priority yang baginya perlu diberi perhatian.
Pada penghujung selepas membicarakan berbagai-bagai aspek Saintifik Al-Qur`an dari yang bersifat ayat Qur`aniyyah dan Kauniyyah kepada kejadian alam secara menyeluruh, kemudian kepada kejadian di langit dan angkasa, membawa kepada bumi dan seterusnya kepentingan dari segi permakanan bagi kesihatan dan ibadat beliau membuat kesimpulan  bahawa Al-Qur`an adalah pemangkin ilmu sains. Katanya
``Qur`an bercakap kepada manusia melalui perantaraan akal dan fikiran. Ia merangsang manusia untuk terus berfikir dan mengkaji supaya dengan itu mereka menemui  kebenaran. Daripada rangsangan ini Iahir satu umat yang saintifik. Dari kajiannya beliau membuat kesimpulan bahawa sains adalah membenarkan Islam, walaupun tidak semua saintis mengakurinya.
 Dengan buku  Qur`an Saintifik, Dr. Danial memberanikan diri meneroka dimensi yang jarang dibicarakan, bukan mereka yang lain tidak menyedarinya, tetapi bimbang meletakkan sains bergandingan dengan Al-Qur`an sebagai gandingan yang mungkin dapat dipersoalkan, iaitu meletakkan Al-Qur`an yang jelas diterima dan diakui kebenaran, sedangkan sains yang ditemui dan dibicarakan tidak semua benar. Lantaran keraguan yang ada dalam sains dan penemuan-penemuan yang tidak pasti tidak harus digandingkan dengan Qur`an. Walau bagaimana dengan kajian ini dari satu segi makin menyerlahkan kebenaran dan keagungan Al-Qur`an, jika tidak mereka yang berkemampuan di dalam ilmu Al-Qur`an dan bidang Sains, siapa lagi dapat diharap untuk menulis ? Dr. Danial memberi sumbangan penting di dalam, bidang kepakarannya, diharap orang  lain yang mempunyai kepakaran sepertinya akan turut menulis bagi menambahkan khazanah keilmuan yang dapat   lebih  mendekati  diri kepada Tuhan.

Sekian.

May 23, 2016

Insan Kejadian Yang Paling Sempurna


BBB,  15 Sha`ban 1437 = 22 Mei 2016 (Ahad):
Semua pihak mengakui bahawa  insan adalah merupakan penciptaan Allah yang paling sempurna. Ini ditegaskan oleh Allah Ta`ala sebagaimana di dalam Surah al-Tin bermaksud:
``Sesungguhnya Kami ciptakan insan seelok kejadian. (Al-Tin:  4).
Sebaik-baik kejadian ini meliputi dari segi fizikal, bahawa binaan tubuh fizikal adalah binaan bentuk yang paling indah. Berdiri di atas dua kaki dengan bahagian kepala, iaitu bahagian yang paling istimewa bagi fizikal manusia berada pada bahagian atas.. Pada bahagian kepala ada akal dan darinya berfungsi segala inderawi.
Selain dari sempurna dari segi fizikal,  Allah mengiktiraf bahawa  insan  adalah merupakan pimpinan di atas  muka bumi ini. Antara ayat bermaksud:
``Dan Allah berfirman kepada mala`ikat, bahawasanya Aku menjadikan  (manusia)  khalifah di muka bumi ini,`` (Al-Baqartah: 30)
Pada tempat yang lain Allah berfirman bermaksud:
``Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah-khalifah di bumi dan meninggikan setengah daripada kamu atas setengah yang lain beberapa darajat`` (Al-An`am:  165).
Apa yang dikatakan oleh Al-Qur`an tentang  keistimewaan insan dari segi fizikal dan kelebihan  tidak siapa yang dapat menafikannya. Dan konsep khalifah yang boleh dimaksudkan kepada pemimpin, pemerintah,  dan  kekuasaan tidak dapat dinafikan. Bahkan dapat dilihat, bahawa kemajuan insan pada masa ini  adalah dari kelebihan diberi Allah kepada insan . Iaitu seperti  kemajuan kehidupan, pemimpim dari segi poltik,  kemajuan ekonomi dan sebagainya  yang mencirikan tamadun dan peradaban  insan dan bangsa manusia itu sendiri. Bukti keistimewaan kejadian  mereka lebih dari bukti saintifik yang tidak dipersoalkan.
Cuma dari  segi pendekatan, ialah bagaimana tercipta manusia pada peringkat awal di dalam kewujudan alam,
Sesungguhnya dalam ciptaan langit dan bumi dikatakan pada peringkat  awal, dan manusia sebahagian dari ciptaan pada peringkat yang lebih kemudian.
Sesungguhnya dalam ciptaan alam dan cakrawala, tidak ada yang mampu memberi keterangan bagaimana manusia bermula wujud. Penggunaan teori seperti teori evolusi Darwin juga tidak meyakinkan dari segi kejadian manusia.
Namun fakta-fakta kejadian manusia dapat diikuti jelas dan nyata.
Kejadian fizikal manusia disebut di dalam Al-Qur`an. Antaranya bermaksud:
Sesungguhnya kami  jadikan manusia dari pati tanah ( Al-Mu`minun: 13)
Atau ayat bermaksud:
Sesungguhnya Kami telah menciptakan mereka dari tanah liat yang berubah (Al-Saffat: 1`1)
Konsep dicipta dari tanah boleh dimaksudkan kepada ciptaan peringkat permulaan manusia dan sebarang hidupan dari tanah. Boleh juga dimaksudkan kepada kehidupan kini yang makanan mereka serta biuah-buahan yang dimakan tumbuh dan dari hasil tanah.
Dr. Danial ada menyebut juga tentang kejadian Siti Hawa  dijadikan dari tulang rusuk Adam.  Mungkin ini sebagai kiasan yang perempuan adalah menjadi sebahagian dari diri lelaki di dalam kehidupan dan juga memerlukan perdampingan perempuan di dalam kelangsungan hidup
Konsep perempuan dijadikan dari tulang rusuk, Penulis lebeih tertarik kepada huraian dan tafsiran Dr. Maurice Bucaille di dalam bukunya yang berjudul The Origin of Man dengan merujuk pada peringkat awal  kejadian makhluk, bahawa ada bahagian dari kejadian, termasuk manusia peringkat permulaan, iaitu hasil dari pecahan diri dari peringkat sel tunggal yang mebelah diri sebagai pasangan. Bahkan ada tumbuhan hingga kini melanjutkan diri dengan pecahan dan pengasingan diri sebagai lanjutan keturunannya..
Adapun dari segi perlanjutan manusia biasa melalui perkahwinan. Beberapa tempat disebutkan di dalam Al-Qur`an  bahawa  manusia dijadikan dari benih sperma bapa dan ibunya . Ayat Al-Qu`an menyebut tentang proses kejadian manusia yang bermaksud:
``Dan sesungguhnya kami  telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah..
Kemudian kami jadikan (pati) itu air benih pada tempat penetapan yang teguh-kukuh.
Kemudian Kami ciptakan air benih (dari tulang salbi bapa dan al-tara`ib si ibu)  menjadi sebuku darah beku, lalu kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging. Kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang. Kemudian kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian  itu, Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik  Pencipta (Al-Mu`minun: 12-14).
Jelas  di dalam Al-Qur`an lengkap dengan maklumat tentang kejadian manusia, pembesaran  selepas kelahiran. Sebagaimana disebut tentang tahap-tahap perkembvangan janin dari dalam perut ibu, demikian juga  penjagaan anak  kecil. Misalnya anak berhak diberi susu ibu selama dua tahun, untuk menjamin kekuatan tubuh  anak-anak dari dijangkiti penyakit.
 Dalam hal manusia ini, adalah didapati maklumat daripada Al-Qur`an tentang kejadian manusia baik pada peringkat bayi hingga  hingga ke besar, bahkan proses perkembangan manusia dari zaman anak-anak membawa kepada remaja dan dewasa dan hingga kepada kematian  sebenar banyak, benar dan saintifik di bawa oleh Al--Qur`an berbanding dengan maklumat-maklumat di luar  dari Al-Qur`an. Dengan maklumat maklumat luar yang bersifat andaian dan bercanggah, kita dapati tidak dapat menandingi Al-Qur`an  yang benar dan lebih dari saintifik.

Sekian.

May 22, 2016

Kejadian Alam: Langit Dan Bumi

BBB, 14 Sha`ban 1437 = 21 Mei 2016 (Sabtu):

Selepas membincangkan Konsep Dua Ayat – Qur`aniyyah  dan Kauniyyah, Pengarang membicarakan topik yang mempunyai hubungan yang rapat dengan topik Saintifik, iaitu mengenai kejadian  alam atau lebih khusus kejadian langit dan bumi. Pengarang bertolak sebagai bukti ayat Qur`aniyyah berhubung dengan kejadian alam pada peringkat pernulaan dengan mengambil ayat dari Surah al-Anbiya` ayat 30 bermaksud:


``Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan  dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda  yang satu), lalu kami pisahkan antara keduanya. Dan kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup. Maka mengapa mereka tidak mahu beriman ?``
Dr. Danial Zainal Abidin amat terpengaruh dengan teori `big bang` . Beliau melihat teori `big bang` ini sesuai dengan permulaan ciptaan Allah terhadap alam semesta ini termasuk langit dan bumi. Kejadian ini berlaku dijangka sejak 12 hingga 14 bilion tahun dahulu. Letusan permulaan yang mengambil ruang terhad kemudian berkembang. Dari kesatuan unsur pecah sebagaimana kata ayat Al-Qur`an. Selepas berlaku `big bang` dikaitkan  dengan proses kelahiran gas-gas  hidrogen dan helium yang bercantum dan menjadi gumpalan raksaksa. Ini dibuktikan dengan ayat Al-Qur`an   (Surah Fssilat: 11)  bermaksud:
``Kemudian Ia menujukan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, sedang langit itu masih berupakan asap.``
Sambungan bagi ayat tentang asap Allah memberitahu tentang ciptaan selanjutnya bermaksud:
``Lalu ia menjadikannya tujuh langit, dalam dua  masa. Dan ia memberitahu kepada tiap-tiap langit akan urusan dan keperluan masing-masing. Dan kami hiasi akan langit yang dekat (pada pandangan mata penduduk bum) dengan bintang-bintang yang bersinar cemerlang serta memelihara langit itu dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Amat  Mengetahui.``(Fussilat: 12).
Perluasan alam semesta berlaku  yang melahirkan berbagai-bagai kejadian di dalamnya. Konsep perluasan ini terdapat di dalam Al-Qur`an yang bermaksud:
``Dan langit itu kami dirikan dia dengan kekuasaan Kami (Dalam bentuk binaan yang kukuh rapi). Dan sesungguhnya  Kami benar-benar meluaskannya.`` ( Al-Dhariyyat: 47)``
Dan seterusnya melahirkan bintang-bintang, planet-planet, matahari , bulan, bumi  hinggalah perkembangan  meluas seperti kini.
Berhubung dengan proses ciptaan Allah Dr. Danial Zainal Abidin menyebut Allah mencipta alam ini dalam tempoh enam hari. Antaranya ayat di dalam Surah al-Sajdah bermaksud:
``Allah  Tuhan yang Menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada antara keduanya dalam enam masa (hari). Kemudian Ia bersemayam di atas `arash) (Al-Sajdah 4) dan beberapa tempat yang lain yang menyebut tempoh enam masa atau hari   (Hud: 7).
Pengarang Dr. Danial  cuba mewajarkan tempoh berkenaan. Tetap konsep 6 hari ini tidak mesti sama dengan maksud enam hari yang kita fahami. Ia mungkin bermaksud tahap atau susunan. Sedangkan Allah Maha Berkuasa. Apa yang mau dicipta cukup dengan arahan `Kun fayakun` ! Dr. Danial memetik pendapat Syed Qutb dalam Fi Zilal al-Qur`an, bahawa konsep hari itu adalah hari-hari yang ditetapkan Allah. Manakala Hamka dalam  Tafsir Al-Azhar menyatakan hari dimaksudkan `Hari Allah`.
Dr. Danial menyebut pertanyaan , apaklah proses utama berlaku selepas letusan (big  beng)  berlaku .Beliau menyusun , bahawa terdapat 6 tahap utama. Tetapi tahap in  tidak dikaitkan dengan konsep enam hari yang dbiincangkan di atas (Enam yang disusunnya secara kebetulan
Proses enam tahap berikut dari peristiwa ` big bang` ialah:
1)       Ledakan `big bang` dan  pengembangan
2)      Peringkat  penyejukan dan kelahiran nukleus
3)      Kelahiran atom. Fasa ini memakan masa lebih kurang 300,000 tahun.
4)      Asap dan kelahiran galaksi serta bintang-bintang. Fasa ini bermula selepas 300,000 tahun di atas hingga kepada 1 billion tahun
5)      Percantuman galaksi. Kelahiran Big Hole dan matahari. Memakan masa dari 1 billion hingga 9 billion tahun
6)      Kejadian bumi dan Atmosfera dan permulaan hidupan, iaitu selepas 9 bilion tahun dahulu
Ini bererti kejadian tercipta dengan secara sistematik dan bertahap. Pengarang memetik pendapat Said Hawa  di dalam ` Al-Asas fi al-Tafsir`  berkata,. ``Memang jelas sekali Qur`an menetapkan penciptaan galaksi-galaksi (di langit) berlaku terlebih dahulu daripada bumi.  Ini merupakan sebahagian daripada mu`jizat  yang menunjukkan Qur`an datang daripada Allah.
Antara kejadian yang paling banyak diangkasa ialah bintang-bintang.  Al-Qur`an menyebut tentang bintang 13 tempat. Di galaksi Bima Sakti sahaja terdapat antara 200-400 bilion bintang.  Bayangkan betapa luas dan banyaknya bintang yang mempupunyai begitu banyak galaksi..  Antara planet terbesar ialah matahari berada di tengah-tengah sistem suria yang  planet-planet mengelilinginya dan mendapat cahaya daripadanya. Matahari mengandungi 74 peratus hirogen dan selebihnya helium.  Jarak antara matahari dengan bumi ialah  93,036 724 batu .  Matahari mempunyai jangka hayat, antara ahli sains menjangka iaitu selama 10 bilion  tahun . Antara teori kiamat ialah apabila matahari kehabisan tenaga. Namun Allah sebenarnya yang lebih tahu..
Bumi adalah planet yang kita huni. Menurut saintis ia mula tercipta sejak 4.5 bilion tahun yang lalu
Tentang  bumi banyak ayat Al-=Qur`an menyebutnya. Antaranya bermaksud:
``Allah mentadbirkan  segala perkara  daripada langit ke bumi.`` (Al-Sajdah: 5)  .
Sebagaimana kejadian-kejadian Allah yang lain mererima kerosakan, demikianlah juga dengan bumi. Firman Allah bermaksud;
``Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya. Serta bumi mengeluarkan segala isinya.`` (Al-Zalzalah: 1-2).
Pertanda dan fenomena kerosakan sering berlaku seperti gempa, taufan dan sebagainya mengingatkan manusia, bahawa kesegalaan adalah fana. Sebab itu mereka perlu mengikut jalan selamat, iaitu jalan Islam.

Sekian.                                                                                                                                                                                               


May 21, 2016

Persoalan Dibincangkan Di Dalam Qur`an Saintifik


BBB,  13 Sha`ban 1437 = 20 Mei 2-016 (Jumaat):
Terlalu banyak  aspek  saintifik di dalam Al-Qur`an, tentulah pengarang (Dr. Danial bin Zainal Abidin) perlu membuat pilihan secara priority mengenai aspek-aspek tersebut.
Pengarang membahagikan bukunya  kepada lima bahagian, iaitu:
1)       Cemerlang Dengan Menguasai Dua Ayat
2)      Permulaan Alam Semesta Permulaan Segala-galanya
3)      Manusia Dan Asal Usulnya
4)      Tujuan Dan Matlamat Hidup Manusia
5)      Epilog
Penulis kurang setuju dengan tajuk no. 2. Bagi Penulis cukup dengan ``Permulaan Alam Semesta`  sahaja sebagai permulaan yang bersifat `Kauniyyah`, kerana  bila disebut, `Permulaan Segala-galanya` memberi   implikasi terhadap kewujudan alam ghaib (selain dari Allah), iaitu selain dari apa yang dibicarakan oleh Pengarang di bawah bahagian ini yang semuanya terhadap alam benda. Penulis tidak persoalkan pecahan kandungan di bawah bahagian ini.
Di bawah setiap bahagian di atas, kecuali bahagian lima terdapat lebih kurang 20 bab-bab kecil, kecuali bahagian empat terdapat di bawahnya 47 bab. Bagi bab 5 hanya  3 bab. Keseluruhan lebih sedikit dari 100 bab. Banyaknya bab-bab ini kerana setiap bab hanya antara 1 hingga 5 halaman yang boleh dikatakan ringkas. Penulis menjangka bab-bab ini merupakan rumusan siri ceramah yang pernah disampaikan seperti di radio atau ucapan-ucapan  yang pernah disampaikan.
Daripada lima bahagian bagi susunan buku Qir`an Saintifik, maka tiga bahagian pertama adalah benar-benar fokus kepada  persoalan saintifik, manakala bahagian 4, lebih kepada ibadat, amalan permakanan dan kesihatan yang persoalan dan pembicaraan lebih bersifat biasa, walaupun tidak dinafikan juga mempunyai elemen saintifik.
Dalam mengolah kandungan buku  `Qur`an Saintifik` Pengarang banyak membuat rujukan terhadap tafsir-tafsir dan Penulisan-Penilisan mengenai  Al-Qur`an dari pentafsir-pentafsir seperti Al-Qurtubi, Ibn Kathir, Said Hawa, Syed Qutub, dan Hamka. Rujukan juga dibuat terhadap buku-buku agama  Dalil al-Falihin, Riyad al-Salihin, Ihya` Ulum al-Din, Al-Tibb al-Nabawi dan buku-buku umum. Juga  buku-buku yang diklasifikasikan sebagai umum seperti The  Amezing Qur`an, The Making of Humanity,, Perubatan Islam Dan Bukti Sains, dan Kitab Bible.
Bermula dari bab 5 di bawah bahagian pertama Pengarang mula membicarakan secara saintifik berhubung dengan alam semesta yang sebagaimana disebut dari segi pendekatan bahawa Pengarang bertolak dari Ayat Qur`aniyyah, kemudian diikuti dengan ayat Kauniyyah dan huraian. Di dalam hal ini beliau bertolak dari ayat di dalam Surah al-Ghashiyah (17-20) yang bermaksud:
``Apakah mereka tidak melihat kepada unta bagaimana  ia diciptakan. Dan langit bagaimana ia ditinggikan. Dan gunung ganang bagaimana ia ditegakkan. Dan bumi bagaimana ia dihamparkan.`
Seterusnya dikuatkan dengan ayat Al-Qur`an Surah al-Mu`minun ayat 80 bermaksud:
``Dialah yang menghidup dan mematikan dan Dialah yang (Mengatur) pertukaran malam dan siang. Apakah kamu tidak berfikir mengenainya.`` Ditambah dengan ayat Ali Imran , ayat 190, bermaksud:
``Bahawasanya pada  kejadian langit dan bumi dan perubahan malam dan siang menjadi pertanda bagi mereka yang berakal.``
Ayat-ayat di atas menuntut manusia menggunakan minda mereka di dalam memahami penciptaan Allah. Bagi memahaminya secara mendalam tidak setakat pemerhatian tetapi menuntut kepada pengkajian yang menghasilkan ilmu.  Sesungguhnya pengkajian mengenainya menghasilkan keilmuan yang berhubung dengan haiwan (zoology), tumbuh-tumbuhan (botani), melahirkan ilmu astronomii, ilmu bumi, geologi. Juga melalui kajian menghasilkan keilmuan yang berhubung kesihatan dan berhubung dengan cuaca. Mengenai cuaca  Pengarang memetik firman Allah di dalam Surah Al-Zukhruf ayat 11, bermaksud:
``Dialah menurunkan hujan dari langit mengikut kadar lalu kami hidupkan  dengan air itu bumi yang mati.``
Pengarang memetik pendapat  Pentafsir  Ib n Kathir yang menyebut tentang Ibn Abbas dan Ibn Mas`ud  berkata bahawa hujan yang turun pada suatu tahun tidak akan melebihi kadar yang turun pada tahun-tahun yang lain. Menurut Pengarang pendapat  dua tokoh `ulama` ini adalah selari dengan penemuan sains moden. Ini sesuai sebagaimana disebut oleh NASA dan United States Geological Survey. Menurutnya pakar-pakar menganggarkan  air hujan yang turun ke bumi mencecah 513  trilion ton setiap tahun.
Demikian ayat Al-Qur`an yang menyebut berhubung dengan air yang mengalir ke muara laut yang memisahkan antara yang masin dan tawar bagi kepentingan penghidupan, iaitu ayat yang bermaksud:
``Atau siapakah yang menjadikan bumi tempat penetapan, dan telah menjadikan sungai-sungai di antara bahagin-bahagiannya, dan menjadikan untuknya gunung ganang yang menetapnya dan juga telah menjadikan antara dua laut (yang masin dan tawar) makanan  ( semula jadi)  yang memisahnya. Adakah sebarang Tuhan yang lain bersama Allah ? (tidak !), bahkan kebanyakan mereka  (yang musyrik itu) tidak mengetahui.`` (Al-Naml: 61)
Dari kajian saintifik berkenaan pemisahan air masin dan tawar pada permukaan kuala itu adalah benar.
Menurut Pengarang  ayat-ayat di atas sebagai contoh permulaan adalah rangsangan yang istimewa daripada Allah supaya umat Islam mendekati alam bagi mengkajinya. Mereka yang mahir dalam bidang-berkenaan adalah antara mereka yang disifatkan oleh Al-Qur`an sebagai ulu al-bab.  Dengan hasil kajian mendekatkan diri dengan Allah, bertakwa dan makin menmgukuhkan dari segi akidah tauhid.   Jelas kata Pengarang bahawa Islam adalah pemangkin sains. Dan Al-Qur`an juga menurut Pengarang mendidik umat  kepada  melahirkan minda saintifik dan progresif.  

Sekian.