August 25, 2019

JAWI KUNCI KEILMUAN DAN SENI ROHANI


JAWI KUNCI KEILMUAN DAN SENI ROHANI
(Fikrah Bangi: 327),
BBB: 24 Zulhijjah 1440H. = 25 Ogos 2019M. (Ahad).
Dengan penerimaan tulisan jawi sejak akhir abad ke 13M, maka selama 8 abad jawi menjadi tulisan yang merupakan kunci keilmuan bagi peradaban Melayu Islam. Jawi menjadi medium membaca perkara-perkara yang berhubung dengan akidah, ibadat, perundangan, muamalat bahkan menjadi tulisan bagi urusan pentadbiran dan perniagaan. Kegunaan ini berterusan hinggalah zaman kemerdekaan. Segala penerbitan seperti kitab-kitab, buku-buku dan segala urusan yang memerlukan tulisan adalah menggunakan tulisan jawi. Tulisan rumi hanya baru diguna selepas tahun 1960an. Tulisan jawi adalah rupa tulisan dan jiwa peradaban bagi orang Melayu dan penduduk di negara ini.. Kalau kita mau mengkaji tentang peradaban Melayu, maka ianya tidak sempurna tanpa mengkaji dokumen tulisan, kitab-kitab dan manuskrip yang berjumlah lebih dari 15,000 yang terhimpun di perpustakaan-perpustakaan dan dan arkib-arkib di negera ini dan juga berbagai perpustakaan di luar negara. Penentang terhadap tulisan jawi yang merupakan warisan intelektual Melayu-Nusantara adalah penentang ilmu, tradisi budaya dan kesenian. Penentang adalah bersifat tidak rasional dan bersifat sentimen dan tidak bersifat intelektual.
Satu anugerah yang diterima melalui tulisan jawi, ialah membuka peluang kepada orang Melayu dan Nusantara berkenalan dan menghayati seni rohani yang tiada tara halus dan mendalam yang tidak dicapai oleh seni-seni alamiah yang lain. Melalui Al-Qur`an, selain dari ianya dipelajari kandungan keilmuan di dalamnya Al-Qur`an menganugerahkan kaedah-kaedah linguistik dan tajwid dan pembacaan secara berlagu.
Melalui pembacaan ianya dapat dilagukan secara tarannum  berbagai lagu - tarannum murattal seperti  bayati, hijaz, nahwan, tawassut, jiharki, saddad, saba dan ajam. Lagu-lagu sedemikian popular digunakan dalam pertandingan musabaqah Al-Qur`an di negara ini pada peringkat, tempatan, negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Pengajian terhadap Al-Qur`an begitu terkenal di Malaysia hingga ke peringkat antarabangsa.
Satu anugerah yang diterima masyarakat Melayu yang menerima Islam ialah kehalusan seni rohani yang di alami melalui Islam. Seni rohani ini tidak saja dipelajari dan dialami jiwa sesatu individu, tetapi seni rohani, misalnya melalui perpaduan bahasa dan kehalusan rasa melalui tasawuf mengalir dan terjelma di dalam tulisan khat. Khat ialah garisan minda, rasa dan rohani yang mengalir dari hati rohani ke jari dan tertulis berbagai-bagai bentuk tulisan yang indah dan tinggi dari segi seninya. Tulisan-tulisan yang indah ini diperturunkan di dalam tulisan berbentuk nasakh, raq`ah, thuluth, raihan dan berpuluh-puluh pecahan dariadanya. Huruf Al-Qur`an `an dan jawi tidak statik, tetapi dapat dibentuk dengan berbagai gaya sama ada memanjang, melebar, menegak, melentang memuncak membentuk berbagai bentuk tulisan yang melambangkan kehalusan rasa dan seni jiwa penulisnya. Saesungguhnya tiada tulisan yang seindah dan seseni huruf Al-Qur`an. Walapun ada kaligrafi dalam bahasa lain seperti Jepun dan Cina, tetapi tiada mampu menandingi kaligrafi Islam yang dikukuh bukan saja dari elemen alamiah, tetapi lebih kepada elemen rohaniah.
Percikan seni rohani tidak saja tergubah di dalam bacaan seperti Al-Qur`an  dan tulsan khat, tetapi juga berlaku  pada seni bina Islam, tiada seni bina di dunia ini sehalus seni bina Islam yang dihidupkan oleh  elemen kerohaniannya yang halus dan kental. Lihat saja kepada berbagai bentuk seni bina masjid yang rohaniah sifatnya. Lihat saja berbagai sen bina yang mempunyai sentuhan kerohanian Islam seperti Taj Mahal, banguinan-bangunan istana di Cordova dan berbagai binaan yang mempunyai sentuhan Islam di negara-negara Islam. Tiada seni rohani  setinggi yang dapat dihasilkan Islam baik di Jepun, Cina, Rusia dan Barat.
Seni rohani juga terpercik ke dalam bidang persuratan yang melahirkan penyair-penyair besar Islam seperti Rabi`ah al-`Adawiyah, Hafiz, Iqbal dan ramai lagi, juga terpercik kepada bidang muzik yang melahirkan irama yang menyentuh kerohanian.
Penentang-penentang terhadap Jawi adalah mereka yang kering dari segi rohani dan miskin dari segi aeni, keras dari segipendirian dan tiada kehalusan.
Bagi orang Islam dan Melayu, jangan pisahkan diri dari tradisi intelektual dan seni rohani yang dianugerah Islam. Ia adalah sumber intelektual dan seni rohani.
Sekian.

No comments:

Post a Comment