April 30, 2021

 

PERSEDIAAN

(Fikrah Bangi: 894).

BBB:  18 Ramadhan 1442H. = 30 April 2021M. (Juma`at).

 

Selpas ditentukan tarikh pembedahan mata oleh pihak Optalmologi Universiti Malaya, iaitu pada 19 Ogos 2020, maka persediaan perlu dibuat oleh diri Penulis dan persediaan yang dikehendaki oleh pihak Hospital Mata Universiti Malaya. Antara persediaan yang diambil oleh Penulis mulai dari 5 Ogos, ialah menjaga kesihatan diri, misalnya menjaga makan minum dan mengelak dari meningkatnya kolestrol yang selama ini memang Penulis sedari adanya masalah kolestrol, dan selama ini memang mengambil pil kolestrol, tetapi tidak tetap. Ambil jika merasa berat kepala dan berat bahagian tengkuk, tetapi abaikan dari mengambil pil kolestrol yang berwarna putih untuk elak dari kesan makan ubat. Turut juga diambil ubat darah tinggi yang berwarna merah jambu, tetapi tidak berterusan. Kedua dua ubat telah lama tersedia yang didapati dari klinik swasta dan antaranya dibawa oleh anakanda Hidayah dari HKL tempat beliau bertugas.

Antara persediaan yang dibuat, ialah exercise dan mengeluarkan peluh setiap hari terutama pada petang hari secukupnya. Bagi persediaan untuk mengelak mata bila dibedah dari terdedah secara langsung dengan cahaya, Penulis disebut-sebut perlu memakai cermin mata hitam buat beberapa masa. Sebagai persediaan beberapa hari sebelum tiba tempoh operasi Penulis telah mengunjungi kedai Cermin Mata (Optemetry) di Kompleks Warta dan membeli cermin mata gelap.

Pihak Jabatan Optalmologi sendiri membekalkan arahan pada peringkat permulaan bila datang mendaftar.

Contoh arahan kepada pesakit:

Selepas diberi tarikh pembedahan.

1.     Sila ikut  temujanji yang diberi untuk hadir di klinik mata bagi pemeriksaan darah, jantung dan ukuran kanta `intraoculer lens`.

2.     Sekiranya anda mempunyai pertanyaan sila hubungi no—no telefon yang disediakan.

3.     Pembayaran kanta intraocular lens dan vascoelastic perlu dibuat sebelum hari pembedahan (pada hari review).

Pada satu hari sebelum pembedahan kebersihan diri.

Sila syampu rambut anda. Jangan gunakan minyak rambut. Sila bercukur (jika berkenaan) sebelum hari pembedahan.

Pembatalan Pembedahan

Jika anda tidak berminat atau ingin membatalkan temujanji pembedahan anda perlu hubungi nombor-nombor telefon yang dibekalkan.

Antara nasihat yang diberikan dari peringkat awal bahawa:

Pesakit yang mau menjalani pemeriksaan mata, apalagi  pembedahan dinasihati jangan datang bersendirian ke Hospital Mata. Pesakit hendaklah datang dengan  teman yang mampu memandu. Ini ialah kerana sejak awal datang mendaftar dan memeriksa mata, pesakit akan dititik dengan beberapa cecair ke dalam mata, antaranya bagi mengembangkan urat-urat mata bagi tujuan pemeriksaan. Bila cecair-cecair berkenaan dititik di dalam mata,berlaku kelainan pandangan dan penglihatan becar dan tidak dapat melihat secara normal. Kedua-dua belah mata yang sakit dan mau dibedah dan yang tidak atau belum mau dibedah, maka kedua-duanya dititik dengan cecair. Selepas pemeriksaan dan titik cecair, maka pesakit tidak dapat memandang secara normal dan perlu diiring oleh yang datang bersama. Dalam keadaan demikian, pesakit sudah pasti tidak dapat memandu, sebab itu perlu disertai oleh pengiring bagi pergerakan, lebih-lebih lagi dari segi pemanduan.

Penyertaan teman sebenarnya perlu sama sejak dari menguruskan pendaftaran,bahkan mempestikan giliran dan sering perlu sama ke bilik pemeriksaan Doktor, kerana ada pertanyaan dan keperluan jawapan dari pengiring semasa dari masa pemeriksaan lagi. Kalau pesakit dalam keadaan teruk dan tidak dapat melihat dengan jelas, tetatulah memerlukan pengiring bersama bagi berurusan.

Pesakit yang di dalam keadaan sakit dan tidak jelas penglihatan, bagi mempastikan keselamatan diri wajar diiringi oleh pengiring seperti anak, suami atau isteri dan sebagainya.

Sekian.

April 29, 2021

 

BERPERATURAN DAN TELITI

(Fikrah Bangi:  893),

BBB: 17 Ramadhan 1442H. = 29 April 2021M. (Khamis).

 Dapat dikatakan bahawa antara anggota atau bahagian yang paling penting pada diri manusia adalah mata, jantung dan puncaknya akal. Bayangkan kerosakan mata keseluruhannya menyebabkan diri dalam kegelapan. Hilang dari nikmat memandang, tidak dapat membaca seperti biasa dan tidak dapat memandang kejadian Tuhan, terutama yang kita kasihi. Pendek kata sebahagian dari kurniaan Tuhan ditarik kembali. Jantung pula adalah pusat dari pergerakan badan. Denyut nadi dan pernafasan adalah berfungsi dengan adanya gerakan jantung yang menggerakkan perjalanan darah dan bererti masih hidup. Bila jantung terhenti dan tidak berfungsi, bererti mati. Serangan jantung, sakit jantung dan apa yang berhubung dengan sakit jantung, dikira sebagai sakit yang mengundang maut, baik secara secara bertahap atau mengejut dan maut. Sebab itu sebarang pertanda ke arah serangan jantung seharusnya diberi perhatian dan rawatan dari peringkat awal seperti darah  tinggi, kolestrol tinggi dan sebagainya. Paling ditakuti ialah kehilangan fungsi otak yang dipohon dari Allah dijauhi seperti gila. Tapi yang lebih ditakuti di sini ialah kehilangan fungsi dan daya fikir. Sememangnya ada yang hilang daya ingatan dan terbaring dan perlu diberi perhatian berterusan. Ketuaan juga boleh mengurangkan daya berfikir dan ingatan, iaitu nyanyuk disebabkan usia yang tua.

Masalah yang dihadapi Penulis yang berhubung dengan mata adalah pertanda ke arah sakit yang serius, jika tidak bertindak merawatnya dari peringkat awal. Walaupun Penulis akui dari segi merawat mata ini ada kecuaian, biarpun diperingat kawan sejak 2013, dan pernah dalam pemergian ke Hospital UKM dan bertemu dengan Prof. Dr. Muhaya Pakar Mata di UKM pada masa itu, beliau pernah mencadangkan supaya merawat mata di HUKM, hospital bagi universiti yang Penulis berkhidmat, tapi Penulis merasakan apa yang dihadapi Penulis pada masa itu tidaklah begitu serius.

Tindakan yang serius, sebagaimana disebutkan ialah melalui usaha anak Penulis – Ahmad Zakir yang telah membuat temu janji dari Profesor Dr. Norlina Pakar Mata di Universiti Malaya yang dikenalinya. Pemergian ke Bahagian Mata di Universiti Malaya pada 2.7.2020 membawa kepada temujanji seterusnya.

Pemeriksaan bagi merawat mata, Penulis dapati adalah melalui procedure standard dan penuh ketelitian. Pertemuan pada 2.7.2020 sebagaimana disebutkan dilakukan lebih dari sekali dan menemui beberapa pakar mata yang mau memastikan adakah mata kiri Penulis dapat dipulihkan, kerana katarak begitu tebal melitupi urat saraf ke bahagian bawah dan sukar dikenalpasti apakah ianya masih berfungsi. Dalam pertemuan dan pemeriksaan ini turut sama hadir beberapa pelajar Rawatan Mata hadir yang menjadikannya kes bagi pembelajaran. Walau bagaimana pada akhirnya dibuat keputusan kes mata Penulis diputuskan bagi temujanji seterusnya, iaitu pada Rabu 5 Ogos 2020, iaitu bagi tahap pemeriksaan kesihatan.

Persiapan perlu dibuat bagi pertemuan ketiga ini. Rawatan dan pembedahan mata di jabatan yang dikenali sebagai Jabatan Oftamalogi ini memerlukan kos rawatan yang tinggi. Bagaimanapun sebagai Bekas Pekerja di UKM, maka perlu dibuktikan dengan `Kad Pesara`  yang melayakkan Penulis dikecualikan daripada bayaran. Walau bagaimana sebagai bekas pegawai di bahagian berkanun – tidak sepenuhnya diktiraf sebagai bekas pekerja kerajaan, maka Penulis diingatkan oleh pegawai di bahagian pendaftaran, perlu membayar sejumlah wang deposit dan bila selesai rawatan, maka deposit ini boleh dituntut kembali. Jadi Penulis perlu bersedia dengan sejumlah kewangan.

Sebagaimana dijanji, maka pada pagi 5.8.2020 anakanda Ahmad Zakir bertolak dari rumahnya di Bukit Jelutung di Shah Alam ke Bandar Baru Bangi dan pada jam 8.00 pagi bertolak dari Bandar Baru Bangi ke Jabatan  Oftamalogi di tingkat satu bahagian selatan bangunan. Tiba sebagaimana biasa perlu mendapat no giliran dan menunggu panggilan. Temu janji check kesihatan ini,ialah test pembacaan mata dan berbaring check badan dengan tampalan berpuluh pad pada bahagian badan terutama pada bahagian dada. Pada dasarnya tidak ada masalah yang menghalang daripada penerusan rawatan dan temujanji yang penting bagi rawatan mata kiri Penulis ditentukan, iaitu pada  Rabu 19 Ogos 2020, perlu hadir mulai jam 8.00 pagi. Sebelum pulang anakanda Ahmad Zakir pergi ke bahagian kaunter bayaran. Jumlah bayaran deposit ialah sebanyak RM1,340/=.

Sekian.

April 28, 2021

 

BILA MATA  MAKIN KRITIKAL

(Fikrah Bangi: 892),

BBB: 16 Ramadhan 1442H. = 28 April 2021M. (Rabu).

Dapat dikatakan bahawa Penulis dapat dikategorikan sebagai `Lambat Bertindak` berhubung dengan masalah mata `Kabur Penglihatan`. Tanda-tanda sebelah mata kiri makin kurang penglihatan ini disedari sejak 2013 lagi. Namun oleh kerana tidak serius dan dapat melaksanakan tugas, khusus sebagai ADUN dapat dilakukan sebagaimana biasa, maka tindakan tidak diambil. Y.B. Cikgu Lim Kim Sin ADUN Kajang dari PKR (Penulis ADUN Bangi pada masa itu) pernah menyebut tentang pertanda pada mata Penulis semasa di dalam Dewan Undangan Negeri Selangor, tetapi Penulis tidak  mengambil serius tentang ingatannya.

Masa agak lama untuk Penulis mengambil tindakan hingga mata kiri yang asalnya masih kelihatan, tetapi kabur dan mata kanan yang dianggap elok mulai sama diserang katarak. Pada peringkat akhir membimbangkan Penulis untuk memandu, kerana pernah melanggar bahu jalan dan penutup roda kiri bahagian depan Kancil tercabut dan pecah. Penulis makin hati-hati memandu sekitar Bangi ke Sungai Ramal sahaja dan sering memasang lampu Kereta Hilux untuk mengelak dari perlanggaran.

Kesedaran awal untuk memeriksa mata hanya berlaku pada Khamis 30.4.2020 bersamaan 7 Ramadhan 1441 H. ketika mengiringi isteri ke Hospital Az-Zahrah bagi memeriksa tangannya yang cedera kerana jatuh di tangga di rumah. Penulis bersama pergi dengan niat mau mememriksa mata dan mendapat nasihat dari Doktor Mata di Hospital swasta berkenaan. Keputusan memperlihatkan mata kiri 6/60 dan mata kanan ialah 4/49. Pada petang hari tersebut anakanda Ahmad Zakir dan lain-lain datang ke rumah atas urusan khusus. Masalah mata dimaklumkan kepada beliau. Beberapa bulan sebelum daripada itu diberitahu melalui kenalan dengan Doktor Pakar Mata di Universiti Malaya bapa mertuanya melalui temujanji dibuat telah dapat merawat kedua belah matanya yang juga menghadapi masalah katarak dan melalui dua kali pembedahan kedua-dua mata mertuanya kembali pulih dari segi penglihatan.

Pada hari itu juga Penulis meminta anakanda Ahmad Zakir membuat temu janji bagi pemeriksaan mata Penulis.

Anakanda Ahmad Zakir berusaha untuk mendapat tarikh temujanji bagi pemeriksaan mata penulis. Akhirnya melalui kenalan Pakar Dr. Mata Universiti Malaya, iaitu Profesor Dr. Norlina tarikh temujanji untuk pemeriksaan mata Penulis ditentukan, iaitu  pada Khamis 2 Julai 2020.

Jam  10.30 pagi Penulis bersama anakanda Muhammad Nadzmi bertolak dari rumah di Bandar Baru Bangi, manakala Ahmad Zakir – adik Muhammad Nadzmi bertolak dari rumahnya di Bukit Jelutung, Shah Alam sama pergi ke Universiti Malaya bagi pemeriksaan berkenaan. Surat pemeriksaan dari Hospital  Az-Zahrah  yang diambil sebelumnya turut sama dibawa. Masalah parkir agak sukar didapai, walau bagaimana pada akhirnya terdapat ruang pada bahagian atas bangunan parkir.

Ada tiga kali proses pemeriksaan terpaksa dilalui.

Proses pertama ialah pendaftaran dan menunggu giliran dipanggil. Setelah agak lama menunggu, sampai giliran dipanggil. Pemeriksaan dilakukan oleh Dr. Mata  bertugas (bukan Dr. Norlina). Menurut Dr. Yang Memeriksa, bahawa mata kanan, relatifnya masih `OK. Masalah bagi mata kiri, oleh kerana selaputnya begitu tebal, maka urat saraf di belakangnya tidak pasti masih berfungsi atau tidak. Tapi diharap masih berfungsi.

Penungguan (masuk)  kali kedua, check terhadap mata kiri dan keputusan perlu dioperate.

Selepas itu beredar ke bahagian temu janji. Keputusan diberi bahawa Penulis dikehendaki datang pada Rabu 5 Ogos 2020 bagi memeriksa kesihatan. Jika tidak bermasalah barulah ditentukan tarikh pembedahan dan pembayaran deposit.

Sekian.

April 27, 2021

 

KURNIAAN  DAN UJIAN

(Fikrah Bangi: 891),

15 Ramadhan 1442H. = 27 April 2021M. (Selasa).

Dalam minda dan harapan sebagai kehidupan yang dilalui kebiasaan manusia, maka kiranya hayat yang diberi Allah sehingga umur kira-kira 70 tahun, maka adalah merupakan satu kesyukuran. Tempoh ini kira-kira berakhir pada tahun (1942-2012). Tempoh ini adalah tambahan setahun dari tugas diri Penulis sebagai  ADUN Bangi.

Penulis berpuashati sebelum mengakhiri tugas sebagai ADUN Bangi dapat menunaikan tugas dengan puashati. Bersungguh-sungguh bekerja dengan pasukan yang bekerja dengan penuh dedikasi. Kawasan Serdang (sebagai Yang Di Pertua) dan DUN Bangi dapat ditambah dari segi cawangan. Antara cawangan terbanyak  di Selangor. Dengan kekuatan ini pengganti dapat mengekalkan dan memenangi kerusi DUN dengan majoriti yang memuaskan. Mulai 2014 Penulis tidak meneruskan karier politik. Penulis tidak lari dari minat dan kegemaran Penulis sejak dari 1960an ialah menulis.

Sebenarnya sejak menjadi ADUN Bangi, Penulis telah mendaftar Penerbitan yang diberi nama `Galeri Bangi Bandar Ilmu`. Dan penerbitan buku terawal ialah `Bangi Bandar Ilmu` (2012). Konsep Bangi Bandar Ilmu adalah menjadi motto bagi mengangkat dan mempopularkan Bangi sebagai Bandar Ilmu. Selepas Penulis mengakhiri kegiatan berpolitik, maka bidang penulisan kembali menjadi bidang tumpuan Penulis.

Perlanjutan usia Penulis yang menjadi target awal Penulis adalah sekitar umur 70 tahun adalah merupakan kurniaan Ilahi yang semestinya disyukuri. Sesungguhnya baki  umur yang merupakan subsidi dari Ilahi dapat Penulis menggunakannya sebaik mungkin bagi menghasilkan penulisan. Sesungguhnya sejak dari tahun 2012 dan seterusnya setiap tahun dapat Penulis menghasilkan sebuah buku. Hingga kini sejumlah 19 buku telah dapat dihasilkan dan dalam jangkaan, insya Allah jika dikurnia Allah panjang umur banyak lagi buku dalam perancangan. Kerja menulis dan menghasilkan buku ini adalah secara perseorangan. Semuanya tidak memberi pulangan pendapatan. Kepuasanlah sebagai ganjaran.

Walau bagaimana kurniaan Allah dengan tambahan subsidi umur ini bukan tidak ada ujian. Modal penting di dalam kehidupan ialah `Kesihatan`.

Dapatlah dikatakan sepanjang hidup Penulis, tidaklah ditimpa ujian sakit yang teruk. Walau bagaimana di dalam hidup, khususnya bagi membaca dan menulis, maka mata yang sihat dan cerah amat penting bagi membaca dan menulis. Sekitar tahun 2013, Penulis mulai menyedari bahawa sebelah mata Penulis, iaitu mata sebelah kiri mulai kabur. Penglihatan bagi mata sebelah kiri ini makin berkurang, walau bagaimana masih tidak meghalang dari perjalanan dan penglihatan secara keseluruhan.

Penulis mengakui, bahawa kesedaran untuk merawat mata yang diakibatkan oleh katarak ini lambat diambil tindakan oleh Penulis. Kesan mulai terasa  di dalam kegiatan membaca dan menulis. Pada kebiasaan tidak menjadi masalah bagi Penulis membaca Al-Qur`an, tetapi pada peringkat mutakhir disedari bahawa sukar melihat kandungan Al-Qur`an, walaupun huruf-hurufnya adalah jelas pada kebiasaan. Lantaran itu untuk membaca Al-Qur`an, maka Al-Qur`an yang besar huruf dan tulisan adalah Al-Qur`an yang menjadi pilihan. Bukan setakat membaca Al-Qur`an, tetapi membaca akhbar-akhbar yang dibeli secara harian, maka pembacaan yang diberi lebih kepada tajuk-tajuk utama sahaja. Jika ingin mengetahui secara detail bagi kandungan dan pemberitaan, maka penggunaan kanta terpaksa dilakukan.

Kesan dari katarak pada mata kiri ini, tidak saja menjejaskan prestasi pembacaan, tetapi juga dari segi penulisan. Menulis dan menaip tulisan dan karangan pada komputer juga turut terjejas. Menaip biasanya menggunakan saiz huruf 10 terpaksa diadjust kepada saiz 14, bahkan hingga 16. Selain itu sukar untuk diulang baiki, kerana kekaburan dari membaca, lantaran itu sering berlaku kesilapan dari segi ejaan.

Walau bagaimana pada peringkat ini belum berlaku halangan bagi perjalanan dan pemanduan hinggalah tiba pada peringkat Penulis berpeluang merawat mata berkenaan.

Sekian.

April 26, 2021

 

KEMBALI KE MEJA  PENULISAN

Setelah berhenti dari menulis selama lima minggu akibat dari faktor kesihatan, Maka pada hari ini Penulis kembali menyambung penulisan dengan fasal baru setelah berada hampir pada akhir setengah  abad usia Bandar Baru Bangi (1977-2027).

Kini Penulis kembali berada di Anjung Penelitian ke arah  setengah abad usia Bandar Baru Bangi. Penulis akan kembali menyambung penulisan dari apa yang telah Penulis rakam di dalam buku yang berjudul:

40 Tahun Bandar Baru Bangi  (2018). Semoga Allah memanjangkan usia hingga kepada 2027 – Insya Allah.

Banyak perkara yang menarik yang telah berlaku dan mungkin akan berlaku dalam penujuan usia setengah abad usia Bandar Baru Bangi.

Dilihat dari segi global sejak akhir 2019 berlakunya pandemik yang bermulanya dari Wuhan di negara China dan wabak ini tersebar luas ke seluruh dunia.Hingga kepada 25 April 2021, kematian menuju kepada angka 3 juta dengan jumlah tertinggi di USA, India, Brazil, Perancis, Rusia, Turkey, UK, Italy, Spanyol, germany dan lain-lain. Kematian di negara kita adalah sebanyak 1,436(+10).

Wabak ini sungguh menakutkan dan belum pernah terjadi seperti ini sebelum ini. Seluruh dunia memeranginya dan bekerjasama di dalam menahaninya dengan pelbagai jenis vaksin yang turut sama dilakukan di negara kita.

Kesan dari wabak ini amat ketara dan merencatkan perkembangan ekonomi. Ramai daripada  penduduk kehilangan sumber pendapatan. Semua negara menguncup dari perkembangan ekonomi. Gangguan berlaku dari segi pendidikan dan kehidupan kemasyarakatan. Semua pihak berusaha dan mengharapkan wabak berkenaan akan berakhir dan kehidupan kembali kepada normal.

Wabak Covid-19 mengunah norma hidup masyarakat dari kehidupan normal kepada norma baru seperti penjarakan, memakai pelitup muka, menjaga suhu badan, sering membasuh tangan dan mengelak dari berada di kawasan sesak dan orang ramai. Untuk mengelak dari merebaknya wabak sekatan-sekatan rentas  kawasan dan sempadan dilakukan, dalam negara dan antara negara. Walaupun semuanya  tidak selesa dari segi kehidupan, tetapi ianya terpaksa dihadapi dan menjadi norma baru kehidupan.

Melihat kepada situasi di dalam negera, sebagaimana maklum, perubahan politik tanahair berlaku secara drastik. Politik yang sejak merdeka di bawah pemerintahan BN, telah bertukar kepada pemerintahan yang dikenali sebagai Pakatan Harapan sejak Mei, 2018. Suatu kejutan yang dilakukan oleh rakyat yang tentunya mengharapkan perubahan yang lebih baik dapat dinikmati, tetapi dalam tempoh 2 tahun, apa yang diharapkan tidak berlaku. Rasa tidak puashati timbul, sokongan yang diberi terhadap Pakatan Harapan mulai ditarikbalik sebagaimana tercermin di dalam PRK sejak 2019.

Sementara itu berlaku pergolakan di dalam PH sendiri yang diluar dugaan pergolakan dalam ini menjatuhkan pemerintahan PH dan bertukar kepada pemerintahan Pakatan Nasional.

Kedudukan PN juga tidak stabil dan menghadapi gugatan. Sebagaimana PH yang menhhadapi gugatan dalamansebelumnya, demikian juga dengan PN yang terdiri dari beberapa komponan parti juga tidak berada di dalam keselesaan. Umno yang berada di dalam PN dan merasakan dirinya kuat banyak menimbulkan permasalahan dan menggugat antara menyokong PN dan untuk menarik sokongan.

Situasi politik tanahair sebenarnya tidak stabil. Pemerintah misalnya dituntut, di sebalik darurat, didesak agar mngadakan kembali sidang parlimen dan DUN. Adalah dilihat bahawa kemelut politik negara tidak akan selesai, kecuali dengan mengembalikan mandat kepada rakyat melalui pilihanraya. Namun tiada kepastian kestabilan dapat dicapai, jika dilihat tiadanya kesepakatan, terutamanya di kalangan parti-parti yang memerintah kini.

Kedudukan negara di tengah-tengah pentas dunia adalah sesuatu yang menarik, bagaimana negara meletakkan dirinya antara kuasa besar dunia. Sejauhmanakah bijaksana pimpinan negara menjuarai kepimpinan se Asian, serantau  dan di Lembangan Pasifik dan global.

Banyak perkara yang dijangka akan berlaku sekitar setengah abad dilihat dari Anjung Bangi dan dekad 2020-2030.

Sekian.