April 26, 2021

 

KEMBALI KE MEJA  PENULISAN

Setelah berhenti dari menulis selama lima minggu akibat dari faktor kesihatan, Maka pada hari ini Penulis kembali menyambung penulisan dengan fasal baru setelah berada hampir pada akhir setengah  abad usia Bandar Baru Bangi (1977-2027).

Kini Penulis kembali berada di Anjung Penelitian ke arah  setengah abad usia Bandar Baru Bangi. Penulis akan kembali menyambung penulisan dari apa yang telah Penulis rakam di dalam buku yang berjudul:

40 Tahun Bandar Baru Bangi  (2018). Semoga Allah memanjangkan usia hingga kepada 2027 – Insya Allah.

Banyak perkara yang menarik yang telah berlaku dan mungkin akan berlaku dalam penujuan usia setengah abad usia Bandar Baru Bangi.

Dilihat dari segi global sejak akhir 2019 berlakunya pandemik yang bermulanya dari Wuhan di negara China dan wabak ini tersebar luas ke seluruh dunia.Hingga kepada 25 April 2021, kematian menuju kepada angka 3 juta dengan jumlah tertinggi di USA, India, Brazil, Perancis, Rusia, Turkey, UK, Italy, Spanyol, germany dan lain-lain. Kematian di negara kita adalah sebanyak 1,436(+10).

Wabak ini sungguh menakutkan dan belum pernah terjadi seperti ini sebelum ini. Seluruh dunia memeranginya dan bekerjasama di dalam menahaninya dengan pelbagai jenis vaksin yang turut sama dilakukan di negara kita.

Kesan dari wabak ini amat ketara dan merencatkan perkembangan ekonomi. Ramai daripada  penduduk kehilangan sumber pendapatan. Semua negara menguncup dari perkembangan ekonomi. Gangguan berlaku dari segi pendidikan dan kehidupan kemasyarakatan. Semua pihak berusaha dan mengharapkan wabak berkenaan akan berakhir dan kehidupan kembali kepada normal.

Wabak Covid-19 mengunah norma hidup masyarakat dari kehidupan normal kepada norma baru seperti penjarakan, memakai pelitup muka, menjaga suhu badan, sering membasuh tangan dan mengelak dari berada di kawasan sesak dan orang ramai. Untuk mengelak dari merebaknya wabak sekatan-sekatan rentas  kawasan dan sempadan dilakukan, dalam negara dan antara negara. Walaupun semuanya  tidak selesa dari segi kehidupan, tetapi ianya terpaksa dihadapi dan menjadi norma baru kehidupan.

Melihat kepada situasi di dalam negera, sebagaimana maklum, perubahan politik tanahair berlaku secara drastik. Politik yang sejak merdeka di bawah pemerintahan BN, telah bertukar kepada pemerintahan yang dikenali sebagai Pakatan Harapan sejak Mei, 2018. Suatu kejutan yang dilakukan oleh rakyat yang tentunya mengharapkan perubahan yang lebih baik dapat dinikmati, tetapi dalam tempoh 2 tahun, apa yang diharapkan tidak berlaku. Rasa tidak puashati timbul, sokongan yang diberi terhadap Pakatan Harapan mulai ditarikbalik sebagaimana tercermin di dalam PRK sejak 2019.

Sementara itu berlaku pergolakan di dalam PH sendiri yang diluar dugaan pergolakan dalam ini menjatuhkan pemerintahan PH dan bertukar kepada pemerintahan Pakatan Nasional.

Kedudukan PN juga tidak stabil dan menghadapi gugatan. Sebagaimana PH yang menhhadapi gugatan dalamansebelumnya, demikian juga dengan PN yang terdiri dari beberapa komponan parti juga tidak berada di dalam keselesaan. Umno yang berada di dalam PN dan merasakan dirinya kuat banyak menimbulkan permasalahan dan menggugat antara menyokong PN dan untuk menarik sokongan.

Situasi politik tanahair sebenarnya tidak stabil. Pemerintah misalnya dituntut, di sebalik darurat, didesak agar mngadakan kembali sidang parlimen dan DUN. Adalah dilihat bahawa kemelut politik negara tidak akan selesai, kecuali dengan mengembalikan mandat kepada rakyat melalui pilihanraya. Namun tiada kepastian kestabilan dapat dicapai, jika dilihat tiadanya kesepakatan, terutamanya di kalangan parti-parti yang memerintah kini.

Kedudukan negara di tengah-tengah pentas dunia adalah sesuatu yang menarik, bagaimana negara meletakkan dirinya antara kuasa besar dunia. Sejauhmanakah bijaksana pimpinan negara menjuarai kepimpinan se Asian, serantau  dan di Lembangan Pasifik dan global.

Banyak perkara yang dijangka akan berlaku sekitar setengah abad dilihat dari Anjung Bangi dan dekad 2020-2030.

Sekian.

No comments:

Post a Comment