April 27, 2021

 

KURNIAAN  DAN UJIAN

(Fikrah Bangi: 891),

15 Ramadhan 1442H. = 27 April 2021M. (Selasa).

Dalam minda dan harapan sebagai kehidupan yang dilalui kebiasaan manusia, maka kiranya hayat yang diberi Allah sehingga umur kira-kira 70 tahun, maka adalah merupakan satu kesyukuran. Tempoh ini kira-kira berakhir pada tahun (1942-2012). Tempoh ini adalah tambahan setahun dari tugas diri Penulis sebagai  ADUN Bangi.

Penulis berpuashati sebelum mengakhiri tugas sebagai ADUN Bangi dapat menunaikan tugas dengan puashati. Bersungguh-sungguh bekerja dengan pasukan yang bekerja dengan penuh dedikasi. Kawasan Serdang (sebagai Yang Di Pertua) dan DUN Bangi dapat ditambah dari segi cawangan. Antara cawangan terbanyak  di Selangor. Dengan kekuatan ini pengganti dapat mengekalkan dan memenangi kerusi DUN dengan majoriti yang memuaskan. Mulai 2014 Penulis tidak meneruskan karier politik. Penulis tidak lari dari minat dan kegemaran Penulis sejak dari 1960an ialah menulis.

Sebenarnya sejak menjadi ADUN Bangi, Penulis telah mendaftar Penerbitan yang diberi nama `Galeri Bangi Bandar Ilmu`. Dan penerbitan buku terawal ialah `Bangi Bandar Ilmu` (2012). Konsep Bangi Bandar Ilmu adalah menjadi motto bagi mengangkat dan mempopularkan Bangi sebagai Bandar Ilmu. Selepas Penulis mengakhiri kegiatan berpolitik, maka bidang penulisan kembali menjadi bidang tumpuan Penulis.

Perlanjutan usia Penulis yang menjadi target awal Penulis adalah sekitar umur 70 tahun adalah merupakan kurniaan Ilahi yang semestinya disyukuri. Sesungguhnya baki  umur yang merupakan subsidi dari Ilahi dapat Penulis menggunakannya sebaik mungkin bagi menghasilkan penulisan. Sesungguhnya sejak dari tahun 2012 dan seterusnya setiap tahun dapat Penulis menghasilkan sebuah buku. Hingga kini sejumlah 19 buku telah dapat dihasilkan dan dalam jangkaan, insya Allah jika dikurnia Allah panjang umur banyak lagi buku dalam perancangan. Kerja menulis dan menghasilkan buku ini adalah secara perseorangan. Semuanya tidak memberi pulangan pendapatan. Kepuasanlah sebagai ganjaran.

Walau bagaimana kurniaan Allah dengan tambahan subsidi umur ini bukan tidak ada ujian. Modal penting di dalam kehidupan ialah `Kesihatan`.

Dapatlah dikatakan sepanjang hidup Penulis, tidaklah ditimpa ujian sakit yang teruk. Walau bagaimana di dalam hidup, khususnya bagi membaca dan menulis, maka mata yang sihat dan cerah amat penting bagi membaca dan menulis. Sekitar tahun 2013, Penulis mulai menyedari bahawa sebelah mata Penulis, iaitu mata sebelah kiri mulai kabur. Penglihatan bagi mata sebelah kiri ini makin berkurang, walau bagaimana masih tidak meghalang dari perjalanan dan penglihatan secara keseluruhan.

Penulis mengakui, bahawa kesedaran untuk merawat mata yang diakibatkan oleh katarak ini lambat diambil tindakan oleh Penulis. Kesan mulai terasa  di dalam kegiatan membaca dan menulis. Pada kebiasaan tidak menjadi masalah bagi Penulis membaca Al-Qur`an, tetapi pada peringkat mutakhir disedari bahawa sukar melihat kandungan Al-Qur`an, walaupun huruf-hurufnya adalah jelas pada kebiasaan. Lantaran itu untuk membaca Al-Qur`an, maka Al-Qur`an yang besar huruf dan tulisan adalah Al-Qur`an yang menjadi pilihan. Bukan setakat membaca Al-Qur`an, tetapi membaca akhbar-akhbar yang dibeli secara harian, maka pembacaan yang diberi lebih kepada tajuk-tajuk utama sahaja. Jika ingin mengetahui secara detail bagi kandungan dan pemberitaan, maka penggunaan kanta terpaksa dilakukan.

Kesan dari katarak pada mata kiri ini, tidak saja menjejaskan prestasi pembacaan, tetapi juga dari segi penulisan. Menulis dan menaip tulisan dan karangan pada komputer juga turut terjejas. Menaip biasanya menggunakan saiz huruf 10 terpaksa diadjust kepada saiz 14, bahkan hingga 16. Selain itu sukar untuk diulang baiki, kerana kekaburan dari membaca, lantaran itu sering berlaku kesilapan dari segi ejaan.

Walau bagaimana pada peringkat ini belum berlaku halangan bagi perjalanan dan pemanduan hinggalah tiba pada peringkat Penulis berpeluang merawat mata berkenaan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment