March 19, 2016

Semoga Jauharat Al-Tauhid Memberi Manfa`at Kepada Tullab


BBB, 09 Jamadil Akhir 1437 = 18 Mac 2016 (Jumaat):
Masih pada peringkat khutbah al-Kitab, Pematan mengungkapkan:
Tetapi untuk memanjang melemahkan kemahuan  *   Jadilah ianya rumusan menepati ketentuan
Bermaksud Matan  jauharat al-Tauhid sengaja digubah secara  ringkas padat, tetapi ianya merangkumi perkara-perkara yang perlu dari segi kewajipan kifayah. Pensharah dalam ulasannya menyatakan ada tiga jenis pengajian yang dituntut dari segi kifayah, iaitu:
1)      Ilmu Tauhid yang juga dikenali dengan ilmu al-Sifat, Ilmu Usul al-Din atau Ilmu al-Kalam.
2)      Ilmu Fiqh bagi membolehkan  kita menunaikan ibadat kepada Allah Ta`ala
3)      Ilmu Tasawuf sebagai pelengkap dalaman diri.
Di dalam mengulas bayt di atas Shaykh Ibrahim al-Baijuri di dalam Tuhfat al-Murid mengatakan, bahawa di dalam menyusun  bayt nazam  Jauharat al-Tauhid, bahkan di dalam apa jua karangan, pengarang tidak sewajarnya bersifat mubalaghah di dalam menyusun ungkapan sehinggap bersifat itnab dan pembaziran, sebaik-baiknya sebagai matan hendaklah bersifat `ijaz (ringkas dan padat` atau sekurang-kurang bersifat `musawat` - setara) sebagai sebuah karangan matan yang bersifat puisi. Shaykh Ibrahim al-Baijuri membawa di sini aspek ilmu balaghah di dalam menyusun kalam.
Bahkan menurut Shaykh Ibrahim al Baijuri:
``Mubalaghah di dalam memanjangkan ibarat membawa kepada kejemuan dan kejelekan`, apa lagi jika karangan dan bahasa yang disusun bersifat `mabuk` kata, sedangkan isinya tidak seberapa ! Biarlah ungkapan ringkas dari segi ibarat, tapi fasih diucap.`
Kata  Al-Baijuri, ``Melemahkan kemahuan adalah `majaz `aqli`, bukan bermaksud pematan tidak berkemampuan untuk mengolah persoalan yang dibicarakan, tetapi pertimbangan di dalam menyusun matan bersifat nazam itu perlu menjadi perkiraan, selain dari menjaga dari aspek balaghah sebagaimana disebut di atas, perlu juga difikirkan kesesuaian dari segi pembelajaran oleh pihak pelajar. Menulis matan dalam bentuk puisi mempunyai objektif. Antaranya:
1)       Meringkaskan persoalan (majaz)
2)      Memudahkan pengingatan
3)      Elemen estetika menceriakan pembelajaran
Seterusnya kata Pematan:
Inilah `Intipati` kandungan kunamakan  *    Permata Tauhid sesungguhnya kudidikkan
Sesungguhnya `intipati puisi yang bertemakan tauhid` ini dibaratkan sebagai permata yang berharga yang di dalam pemupukan Pematan, lantaran itu dinamakan oleh Pematan Jauharat al-Tauhid – Permata Tauhid.
Permata yang berharga ini memaksudkan kepada makna bercabang sekurang-kurangnya;
1)      Gubahan matan secara kreatif bagi mana-mana pengarang akan mengusahakannya menjadi sebagai hasil karya seni yang bermutu. Sebarang kelemahan dari aspek perpuisian merosakkan gubahan dan melemahkan mutu perpuisian. Ini sudah pasti mau dielakkan oleh Pematan.
2)      Permata Tauhid – Jauharat al-Tauhid yang menjadi objektif utama bagi Pematan ialah bahawa akidah tauhid yang dipersembahkan adalah intipati pengajaran tauhid yang insya Allah menyelamatkan akidah ummah sebagaimana kata pensharah bagi bayt ini menyebut bahawa akidah yang dibawa di dalam Matan dibicarakan adalah menurut pegangan  i`tiqad dua Imam Utama ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah iaitu Al-Imam Abu al-Hasan al-Ash`ari dan al-Imam Abu Mansur al-Maturidi.
Seterusnya kata Pematan:
Dan Allah aku harap menerima dan bermanfaat  *   Kepada pelajar  serta ganjaran  sebagai ibadat
Bayt ini sebagai jumlah do`aiyyah dari musannif (Pematan) agar kerja yang dilakukan, iaitu menyediakan wadah keilmuan akidah dalam gubahan puisi yang padat diterima oleh Allah sebagai kerja ibadat yang dilakukan semata-mata kerana Allah yang sudah tentulah pada masa itu tidak ada perkiraan material yang didapati. Pematan juga mengharapkan agar rumusan keilmuan akidah di dalam bentuk matan secara puisi itu memberi faedah kepada pelajar-pelajar. Harapan Pematan  ini  sesungguhnya tercapai, hasil kerja dan jerih perihnya dihargai dengan matannya ini diberi ulasan secara sharah dan hashiah oleh ulama-ulama` di dalam berbagai bahasa, termasuklah bahasa `Arab dan bahasa Melayu. Hasil karya baik pada peringkat matan, sharah dan hashiah telah dipelajari dari generasi ke generasi dan insya Allah berterusan. Pematan juga mengharapkan semua pihak mendapat ganjaran pahala hasil dari usaha mengarang, mensharah, menghashiah, mengajar dan belajar keilmuan akidah melalui karangan-karangan yang dihasilkan.
Kata Pensharah terhadap Matan bahawa ada tiga kategori ibadat yang diharap memberi manfaat dan menolak mudarat:
1)      Martabat ahl al-fiqh, iaitu sah dari segi zahir dan batin
2)      Martabat al-khawass ibadat yang dilakukan diqasadkan kerana mematuhi perintah Allah, kerana mahabbah dan ijlal kepada Allah. Ini dikira sebagai martabat pertengahan
3)      Martabat Akmal, iaitu tiada tujuan mengerjakan ibadat itu melainkan  kerana taqarrub kepada Allah Subhanahu wa Ta`ala.
Adapun mengerjakan ibadat kerana mengharap kemuliaan dan sanjungan di dunia, maka tiada pahala dan sia-sia.
Pematan dan Pensharah menyedari karangan mendepani guru, pelajar dan orang awam yang mengikuti pengajian,  sebab kata Sharih mengingatkan:
Bermula menuntut ilmu itu ialah untuk kefahaman dan mengamalkan, hendaklah belajar dari guru yang mursyid dan bersungguh-sungguh dalam pengajian hingga memahami apa yang diajarkan.

Sekian.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                       

March 18, 2016

Wajib Mempelajari Usul Al-Din: Pelbagai Pendekatan


BBB, 08 Jamadil Akhir 1437 = 17 Mac 2016 (Khamis):
Berkata  Shaykh Ibrahim al-Laqani selaku Pematan:
Berikut itu maka ilmu sebagai Usul Agama  * Perlu berguru mempelajari bagi memahaminya
Konsep `Usul al-Din` di sini lebih menyeluruh dan tidak terhad kepada ilmu akidah, tauhid atau ilmu al-kalam semata-mata, tetapi adalah segala bidang yang merangkumi segala keilmuan   yang mengukuhkan agama Islam yang memahami dan mengamalkan dengannya menyempurnakan keilmuan dan amalan. Ini termasuklah keilmuan yang berhubung dengan Al-Qur`an, Hadith, Fiqh, bahkan boleh dimasukkan keilmuan-keilmuan moden yang didekati secara perspektif Islam dan memprojekkan imej Islam sebagai agama yang mempunyai tamadun dan peradaban sendiri, bukan sahaja bagi masa silam, tetapi juga  pada masa mendatang. Kewajipan mempelajarainya bukan saja sebagai melepaskan tuntutan kifayah secara individu, tetapi adalah pada tahap keperluan ummah.
Pensharah sendiri, di dalam mengulas terhadap bayt matan ini, tidak mengkhususkan keilmuan yang wajib dipelajari hanya ilmu yang berhubung dengan aqa`id, walaupun itulah fokus pembicaraan, tetapi memaksudkan segala bidang ilmu `keislaman` dalam erti yang lebih luas bagi kesempurnaan  umat.
Kata Sharih:
``Dan kemudian daripada itu, maka menuntut ilmu `Dengan Pohon Agama`, itu fardhu `ain atas tiap-tiap mukallaf dan demikian mengajarkan ilmu itu yang berkehendak kepada memubayyinkan (Menjelaskan) dari pihak sukarnya kepada orang alim.`` Konsep mengajar dan mempelajari ilmu itu, kedua pihak yang mengajar dan yang belajar mengenal akan sesuatu itu dengan hakikatnya.
Dalam kata yang lain tugas belajar wajib kepada pelajar dan tugas mengkaji, menyelidik dan mengajar juga adalah wajib bagi para ilmuan Islam.
Sharih di dalam mengulas bayt di atas melihat ilmu terbahagi kepada dua iaitu, Ilmu yang bersifat khabar, atau yang lebih kita fahami dengan Ilmu Naqli, iaitu dikhabar dan diterima, iaitu Al-Qur`an yang diterima oleh Nabi Muhammad s.a.w. secara wahyu melalui Jibril dan dikahabar dan disampaikan kepada sahabat dan umat Baginda.
Kedua kata Sharih, ialah ilmu yang berasaskan akal dan penggunaan akal bagi mendapat istidlal. Di dalam konteks kini, keilmuan yang berasaskan akal ini begitu luas dan banyak, lantaran segala bidang keilmuan adalah dengan menggunakan akal seperti ilmu sains, matematik, perubatan, pertanian, industri, komunikasi dan sebagainya. Bahkan ilmu yang difokuskan di dalam pembicaraan, iaitu ilmu akidah juga berasaskan akal. Bagi memahami persoalam ketuhanan selain dari dalil naqal, memerlukan perbahasan yang berasaskan rasional akal seperti penggunaan kaedah logik dengan dalil dan burhan.
Bidang keilmuan ketiga yang dihurai oleh Sharih ialah keilmuan yang bergantung pada panca indera yang lima perkara yang disebutnya, iaitu penglihatan, pendengaran, pengrasaan, penyentuhan dan pembauan.
Apa yang dapat dihasilkan dari panca indera yang lima, lebih khusus adalah  maklumat yang bersifat pengalaman yang dapat membantu juga kepada pengukuhan maklimat dari segi akal.
Satu yang tidak disentuh ialah keilmuan yang dapat ditanggapi secara hati-rohani bagi mereka yang mempunyai kemampuan penanggapan dengan hati nurani yang hasilnya juga bersifat sujektif dan abstrak, misalnya kasih sayang, cinta dan rasa kemanusiaan. Aspek ini tidak kurang penting, bahkan mengukuh dan mengimbangkan keilmuan dan dapatan yang bersifat keras dan kaku, tetapi dihiasi dengan rasa kemanusian, mesra, cinta dan rasa kemanusiaan yang berperanan penting di dalam membina kemanusiaan, tamadun dan peradaban.
Walaupun keilmuan akidah banyak bergantung perbahasannya pada akal – dan pembukaan bagi keilmuan ini bertolak dari hukum akal, tetapi keilmuanm yang bersifat rohani dan pengalaman sama penting. Sebagai contoh mempelajari akidah adalah bagi mengenali Tuhan. Dengan pengenalan membetulkan persepsi diri terhadap Tuhan. Ini dibawa dan dipraktikkan di dalam ibadat. Menanggapi ketuhanan tidaklah sahaja secara kefahaman, tetapi di dalam ibadat perlu ada khusyuk, tawadu`, merasa rendah diri, mengharap dan sebagainya adalah merupakan elemen kerohanian. Tanpa ada bekalan dan persediaan kerohanian yang betul berkemungkinan persediaan dalaman tidak sempurna dan mengurangkan penghayatan di dalam ibadat. Sebaliknya persediaan rohani dengan kefahaman akli yang sempurna melengkapkan bukan saja tanggapan dan ibadat, bahkan boleh mencapai peringkat kejiwaan dan kerohanian yang lebih tinggi yang membawa kepada kasih dan cinta terhadap Ilahi yang menjadikan ibadat mencapai peringkat kerohanian, kemanisan dan kecintaan. Analogi ini adalah bertujuan untuk memperlihatkan bahawa kesempurnaan di dalam amal ibadat adalah perlu merangkumi aspek kefahaman, amalan dan penghayatan yang bersifat jiwa dan kerohanian.

Walau bagaimana fokus utama bagi pembelajaran di sini ialah terhadap ilmu akidah sebagai satu bidang khusus yang mau dipelajari, maka tidaklah releven dari peringkat permulaan dicampur aduk dengan perkara-perkara yang lain yang mungkin boleh mengganggu kefahaman dan penanggapan, tetapi sebagaimana kata matan ianya memerlukan kepada guru yang mahir dan berkemampuan untuk memberi pengajaran kepada pelajar-pelajar. Namun di dalam mempelajari ilmu akidah khusus ini perlu ada kefahaman di dalam memahami hakikat ketuhanan, tidak semestinya satu-satunya melalu ilmu aqidah atau tauhid semata-mata. Persoalan ketuhanan boleh dibicara dan difahami melalui keilmuan-keilmuan yang lain yang pada puncaknya boleh dirumuskan secara kefahaman theologi. Katakan bidang matematik yang angka bertolak dari Esa dan memucak walau sebanyak mana angka adalah hakikatnya esa. Demikian di dalam keilmuan fizik yang pada hakikatnya, benda fizikal yang wujud pada hakikatnya adalah tenaga-tenaga yang boleh berkurang, hapus dan binasa. Ia nya pada hakikatnya kembali melihat sifat Allah yang Tunggal lagi Berkuasa. Demikianlah dengan perbagai keilmuan yang lain yang dengan kepakaran guru dapat merumuskan keilmuan secara theologi yang membuktikan ketuhanan. Dalam kata lain theologi bukan semata bersifat ilmu akidah konvensional, tetapi dapat didekati dengan berbagai-bagai cabang keilmuan yang lain.
Pada  pengakhiran sharih menggalurkan tentang pembinaan akidah secara Sunni adalkah berhubung dengan dialog intelektual antara  Hasan Basari dengan gurunya, Imam Wasil Ibn `Ata pendukung Mu`tazilkah dan Al-Juba`i berhubung dengan persoalan `Tempat Antara Dua Tempat` yang tidak disetujui oleh Hasan Basari yang mengakibatkan beliau berpisah dari guru Mu`tazilahnya dan mendiri serta mengukuhkan Aliran Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah  yang diperkukuhakn sama oleh  Imam Al-Maturidi yang dikatakan sebagai anak murid Hasan Basari.

Sekian.

March 17, 2016

Pembicaraan Menurut Seturut Matan Jauharat Al-Tauhid


BBB, 07 Jamadil Akhir 1437 = 16 Mac 2016 (Rabu):


Sebagaimana termaklum bahawa Matan Jauharat al-Tauhid adalah di dalam bentuk puisi Nazam. Dalam pembicaraan ini puisi berkenaan akan diterjemahkan, diikuti dengan huraian dari Pensharah dan tambahan dari Hashiah al-Baijuri (Tuhfat al-Murid), jika perlu. Teks berbahasa `Arab secara puisi itu, insya Allah dijadikan lampiran.
Bismi`l-Lahi`r-Rahmani`r-Rahim
Al-Hamd li`Llah wa salla Allah `ala Khair khalqih Muhammad wa  Alih wa Sahbih wa sallam.
Berkata Syeikh Ibrahim al-Laqani sebagai Pematan:
Kemudian salam Allah dan salawatnya:         
 Ke atas Nabi yang datang dengan tauhid   *     Sesungguhnya kosong agama tanpa tauhid
Pematan Shaykh Ibrahim al-Laqani selepas puji kepada Allah, salawat dan salam kepada Rasulullah sebagai adab dan ciri permulaan bagi kepengarangan persuratan Islam, tepat menampilkan persoalan utama bagi matan dan keilmuan yang mau dibicarakan ialah persoalan akidah tauhid dan yang membawa  inti akidah keilmuan tauhid tidak lain dari Nabi Muhammad s.a.w. Ini dapat difahami persoalan tauhid dalam banyak ayat-ayat Al-Qur`an seperti di dalam Surah al-Ikhlas, Ayat al-Kursi, Al-Asma` al-Husna dan sebagainya.
Sharih (tidak diketahui nama) yang menamakan sharahnya sebagai `Sharah `Aqidat al-Iman` menambah, bahawa Rasulullah membawa akidah tauhid ini apabila Baginda dilantuk menjadi Rasul ketika usia Baginda empat puluh tahun. Menurut sharih:
``Erti ilmu tauhid itu mengifradkan yang disembah sebenarnya dengan ibadatnya serta i`tiqadkan wahdaniyyat DhatNya dan SifatNya dan Af`alNya atau ibarat daripada mengi`tiqadkan keesaan Dhat Allah dan sifatNya dan Af`alNya.``
Shaykh Ibrahim al-Bayjuri pula aebagai Penghashiah di dalam Tuhfat al-Murid mengatakan:
``Tauhid ialah menunggalkan (Iifrad) yang disembahkan dengan ibadat beserta mengi`tiqad dengan wahdahNya dan membenarkannya dari segi Dhat, Sifat dan Af`al dan tiada Dhat yang menyerupai Dhat Allah Ta`ala.
Point yang kedua di dalam bayt puisi Shaykh  Ibrahim al-Laqani, bahawa `Kosong agama tanpa tauhid`
Sesungguhnya agama pada dasarnya kepercayaan yang dengan kepercayaan menjadi pegangan. Tanpa kepercayaan, maka ianya tidak dapat dipanggil agama. Kepercayaan mungkin umpamanya bercanggah dengan Islam. Misalnya kepercayaan golongan Dahriyyun yang mempercayai alam adalah `Kekal berterusan`, maka ia adalah juga merupakan kepercayaan dan `agama` bagi mereka. Demikian juga dengan komunisme yang tidak mempercayaan Tuhan, juga adalah kepercayaan dan agama bagi mereka. Demikianlah dengan `Liberalisme dan Pluralisme` adalah merupakan kepercayaan kepada mereka. Bagi Islam Falsafah yang kukuh bagi agama Islam ialah `Akidah Tauhid` yang merupakan sebagai benteng yang kukuh bagi Islam dan tidak tercabar oleh musuh walaupun mereka terus mencabar. Sesungguhnya sesuatu kepercayaan, tanpa ada perkara yang dipercayai,  ianya bukan kepercayaan dan bukan agama. Sebaliknya kepercayaan tauhid Islam tegak dengan akidah yang dibicarakan di dalam keilmuan akidah, tauhid, usul dan Ilmu al-Kalam.
Seterusnya kata Shaykh Ibrahim al-Laqani selaku Pematan:
Baginda menunjukkan makhluk agama benar  *   Dengan kekuatan , hidayah tercapai itu benar
Sharih fokus terhadap Nabi Muhammad yang membawa akidah dan hidayah, bahawa:
Sesungguhnya Rasulullah di dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat dengan akidah tauhid Islam, Baginda  terpaksa menghadapi tentangan orang-orang kafir Jahiliyyah. Selama 13 tahun dakwah di Makkah, Baginda menghadapi sekatan dan ancaman, bahkan menghadapi ugutan untuk membunuh Baginda. Di dalam menghadapi mereka Rasulullah mengatur strategi. Antaranya berhijrah ke Madinah yang di sana Islam mendapat sambutan dan mencapai kekuatan dengan mendirikan negara Islam di Madinah. Di Madinah Baginda tidak terlepas dari menghadapi musuh kafir Quraisy dari Makkah dan  menghadapi Yahudi dan kalangan orang-orang munafik di Madinah. Dengan secara diplomasi dan adakala terpaksa menghadapi kekerasan dan peperangan, maka agama Islam dapat berkembang meluas ke Semenanjung Arab pada zaman Baginda dan diteruskan dakwah Islam dan pemerintahan oleh sahabat-sahabat hingga ke luar dari Tanah Arab.
Seterusnya kata Matan:
Nabi Muhammad akhir perutusan Tuhan  *   Keluarga sahabat dan pengikut-pengikut sekalian
Sharih menumpukan perhatian kepada membicarakan tentang latar  Rasulullah keluarga, sahabat-sahabat serta pengikut-pengikut Baginda.  Kata Sharih:
``Syahadan sayugianya atas sekalian orang yang mukallaf itu mengenal yang yakin bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad itu manusia yang laki-laki lagi merdeheka anak Abdullah yang dizahirkan di dalam negeri Makkah dan kuburnya di dalam negeri Madinah lagi diberi wahyu oleh Allah Ta`ala kepadanya serta menyampaikannya atas sekalian makhluk dan kepercayaan serta sidq lagi bijaksana.``
Sebagaimana Pematan menyebut tentang keluarga Nabi Muhammad s.a.w. maka Sharih menyebut tentang  keturunan dan anak cucu Rasulullah. Menurut Sharih, sahabat mereka ialah, orang berhimpun dengan Nabi Muhammad ketika hidup baginda mu`min dengan adat orang yang berhimpun dan mati halnya beriman dan jikalau kecil atau buta sekalipun.
Hingga kepada peringkat ini Pematan iaitu Shaykh Ibrahim al-Laqani masih lagi pada peringkat khutbah  yang menjadi ciri dan adab di dalam persuratan Islam yang seharusnya memulakan penulisan dengan basmalah , hamdalah dan salawat dan salam ke atas Rasulullah termasuk keluarga dan sahabat. Dapat juga dikatakan semua ini adalah merupakan intro` bagi karangan atau persuratan Islam. Selepas daripada ini barulah Pensharah mulai masuk kepada topik keilmuan yang mau dibicarakan.
Point yang utama dan berkait dengan topik pembicaraan bagi bidang ialah dengan  Pematan mengaitkan Rasulullah sebagai Rasul yang membawa tauhid. Tugas Pensharah dan Penghashiah ialah mengolah apa yang ada di dalam matan dengan maklumat-maklumat tambahan yang releven dengan  persoalan.

Sekian.

March 16, 2016

Sharh Matan Jauharat Al-Tauhid


BBB, 06 Jamadil Akhir 1437 = 15 Mac 2016 (Selasa):


Terdapat beberapa matan ilmu Usuluddin yang terkenal di dalam keilmuan tersebut dan diberi huraian sama ada dalam bentuk sharh atau hashiah. Antara matan-matan yang penting yang telah kita bicarakan ialah Matan Al-`Aqidah al-Tahawi (m.321H.) yang merupakan pendekatan akidah salaf. Matan lain yang penting ialah Matan Umm al-Barahin yang dihasilkan Shaykh Muhammad bin Yusuf al-Sanusi (m. 795H.). Matan ini begitu banyak diberi sharh dan hashiah – termasuk tiga daripadanya di dalam bahasa Melayu (Jawi). Satu yang terpenting yang telah kita bicarakan ialah kitab Bidayat al-Hidayah oleh Shaykh Muhammad Zain bin al-Faqih Jalaluddin Aceh, berdasarkan matan Umm al-Barahin berkenaan. Kitab ini sempurna di sharah oleh Shayk Muhammad Zain di Makkah pada tahun 1170H.
Sebuah lagi matan penting yang menjadi fokus pembicaraan pada kali ini ialah `Matan Jauharat al-Tauhid` yang dihasilkan oleh Shaykh Ibrahim al-Laqani. Jika kedua-dua matan yang telah dibicarakan adalah dalam karangan prosa, tetapi Matan Jauharat al-Tauhid dihasilkan oleh Syaikh Ibrahim al-Laqani ialah di dalam bentuk puisi (Nazam atau syair). Matan Jauharat al-Tauhid antaranya dihashiah oleh Shaykh Ibrahim al-Bayjuri –Shaykh al-Azhar dengan judul Tuhfat al-Murid `ala Jawharat al-Tauhid (1234H.).  Menariknya Matan Jauharat al-Tauhid yang penting ini turut disharah di dalam bahasa Melayu (Jawi) dengan judul Sharh Bagi Matan Jauharat al-Tauhid. Tetapi pensharh di dalam bahasa Melayu tidak diketahui nama pengarang (pensharah). Pada kulit luar dan dalam kitab ini sekadar diberi maklumat ringkas:
Inilah Kitab Sharah Bagi Matan Jauharat al-Tauhid bagi al-Imam al-Shaykh  Ibrahim al-Laqani telah diterjemahkandia  oleh seorang `ulama` Jawi dengan Bahasa Melayu. Jaza Allah Muallafaiha khairan.
Walau bagaimana terdapat sedikit maklumat pada akhir penulisan sharah di dalam bahasa Melayu ini bahawa kitab ini telah selesai dikarang pada hari Rabu, pada bulan Ramadhan 1292H. bertempat di Sambas, Kampung Parit Dalam, Hampir Sultan Muhammad Safiyy al-Din. Sambas terletak pada bahagian Kalimantan Indonesia.
Matan Jauharat al-Tauhid adalah terdiri dari 143 bayt bersama  sharah menjadikan kitab setebal 78 halaman.
Puisi matan berkenaan adalah  berkedudukan sebagaimana kedudukan syair. Satu bayt ialah dua pecahan satu baris. Syair di dalam bahasa Arab adalah berdasarkan timbangan wazan di dalam keilmuan saraf. Biasanya di dalam separuh baris  antara tiga ke lima perkataan. Di dalam bahasa Melayu dikira dari segi suku kata antara  8 hingga 12 suku kata. Tidak ada pembayang maksud sebagaimana pantun di dalam bahasa Melayu, sebaliknya semua kata-kata di dalam syair atau nazam membawa maksud dan mesej. Sependik syair atau nazam adalah satu bayt yang boleh membawa mesej atau kandungan yang hendak disampaikan, tetapi tiada had panjangnya bayt bagi syair atau nazam sebagaimana di dalam Matan Jauharat al-Tauhid membawa kandungan akidah tauhid menurut aliran Sunni adalah sebanyak 143 bayt. Jika bersifat cerita ia boleh sepanjang sebuah buku. Kandungan di dalam Matan Jauharat al-Tauhid adalah persoalan yang berhubung dengan akidah Islam.
Dilihat dari segi kandungan di dalam Matan Jauharat al-Tauhid yang disusun di dalam bahasa secara puisi, nampaknya tidaklah diikuti oleh pensharah dengan menterjemah kepada bentuk puisi terlebih dahulu dan baru diikuti dengan sharah, sebaliknya pensyarah terus terjemah dan mensharahnya secara serentak. Misalnya  selepas basmalah, hamdalah dan salawat di dalam susunan puisi pensharah mempekenalkan Matan Jauharah melalui puisi pengarangnya (Ibrahim al-Laqani)
Wa hadhihi urjuzatun laqqabtuha          *      (Jauharat al-Tauhid) qad hadhdhabtuha
 Ya`ni dan inilah Risalah yang kecil yang  diambil ia daripada dalam batu yang sangat kerasnya halnya itu di dalam laut yang sangat dalamnya yang kunamai ia  `Risalah Jauharat al-Tauhid`   ya`ni ma`nikam yang tiada sepertinya, maka iaitu recana daripada i`tiqad dua Imam Abu al-Hasan al-Ash`ari dan Abu Mansur Maturidi radhiya Allah `anhuma dan sesungguhnya telah kusucikan ia daripada i`tiqad orang yang sesat.
Jelas pensharah tidak menterjemahkan bayt puisi ke dalam bentuk puisi di dalam bahasa Melayu, bahkan terus memberi terjemahan dan sharah secara prosa. Kandungannya bersifat sharah dengan maklumat-maklumat yang tidak ada di dalam matan. Contoh aliran yang dibawa ialah menurut aliran Abu al-Hasan al-Ash`ari dan Abu Mansuir al-Maturidi. Bahasa terjemahan dan huraian adalah bahasa  Melayu lama, gaya Sambas dan bersifat bahasa kitab yang terpengaruh dengan susunan nahu `Arab.
Sebagai contoh diperturunkan sebuah lagi bayt yang bersambungan dengan bayt di atas:
Dan kata Musannif radiya Allah `anhu:
Wa Allah arju fi al-qabul nafi`a         *    Biha muridan fi al-thawab tami`a
Huraian yang diberi terhadap bayt ini oleh sharih begitu panjang, iaitu lebih kurang dua halaman muka surat kitab. Di bawah diambil sebahagian dari permulaan:
Ya`ni  dan mengharap aku akan Allah Subhanahu wa Ta`ala di dalam qabul halnya memberi manfaat dengan risalah itu yang tam`ah di dalam pahala akhirat Amin ya Rabb al-`Alamin, Ya`ni hai Tuhanku qabulkan permintaan musannif ini. (Adapun) erti raja` itu mengharap-harap hati dalam mengesahkan barang suatu yang lagi akan datang beserta mengerjakan sebab yang hasil dengan demikian itu maka inilah recana yang mahmud, maka iaitu daripada setengah sifat hati yang dipuji. (dan erti) nama qabul itu menerima dengan barang sesuatu itu recana daripada reda dengan dia serta tiada i`tirad atas orang yang mengerjakandia. Maka inilah kata `ulama` yang rajih dan kata setengah `ulama`, ya`ni serta diberi pahala ia atas demikian itu (dan erti) tam`ah itu iaitu mengerjakan ibadat kepada Allah Sunhanahu wa Ta`ala keadaan mengharap pahala akhirat, maka iaitu tam`ah yang mahmudah dan adapun tam`ah atas pekerjaan yang bangsa dunia itu, maka iaitu daripada sifat hati yang madhmumah.
(Selepas ini sharah membicaraka konsep ibadat, hukum menuntut ilmu dan sebaginya yang agak panjang. Ini menandakan bahawa sharah yang dibuat  boleh bersifat ringkas, seagaimana bayt pertama yang dipetik di atas, dan bersifat panjang selagi persoalan yang dibicaraka oleh sharah releven dengan apa yang dibawa di dalam matan.
Tetapi suatu yang jelas bahawa matan  yang bermutu ialah matan yang padat dengan persoalan keilmuan yang dibicarakan yang disusun di dalam bahasa indah dan padat sebagaimana yang dibawa oleh Matan Jauharat al-Tauhid yang dibicarakan.

Sekian.


March 15, 2016

Risalah Al-Tauhid Jabatan Agama Islam Johor Diguna Meluas Ke Luar Johor


BBB, 05 Jamadil Akhir 1437 = 14 Mac 2016 (Isnin):


Negeri Johor adalah antara negeri yang mewujudkan sekolah agama sejak zaman sebelum kemerdekaan lagi, selepas negeri-negeri lain meniadakan sekolah agama (biasanya sebelah petang), kerana diintegrasikan dengan Sistem Kebangsaan, Johor masih mempertahankan sekolah agama sedemikian.
Bagi melaksanakan pengajian agama ini negeri-negeri mewujudkan kurikulum pengajian keagamaan masing-masing termasuklah Johor. Bagi pengajian akidah misalnya kitab  Risalah al-Tauhid adalah begitu terkenal dan turut digunakan di sekolah-sekolah agama di luar Johor. Walaupun sekolah-sekolah agama tidak ada lagi, tetapi kitab ini popular dan terus digunakan pada pengajian-pengajian tradisi dan keagamaan.
Kitab Risalah al-Tauhid dimaklumkan pada asalnya diterjemahkan (1325H./ 1907M.) oleh Al-Marhum Yang Berhormat Dato` Haji Abdullah bin Abdul Rahman Mantan Yang Dipertua Jabatan Agama Islam Johor dari sebuah Kitab Tauhid Dalam Bahasa Arab yang kitab berkenaan adalah menjadi kitab yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Mesir menjadi kurikulum bagi pengajian akidah di sekolah-sekolah di Mesir.
Adalah didapati bahawa kitab yang telah diterjemahkan oleh Dato` Haji Abdullah bin Abdul Rahman itu, berasal dari karangan  di dalam bahasa `Arab itu ialah karangan  Syeikh Muhammad `Abduh (1849-1905), seorang tokoh intelektual Mesir dan pemimpin pembaharuan dunia Islam yang kesannya sampai ke Malaysia dan juga Indonesia.
Kitab Risalah Tauhid yang dikarang Syeikh Muhammad Abduh yang pernah diterjemahkan ke bahasa Indonesia oleh Kiyai Haji Firdaus dan diterbitkan Cetakan Pertama 1963 Bulan Bintang, Jakarta adalah panjang (264 hlm.). Dinyatakan bahawa terjemahan yang dilakukan oleh Dato` Hqji Abdullah bin Abdul Rahman pada peringkat awal adalah bersifat matan sahaja dan agak ringkas, lantaran itu pada (1345H./1926M.) beliau telah membuat syarah terhadap matan terjemahan asalnya dan dikenali dengan judul `Sharh al-Risalat al-Tauhidiyyah`. Kitab inilah dipersetujui oleh Jawatankuasa Penasihat Pelajaran Agama Islam Johor menjadi kitab bagi kurikulum akidah bagi sekolah-sekolah Agama Kerajaan Johor. Kitab ini disusun kembali dari segi bahasa dan pemudahfahaman permasalahan oleh Abdul Ghani Yahya dan Umar Yusuf sebagai edisi mutakhir yang telah diterbitkan sejak (1372H./1952M.).
Memang jika dibandingkan dengan teks terjemahan Indonesia, maka kitab Al-Risalah al-Tauhid Johor adalah merupakan intisari dari kandungan kitab Risalah Tauhid yang asal karangan Muhammad `Abduh.
Istimewanya Risalah al-Tauhid Johor, bahawa ianya disusun menurut pecahan-pecahan teratur yang memudahkan fahaman terutama bagi pelajar-pelajar yang baru mula untuk mempelajari ilmu akidah.
Walau bagimana melihat kepada kandungan Risalah al-Tauhid pada dasarnya adalah menurut pola-pola yang sama dengan kitab-kitab tauhid yang beraliran Sunni dari berbagai-bagai kitab yang telah dibicarakan.
Dari segi format dan pendekatan bahawa Risalah al-Tauhid (88 hlm.)  dipecahkan kepada  87 pecahan bertolak pembicaraan mengenai apa itu ilmu tauhid dan bermula dengan prinsip asal bagi ilmu tauhid ialah mengenai `Hukum Akal` dan pecahan-pecahannya, iaitu  wajib akli, mustahil akli dan harus akli.
Selepas membicarakan hukum akal dibicarakan  Bahagian Awal `Mengenal Tuhan dan Mengetahui sifat-sifatNya -  Sifat yang wajib, sifat mustahil dan harus diikuti dengan dalil-dalil akli dan naqli bagi sifat-sifat dua puluh.
Kemudian diikuti pembahagian sifat dua puluh kepada kelompok nafsiyyah, salbiyyah, ma`ani dan ma`nawiyyah dan kemudian dibicarakan tentang ta`alluq bagi sifat ma`ani.
Kemudian dihuraikan mengenai konsep Uluhiyyah dan konsep Istighna` dan iftiqar.
Pada bahagian Kedua dibicarakan tentang Rasul, bermula dengan pengenalan rasul, siapa itu nabi dan siapa rasul, hikmah diutuskan rasul, kepercayaan terhadap rasul, bilangan nabi dan rasul dan kategori-kategori mereka.
Seterusnya dibicarakan tentang sifat-sifat yang wajib bagi Rasul, mustahil dan harus.
Kitab Risalah al-Tauhid membicarakan kesemua yang berkait dengan rukun iman yang enam.  Walau bagaimana tumpuan utama pembicaraan ialah terhadap Allah dan Rasul. Selepas tumpuan utama dibicarakan tentang ketuhanan dan kerasulan dibicarakan tentang:
·         Percayakan kepada kitab dengan jumlah kitab diturunkan. Keistimewaan Al-Qur`an
·         Kepercayaan kepada mala`ikat
·         Kepercayaan terhadap hari kiamat
·         Soal Munkar dan Nakir
·         Syurga dan neraka
·         Kepercayaan terhadap qada` dan qadar
Persoalan-persoalan di atas dianggap sebagai pecahan dari kepercayaan terhadap Allah dan Rasul yang terkumpul di bawah dua Kalimah Shahadah yang dianggap induk utama bagi bidang akidah.
Lantaran itu pembicaraan ditutup dengan `aqa`id yang terkandung di bawah dua kalimah shahadah
`La ilah illa Allah Muhammad Rasul Allah`
Dengan demikian lengkaplah perbicaraan berkenaan dengan aqa`id di bawah dua kalimah shahadah di dalam Risalah Tauhid
Sebagaimana dibicarakan kandungan pembicaraan adalah mengikut pola pembicaraan kitab-kitab akidah  Sunni yang lain. Tapi yang istimewa kitab ini disusun dengan cara teratur yang memudahkan pembelajaran dan kefahaman.
Kitab ini terus releven dipelajari baik pada peringkat sekolah, maupun pada pengajian seperti masjid-surau dan pengajian-pengajian yang lain.

Sekian.


March 14, 2016

Jalan (Turuq) Menuju Allah


BBB, 04 Jamadil Akhir 1437 = 13 Mac 2016 (Ahad):
Mengingatkan  bahawa Tuan Hussein Kedah seorang ilmuan mendalam bukan saja dalam bidang akidah, tetapi juga di dalam bidang tasawuf – termasuk fiqh, maka kita menjangka Tuan Hussein akan membawa pendekatan  yang bersifat tariqat di dalam keilmuan tasawuf. ( Antara pembicaraan dalam tariqat ialah shari`at, tariqat, hakikat dan ma`rifat), tetapi sangkaan sedemikian tidak betul. Pendekatan yang dibawa beliau bagi Jalan Menuju kepada Allah ialah pendekatan akidah dan shari`at. Kata Tuan Hussein Kedah:
``Ketahui olehmu bahawasanya jalan yang menyampai kepada Allah Ta`ala, iaitu segala jenis ibadat dan taat dan khabar yang datang akan dia oleh Rasulullah daripada Allah Ta`ala yang terkandung sekaliannya di dalam Qur`an dan Hadith Nabi s.a.w. Menurut Tuan Hussein Kedah bahawa pekerjaan agama terbahagi kepada tiga:
1)       Barang yang diberati atas mukallaf meninggalkan dia iaitu segala yang haram.
2)      Barang yang diberati atas mukallaf mengerjakan dia, iaitu wajib.
3)      Barang yang diizin bagi mukallaf memilih antara mengerjakan dia atau meninggalkan dia, iaitu harus.
Sebagai  tambahan Tuan Hussein Kedah menyebut persoalan bid`ah, iaitu melakukan sesuatu yang tidak dilakukan pada zaman Rasulullah, beliau memberi contoh seperti melakukan tafsir dan pengajian tafsir, perbuatan ini adalah merupakan bid`ah hasanah, lantaran dari pengajian tafsir dapat difahami  kandungan Al-Qur`an dan hukum hakam yang terkandung di dalamnya, di samping dapat mengambil tadabbur dari kandungannya sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
``Apakah mereka tidak mengambil tadabbur dari Al-Qur`an ?`` (Al-Nisa`: 82).
Berhubung dengan khenduri Tuan Hussein Kedah berpendapat khenduri yang melibatkan makan minum:
``Iaitu mengikut bagi barang yang ada baginya asal pada Qur`an, iaitu suruh kita menafakah harta atas wajah yang halal, lagi harus seperti sedekah dan khenduri dan lainnya berdasarkan ayat al-Qur`an bermaksud:
``Dan hendaklah kamu menafakah daripada apa yang Kami rezekikan kepada kamu sebelum kamu dikunjungi maut.`` (Al-Munafiqun: 10).
Tuan Hussein Kedah membahagikan setiap hukum taklif yang lima kepada dua bahagi:
1)       Haram
a)  Haram melakukan perkara yang haram seperti berzina, membunuh dan mencuri.
b)  Haram meninggalkan akan tiap-tiap barang yang wajib oleh shara`, seperti wajib mengucap dua kalimah shahadah bagi segala kafir dan wajib beriman dengan Allah dan Rasul.
2)  Makruh
 a)  Makruh mengerjakan perkara yang dimakruhkan seperti makan sesuatu yang mempunyai bau yang keji.
b)  Makruh meninggalkan barang yang disunat oleh shara` mengerjakandia iaitu seperti mengerjakan segala sunat rawatib, duha,, witir, tarawih dan sebagainya.
3.  Wajib
a)  Wajib mengerjakan segala pekerjaan yang wajib seperti mengerjakan solat lima waktu, puasa bulan Ramadhan dan sebagainya.
b)  Wajib meninggalkan barang yang diharamkan akan dia oleh shara` seperti berjudi, menipu, berdusta dan sebagainya.
4.  Sunat
a)  Sunat mengerjakan barang yang disunatkan dia oleh shara` seperti bersadaqah, memberi makan faqir miskin dan sebagainya
b)  Sunat meninggalkan akan tiap-tiap barang yang dimakruhkan akan dia oleh shara` seperti meninggalkan makanan yang menjadikan mulut berbau dan sebagainya.
5. Harus
a)  Harus mengerjakan barang yang diharus shara` seperti minum dan makan.
b)  Harus meninggalkan barang yang diharus oleh shara` seperti tidak membawa kereta, tetapi menaiki bas ke tempat kerja.
Tuan Hussein Kedah menyebut perkara yang sunat bertukar kepada wajib dengan tiga sebab:
1)      Dengan sebab nazar. Contoh melakukan aqiqah terhadap anak adalah sunat, tetapi jika dinazar melakukannya menjadi wajib.
2)      Menyempunakan perkara yang wajib dan tiada sempurna melainkan dengan dia. Konsep hukum fiqh, barang yang tidak sempurna wajib, melainkan dengan dia, maka ianya menjadi wajib. Seperti memakai pakaian menutup aurat, tetapi tidak sempurna tutup perlu melebihi sempadan,begitu juga melebihi sempadan bagi membasuh muka, tangan dan kaki umpamanya.
3)      Arahan pihak waliyy al-Amri mengerjakan sesuatu yang sunat bagi kepentingan terdesak seperti arahan menderma bagi mengatasi sesuatu yang darurat dan sebagainya.
Dapatlah difahamkan dari perbincangan di atas, bahawa maksud perjalanan menuju Allah bagi Tuan Hussein Kedah ialah penyempunaan dari segala aspek kewajipan diri, iaitu terdiri akidah yang betul dengan segala bahagian dan pecahan yang sebagaimana telah dibicarakan, kesempunaan juga adalah bergantung kepada kesempurnaan dari segi amal ibadat yang di dalam kitab Usul al-Taudid ini juga mempunyai bab-bab yang membicarakan tentang solat, zakat, puasa dan haji. Pendek kata bagi Tuan Hussein Kedah Usul dan Umbi tauhid adalah kombinasi dari segi kesempurnaan akidah, syariat dan kebersihan kerohanian.

Sekian.

March 13, 2016

Persoalan Ma`rifat


BBB,  03 Jamadil Akhir 1437 = 12 Mac 2016 (Sabtu):
Persoalan m`rifat adalah persoalan falsafah yang membicarakan hakikat kewujudan yang bertolak dari konsep ``Kenali Dirimu`  sebelum mengenali yang lain. Dia juga persoalan akidah yang terkenal dengan ungkapan `Seawal-awal agama ialah mengenal Allah`, tetapi bagi mengenal Allah tak mampu dicapai tanpa melalui kaedah keilmuan yang menjadi sebagai infra-struktur bagi menghasilkan `Ma`rifat Allah`. Dalam ungkapan yang lebih biasa ialah melalui ilmu. Ertinya mengenal Allah ialah melalui ilmu, lantaran ma`rifat pada satu tahap adalah bermakna ilmu, maka dikatakan setiap ilmu adalah ma`rifat dan sebaliknya dan tiap-tiap yang alim adalah arif. Ma`rifat di dalam bidang akidah adalah tidak lain dari mengetahui apa yang berhubung dengan Allah dan Rasul dengan dalil-dalil. Lantaran tidak sah ibadat tanpa mengenal yang disembah.
Pendekatan yang diambil Tuan Hussein Kedah tidaklah membicarakan sifat-sifat Allah kepada 20 sifat dan pembahagiannya kepada sifat nafsiyyah, salbiyyah, ma`ani dan ma`nawiyyah Juga dari segi mustahil dan harus juga sifat-sifat rasul dan pecahan-pecahan, tetapi melihat dari kesan ma`rifat dan keyakinan diri dari segi perlakuan, sudut pandangan, persepsi diri dan pengluahan.
Sebagai kesan dari ma`rifat secara mendalam menghasilkan perkara-perkara berikut:
1)      Mengakui Pencipta Mengada dan Meniadakan
Kesan dari ma`rifat meyakinkan diri akan kekuasaan Allah yang mengada dan meniadakan. Dialah Pentadbir memberi kesenangan dan kesakitan sihat dan sakit dan sebagainya.
2). Dia menghukum dan Mengkadarkan
Dia yang bijaksana yang meletakkan sesuatu pada tempatnya dengan penuh keadilan dan menentukan dari segi qada` dan qadarnya. Lantaran itu kita junjung titah perintahNya dengan setia dan kasih sayang.
3. Mengeluarkan Ka`inat Dari Ketiadaan
Dialah yang mengeluarkan ka`inat dari ketiadaan kepada kewujudan dan kita sama dapat menikmati kewujudan dan hidayah yang disampaikan melalui perutusan Rasul dan kita sama dapat menikmati perutusan yang disampaikan.
4. Dia Yang Memberi Rahmat
Hasil dari ma`rifat kita menyedari betapa banyaknya nikmat Allah terhadap kita dari nikmat fizikal dari makan minum, keselamatan diri dan kehidipan, tetapi nikmat yang paling tinggi yang kita nikmati ialah nikmat Islam dan iman yang memberi ketenangan dan kesejahteraan di dunia dan insya Allah di akhirat, tiada mampu kita untuk mengucap syukur dan terima kasih sebanyak dan selayaknya, melainakan memuji dan bersyukur di atas nikmat yang berterusan
5. Mengenali Erti Mahabbah Dan Kasih Sayang
Satu nikmat  yang disedari melalui ma`rifat, bahawa kurniaan mahabbah dan kasih sayang adalah satu nikmat yang tidak ternilai, mahabbah sesama makhluk dan mahabah terhadap Khalik, sesungguhnya tanpa mahabbah kita tidak dapat hidup di dalam keadaan harmoni dan kasih sayang.
6. Mengenali Cinta Tertinggi
Tuan Hussein Kedah membicarakan hasil dari ma`rifat membawa cinta tertinggi, iaitu `Cinta Ilahi` yang tidak dicapai, melainkan oleh orang yang mencapai martabat tertinggi dari cinta Ilahi. Begitu rahmat dan mesra bagi mereka yang mencapai martabat tertinggi cinta sedemikian, Cinta Ilahi`
7. Mencapai Maqam al-Arifin
Tuan Hussein Kedah membicarakan peringkat kerohanian, iaitu satu nikmat daripada segala nikmatNya seperti satu maqam  daripada segala `Maqamat al-`Arifin` atau satu hal dari  segala ahwal mereka itu yang jauh dari bala dan berada di dalam hal raja`
8. Ketuhanan Yang Bersifat Jalal, Qahhar dan `Izzah
Dari satu pihak dengan ma`rifat disedari bahawa disebalik dari sifat mesra, kasih sayang dan cinta, Allah memperlihatkan Jalal, Qahhar dan `Izzah terhadap mereka yang liar dan menentang kekuasaan Allah yang mereka seperti ini tidak lain dari menghadapi kebinasaan dan kemusnahan yang bagi kita seharusnya selalu berdo`a dan berlindung dariNya dari kemerkaan dan kemusnahan.
9. Menaggapi Ketuhanan Dengan Berbagai Cara
Dengan  ma`rifat dapat menanggapi ketuhanan melalui pembuktian panca indera dengan melihat kejadian sebagai bukti ciptaan Allah. Pada tahap yang lebih tinggi ketuhanan dapat dimengerti dan difahami dengan kaedah rasional seperti penggunaan kaedah logik dan saintifik dan juga dengan dalil akli dan naqli yang membuktikan ketuhanan. Pada tahap yang lebih halus ialah menghayati ketuhanan melalui hati nurani dan jiwa yang mencetuskan mesra rasa, kagum,  membesar dan menghayati keagungan yang membawa kepada kasih cinta dan mesra kerohanian.
10. Merasa Kefanaan  Berhadapan Keagungan
Pada peringkat tertentu dari segi kerohanian mendepani keagungan kekekalan dan kekuasaan, menjadikan diri bagai hilang dan fana dihadapan yang Baqa`. Pada peringkat ini Tuan Hussein Kedah berkata:
``Engkau jadi lupa dan hilang daripada engkau, ertinya hilang penglihatan pada mata hati engkau dan pada ihsas pancaindera engkau yang zahir dan batin akan tiap-tiap suatu yang lain daripada Allah Ta`ala, hingga diri engkau tiada engkau ingat, melainkan Allah jua yang engkau ingat.

Terbukti dari pembicaraan, bahawa Tuan Hussein Kedah tidak saja membicarakan ma`rifat pada makna biasa sebagai ilmu, tetapi meningkat kepada beberapa peringkat bersifat falsafah seperti peringkat akidah yang menekankan rasional akal dari segi perbahasan yang menggunakan dalil akal dan juga dalil naqal, dan pada tahap tinggi adalah ma`rifat yang melibatkan pengalaman rohani yang lain dari pendekatan dalam konsep keilmuan biasa juga berlainan dari pengalaman rasional akal.

Sekian.