June 18, 2018

MASJID DAN PENGIMARAHAN MURNINYA KEIKHLASAN


BBB, 03 Syawal 1439H. = 17 Jun 2018M. (Ahad):

Berdepan dengan Masjid Al-Umm
Tiada lain dari jelmaan keikhlasan
Pelbagai para dermawan 
Terbina kukuh di pinggir perbukitan
Setelah sedekad melalui zaman ujian
Perancangan, persediaan, pembinaan
ke pengimarahan berterusan.

Tanpa keberanian beralasan
Bangunan itu masih tersadai
Ijtihad, ikhtiar dan tawakkal itu
Membenarkan takdir penentuan
Selari dengan  kehendak Tuhan
Dan kehendak kita bertepatan
Takmilah dalam pilihan.

Pengimarahan Masjid Al-Umm
Dari hujung  tahun 2017
Menyerlahkan keikhlasan jama`ah
Puncaknya tiba  1439 Ramadhan
Merekalah mengisikan tabung
Dari dulu hingga sekarang
Dengan kepingan keikhlasan
Operasi pembinaan dan pengimarahan.

Setengah tahun penggunaan
Kita makin mengenali
watak dan perwatakan
antara yang menjadikan masjid
tiada lebih dari sumber pendapatan
dengan yang  memberi tenaga
-          Tiada mengharap pulangan
Kerana Allah penuh keikhlasan
Ramadhan menyerlahkan mereka
Dengan kerja-kerja kebajikan
Mereka adalah `Orang Masjid`
Sering membersih ruang
Menghampar tikar hidangan
Sama iftar tanpa mengira kedudukan
Kadang mentranformasi diri sebagai muazzin
-          Bahkan imam
Dan berbagai tugas sampingan
Masjid memerlukan orang-orang
Yang hati terpaut pada masjid
Insya Allah pelapis masa depan
Meneruskan pengimarahan.
Sekian.

June 17, 2018

SUASANA MENCERIAKAN KETIKA IFTAR



BBB, 02 Syawal 1439H. = 16 Jun 2018M. (Sabtu):
Suasana menceriakan pada bulan Ramadhan yang pertama kali diadakan di Masjid Al-Umm ialah ketika hampir berbuka puasa. Sebagaimana diputuskan di dalam mesyuarat induk dan diikuti mesyuarat-mesyuarat jawatankuasa kecil ibadat dengan jawatankuasa-jawatankuasa yang lain – kewangan, kebersihan, Muslimat dan Pemuda, bahawa Masjid AL-Umm akan meyediakan keperluan iftar pada setiap petang.
Bagi persediaan ini pihak masjid memang dari awal membuat siaran membuka peluang bagi sesiapa yang hendak menginfak bagi keperluan iftar, di samping infak-infak yang lain.  Kumpulan Firdaus dari Shah Alam yang telah banyak menderma bagi peralatan Masjid Al-Umm menjelang penggunaannya,  ada membuat  tawaran hendak meninfakkan peruntukan iftar pada bulan Ramadhan, walau bagaimana hasrat murni Kumpulan Firdaus ini tidak diperturunkan secara tertulis bagi memastiakn komitmennya untuk infak berkenaan. Ini ialah kerana ada masalah komunikasi oleh orang tengah yang diamanahkan oleh Kumpulan Firdaus. Hingga ke peringkat akhir baru diterima surat bertulis tangan pengakuan untuk tajaan iftar.
Adalah dipersetujui bahawa pihak Masjid akan menyediakan iftar bagi minggu pertama puasa dan dikuti tiga minggu berikutnya ialah tajaan dari Kumpulan Firdaus yang selama tiga minggu dijangka memerlukan peruntukan sebanyak RM60,000. Manakala pihak Masjid Al-Umm akan menyediakan iftar bagi minggu pertama yang dijangka memerlukan peuntukan sebanyak RM14,000. Dalam keadaan kecemasan, andainya pihak Firdaus tidak jadi sponsor, maka pihak masjid mempunyai peruntukan hasil derma dari orang ramai yang bampaknya infak bagi iftar paling banyak diberi oleh orang ramai (RM70,000 – termasuk untuk tahlil). Setiap hari bagi majlis iftar mempunyai menu-menu tersendiri.
Pada setiap petang pekerja-pekerja sukarela menyiapkan tempat berbuka dengan membentang tikar bagi tempat berbuka. Kontrektor minggu pertama bagi pihak masjid ialah dari Caterer Agus yang menyediakan iftar secara di dalam bungkusan polistrin yang mana bersamanya , kurma, kuih-kuih dan buah-buah untuk berbuka Juga nasi berlauk ayam, daging atau ikan juga sayur. Manakala air disediakan oleh masjid.
Setiap hampir tiba waktu iftar, orang ramai yang datang diminta mengambil  satu bungkusan untuk masing-masing – termasuk air. Yang datang adalah lelaki, perempuan dan anak-anak. Bahagian lelaki disebelah kanan  ruang anjung terbuka, mereka duduk  dalam  3 baris, manakala perempuan sebelah kiri dua baris yang jumlah mereka lebih kurang 200 orang. Sebelum tiba berbuka Imam sama ada Imam Rahmat, Ghazie, Ahmad atau penulis sendiri memulakan tahlil dan doa untuk arwah-arwah yang dipohon oleh peserta-peserta. Biasanya juadah dan air yang disediakan cukup untuk berbuka, jika tidak diteruskan dengan makan nasi. Selepas iftar mereka turut bersolat maghrib berjama`ah.
Untuk  minggu kedua dan seterusnya persediaan iftar di bawah Kumpulan Firdaus yang  caterer ditentukan dari Kuala Lumpur.. Pada permulaan disediakan makanan iftar secara diserve seorang demi seorang. Cara ini cerewet dan tidak memuaskan, selepas  beberapa hari ditukar kepada penyediaan secara  dibungkus dalam polisterin. Walau macam mana makanan yang disediakan termasauk untuk moreh tidak memuaskan. Banyak aduan yang diterima. Pihak Kumpulan Firdaus menukar caterer kepada Pak Teh Catering di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi – termasuk menyediakan moreh selepas tarawih.
Adapun penyediaan sahur bagi 10 malam terakhir Ramadhan adalah disediakan oleh pihak Masjid Al-Umm sendiri. Perlu disebut, biarpun  penyediaan iftar disediakan  oleh caterer yang ditempah, namun orang ramai yang mau membuat kebajikan tidak henti-henti membawa makanan tambahan baik untuk iftar, moreh, bahkan penyediaan makanan bagi sahur, antaranya disediakan oleh yang  mau membuat kebajian, termasuk menghantar air mineral untuk berbuka dan untuk para jamaah yang menunaikan solat tarawih. Pendek kata makanan dan minuman tidak putus-putus dihantar ke masjid dan orang ramai bebas untuk menikmati makanan dan minuman di luar dari dari masa kebiasaan.
Atas semangat kerjasama pengurusan iftar selama sebulan Ramadhan berjalan dengan baik, terima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama, khususnya Kumpulan Firdaus yang  sponsor iftar Ramadhan serta moreh selama tinggu minggu.
Sekian.

June 16, 2018

PERTAMA KALI TAKBIR EIDUL FITRI BERGEMA DI MASJID AL-UMM



BBB, 01 Syawal 1439H. = 15 Jun 2018M. (Juma`at):
Kejayaan menyambut dan menjalani ibadat Ramadhan 1439H. adalah dipuncaki dengan gema takbir memuji kebesaran Allah dan bersyukur kepadaNya kerana berjaya menunaikan ibadat sebulan Ramadhan. Persiapan bertakbir pada malam satu Syawal, memang disusun dalam program selengkapnya sebagai satu pakej sambutan. Sesungguhnya pada setiap petang pada bulan Ramadhan disediakan juadah berbuka puasa kepada kebiasaannya untuk 200 orang. Namun pada petang akhir Ramadhan sengaja tidak disediakan oleh caterer, memandangkan petang akhir adalah petang raya dan masing-masing di rumah sudah menyediakan makanan bagi sambutan raya pada keesokan harinya. Lagi pula pada penghujung Ramadhan, kehadiran mereka yang berbuka di Masjid Al-Umm makin berkurangan, kerana sebahagian besar daripada mereka sudah pulang ke kampung masing-masing. Walau bagaimana sebagaimana malam malam terakhir sahur, walaupun  tiada masuk di  dalam minu persediaan bersahur, tetapi ada mereka yang membuat kebajikan menyediakan sahur bagi mereka yang datang berqiyam al-lail,  maka demikian dengan  berbuka pada petang akhir Ramadhan ini juga makanan untuk iftar juga sisediakan oleh hamba Allah yang membawa bahan iftar bagi akhir Ramadhan.



Takbir bagi `Eidul Fitri, sepatutnya dapat dikumandang mulai dari selepas maghrib, tetapi oleh kerana belum ada pengumuman rasmi dari pihak Berkuasa, sedang hari ini ialah hari ke 29 Ramadhan, maka masih belum diungkapkan takbir selepas solat maghrib. Maklumat sahih diterima tentang raya `Eidui Fitri, hanyalah menjelang `Isya`. Jadi takbir bagi mengagungkan Ilahi dibimbing oleh Imam Rahmat sebaik selesai solat `Isya` dan disahut oleh para jama`ah yang mempunyai dua saf itu. Takbir bermakna:
Membesar dan bersyukur kepada Allah kerana memberi kekuatan dapat menunaikan  ibadat sebulan Ramadhan.
Membesar dan bersyukur kepada Allah kerana pada tahun 1439H. ini para jama`ah dapat menggunakan Masjid Al-Umm  bagi menunaikan ibadat pada bulan Ramadhan.
Membesar dan bersyukur kepada Allah kerana segala program yang diatur sebulan Ramadhan berjalan dengan teratur dan baik.


Membesar dan bersyukur kepada Allah  kerana para jamaah dan masyarakat sekeliling amat memberi kerjasama dan menderma bagi mengihya` sebulan Ramadhan
Membesar dan bersyukur kepada Allah yang memberi peluang menjalani ibadat sebulan Ramadhan semoga dipanjangkan umur dan sihat bagi menyambut kembali Ramadhan pada tahun hadapan – Insya Allah.
Takbir selepas itu diteruskan oleh kumpulan ahli masjid hingga ke larut malam.
Kemudian seawal  5.00 pagi 01 Syawal 1439H. gema takbir berkumandang  lagi berterusan, bersambung dengan kehadiran jama`ah bagi kali pertama solat `Eidul Fitri diadakan di Masjid Al-Umm.



Dengan jangkaan bahawa penduduk Bangi, khususnya sekeliling Masjid Al-Umm ramai yang pulang ke kampung dijangka ramai yang tak datang, tetapi sangkaan adalah meleset. Kerana hingga ke masa sebelum didirikan solat  `Eidul Fitri masjid dipenuhi dengan jama`ah. Ruang utama jama`ah termasuk serambi kanan dan kiri dipenuhi jama`ah lelaki, sedang pada bahagian belakang bagi kawasan muslimat dan pada bahagian atas yang dikhaskan bagi muslimat juga penuh. Ia sebagaimana hari pertama   berjama`ah pada satu Ramadhan dulu yang dulu dan kini berjumlah  2,500 orang lebih kurang.



Sementara menunggu bermulanya solat `Eidul Fitri, saudara Tompang, Kamaruzzaman dan Penulis turut memimpin takbir. Sebelum sedkit solat  `Eidul Fitri Penulis selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm berucap ringkas.  ``Berterima kasih di atas kehadiran para jamaah. Mengucap syukur kepada Allah kerana dapat menunaikan ibadat sebulan Ramadhan, Bersyukur kepada Allah, kerana pertama kali dapat menggunakan Masjid Al-Umm pada Ramadhan pada tahun ini, berdo`a semoga kita dapat menyambut kembali Ramadhan pada tahun hadapan Insya Allah. Berterima kasih kepada para jama`ah yang sama memberi sokongan hingga masjid Al-Umm yang berharga RM21` juta ini dapat disiapkan. Namun kita masih mempunyai hutang sebanyak RM2 juta. Berharap para jamaah dapat sama bekerjasama dapat melunaskan hutang tersebut. Seterusnya para jama`ah diharapkan akan terus sama memakmurkan Masjid Al-Umm dan mengharapkan cadangan dan kritikan membina bagi meningkatkan prestasi pengimarahan Masjid Al-Umm.
Solat `Eidul Fitri pagi itu dipimpin oleh Imam Ghazie dan khutbah disampaikan oleh Imam Rahmat. Antara pesan dalam khutbah agar jama`ah dapat  menurut apa yang dilakukan oleh Rasulullah, ucapan bermaksud ``Semoga diterima Allah ibadat kita sebulan Ramadhan``, perlu mengukuhkan ukhuwwah di kalangan umat Islam antaranya dengan ziarah  menziarahi dan jika datang melalui satu jalan dan pulang melalui jalan yang lain. Dan umat Islam wajar meneruskan amal kebajikan termasuk bersadaqah dan menolong faqir miskin.



Selepas solat dan salam para jama`ah dijemput ke jamuan hari raya  `Eidul Fitri yang disediakan oleh masjid di ruang legar serbaguna masjid.``
Terpancar kesyukuran dan kegembiraan pada wajah setiap mereka yang datang lantaran dapat menikmati kemudahan yang terdapat di Masjid Al-Umm yang diharap semua pihak berusaha mengimarahkan Masjid Al-Umm.
Sekian.

June 15, 2018

PERSEDIAAN DAN PENGISIAN RAMADHAN


BBB, 29 Ramadhan 1439H. = 14 Jun 2018M. (Khamis):
Bagi persediaan Ramadhan 1439/2018, maka ianya dijadikan agenda mesyuarat Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm sejak bulan Mac 2018 = Rajab 1439H. Pihak Setiausaha telah membekalkan contoh program Ramadhan pada tahun sebelumnya sebagai panduan. Sambutan  Khamis  01 Ramadhan 1439H. – 29 Ramadhan  1439H. =  pada 17 Mei 2018 – 14 Jun 2018M. (Khamis). Beberapa mesyuarat susulan – Jawatankuasa Kecil diadakan,  sebelum tibanya Ramadhan.
Perkara utama yang diputuskan, bahawa sejak 16.12.2017  setelah diadakan solat waktu, maka pada tahun ini buat pertama kali  akan diadakan solat tarawih – termasuk witir, iaitu sebanyak 20 rakaat campur tiga witir.
Imam-imam yang akan mengimami solat tarawih adalah imam hafiz. Sememangnya menjadi tujuan pengambilan imam-imam bermula dari awal April 2018 itu adalah imam-imam yang hafiz, iaitu Imam Rahmat dan Imam Ghazie. Mereka berdua dikehendaki menjadi imam tarawih bagi separuh pertama atau kedua bagi setiap orang dan setiap orang dikehendaki membaca Al-Qur`an secara hafal setengah halaman Al-Qur`an secara seturut bagi setiap raka`at. Andainya berlaku keuzuran bagi setiap orang bagi mereka, maka tugas bagi seorang imam memimpin solat tawawih keseluruhan 20 raka`at dengan dibantu solat `Isya` dan witir oleh imam-imam yang tidak hafiz. Keadaan ini berlaku beberapa kali kepada imam-imam berkenaan, Al-Hamdulillah mereka menunjukkan prestasi hafalan yang baik.
Satu kepuasan puncak dan penuh rasa kesyukuran bahawa sejak hari pertama Ramadhan mulai khususnya solat isya` dan tarawih, bahawa  sebagaimana telah disebutrkan, inilah kali pertama Masjid Al-Umm dipenuhi dengan jama`ah. Ruang solat utama dan serambi kanan dan kiri dipenuhi jamaah, demikian juga pada bahagian belakang dan tingkat atas bagi muslimat dipenuhi jama`ah muslimat yang jumlah mereka dapat dikatakan melebihi dua ribu. Sebagai satu sejarah inilah kali pertama tarawih dan masjid digemai solawat, tasbih dan takbir yang menggetar rasa. Dapat dikatakan setiap malam, walaupun tidak seramai beberapa malam permulaan, setiap solat isya` dan tarawih dilempahi jamaah. Sejak bulan Ramadhan juga jama`ah bertambah setiap waktu solat bermula dengan solat subuh dengan tazkirah, solat zohor, asar seterusnya maghrib.
Dalam keputusan mesyuarat disetujui bahawa tadarrus Al-Qur`an akan diadakan. Ustaz Ahmad bin Hasbullah ditugaskan mengendalikan kumpulan tadarrus. Waktu tadarrus rasmi ialah selepas solat subuh.  Terdapat dua kumpulan lelaki yang setiap satu terdiri dari 7 orang  (kadang bertambah dan kadang kurang), manakala bagi kumpulan muslimat juga terdapat dua kumpulan. Setiap kumpulan hendaklah menamatkan satu juz` bacaan setiap pagi dan setiap pembaca membaca satu halaman secara seturut  berkeliling sehingga tamat. Ada kumpulan yang membaca lebih dari satu juz` dan menamatkan tadarreus secara lebih awal. Kumpulan tadarrus yang paling akhir ialah pada Selasa 27 Ramadhan dan esoknya diadakan acara khatam Al-Qur`an beramai-ramai secara keseluruhan antara jam 6.00 – 7.00 petang di ruang solat utama pada hari tersebut.
Satu acara yang dapat dikatakan kemestiuan pada malam Ramadhan, ialah mengadakan sambutan Malam Nuzul Al-Qur`an. Urusan mendapatkan Penceramah bagi Nuzul Al-Qur`an dilakukan dua bulan sebelum dari tibanya Ramadhan. Penceramah bagi malam Nuzul Al-Qur`an di Masjid Al-Umm, iaitu pada 16 Ramadhan – malam ke tujuh belas, ialah Ustaz Mahdzir Nor dari Maktab Perguruan Islam Bangi. Pada malam itu solat tarawih dipendekkan dari 20 raka`at kepada 8 raka`at dan Ustaz Mahdzir menjadi imam bagi solat Isya`. Beliau membuat pendekatan yang menarik berhubung dengan Nuzul Al-Qur`an. Masa lebihklurang 40 minit diisi dengan baik dan menarik.
Satu pengisian yang berhubung dengan ibadat Ramadhan, bahawa Masjid Al-Umm menganjurkan ibadat Qiyam al-Lail mulai 10 Ramadhan terakhir, iaitu mulai Selasa malam 21 Ramadhan. Peserta-peserta hingga 2 saf hadir ke masjid  mulai sebelum jam 4.00 pagi. Imam  hafiz bertugas memimpin solat-solat tasbih, taubah, hajat dan tahajjud dan sebagainya hingga jam 5.00—pagi. Selepas itu para peserta Qiyam al-Lail makan sahur yang disediakan oleh pihak masjid. Berikutnya solat subuh dan diikuti dengan tadarrus bagi yang menyertai kumpulan tadarrus.
Dapat dikatakan perjalanan ibadat puasa dan ibadat-ibadat yang lain berjalan lancar sebagaimana di atur. Gangguan  yang berlaku ialah suara bising anak-anak yang bermain dan suara anak-anak yang menangis yang ibu bapa mereka setiap malam diingatkan agar menjaga anak-anak mereka, jika tidak mampu dikawal, lebih baik tidak membawa mereka, agar tidak mengganggu ketenteraman para jama`ah menunaikan ibadat.
Sekian.

June 14, 2018

SYUKUR DAPAT GUNAKAN MASJID PADA BULAN RAMADHAN



BBB, 28 Ramadhan 1439H. =  13 Jun 2018M.(Rabu):
Besok, insya Allah hari terakhir Ramadhan 1439H. bererti jika panjang umur kita dapat menggenapkan puasa sebulan Ramadhan, jika tidak dapat menggenapkan, kita telah dapat menjalani ibadat puasa bagi bulan Ramadhan ini. Sesungguhnya dapat menggunakan Masjid Al-Umm pada Ramadhan ini adalah satu kesyukuran dan kenikmatan kerohanian yang tinggi terhadap Ilahi. Sesungguhnya usaha pihak Ahli Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm untuk menggunakan Masjid Al-Umm pada bulan Ramadhan telah tertangguh sejak beberapa Ramadhan yang lepas, kerana tidak layak menggunakannya.
Sesungguhnya penggunaan Masjid Al-Umm sejak 16.12.2017  yang lepas, iaitu sejak setengah tahun yang lepas adalah sebagai latihan penggunaan masjid yang puncaknya tiba pada bulan Ramadhan ini. Dalam tempoh tersebut kita telah menguji kelayakan fizikal masjid yang puncaknya pada hari pertama Ramadhan dalam mana ruang masjid penuh buat kali pertama dengan para jamaah. Ruang solat utama dari  saf pertama di hadapan  - sengaja dianjak ke hadapan, hingga ke belakang dipenuhi jama`ah yang puncaknya pada masa menunaikan isya` dan awal tarawih penuh. Kali pertama juga ruang untuk muslimat pada aras pertama juga penuh. Serambi kanan dan kiri aras utama juga digunakan, walaupun tidak sepenuhnya. Jumlah para jamaah buat kali pertama diikuti beberapa malam berikutnya adalah melebihi 2,000 orang. Penggunaan ruang solat selama ini membiasakan para jamaah dengan ruang dan situasi Masjid Al-Umm.
Dalam tempoh enam bulan pihak Masjid berusaha melengkapi tenaga-tenaga imam-imam dari` Imam-Imam Tua`, tiga orang kepada jumlah enam orang, iaitu dengan tambahan imam berelaun tetap seramai tiga orang. Kalau dulu semasa di Surau Al-Umm, adanya hanya seorang dua bilal secara volunteer, kini bilal berjumlah 4 orang. Perjalanan solat lancar dengan mengikut jadual yang disediakan. Sebagai persediaan juga jama`ah disediakan dengan guru-guru yang mengajar berbagai keilmuan fardhu, khususnya  antara solat maghrib dengan Isya`. Guru-guru kebanyakannya dijemput dari luar, di samping imam-imam turut sama mengajar.
Dengan menyedari Masjid Al-Umm masih berhutang dengan kontrektor dan usaha mencari dana diteruskan, ujian juga dibuat terhadap kemampuan kewangan bagi kos harian. Misalnya selama enam bulan dapat dikenalpasti perbelanjaan letrik bagi setiap bulan adalah dalam lengkongan RM3,000 sebulan (penggunaan air-cond. hanya antara waktu maghrib dan isya`), manakala waktu-waktu yang lain menggunakan kipas. Adalah dibuat anggaran untuk Ramadhan penggunaan letrik akan meningkat kepada lebih dari seratus peratus. Manakala penggunaan air tidaklah membebankan, iaitu dalam lengkongan RM200 sebulan dan sudah tentulah pada bulan Ramadhan akan meningkat juga kepada  100%.
Bagi keperluan parkir, untuk hari-hari dan malam-malam biasa, ruang dalam bagi menampng kenderaan para jamaah yang berjumlah antara 300 – 500 orang mencukupi. Namun pertambahan kenderaan pada malam Ramadhan, tidaklah merisaukan, kerana, selain dari menggunakan tenaga `Rela`, sebenarnya raung parkir bahagian luar masih ada dan tidak jauh bagi  jama`ah untuk berjalan kaki  - ke masjid selepas parking di luar.
Persoalan kos perbelanjaan bagi sebulan Ramadhan juga  menjadi cabaran. Sejak menggunakan masjid orang ramai menyedari tentang kos yang ditanggung oleh masjid, dan masjid memang menyediakan `Tabung Derma` untuk dimasukkan derma ka dalam tabung-tabung derma yang diletak pada tempat-tempat strategik. Mulai  dari bulan pertama penggunaan kutipan bulanan adalah sebanyak RM7,000 sebulan dan ianya meningkat kepada jumlah sekali ganda, bahkan kepada dua kali ganda, Pendeknya pungutan yang didapati adalah dapat menampung perbelanjaan harian, termasuk elaun para pekerja masjid. Ertinya tidak memerlukan pihak masjid mengambil peruntukan pembangunan kepada operasi harian. Tapi untuk Ramadhan persediaan adalah berlainan berbanding dengan surau.
Persediaan Ramadhan  bagi Surau Al-Umm sebelumnya melalui mesyuarat, dipastikan ada imam untuk bertarawih dan bilal-bilal, persediaan untuk berbuka kepada yang hadir berbuka di surau hanya  untuk beberapa orang sahaja. (Bilal hanya membeli juada berbuka di pasar-pasar Ramadhan yang mudah didapati), mengusahakan untuk mendapat penceramah bagi Nuzul Al-Qur`an, menawarkan untuk jama`ah bersedekah bagi sagu hati kepada imam, derma untuk faqir-miskin dan anak yatim. Biasanya peruntukan bagi Ramadhan adalah di bawah RM10,000 dari dapatan yang diderma  jama`ah dalam lengkongan belasan ribu sahaja.
Adapun perbelanjaan bagi Ramadhan di masjid lebih tinggi dan persediaan adalah lebih rapi.
Sekian.

June 13, 2018

SOAL KESELAMATAN MASJID AMAT PENTING



BBB, 27 Ramadhan 1439H. =  12 Jun 2018M. (Selasa):
Soal keselamatan, khususnya Masjid Al-Umm amat penting. Keselamatan diberi perhatian sebelum membina masjid. Sebelum pembinaan dilakukan, pihak berkuasa (Majlis Perbandaran), memberi perhatian  tentang plan pembinaan. Antara perkara yang diberi perhatian ialah keselamatan. Pihak bomba misalnya tidak akan merekomend kepada Majlis Perbandaran untuk diluluskan plan pembinaan, jika ada bahagian yang tidak menepati ciri keselamatan dari segi kebombaan.
Dalam masa binaan sedang progres dilakukan, soal keselamatan diberi perhatian agar pihak pekerja tidak terdedah kepada bahaya dalam masa bekerja dan keselamatan bagi pengguna andainya siap dibina, tetapi tidak menepati ciri-ciri keselamatan.
Kita juga memahami mengapa sesebuah bangunan itu tidak boleh digunakan selagi tidak mendapat kelulusan pada peringkat CCC. Namun bagi Masjid Al-Umm, kita berijtihad, insha Allah selamat selepas mendapat CPC dan ternyata selepas setengah tahun digunakan, tidak timbul soal keselamatan. Kelewatan kelulusan lebih kepada soal teknikal. Sebagai jalan tengah, kita masih patuh menunggu kelulusan pada peringkat CCC.
Melihat kepada bangunan Masjid Al-Umm  bagi kami, yang indah yang beridentiti tersendiri, namun di sebalik keindahan ada kelemahan-kelemahan. Bagi orang luar yang melihat sepintas lalu tidak terperasan. Masjid Al-Umm menganggap dirinya sebagai kesayangan ramai, dan tidak ada yang mau mengganggu dan mencerobohnya, semua datang dengan tujuan yang  baik. Sememangnya bangunan Masjid Al-Umm bersifat terbuka dan dia boleh didekati dan didatangi  dari berbagai penjuru dan dapat dimasuki  dengan mudah. Misalnya jika dimasuki dari kanan, tidak ada pagar atau dinding untuk ke ruang legar pada bahagian hadapan. Keadaan yang sama boleh dimasuki dari bahagian sebelah kiri. Mungkin setakat ini orang yang datang adalah baik-naik, bukan dengan niat untuk menceroboh. Keadaan terbuka juga boleh dimasuk  pada bahagian sebelah kanan untuk ke ruang aras bawah tanah dan ke bahagian atas (di sini ada pintu), tetapi pada sebelah kiri, tiada halangan ke bahagian bawah dan atas. Keaaan keselamatan yang tidak selamat ini  bukan saja boleh diceroboh oleh mereka yang datang dengan niat menceroboh dan setakat ini belum berlaku pencerobohan, tetapi yang ketara menceroboh dan tidak terkawal, kerana tiada dinding dan sekatan, ianya sering dimasuki kucing mengotori ruang dalam dengan najis kucing, bahkan menjadi tempat tidur dan kediamannya. Lebih parah pada satu pagi sebelum Ramadhan 1439H. seorang jama`ah yang datang agak awal untuk bersolat subuh terserempak dengan seekor anjing yang duduk dalam ruang legar masjid. Sertu (samak) terpaksa dilakukan  agar tidak timbul was-was  akibat dari najis mughallazah. Akibat dari peristiwa itu timbul usaha untuk memasang jaring pada pintu pagar untuk tidak berulang kali berlaku kemasukan anjing ke kawasan masjid.
Cabaran terhadap keselamatan Masjid Al-Umm, akibat banyak bahagian terbuka yang dapat diceroboh dari berbagai ruang, Masjid sejak digunakan antaranya didatangi pelajar-pelajar sekolah Rendah Kebanbgsaan dan Menengah Kebangsaan yang menjadi  jiran kepada Masjid Al-Umm. Mereka jadikan masjid tempat rehat sementara menunggu waktu masuk sekolah atau menunggu waktu ko-kurikulum. Masjid didatangi mereka terutama pada tengahari hari Rabu, mereka kadang-kadang luar kawalan, bukan saja membanjiri ruang-ruang di aras utama, tetapi menyelinap masuk ke tingkat satu yang menjadi larangan bagi mereka, termasuk lelaki dan perempuan. Mereka masuk ke bilik-bilik mencuba kemudahan-kemudahan yang ada, lantaran itu bilik-bilik seperti bilik seminar  dan kuliah terpaksa  dikunci selepas digunakan.
Satu peristiwa malang  berlaku, pada tengahari Juma`at 4 Mei 2018, ketika orang pergi solat Juma`at (masjid Al-Umm  belum digunakan untuk solat Juma`at), sekumpulan pelajar menengah rendah  telah menceroboh bilik stor masjid di aras utama di bawah tangga kanan naik ke aras atas, enam orang dari mereka dengan seorang ketua membakar bahan-bahan di dalam stor berkenaan. Sebahagian yang lain (semua 12 orang) cuba memadam dengan alat pemadam, teremasuk menggunakan air. Perkara ini terpaksa dilaporkan kepada Polis Bandar Baru Bangi dan Polis Kajang. Hasil dari rakaman CCTV disaksi polis, mereka dikenali oleh pihak sekolah. Pihak masjid, sekolah dan PIBG berunding bagi menyelesaikan masalah kenakalan anak-anak.
Apa yang penting, peristiwa menggugat keselamatan masjid sehingga keputusan diambil pihak masjid mengambil perkhidmatan rela pada hari Juma`at dan hari Rabu, dalam mana masjid  jadi tumpuan pelajar sebagai tempat persinggahan. Pihak Masjid tidak melarang pelajar-pelajar datang ke masjid, khususnya untuk solat Juma`at tetapi diharap mereka dan siapa saja menjaga tatatertib dan keselamatan masjid.
Dari peristiwa-peristiwa berkenaan persoalan keselamatan masjid diutamakan dan usaha-usaha bagi menjaga keselamatan ditingkatkan.
Sekian.

June 12, 2018

MENGUSAHAKAN TAKMILAH FIZIKAL, ILMU DAN AMAL



BBB, 26 Ramadhan 1439H. = 11 Jun 2018M. (Isnin):
Pembinaan Masjid Al-Umm melalui beberapa tahap penting:
1)      Tahap Persediaan (2008-2013)
Bermula dengan permohonan tapak, Keizinan untuk mendirikan masjid dari JAIS ( 24 Mei, 2008), Gezet Tanah (1 September 2009), Tiada halangan mendirikan Masjid dari JAIS (17 November 2009), penubuhan jawatankuasa pembinaan (4 Februari 2010), pelancaran Derma Masjid (19 Mei 2012), perasmian tapak oleh YAB Dato` Menteri Besar Selangor (6 Januari 2013). Memakan masa lima tahun.

2)      Tahap Pembinaan Fizikal (2013-2018)
Mengambil masa juga lima tahun bermula dari perlantikan arkitek, pemilihan kontrektor, perlantikan perunding-perunding, perbincangan berterusan mengenai plan dan perubahan-perubahan yang dilakukan, mengangkat plan kepada MPKJ dan menunggu kelulusan  (4 Disember 2013), masuk tapak (10.12.2013), menentukan arah Kiblat (2 Januari 2014) dan pembinaan berterusan sehingga 2018. Di dalam masa tersebut banyak ujian, terutama kekurangan kewangan yang menyebabkan pembangunan menghadapi gangguan dan terlambat.

3)      Tahap Pengimarahan (Tiada had masa – berterusan)
Bermula dari 16 Disaember 2017. Iaitu bermula dari Majlis Sambutan Maulid al-Rasul – 27 Rabi`ul-Awwal 1439 dan terus mengadakan solat berjama`ah hinggalah kini. Pengimarahan diisi dengan pengajian-pengajian, tazkirah dan seminar.
Oleh kerana masjid belum mendapat CCC, kita dapati, di samping kita mengusahakan secara mengikut procedure biasa, kita dapati ada pihak yang  menunjukkan simpati dan membuat hubungan dengan beberapa pihak atasan, bahkan kita diminta menulis surat kepada pegawai tinggi memohon mendapat kelulusan CCC, tetapi sebenarnya tidak  menghasilkan apa yang dikatakan. Kita juga tidak dapat kepastian ada kalangan yang cuba mendapat  dana dari pihak tertentu dan kita memberi no-no account bank, kononnya untuk dimasukkan dana secara terus, tapi tidak menampakkan pertambahan dengan apa yang dikatakan  dimasukkan oleh pihak tertentu. Di dalam masa yang sama kita pernah disabotaj, pada 26 Februari 2018, kita menerima telefon dari anak seorang berkedudukan, bahawa pihak Istana, meminta penjelasan, mengapa masjid Al-Umm hingga sekarang masih belum dapat mendirikan Juma`at. Akibat dikatakan  permintaan jawapan dari pihak Istana kita terpaksa membuat mesyuarat mengejut  pada 27 Februari 2018, membincangkan apa yang dikehendaki oleh pihak Istana itu. Keputusan mesyuarat Penulis selaku Pengerusi diminta hubungi terus pihak Istana berkenaan perkara tersebut.  Ternyata apa yang dikatakan arahan dari Istana itu tidak benar dan tiada apa yang dikatakan permintaan dari pihak Istana itu.

4. Fokus
Di sebalik dari pelbagai kemelut yang dihadapi fokus kita dari Masjid Al-Umm mau selepas berjaya menyiapkan Masjid Al-Umm yang bagi kami `Amat Indah` - Indah bukan saja dari segi lahir sahaja, tetapi indah dari segi maknawi dan rohani. Khususnya keikhlasan masyarakat.
Kami tidak mau indah dari segi fizikal semata-mata, tapi indah dan baik dari  segi peranan masjid dapat meningkatkan keilmuan-keilmuan fardhu bagi jama`ah hasil dari berbagai bidang  pengajian yang kami dapat tawarkan kepada jama`ah. Namun begitu penawaran kami belum sampai kepada taraf yang memuaskan semua pihak. Bidang ilmu ditawarkan masih terhad dan guru-guru yang ditawarkan mungkin tidak sampai taraf yang dikehendaki mereka yang datang belajar. Kami mau dengan  pengajian terhadap ilmu yang ditawarkan dapat meningkatkan keilmuan para jama`ah dan dapat mempraktikkan pengajian ke dalam amalan mereka. Diharapkan amalan mereka makin meningkat dari segi kualiti.
Jadi kami mau perjalanan Takmilah berlaku pada fizikal masjid, berlaku perjalanan Takmilah pada keilmuan para jamaah dan Takmilah amalan pada jama`ah.

5. Harapan

Kami berharap dengan kesungguhan kami, jika sebenarnya ada kesungguhan, dapat menarik para jama`ah lain sama datang bagi menyertai gerak takmilah pada pihak-pihak berkenaan, Tapi kami sedar kami kurang dari guru dan pengajaran, dan tempat lain mungkin lebih hebat dan lebih kuat dari segi kejayaan. Kami tidak berhasrat untuk  menunjuk-nunjuk, tetapi ialah bagi memupuk semangat `Fastabiqul-khairat`.
Kami berusaha dalam keadaan kami yang kurang dari infra-struktur Takmilah ke arah Takmilah yang tidak Takmilah. Semoga ianya bukan merupakan niat yang tidak baik.
Sekian.