January 1, 2008

BN (Barang Naik!): BA (Buat Anjakan) kepada Amalan Bersih

Tanyalah kepada rakyat, apakah yang paling merisaukan mereka kini. Jawapan paling utama ialah kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang secaralangsung mencengkam mereka. Ketara berlaku kenaikan ialah mulai dari Mei, 2007 berikutan pengumuman kenaikan gaji pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan. Sejak dari itu gelombang kenaikan harga barang terus-terusan berlaku dan tiada tindakan serius diambil oleh pihak berkuasa bagi mengekang kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Kerisauan rakyat dan debaran makin bertambah menjelang kehadiran 2008, kerana berbagai agensi dan pihak swasta makin galak mencongak kenaikan tarif, cukai, bayaran, taksiran dan dengan angkuh dan sombong membayangkan kenaikan-kenaikan yang mereka akan kenakan terhadap rakyat. Kadar kenaikan tol sudahpun diumumkan pada Rabu 28 November 2007 bagi enam buah tol yang kenaikannya antara 7 hingga 50% dari kadar sebelumnya (BH 29 Nov.2007:1). Petrol dan gas juga akan naik dijangka awal tahun hadapan yang kenaikannya mungkin antara 30 hingga 60 sen seliter (The Star 18 September 2007: 1 & UM 18 Okt. 2007: 8). Manakala tarif elektrik akan turut naik menurut kenaikan harga minyak dan gas di pasaran tempatan dan global (UM 20 Okt. 2007: 1), tarif air juga dijangka naik sebanyak 37% (UM 10 Okt. 2007: 14). Tambang teksi pula akan turut naik antara 100% hingga 600% sebagaimana dituntut (Harakahdaily 4 Oktober 2007:1 ), manakala charge bagi perubatan dan rawatan di hospital terutama swasta akan meningkat antara 10 – 20% (NST November 29, 2007: 48). Banyak lagi kenaikan yang tak tersurat yang memerangkap pengguna.

2. Kritikan Terhadap Pendekatan

Kebijaksanaan dan tindakan kerajaan dipersoal, kerana lebih membuat perkiraan politik dari kepentingan rakyat jelata. Bagi mengambil hati kakitangan kerajaan dan mengharapkan sokongan mereka, maka Perdana Menteri Malaysia Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pada 21 Mei 2007 kenaikan gaji kakitangan kerajaan antara 7.5 hingga 35% yang dinikmati seramai lebih kurang satu juta orang. Kemurahan kerajaan dapatlah dipuji, tetapi pendekatan dipersoalkan. Dengan pengumuman kenaikan pada bulan Mei, tetapi perlaksanaan bermula dari awal Julai 2007, membuka ruang kesempatan kepada peniaga-peniaga menaikkan harga barang-barang secara bersiri.

Selepas pengumuman kenaikan dibuat, sedangkan kakitangan kerajaan yang digembar-gemburkan dengan kenaikan gaji, belum menerima apa-apa, maka para peniaga mulai mengambil kesempatan menaikkan harga barangan! Apabila gaji benar-benar naik pada awal Julai, maka berlaku perloncatan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan bagi kali kedua, maka nikmat kenaikan gaji yang diterima oleh sejuta kakitangan kerajaan dideritai oleh 24 juta rakyat, bahkan dialami oleh penerima kenaikan gaji, akhirnya kenaikan gaji tidak memberi makna, kerana kenaikan-kenaikan yang berlaku antara 20 – 50 peratus, bahkan ada 100% harga barangan menenggelamkan kenaikan yang diterima.

Kenaikan harga barang ini bersambung dan bersambut dengan kehadiran Ramadhan pada pertengahan September yang secara langsung pula menggerakkan kenaikan harga barangan dan bersambungan dengan musim perayaan. Hanya dengan kehadiran Ramadhan, maka Menteri yang bertindak secara bermusim, iaitu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Shafie Afdal, pegawai dan kakitangan secara klisye turun padang ke pasar dan premis-premis perniagaan membuat pemeriksaan harga barang-barang yang kesannya amat minimum dari segi pengawalan harga barang-barang. Harga barang akan terus meningkat naik lagi mulai awal tahun 2008.

3. Kenaikan Harga Barang

Sebagaimana dikatakan di atas, selepas diumumkan kenaikan gaji oleh pihak kerajaan harga barang-barang terus naik. Contoh kenaikan barang-barang sebelum dan selepas Mei dan Julai 2007 hingga kini hasil dari tinjauan di beberapa kedai runcit dan maklumat-maklumat tertulis ialah.

Tepung dari RM1.65 (satu kg.) kepada RM2.80, Susu powder RM10.49 (700 gm.) kepada RM11.89 (dikurangkan 600 gm), Instant Coffee RM9.99 (bungkus 200gm) kepada RM14.00, Milo berat sekilo dari RM11.90 kepada RM15.90, Sardin RM5.00 (425gm.) kepada RM5.49, Sauce Chilli RM2.09 (500gm.) kepada RM2.39, Bawang besar RM1.20 sekilo kepada RM2.00, Bawang kecil RM4.00 kepada RM6.00, Kacang dal seguni RM20.00 kepada RM 40.00, Mee RM2.39 (sebungkus 5x80G) kepada RM2.89, Kordial Orange RM9.19 (840ml.) kepada RM9.69, Susu UHT RM4.99 kepada RM5.99, Margerin RM7.99 (1kg.) kepada RM8.99, Krim kraker RM2.39 (500gm.) kepada RM2.79. Krimer manis RM1.86 (505gm) kepada RM2.25, Biskut setin RM7.50 kepada RM9.00 dan Beras wangi RM18.99 (10kg.) kepada RM19.99.. Kenaikan harga barang-barang ini setengahnya membawa kesan berangkai. Misalnya kenaikan harga tepung mengakibatkan kenaikan harga kuih muih yang dibuat dari tepung seperti kenaikan harga roti Gardenia dari RM1.90 sebungkus (400grm) kepada $2.10, kenaikan kuih yang asalnya 3 biji seringgit menjadi RM1.20 dengan saiz yang lebih kecil.

Jika ke pasar basah, pasar malam atau pasar tani kenaikan barang-barang juga ketara. Daging lembu yang dahulu RM16.00 sekilo kini RM20.00, ikan kembong RM6,00 sekilo menjadi RM10.00, cencaru RM7.00 menjadi R$M11.00, tenggiri RM16.00 menjadi RM19.00, jenahak RM17.00 menjadi RM20.00, bawal hitam RM15.00 menjadi RM18.00, parang RM14.00 menjadi RM17.00 dan kerapu RM17.00 menjadi RM20.00. Mnakala harga sayur-sayuran tempatan dan kampong seperti sawi, kangkung, bayam dan kacang panjang lebih stabil yang dijual secara ikat atau longgok yang biasanya RM1.00 selonggok dan RM2.00 untuk tiga longgok. Harga buah-buah tempatan juga agak stabil dan bergantung pada musim, tetapi bagi buah-buah import berlaku sedikit kenaikan. Dengan kenaikan harga barang-barang di atas bagi rakyat biasa, mereka tidak memikirkan gaya atau stail membeli lagi, tetapi yang penting di mana yang dianggap lebih murah, sama ada di pasar-pasar raya atau kedai, tetapi tempat yang dianggap lebih murah ialah di pasar-pasar malam. Orang ramai amat berhati-hati dengan perbelanjaan. Mereka terasa dengan kekurangan wang. Tawaran untuk korban bagi hariraya haji di masjid dan surau kurang mendapat sambutan berbanding tahun-tahun sebelum. Masing-masing berjimat dengan kewangan yang nilainya makin merosot!

4. Rakyat Tertekan

Dalam keadaan harga barang dan perkhidmatan semuanya naik, rakyat merasa amat tertekan. Seorang bujang yang hidup di bandar dan menyewa kediaman bersama teman-teman terpaksa mengeluarkan sewa bilik RM100 sebulan. Kalau dulu nasi bungkus dengan lauk paling minima seketul ikan dan sedikit sayur boleh didapati dengan kadar RM2,00 kini meningkat harganya RM3.00. Bererti bersama makan pagi, makan tengah hari dan malam seorang paling minimum memerlukan RM10.00 sehari. Tambang menambang atau jika menggunakan motor memerlukan peruntukan minyak RM100. Bererti peruntukan asas RM500. Ini belum masuk keperluan membeli pakaian, peruntukan kesihatan , bil-bil bulanan, bantuan kepada keluarga dan perbelanjaan runcit. Sesungguhnya dengan gaji di bawah RM1,000 sebulan bagi seorang pekerja bujang hampir tidak kecukupan.

Bagi sebuah keluarga sederhana yang tinggal di bandar dan mempunyai tiga orang anak berpendapatan sekadar RM3,000 sebulan meletakkan mereka di dalam keadaan miskin dengan keperluan perbelanjaan seperti berikut, sewa atau ansuran bulanan rumah dibeli RM800 sebulan, makan minum keluarga RM1,000 sebulan, kenderaan, tol atau tambang menambang RM400, persekolahan anak-anak RM300, bil-bil RM200, pakaian RM100 dan tabungan RM100. Lebihan untuk perbelanjaan luar jangka adalah RM100 sahaja. Bayangkan betapa daif dan tertekannya kehidupan.

Bagi yang melewati umur bersara yang saraan bulanan di bawah dari RM1,500 sebulan dan tidak membuat persiapan rapi sebagai sumber tambahan hari tua, lebih-lebih lagi jika anak-anak tak dapat membantu, kerana mereka juga tertekan dengan tanggungan keluarga masing-masing, maka kehidupan pesara dengan isteri di bawah paras miskin. Bayangkan dengan pencen RM1,500 pesara semestinya mengubah gaya hidup berbanding semasa bekerja yang gaji dan elaun mencecah RM5,000 sebulan . Dalam keadaan semua harga dan perkhidmatan meningkat dan kesihatan makin menurun dan memerlukan perbelanjaan kesihatan yang lebih para pesara makin tertekan. Lebih parah lagi jika pekerja ini bukan di bawah skim pencen, tetapi bergantung kepada caruman EPFnya. Contoh dengan caruman sejumlah RM114,000 dengan kadar hayat hingga 75 tahun, maka perbelanjaan bulanan sekadar RM475 sebulan. Itu pun jika mereka dapat berjimat, tetapi jika disalahgunakan caruman, maka mereka akan lebih bermasalah di dalam menghadapi kehidupan (UM 19 Oktober 2007: 1).

Di samping mereka yang berpendapatan tetap di atas, bayangkan rakyat yang hanya bekerja sendiri pada kategori rendah yang boleh disifatkan sebagai kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Bayangkan petani yang mempunyai tanah sekangkang kera yang berpendapatan tak sampai RM1,000 setahun, betapa daif dan tertekannya hidup. Bayangkan pula nelayan dipantai yang ke laut tidak tetap masa, di musim tengkujuh terpaksa melabuhkan perahu dan pendapatan sekadar RM10.00 hingga RM20.00 sehari pada hari kerja dan terpaksa berehat panjang pada musim tengkujuh amat perit dan menderita dengan kenaikan barang yang tidak kenal simpati kepada sesiapa. Bayangkan juga pada buruh rendahan yang terpaksa membanting tulang sekadar mendapat wang sebanyak RM10.00 hingga RM20.00 sehari amat malang dan tertekan! Bagi mereka tidak ada maknanya koridur Selatan (Pembangunan Wilayah Iskandar, tidak ada maknanya pembangunan Wilayah Utara dan tidak ada maknanya Ecer yang sehingga ini berdegar cakap, satu apa pun tak terlihat! Kalaupun berlangsungnya projek pembangunan sebenarnya ia lebih merupakan habuan kepada kroni dan para kontrektor, yang meleleh kepada rakyat, sebenarnya tidak ramai yang kecap.

5. Mengapa Kenaikan Harga Barang Melampau

Disebabkan oleh faktor-faktor yang dapat kita sebutkan sebagai faktor dalaman dan luaran.

Faktor Dalaman

Sebahagian dari faktor dalaman yang penting yang kenaikannya ketara memberi kesan kepada peningkatan harga barangan dan perkhidmatan ialah:

Pengkoporatan, Penswastaan dan Perjanjian Berat Sebelah

Dapat dikatakan kerajaan mengambil langkah silap dengan pengkorporatan dan penswastaan projek-projek lebuhraya secara berterusan, terbuka dan berat sebelah kerana ia lebih mengutamakan syarikat konsesi daripaa kepentingan rakyat. Sepatutnya kerajaan menjadikan syarakat-syarikat sebagai pelaksana projek dan membayar kos yang dibelanjakan dan mengambil alih pentadbiran dan perlaksanaan sejak dari peringkat awal atau menyerahkan kepada syarikat-syarikat yang dapat mengelak dari kenaikan tol melampau. Dengan cara ini syarikat-syarikat konsesi tidak menjadi `Along Lebuhraya` yang memeras rakyat dengan penilaian songsang dan kenaikan melampau. Sepatutnya semakin lama dibayar dan semakin banyak kenderaan di jalanraya semakin turun bayaran tol, tetapi dengan penilaian songsang bayaran menjadi semakin mahal. Padahal keuntungan dari ke tahun berlipat ganda. Contoh kos pembinaan semua lebuhraya termasuk Guthrie adalah RM4.13 bilion, tetapi kerajaan telah membayar pampasan hingga (2006) berjumlah RM4.86 bilion (Soalan Tentang Kenaikan Tol Lebuhraya, 2006), iaitu melebihi dari harga pembinaan lebuhraya. Sedangkan kutipan tol bagi kesemua 19 lebuhraya hingga akhir 2006 sebanyak RM23.65 bilion. Setakat ini tiada leburaya yang rugi. Paling tinggi pendapatan ialah PLUS sebanyak RM15.91 bilion dikuti Jambatan Pulau Pinang RM1.7 bilion dan Elite RM1.05 bilion. Selain daripadanya keuntungan antara RM990 juta ke RM 300 juta. Begitulah hebatnya keuntungan yang diperolehi (BH, 21 Mac 2007: 1). Wajarkah darah rakyat dibiarkan terus dihisap ?

Harta Negara/Rakyat Menjadi Milik Syarikat

Kita amat berbangga dengan kemajuan yang dicapai Petronas. Syarikat ini mengusahakan petroleum dan gas dari perut bumi milik Negara/rakyat. Pengembangannya dilebarkan keluar negara. Sepatutnya syarikat bekerja untuk negara dan rakyat dan hanya menerima bayaran atas usaha dan pengembangan. Yang mengecewakan hasil bumi berkenaan seperti milik Petronas. Lantaran itu Petronas tidak terlepas dari tamak berlumba menaikkan harga petrol dan gas bagi pengguna di dalam negeri, kerana tidak mau melepaskan keuntungan hatta dari keluarga rakyat sendiri. Bagi setiap kenaikan rakyat diperingatkan 'Kadar kenaikan berpatutan dan harga di Malaysia masih termurah, kecuali Brunei, kerajaan hampir tak tertanggung membayar subsidi!', biarpun rakyat kelemasan dengan kenaikan yang mengakibatkan kenaikan harga barang-barang dan perkhidmatan.

Padahal dalam masa sama dengan kenaikan harga minyak dunia Petronas melonjak dengan keuntungan. Contoh bagi kunci kewangan berakhir 31 Mac 2007 Petronas mendapat untung sebanyak RM46.4 bilion mengatasi keuntungan Mac 2006 sebanyak RM 43.1 bilion (NST March 28, 2007: 4). Bagi tahun Mac 2005 keuntungan sebanyak 35.56 bilion (tertinggi sejak 30 tahun operasi sebelumnya) dan bagi Mac 2004 RM23.66 bilion (UM 1 Julai 2005: 21). Dengan keuntungan tahunan semakin meningkat sejak berpuluh tahun yang lepas (sejak 1970an), Petronas mengungkit ianya telah memberi subsidi kepada rakyat sejak sepuluh tahun lepas berjumlah lebih RM50 bilion (The Star, 28 October 2007: F25). Rakyat sebagai pemilik hasil negara wajar berkecil hati dengan ungkitan Petronas. Sebagai mereka yang berhak sama menikmati kekayaan negara ini jumlah tersebut adalah kecil bagi rakyat yang berhak. Sesungguhnya dari segi perkiraan jika dibahagikan keuntungan Petronas terkini, setiap rakyat berhak mendapat sejumlah RM2,000 setahun. Dengan kenaikan harga petrol di pasaran dunia rakyat tidak sepatutnya dilemaskan dengan kenaikan harga petrol dan gas, tetapi dari perhitungan songsang nampaknya semakin harga minyak naik dan keuntungan Petronas berganda rakyat makin tercekek dan terseksa! Dalam pada itu Petronas masih tidak puas dan bercadang menaikkan harga petrol pada awal 2008 berkemungkinan antara 30 – 60 sen lagi. Nampaknya makin menderitalah rakyat. Sesungguhnya kerapnya berlaku kenaikan harga petrol dan gas tidak pernah berlaku sekerap zaman pemerintahan negara di bawah Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Sejak Mei 2004 ke Disember 2007 sudah 5 kali berlaku kenaikan bermula Mei 2004 kenaikan sebanyak 2 sen (RM1.38 seliter), Oktober 2004 5 sen, Januari 2005 7 sen, 31 Julai 2005 10 sen dan 28 Februari 2006 30 sen menjadikan harga terkini seliter RM1.92.

Jana Kuasa dan Sumber Air

Api dan air adalah keperluan asasi bagi rakyat. Kedua-dua sumber ini perlu dikawal oleh negara untuk mengelak dari eksploitasi dan monopoli pihak swasta. Sebarang kenaikan kedua-dua unsur ini akan memberi kesan kepada kenaikan barang-barang. Setakat ini TNB merupakan perbadanan milik kerajaan, tetapi sudah ada pengeluar tenaga letrik swasta sperti TYL dan Bakun, begitu juga dengan air seperti Syabas dan sebagainya. Paling baik kedua sumber hendaklah dikendali negara dan dikawal ketat. Kepentingan rakyat lebih utama dari keuntungan melampau. Misalnya TNB turut berhasrat menaikkan tarifnya pada awal 2008 kerana minyak dan gas akan naik (UM, 20 Okt. 2007: 1), padahal bagi kunci kira-kira berakhir pada 31 Ogos 2007 TNB mendapat untung tertinggi 88% berjumlah RM4.06 bilion berbanding tahun sebelumnya hanya sebanyak RM2.16 bilion (The Star Biz, 26 Oct. 2007: 1). Keadaan yang sama berlaku kepada Syabas yang banyak menguasai kontrak pada peringkat nasional. Syabas berhasrat menaikkan tarif sebanyak 37% pada tahun hadapan. Di sebalik keuntungan lumayan yang dihasilkan. Syabas dapat untung dari pemotongan bekalan air dan sambung kembali (500,820 kes) sebanyak RM25.04 juta dalam tempoh tiga tahun (UM 10 Oktober 2007: 14).

Faktor Luaran

Memanglah diakui faktor luaran – dimaksudkan luar negara memberi kesan pada kenaikan harga barang dan perkhidmatan seperti kenaikan harga minyak yang kesannya bersifat global, kurangnya pengeluaran seperti gandum disebabkan kemarau dan bertambahnya populasi dunia. Misalnya walaupun pengeluaran makanan dunia tahun ini terbanyak iaitu 1.66 bilion ton melebihi 89 milion tan dari tahun lepas dan bertambah makmurnya penduduk seperti di Cina dan India yang mampu membayar lebih makanan (The Economist December 8, 2007: 81), dari satu pihak pula terdapat 36 negara dengan jumlah penduduk seramai 854 milion yang kekurangan makanan menyebabkan keperluan makanan masih tidak kecukupan (The Star October 21, 2007: N42). Bahan makanan yang sepatutnya untuk dimakan, tetapi bertukar fungsi kepada biofuel dan ethanol untuk bahan tenaga alternatif seperti hasil kelapa sawit, soya, jagung dan tebu. Ini menyebabkan harga makanan sedemikian meningkat tinggi. Termasuk inflasi akibat dari turunnya nilai dolar khususnya bagi negeri-negeri yang bergantung nilaian pada mata wang tersebut.

Buat Anjakan Kepada Amalan Bersih

Ialah dengan menyelesaikan masalah terutama perkara-perkara yang menyumbang kepada kenaikan barang dan perkhidmatan

Memiliki atau Menilai Kembali Perjanjian Lebih Adil

Bagi lebuhraya yang begitu amat menguntungkan dan lebih dari balik modal, kerajaan wajar memiliki dan membayar modal dengan mengambil kira pendapatan dan keuntungan yang telah diperolehi. Perjalanan dikendali oleh JKR atau dengan membuat perjanjian baru dengan syarikat berkenaan dengan kadar tol yang lebih murah dan lebih wajar. Dengan ini mengurangkan kesan pada kenaikan harga barang dan meringankan beban rakyat. Pengendalian oleh pihak kerajaan lebih wajar bagi TNB dan bekalan air untuk mengelak dari tumpuan untuk mendapat semaksimum keuntungan, walaupun mengabaikan kepentingan dan kemampuan rakyat.

Petroleum Atas Dasar Milik Negara/Rakyat

Kaedah yang mengurang harga petrol dan gas kepada rakyat hendaklah digunakan seperti pengurangan harga petrol dan gas secara langsung bagi kegunaan rakyat. Rakyat dalam negara tidak disamakan dengan manusia luar negara dan tidak sepatutnya sama terbeban dengan kenaikan harga bahan bakar pada peringkat global. Sebaliknya keuntungan hasil kenaikan harga pada peringkat global diguna bagi mengurangkan harga dalaman di samping melabur pada projek-projek menguntungkan rakyat. Ingat kekayaan yang ada di perut dan muka bumi Negara adalah milik negara dan rakyat, bukan milik atau diserahkan kepada syarikat. Yang bekerja pada hakikatnya ialah pekerja-pekerja bermajikankan negara dan rakyat! Sepatutnya tidak timbul istilah subsidi, kerana ianya milik negara dan rakyat. Mereka menggunakan hak mereka secara saksama dan membayar kerja-kerja pengurusan pada kadar minimum yang sebahagian boleh ditampung dengan keuntungan dari pasaran luaran.

Elakkan Pembaziran

Bagi mengurangkan kenaikan harga barang pemerintah hendaklah meneliti dan mengelak dari pembaziran seperti bayaran pampasan jambatan bengkok yang terpaksa dibatalkan berjumlah RM800 juta, penyelamatan syarikat dan bank yang tenat. Pembaziran juga berlaku pada Formula One dan Monsoon Cup. Pihak berkenaan perlu membentangkan kunci untung rugi perbelanjaan yang melibatkan harta rakyat. Jika ternyata rugi amalan yang membazir hendaklah dihentikan. Lakukan amalan Bersih.

Elak Dari Rasuah

Pada semua peringkat dari yang besar sebagaimana Laporan Audit Negara 2006 seperti pembelian barang-barang dengan harga di luar kebiasaan mahalnya di Institut Kemahiran Belia Negara (KBN), Kementerian Pelajaran, Kementerian Pertahanan termasuk pembinaan 6 buah kapal PV yang harga asal hanya RM2.875 bilion tetapi meningkat kepada RM5.35 bilion (dua buah saja siap, tetapi lewat). Denda lewat RM214.01 juta tidak dituntut, tetapi peruntukan tambahan diperlukan lagi sebanyak RM2.214 bilion. Selain dari itu rasuah di dalam bidang perundangan, kepolisian dan sebagainya perlu dibasmi..

Melarang Agensi dan Badan Membuat Pengumuman Kenaikan Bayaran

Bagi mengelak berlakunya kenaikan harga barang dan perkhidmatan agensi atau badan hendaklah ditegah membuat pengumuman kenaikan harga secara bebas. Rujukan, penyelarasan dan kebenaran hendaklah dirujuk dan didapati dari`Badan Penyelarasan`

6. Membasmi pendatang haram dan pekerja asing kecuali yang amat perlu

Dengan pembasmian pendatang haram dan pekerja asing yang tidak penting memberi peluang lebih rakyat tempatan mendapat pekerjaan dan sumber rezeki lebih luas. Dengan tiadanya pendatang 2 juta peluang kerja dapat disediakan kepada rakyat (UM 17 Oktober 2007: 1) di samping dapat mengurangkan gejala sosial dan kehidupan rakyat lebih aman dan sejahtera.

Kempen Penjimatan Teratur dan Berterusan

Atur kempen penjimatan berterusan melalui kesedaran kepenggunaan (Persatuan Pengguna), berkoperasi dan memantau harga barang sebagai data maklumat rakyat.

Kesimpulan

Kenaikan harga barang dan inflasi mencengkam rakyat. Usaha hendaklah dilakukan bagi meringankan bebanan mereka. Jika gagal perubahan menyeluruh, termasuk menukar pemerintah sekarang perlu dilakukan. Sekian.

Bangi
07 Zulhijjah 1428
17 Disember 2007

No comments:

Post a Comment