January 1, 2008

Universiti unggul: Kepimpinan IPTA dipersoal

Sudah setahun 'ranking' mutakhir universiti dunia dikeluarkan. The Times of Higher Education Supplement (THES) bagi tahun 2006 (Oktober) turut menyenaraikan universiti-universiti terkenal tanah air.

Senarai itu meletakkan UKM di dalam lingkungan 200 universiti terbaik di dunia. UKM berada pada ranking ke 185, iaitu melonjak 104 mata dari kedudukannnya pada tahun 2005 pada ranking ke 289 (pada 2005 UKM juga dikategorikan antara 100 universiti sains tertinggi daripada 30,000 di dunia).

Dengan kedudukan ini UKM mendahului UM yang berkedudukan pada ranking ke 192 menurun dari tahun 2005 pada ranking ke 169 dan sebelumnya (2004) merupakan antara 100 universiti terbaik dunia pada ranking ke 89. USM meningkat prestasinya dari kedudukannya 326 (2005) kepada 277 (2006), manakala UPM meningkat dari kedudukan 394 (2005) kepada 292 (2006).

Dengan kedudukannya berada pada ranking ke 185 UKM mendahului antara universiti luar Negara terkemuka seperti University of Minnesota USA yang berada pada ranking ke 187, University of Reading , Britain (192) dan University of Wollongong, Australia (196).

Penilaian terhadap kedudukan sesebuah universiti berdasarkan berbagai-bagai faktor seperti penilaian sesama universiti, kepimpinan, penyelidikan, pentadbiran, pelajar - termasuk pelajar lanjutan dan pelajar antarabangsa, ratio tenaga pengajar bagi sejumlah pelajar dan kemudahan-kemudahan pembelajaran.

Penilaian yang dibuat oleh institusi penyelidikan seperti The Times of Higher Education dan seumpamanya merupakan cabaran bagi universiti-universiti memperbaiki prestasi universiti masing-masing.

Selain dari itu Kementerian Pengajian Tinggi yang universiti-universiti di bawah kawalannya turut tercabar dan mengambil tindakan pro-aktif seperti melantik TNC baru selepas tamat tempoh yang lama dengan pimpinan yang difikirkan mampu membawa kemajuan, mengkategorikan beberapa universiti terkenal tanahair kepada universiti penyelidikan dan meningkatkan prestasi universiti dengan mengemukakan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (Ogos 2007).

Dalam kata lain pihak Pengajian Tinggi amat memberi perhatian bagi meningkatkan prestasi universiti ke tahap universiti terbaik dan unggul. Tulisan ini memberi perhatian pada kepimpinan universiti yang menjadi faktor penting bagi kemajuan sesebuah universiti.

Oleh kerana UKM berada pada ranking tertinggi antara universiti-universiti di Malaysia, maka penekanan dan contoh lebih terarah kepada UKM, lebih-lebih lagi penulis lebih arif dengan universiti ini berbanding dengan universiti-universiti yang lain.

2. Kepimpinan

Sebagaimana dikatakan di atas, kepimpinan adalah aspek penting di dalam memajukan sesebuah universiti atau sebaliknya. Bagi universiti canselor, naib canselor dan timbalan naib-naib canselor adalah kepimpinan peringkat tertinggi universiti. Mereka bertanggungjawab pada maju mundurnya universiti.

Di Malaysia selepas perlantikan Dato’ Mustapa Mohamed selaku Menteri Pengajian Tinggi (Februari 2006), beliau mengambil risiko dengan melakukan perubahan kepimpinan universiti yang mungkin akan meningkatkan prestasi universiti atau sebaliknya. Sejak 1 Mei 2006 berlaku perubahan drastik dalam mana pertama kali Naib Canselor Universiti Malaya dilantik dari kalangan wanita, iaitu Datuk Rafiah Salim, kemudian diikuti perlantikan Naib Canselor UKM Profesor Dato’ Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin mulai September 2006 dan diikuti baru-baru ini pelantikan Profesor Dr Aminah sebagai Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Pelantikan-pelantikan ini boleh dikatakan sebagai era baru bagi Pengajian Tinggi. Namun perlantikan Naib Canselor dari kalangan wanita bagi ketiga-tiga universiti terpenting Negara ini secara berturut dan berdekatan dipersoalkan, apakah perlantikan itu berdasarkan kelayakan atau hanya merupakan trend dari segi gender. Menteri Pengajian Tinggi seharusnya tidak memperjudikan masa depan universiti-universiti mengikut trend dan cita rasa semasa.

Sepatutnya untuk peringkat permulaan untuk melihat kemampuan kepimpinan wanita mengendalikan pentadbiran universiti, sudah lebih dari cukup dilantik Naib Canselor universiti dari kalangan wanita di UM dan UKM.

Andainya kedua-dua mereka atau seorang daripada mereka berjaya meningkatkan prestasi universiti yang mereka pimpin, maka dapatlah diterima wajarnya perlantikan dan bolehlah disambung tempoh bagi yang berjaya dan membuat pertimbangan bagi melantik pimpinan wanita yang berkelayakan bagi universiti yang lain.

Walau apapun dengan pemilihan naib-naib canselor dari kalangan wanita pada era Mustapa masyarakat memerhati dan menunggu dengan penuh minat apakan naib-naib canselor dari kalangan wanita ini mampu meningkatkan prestasi universiti-universiti yang mereka pimpin.

Penilaian yang dibuat oleh The Times of Higher Educational Supplement (Oktober 2006) dan diumumkan sesudah UKM dan UM mempunyai Naib Canselor wanita, bukan sebenarnya hasil dari naib-naib canselor wanita tersebut, tetapi lebih kepada naib-naib canselor sebelum mereka dilantik, iaitu Profesor Dato’ Dr Mohd Salleh Mohd Yasin bagi UKM dan Profesor Datuk Dr.Hashim Yaacob bagi UM.

Penilaian dan ranking mulai 2007 sebenarnya baru bakal memperlihatkan kemampuan kepimpinan naib-naib canselor wanita dan juga kepimpinan Datuk Mustapa sebagai Menteri Pengajian Tinggi. Sama-sama kita tunggu prestasi yang dihasilkan.

3. Obses dengan wanita

Apa yang dipersoalkan, kepimpinan dari kalangan wanita bagi jawatan Naib-Naib Canselor menular dan menjadi trend pelantikan bagi jawatan-jawatan yang lain. Jika pelantikan berdasarkan kemampuan dan kelayakan, tidaklah dipersoalkan, tetapi sebahagian dari perlantikan dilihat sebagai sentimen kewanitaan dan dipersoalkan dari segi kelayakan.

Misalnya di UKM jawatan Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat yang baru diwujudkan di universiti itu dilantik dari kalangan wanita. Perlantikan ini dipersoalkan oleh kalangan akademik sendiri.

Difahamkan individu yang dilantik ini kurang kukuh dari segi akademik. Penerbitan yang dihasilkan dipersoal dari segi jumlah dan mutu. Individu berkenaan belum pernah berhasil menyelia dan mengeluarkan seorang pelajar pada peringkat Ph. D.

Jika perlantikannya kerana hendak memilih wanita yang bukan Melayu, maka ramai lagi dikatakan lebih layak darinya. Apa lagi jika yang mau dipilih dari kalangan bukan Melayu bukan dari kalangan wanita.

Sememangnya selepas perlantikan Sharifah Hafsah sebagai Naib Canselor UKM masyarakat kampus menerimanya dengan terbuka. Pelantikan pimpinan fakulti dari kalangan wanita bagi peringkat permulaan diterima secara kebetulan dan tidak dipersoal dari segi kewibaan, walaupun kecenderungannya pada wanita makin ketara, contoh Fakulti Sains Kemasyarakatan dan kemanusiaan diketuai (Dekan) oleh Prof. D. Sharifah Mastura Abdullah, Fakulti Sains Bersekutu diketuai oleh Prof. Dr. Aminah Abdullah, Fakulti Pendidikan diketuai oleh Prof. Dr. Lailiya.

Beberapa insititut juga menerima perlantikan kepimpinan dari kalangan wanita, antaranya IKMAS yang diketuai oleh Profesor Dr. Tham Siew Yean yang diakui dari segi akademik dan kepimpinan, termasuk di bawah pimpinan wanita ialah Institut Pengajian Gender di bawah pimpinan Prof. Dr. Bahiyah. Yang ketara dan dipersoalkan ada dari kalangan pimpinan institut adalah bukan bidang individu yang dilantik. Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) yang melibatkan kajian dan pengajian berhubung dengan Bahasa, Kebudayaan dan Kesusasteraan pimpinannya dilantik dari tenaga lulusan sains semata-mata.

Kalangan akademik memperli dan menyindir tajam apakah cukup dengan individu berkenaan menulis beberapa kerat pantun dan beberapa cerpen yang amat dipersoalkan dari segi mutunya melayakkannya untuk dilantik sebagai Pengarah ATMA? Kertas-kertas yang ditulis dan ucapan-ucapan yang disampaikan mencerminkan tahap kefahamannya di dalam bidang yang berkait dengan ATMA dan tidak sampai kepada tahap akademik yang diharapkan.

Sebaliknya pandangan-pandangan mereka yang pakar di dalam bidang ATMA diperlekehkan. Adalah difahamkan oleh kerana kepimpinan yang tidak pakar di dalam bidangnya, falsafah ATMA terumbang ambing.

Asas yang diletak oleh Prof. Dr. Syed Naguib al-Attas semasa Institut dikenali dengan Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (IBKKM) berdasarkan Islam sebagai sumber bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu berubah dengan perubahan kepimpinan.

Pada masa IBKKM di bawah kepimpinan Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh berubah kepada mencari akar Melayu yang cuba tidak dikaitkan dengan Islam, apabila Prof. Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh memimpin ATMA terbawa-bawa dengan pendekatan sosiologi yang menjadi bidang kepakaranya dan kini pihak tertentu di bawah kepimpinan yang tidak menguasai bidang dibawa oleh kalangan yang pakar di dalam bidang tertentu di ATMA kepada arah yang lain dari segi bahasa dan budaya Melayu.

Apakah pengajian mengenai bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu di UKM menghadapi kehancuran ? Sememangnya Hadith Nabi mengatakan bermaksud, ``Apabila dilantik mengendalikan urusan orang yang bukan pakar, maka tunggulah kehancuran! Sememangnya kegiatan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan telah sepi di UKM.

Tokoh bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan dari UKM yang dulunya menyemarakkan perkembangan bahasa, kesusasteran dan kebudayaan tanah air telah tiada. Di manakah hendak dihantarkan harapan untuk membela bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu di UKM?

Memperkatakan bahawa universiti, khususnya UKM secara trendy terbawa-bawa kepada obsesi kewanitaan, bukanlah bererti kita menentang kepimpinan wanita, sekiranya mereka layak dan berkebolehan. Tetapi terbukti kini ada perlantikan-perlantikan dipersoalkan.

Ada yang dilantik bukan berdasarkan kelayakan dan kepakaran, tetapi lebih kepada trend, bahkan sentimen. Kini dikatakan mesyuarat-mesyuarat seperti pada peringkat senet, fakulti dan jabatan dominasi wanita adalah ketara.

Sama-samalah kita perhati, apakah kepimpinan wanita ini sememangnya mereka yang berkelayakan dan memang mendominasi lelaki di dalam bidang akademik atau hanya sebagai trendy semasa yang tidak sangat memberi lebih kemajuan dari apa yang dicapai.

4. Pentadbiran kemahasiswaan

Dalam usaha universiti-universiti, khususnya bagi menggapai universiti unggul atau sekurang-kurang mempertahankan seperti UKM pada kedudukan terbaik yang pernah dicapai, perhatian perlu diberi kepada mempertingkatkan kualiti dan alam kehidupan pelajar yang merupakan antara faktor penilaian bagi universiti unggul.

Dalam keadaan sekarang ada semacam polisi kontradik yang diamalkan di universiti. Tidak dapat dinafikan setiap universiti memilih pelajar terbaik bagi kemasukan ke universiti masing-masing, tetapi sebaik kemasukan mereka, pelajar-pelajar mulai `terpenjara di dalam menara gading`. Sepatutnya setiap pelajar diberi peluang dan galakan bagi memperkembangkan potensi yang ada pada mereka sama ada dari segi akademik, kepimpinan dan gerakan kemasyarakatan.

Tetapi potensi yang ada pada pelajar dari segi kepimpinan dan gerakan kemasyarakatan ini dari awal dicemburui dan ditakuti. Sebab itu sejak 1974 mereka diikat dengan Akta Universiti Kolej dan Universiti (AUKU).

Sesuatu yang bercanggah dengan hak dan kebebabasan bersuara dan bercanggah dengan perlembagaan Negara. Pelajar tidak bebas untuk bersuara dan mengeluarkan pendapat melalui media. Campurtangan politik kerajaan berlaku sewenang-wenang dalam gerakan pelajar. Pilihanraya kampus tidak berjalan dengan telus dan adil.

Kalangan yang dianggap berpihak kepada kerajaan dibantu dan diberi peruntukan bagi menjamin kemenangan mereka. Manakala kalangan yang dianggap tidak berpihak kepada kerajaan ditekan hingga tidak mempunyai peluang untuk mencapai kemenangan.

Kegiatan pelajar bersifat keislaman ditekan dan tidak dibenarkan berkembang. Bilik-bilik pelajar yang disyaki dibongkar dan ditakut-takutkan.

5. Memalukan

Baru-baru ini Menteri Pengajian Tinggi Mustapa Mohamed mengumumkan universiti-universiti awam diberi kebebasan membuat aturan pilihanraya di kampus masing-masing. Apakah pengumuman ini merupakan cakap-cakap kosong yang tidak sama dengan apa yang dipraktikkan?

Pada hakikatnya pihak Kementerian Pengajian Tinggi dan Umno memaksa kemahuannya pada universiti-universit. Pilihanraya kampus yang ditetapkan pada 2 Oktober 2007 tidak menjamin berjalan secara telus dan adil.

Kini penyelewengan-penyelewengan terbungkar. Berbagai cara dilakukan bagi menjamin pihak yang menyokong kerajaan (Aspirasi) memenangi pilihanraya kampus seperti penjualan borang pencalonan di UIA tanpa notis pembubaran, perampasan laptop dan barang-barang pelajar di UPM, peruntukan RM50,000 setiap Hal Ehwal Pelajar universiti untuk memenangkan calon Aspirasi-Umno, penghantaran hampir 50 pekerja Khidmat Singkat di Urusetia Hal Ehwal Pelajar setiap universiti, selama 6 bulan bagi mengalahkan calon bukan Aspirasi dan penghantaran perisik ke Hal Ehwal Pelajar bagi setiap universiti untuk memenangkan Aspirasi pada pimilihan pada 2 Oktober nanti.

Sesungguhnya cara dan muamalah pihak pengajian tinggi dan pegawai-pegawai di universiti, khususnya dari bahagian Hal Ehwal Pelajar adalah tidak rasional dan sesuatu yang memalukan. Ianya merendahkan taraf pengajian tinggi yang seharusnya bersifat memimpin, tetapi tiba-tiba turun campur tangan, merampas kebebasan dan memaksa pelajar-pelajar menyokong kepada pihak yang pro-kerajaan.

Muamalah sedemikian juga menjatuhkan imej pegawai-pegawai dan kakitangan universiti. Mereka diperalatkan dan sikap sedemikian tidak sesuai bagi kakitangan yang berada di institusi pengajian tinggi.

6. Menjatuhkan taraf

ungguhnya sikap Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak pentadbir universiti terhadap pelajar menjatuhkan imej universiti itu sendiri. Sikap seumpama ini jika diketahui oleh pihak luar dan pelajar akan membantut keinginan mereka untuk menyambung pengajian ke universiti di Negara ini.

Kita bertanya apakah pihak berkuasa tidak menyedari tindak tanduk yang bersifat kontradiksi ini mencemar nama baik universiti dan membantut polisi hendak menjadikan Negara ini menjadi `hub pendidikan` di rantau ini.

Bagaimanakah hendak dipertingkatkan universiti-universiti yang dikategorikan sebagai universiti penyelidikan kepada universiti unggul jika tindak tanduk dan pemimpin pengajian tinggi dan pemimpin di universiti masih bermentaliti anak-anak ? Jauh dari mentaliti kelas pertama.

ain dari tekanan terhadap pelajar, tekanan juga dikenakan terhadap kalangan akademik di kampus. Mereka tidak bebas bersuara, tidak bebas menegur sesuatu yang dianggap tidak betul. Kalau satu masa dulu Persatuan Kakitangan Akademik seperti di UKM dan UM begitu berwibawa dan dihormati dari segi fikiran dan pandangan baik dari segi akademik dan kemasyarakatan, tetapi persatuan sedemikian entah ada atau tidak.

Yang nyata tidak lagi kedengaran. Lantaran itu kalangan akademik melihat saja misalnya penyelewengan dalam pilihanraya pelajar dan tekanan terhadap golongan pelajar tertentu. Protes diharap datangnya dari luar seperti kes di UPM baru-baru ini.

Mereka melihat sahaja sikap double standard universiti. Misalnya di UKM, pihak UMNO bermaharajalela menggunakan kemudahan universiti. Pihak UMNO peringkat nasional, Negeri dan kawasan bebas untuk menggunakan dewan-dewan dan kemudahan-kemudahan di universiti untuk mengadakan mesyuarat.

Pemuda dan Puterinya juga sama-sama terlibat dengan pihak pengajian tinggi dan pegawai universiti marancang bagi kemenangan Aspirasi yang pro UMNO-BN.

Di mana taraf universiti ?

Dengan situasi pengajian tinggi yang kontradiksi kita mempersoalkan apakah hasrat mewujudkan pengajian tinggi unggul tercapai. Sememanglah dari satu permukaan pengajian tinggi di Negara ini berkembang dari sebuah universiti pada akhir 1950-an kepada kini 20 universiti awam. Dari hasrat untuk meningkatkan prestasi universiti biasa kepada universiti penyelidikan dan baru-baru ini melalui plan Strategik Pengajian Tinggi diharapkan akan muncul di Negara ini satu atau dua buah universiti Unggul yang darinya diharap melahirkan minda kelas pertama. Juga diharapkan Negara ini sebagai `hub pendidikan` di rantau ini bahkan, didunia.

Walau bagaimana melihat kepada muamalah dan tindak tanduk pihak pengajian tinggi, pihak universiti yang dimanipulasi politik pemerintah adalah mencanggahi ideal dan harapan di atas.

Universiti bertukar kepada `Penjara Menara Gading` yang pelajarnya diikat dengan akta-akta dan larangan-larangan.

Perlantikan kepimpinan antaranya dipengaruhi sentimen dan gender. Tenaga pengajar terikat dan tidak bebas mengeluarkan pendapat. Persatuan kakitangan akademik lumpuh dan tidak berfungsi. Keterlibatan mereka dengan masyarakat terputus.

Walaupun ada TNC yang bertanggungjawab mengenai industri dan kemasyarakatan. Hubungan kemasyarakatan yang bagaimana hendaklah diwujudkan?

Pilihanraya pelajar dijalankan tidak menurut amalan demokrasi. Mereka dikekang dan tidak bebas membuat pilihan dan memberikan pendapat. Nampaknya setiap warga dikawal minda mereka mulai dari keluar sekolah melalui orientasi PLKN dan kemudian Akta Universiti.

Mereka tidak dilatih sebagai masyarakat berminda kritikal, sebaliknya menjadi `masyarakat bisu` Lantaran itu biarpun begitu banyak universiti di Negara ini, kita tidak mengenali bakat kepimpinan dari pelajar-pelajar dan tidak lahir bakat kepimpinan yang menyerlah dari kalangan mereka.

Oleh kerana situasi yang kontradik ini kita pesimis dengan hasrat melahirkan universiti unggul dan minda kelas pertama.

Sesungguhnya selagi pihak pengajian tinggi berpemikiran mentah, kurang rasional dan berpolitik sempit dan melayan pelajar-pelajar sebagai anak-anak sekolah, maka jangan diharap lahirnya universiti unggul. Yang Wujud ialah `penjara-penjara menara gading` dengan `warga-warga yang bisu`.

Sekian.

Bangi, 15 Ramadan 1428 - 27 September 2007 - lanh

No comments:

Post a Comment