July 25, 2016

ZUHUD RASULULLAH S. A. W.


BBB, 19 Syawal 1437 = 24  Julai 2016 (Ahad):
Sebagaimana telah disebutkan bahawa Al-Imam Ahmad bin Hanbal menyusun di dalam Kitab al-Zuhd, ialah tentang kezuhudan rasul-rasul, nabi-nabi, para sahabat dan zuhhad. Sebagai permulaan Al-Imam Ahmad membicarakan tentang Zuhud Nabi Muhammad s.a.w. Dalam bahagian ini terdapat sejumlah 179 Hadith atau gaya Hadith yang hampir keseluruhan adalah langsung membicarakan tentang zuhud Rasulullah s.a.w.  Persoalan-persoalan penting antaranya mengenai:
1)       Segera Solat  Rasulullah Apabila Tiba Waktu
2)      Doa
3)      Kehidupan kekeluargaa Rasulullah s.a.w.
4)      Nasihat Kepada Utusan
5)      Ahlu al-Suffah
6)      Amalan BerIstighfar
7)      Lebih Tangis Dari Ketawa
8)      Rezeki Dan Qana`ah
9)      Sabar Dan Berlapang Dada
10)   Dhikrullah Dengan ayat Al-Qur`an
11)   Amal Berkekalan
12)   Kaya Diri
13)   Tawakkal
14)   Ziarah Orang Sakit Dan Mengiringi janazah
15)   Berbagai persoalan.
Kebanyakan riwayat adalah bermula dengan, ``Haddathana Abdullah, Haddathana Abi ...`` Bercakap kepada kami oleh `Abdullah dan bercakap kepada kami bapaku...``.    Abdullah adalah merujuk kepada Al-Imam Ahmad bin Hanbal yang nama penuhnya ialah Abu Abdullah Ahmad bin Muhammad. Kadang-kadang bermula dengan `Haddathana ...`` Bercakap kepada kami  - ya`ni `Abdullah.``.
Di bawah ini diperturunkan riwayat di dalam sanad secara sepenuhnya dan matan.
1.       Segera  Solat Rasulullah Apabila Tiba Waktu
Bercakap kepada kami oleh Waki`, bercakap kepada kami Shu`bah daripada al-Hakam daripada Ibrahim daripada al-Aswad berkata, ``Aku berkata kepada `Aishah r.`anha, ``Apakah sesuatu yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. apabila masuk kerumahnya, berkata (`Aishah), Adalah Baginda menguruskan hal ehwal keluarganya, apabila hadir waktu solat Baginda keluar dan bersolat.
2.       Nasihat Kepada Perutusan
Bercakap kepada kami `Abdullah, bercakap kepada kami bapaku, bercakap kepada kami Yunus, bercakap kepada kami Baqiyyah daripada al-Sirriyy bin Yan`im daripada Marih bin Masruq daripada Mu`adh bin Jabal bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya tatkala beliau diutuskan ke Yaman, (bermaksud): ``Waspadalah dari dilalaikan ne`mat, kerana hamba Allah tidak dilalaikan oleh ne`mat.``
3.       Kedaifan Ahlu al-Suffah
Bercakap kepada kami oleh `Abdullah, bercakap kepada kami oleh bapaku, bercakap kepada kami oleh Waki`, bercakap kepada kami Fudhail, ya`ni Ibn Ghazwan daripada Abi Hazim daripada Abi Hurairah berkata, ``Aku melihat tujuh puluh orang dari kalangan Ahli al-Suffah, mereka bersolat menggunakan baju, daripada mereka ada yang baju melitupi ke bawah lutut dan ada daripada mereka sedikit  kebawah lutut, apabila rukuk salah seorang daripada mereka itu memegang bajunya kerana takut kelihatan auratnya.``
4.       Amalan Beristighfar
Bercakap kepada kami `Abdullah, bercakap kepada kami oleh Ibrahim bin Ziyad Subulan, bercakap kepada kami `Abbad ya`ni Ibn `Abbad daripada Muhammad bin `Amrin daripada Abi Salamah daripada Abi Hurairah berkata, bersabda Rasulullah s.a.w. (bermaksud):
``Sesungguhnya aku selagi beristighfar kepada Allah `Azza wa Jalla dan aku bertaubat kepadaNya  tiap-tiap hari seratus kali.``
5.       Lebih Tangis Dari Ketawa
Bercakap kepada kami `Abdullah, bercakap kepada kami Ibrahim bin Ziyad Subulan, bercakap kepada kami `Abbad, ya`ni Ibn `Abbad daripada Muhammad bin Amrin daripada Abi Salamah daripada Abi Hurairah berkata, bersabda Rasulullah s.a.w. (bermaksud):
Demi diriku di tanganNya kalau kamu ketahui apa yang aku tahu nescaya sedikit kamu ketawa dan lebih banyak kamu tangis.``.
6.       Rezeki dan Qana`ah
Bercakap kepada kami oleh `Abdullah, bercakap kepada kami bapaku, bercakap kepada kami `Abdullah bin Yazid, bercakap kepada kami Sa`id bin Abi Ayyub, bercakap kepada kami Sharahbil bin Sharik daripada `Abdul  Rahman al-Habliyy daripada `Abdullah bin `Amrin bin  al`As, bahawasanya Rasulullah  s.a.w. bersabda (bermaksud):
``Sesungguhnya berjayalah siapa yang menerima Islam dan dikurniakan rezeki yang mencukupi dan dia bersifat qana`ah dengan apa yang diberi Allah kepadanya.``
7.       Sabar Dan Berlapang Dada
Bercakap kepada kami oleh `Abdullah, bercakap kepada kami Bayan bin al-Hakam, bercakap kepada kami Muhammad bin al-Hatim, bercakap kepada kami Bashar Ibn al-Harth, memberitakan kami `Abbad bi al-`Awwam daripada Hisham daripada al-Hasan, bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w., maka dia berkata, ``Manakah satu amalan yang lebih afdhal ? Bersabda  (Rasulullah s.a.w.)  Sabar dan berlapang dada (al-Samahah).
8.       Kaya Diri
Bercakap kepada kami `Abdullah, bercakap kepada kami bapaku, bercakap kepada kami Waki` daripada Ja`far bin Barqan daripada Yazid al-Asamm daripada Abi Hurairah berkata, bersabda Rasulullah s.a.w. (bermaksud):
``Bukanlah kekayaan dengan banyaknya harta benda, sesungguhnya kekayaan itu ialah kaya diri.``
Demikianlah sebahagian kecil daripada kumpulan Hadith-Hadith kezuhudan yang dinisbahkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang semuanya membawa persoalan yang berjiwa tasawuf. Sesungguhnya  Rasulullah s.a.w.  sumber keislaman selepas Al-Qur`an, termasuklah tasawuf.

Sekian.

No comments:

Post a Comment