July 28, 2016

ZUHUD SAHABAT-SAHABAT


BBB,  22 Syawal 1437 =  27 Julai 2016 (Rabu):
Turut dibicarakan  oleh Imam Ahmad bin Hanbal, ialah zuhud kalangan sahabat-sahabat  yang membuktikan elemen zuhud ini berlaku di kalangan berbagai lapisan masyarakat umat. Unsurnya terdapat di dalam Al-Qur`an, Hadith, para rasul, anbiya`, sahabat, tabi`in dan zuhhad. Ini membuktikan bahawa elemen tasawuf bersumberkan kepada Islam dan sebagai satu ilmu berkembang  sama dengan pertumbuhan dan perkembangan keilmuan-keilmuan yang lain dalam Islam. Fungsinya membentuk jiwa, kehidupan, perjalanan dan pembawaan individu dan masyarakat yang mempunyai jiwa yang suci di dalam masyarakat yang harmoni dan selamat sesuai dengan konssep keislaman itu sendiri. Tokoh-tokoh sahabat yang dibicarakan (diambil minimum  satu contoh riwayat dari setiap seorang untuk ringkas, tapi ditambah difikirkan perlu). Riwayat tentang mereka di dalam teks tidak panjang kecuali satu dua halaman sahaja.  Mereka  ialah:
1.       Abu al-Darda`
Seorang sahabat yang amat prihatin dengan amalan kebajikan, mementingkan ibadat dan menjaga diri dari kelalaian.
Bercakap kepada kami oleh `Abdullah, bercakap kepada kami oleh bapaku, bercakap kepada kami oleh Waki` dan Abu Mu`awiyah, kedua-duanya berkata bercakap kepada kami oleh al-A`amash daripada `Abdullah bin Murrah berkata, berkata Abu al-Darda`:
``Sembahlah Allah seolah-olah kamu melihatNya dan ambil perhatian dan ingatan terhadap mati, ketahuilah sedikit yang engkau prihatin lebih baik dari banyak yang melalaikan kamu, ketahuilah bahawa kebajikan  tidak membawa bala dan dosa jangan dilupa.``
2.       Al-Zubayr bin al-`Awwam
Al-Zubayr dipersaudarakan dengan Talhah sejak sebelum Hijrah, mereka teman sepermainan sejak kanak-kanak. Kedua nama berkenaan disebut bergandingan. Rasulullah s.a.w. menyebut, bahawa Zubayr dan Talhah jiran tetanggaku di syurga. Al-Zubayr sering menyertai peperangan dan bercita-cita untuk  syahid dan gugur di dalam peperangan;
Bercakap kepada kami oleh `Abdullah, bercakap kepada kami oleh Abu `Amir, bercakap kepada kami oleh Hammad  bin Salamah daripada `Ali bin Zaid, berkata mengkhabarkan kami, ``Siapa melihat al-Zubayr bin al-`Awwam sesungguhnya pada dadanya contoh disaksi mata daripada kesan tikaman dan panahan.``
3.       Talhah bin `Ubaidillah
Sahabat bagi Al-Zubayr yang diakui Rsulullah sebagai jiran di syurga. Banyak menyertai peperangan bagi menegakkan Islam. Beliau adalah juga seorang dermawan.
Bercakap kepada kami oleh `Abdullah, bercakap kepada kami Muhammad bin `Abbad, bercakap kepada kami Sufyan daripada nenek perempuannya Su`da binti `Auf al-Mariah berkata, berpagi-pagi Talhah pada satu hari dalam keadaan termangu, maka kataku mengapa engkau dalam keadaan yang meletihkan, maka katanya, tiada apa kecuali dengan hartaku, katanya `sesungguhnya engkau adalah dalam limpah nikmat yang seharusnya engkau melahirkan nikmat itu. Beliau meminta dipanggil kaumnya dan membahagikan derma kepada mereka. Dia berkata, Aku menanya, penjaga hartanya, berapa banyak hatanya, katanya, Empat ratus ribu !.
4.       Abu Dharr
Pencari kebenaran yang berkelana ke Makkah menemui Rasulullah s.a.w. dan menerima Islam dan sama berhijrah.  Seorang yang tegas yang hidup dalam keadaan sederhana. Beliau tidak menyenangi sikap pembesar, yang berkuasa dan hidup dalam keadaan kemewahan. Sanggup mengasingkan diri di pinggir kota di padang pasir Rabaza hingga meninggal dunia. Beliau adalah lambang para zuhhad. Tentang Abu Dharr Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud:
``Allah merahmatkan Abu Dharr yang berjalan berseorangan, mati berseorangan dan dibangkitkan berseorangan.``
Bercakap kepada kami oleh `Abdullah, bercakap kepada kami oleh bapaku,  bercakap kepada kami oleh Yahya bin Sa`id daripada Sufyan, bercakap kepada kami Sulaiman daripada Ibrahim al-Taymiyy daripada bapanya daripada Abi Dharr r.h.a. berkata, ``Yang mempunyai dua dirham lebih sukar menghadapi hisab daripada yang mempunyai satu dirham.``
5.       Amran bin al-Husayn
Beliau ialah Amran bin  Husayn bin `Abid dari kalangan `ulama` sahabah. Masuk Islam pada tahun ke 7H. Pada zaman pemerintahan `Umar bin al-Khattab, baginda pernah menghantarkan Amran ke Basrah bagi mengajar penduduknya keilmuan Islam. Amran meninggal pada tahun 52H. Namanya tercatit di dalam riwayat-riwayat Hadith:     
Bercakap kepada kami oleh `Abdullah, bercakap kepadaku bapaku, bercakap kepadaku Sufyan berkata, adalah (al-Hasan) berkata:
``Tidaklah sama seperti dia menetap di Basrah, ya`ni `Amaran bin al-Husayn.``
Bercakap kepada kami oleh `Abdullah, bercakap kepada kami bapaku,, bercakap kepada kami Rauh, bercakap kepada kami oleh Hisham bin Abi `Abdillah daripada Qatadah berkata, berkata `Amran bin al-Husayn r.h.a.
``Aku suka aku seperti debu yang ditiup angin bergerak ke sana sini.``
Demikianlah sebahagian daripada kata-kata sahabat. Bahawa kata-kata mereka dicatat sebagai catatan gaya Hadith, yang pandangan mereka dapat diabadikan dan dapat dinilai, termasuklah dari segi pandangan ketasawufan. Bahawa generasi sahabat dididik Rasulullah dengan kemurnian jiwa yang dengan kekuatan jiwa memperkukuhkan dalaman penganut-penganutnya. Dengan jiwa sedemikianlah Islam berkembang.

Sekian.

No comments:

Post a Comment