August 31, 2016

PERSOALAN NAFSU DIBINCANGKAN OLEH AL-MUHASIBI: PECAHAN


BBB, 27 Zulkaedah 1437 =   30 Ogos 2016 (Selasa):
Persoalan nafsu adalah persoalan yang popular di dalam pembicaraan tasawuf. Pada tanggapan umum menyebut `Nafsu` ia adalah elemen  negatif yang wujud pada diri manusia. Dia adalah kekejian yang meruntun kepada kejahatan  dan meruntuh manusia di lembah kehinaan. Nasfu  selain dari yang jahat ada yang baik.
Merujuk kepada nafsu yang meruntun kepada kejahatan ini Allah berfirman bermaksud:
``Sesungguhnya  nafsu beresifat ammarah itu meruntun kepada kejahatan.`` (Yusuf: 53).
Al-Muhasibi  membicarakan tentang nafsu dengan melihatnya sebagai elemen yang jahat yang tabiatnya mendorong kepada kejahatan dan merosakkan. Kata Al-Muhasibi  lagi, nafsu adalah sesuatu yang keduniaan dan keji. Tabiatnya adalah merwafakat dengan  tuntutan keduniaan.
Dari segi nafsu ammarah yang cenderung kepada kejahatan ini, maka sekata kalangan sufi seperti Ibn Rajab al-Hanbali, Ibn al-Qayyim dan Abu Hamid al-Ghazali yang pendapat mereka dirumus dalam kitab Tazkiat al-Nufus dihimpun oleh Dr. Ahmad Farid dan ditahqiq oleh Majid bin Abi al-Layl, bahawa tanpa ikhtilaf mereka berpendapat elemen  nafsu ammarah  ialah penghalang bagi penyampaian  ahli salik kepada Allah. Mereka juga berpendapat, tidak mampu mendekati dan tidak sampai perjalanan kerohanian kepadaNya, melainkan selepas mematikan dari diri kekejian ammarah, meninggalkannya, bahkan menentangnya, lantaran kejayaan adalah kejayaan membasmikan dari diri nafsu itu. Kekalahan bererti tunduk kepada nafsu dan berada di dalam kecelakaan.
Allah berfirman bermaksud:
``Maka adapun orang yang melampau (tagha), serta ia mengutamakan kehidupan dunia semata-mata, maka sesungguhnya neraka jahimlah tempat kediamannya.
Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya (untuk dihisab), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, maka sesungguhnya syurgalah tempat kediamannya.`` (Al-Nazi`at, 37 -41).
Allah menyebut tentang nafsu ammarah yang keji, tetapi juga tentang nafsu-nafsu yang lain, iaitu `Nafsu  al-Lawwamah.` Firman Allah bermaksud:
``Aku bersumpah dengan  hari kiamat. Dan aku bersumpah dengan  `al-nafsu al-lawwamah`. (Al-Qiyamah: 1 -2).
Menurut catatan kaki di dalam Tafsir Al-Rahman, bahawa al-nafsu al-lawwamah, ya`ni jiwa yang sentiasa menegur dan menempelak dirinya sendiri semasa ia berbuat baik atau berbuat jahat. Ketika berbuat baik, ia menempelak dirinya mengapa tidak membuatnya lebih baik, sebaliknya kalau ia melakukan kejahatan lebih-lebih lagi tempelak dan sesalnya.
Ada yang berpendapat nafsu lawwamah, ialah nafsu yang tidak tetap di atas satu hal. Dia bersifat berbolak balik dan banyak perubahan, kadang dia sedar dengan perlakuan dan kadang lupa dan lalai, menerima dan menolak, mesra dan duka,, gembira dan duka, redha dan marah, taat dan tentang.
Kata Hasan Basari, Nafsu lawwamah ialah yang sering mencela diri dan timbul celaan, mengapa buat begitu dan begini. Pokoknya ada kesedaran diri antara cenderung untuk berbuat baik, tapi tidak sempurna menyebabkan timbul celaan terhadap diri.
Nafsu yang lebih mantap ialah tahap nafsu yang dinamakan Nafsu Mutma`innah, iaitu nafsu yang tenang kepada Allah dan bertambah tenang dengan dhikir mengingatiNya  dan rindu menemuiNya. Ini diisyarat dengan firman Allah bermaksud:
``Wahai orang-orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang, tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan berpuashati lagi diredhai serta masuklah dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia. Dan masuklah dalam syurgaku.`` (Al-Fajr: 27-30).
Walau bagaimana ada yang menambahkan kategori nafsu sehingga enam peringkat, iaitu:
1)       Nafsu Ammarah nafsu paling rendah yang bersifat iblis dan syaitan sebagaimana telah dibicarakan.
2)      Nafsu Mulhamah: Nafsu yang sedar dengan kejahatan dan kebaikan, tetapi dia tetap di bawah pengaruh  kejahatan
3)      Nafsu Lawwamah: Sebagaimana telah dibicarakan.
4)      Nafsu Mutmainnah: Sebagaimana telah dibicarakan
5)      Nafsu Mutma`innah Radhiaah yang tingkat ketenangan lebih tinggi dari mutma`innah
6)      Nafsu Radhiah Mardhiah, peringkat tertinggi.
Walau bagaimana Al-Muhasibi tidak membicarakan pecahan-pecahan nafsu di atas. Yang dibincangkan ialah sifat nafsu, kekejian daripadanya dan bagaimana menghendarinya. Walau bagaimana usaha permulaan daripadanya yang menjadikan nafsu sebagai sebahagian daripada pendekatan tasawuf membuka jalan bagi yang datang lebih  kemudian  mengolah dan memperluaskan  persoalan nafsu dalam  bidang tasawuf.
Pembicaraan tentang nafsu dan pemecahan-pemecahan kepada beberapa kategori dan mengenal pasti pada setiap kategori itu memberi peluang bagi kita mengenalpasti sifat-sifat nafsu di dalam kategori-kategori tersebut , walaupun sebenarnya batas yang memisahkan antara kategori-kategori tidak ada `clear cut`  antara satu sama lain. Namun ianya menjadi panduan berguna  bagi  peribadi,  bagi penerangan dalam pengajaran, penilaian  keakhlakan dan tindakan-tindakan yang diambil berhubung dengan  perundangan.
Dengan pembicaraan aspek `nafsu`, maka  Al-Muhasibi sebenarnya mengukuhkan pendekatan tasawufnya yang berasaskan akidah dan syariat (Al-Ri`yah Li Huquq Allah) – termasuk akhlak. Pembicaraan tentang `nafsu`  ini memperluas  dan mengukuhkan lagi pendekatan tasawufnya yang berasaskan  akhlak yang juga mengukuhkan pendekatan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah dari segi tasawuf.

Sekian.

August 30, 2016

AL-MUHASIBI MEMBICARAKAN TENTANG HATI


BBB, 26 Zulkaedah 1437 =  29 Ogos 201`6 (Isnin):
Persoalan `Hati` adalah persoalan penting di dalam  bidang tasawuf. Hati dibariskan dengan nafs, akal hati dan rohani. Al-Imam Al-Ghazali menjadikan `Hati`  sebagai pendekatan penting  bagi ilmu tasawufnya. Hati memang disebut di dalam Al-Qur`an dan Al-Hadith, sebagai  contoh ayat-ayat Al-Qur`an menyebut, bermaksud:
``Di dalam hati mereka itu penyakit, maka Allah menambahkan lagi penyakit kepada mereka.`` (Al-Baqarah:  10)
Atau ayat yang bermaksud:
``Bagi mereka ada hati yang mereka tidak memahami dengannya dan ada mata yang tidak mereka melihat dengannya.`` (Al-A`raf: 179).
Dan ayat bermaksud::
``Orang-orang yang beriman dan tenang  tenteram hati mereka  dengan zikir Allah.. Ketahuilah dengan zikir Allah itu tenang tenteramlah hati manusia.`` (Al-Ra`d: 28).
Manakala Hadith yang  masyhur berhubung dengan hati, ialah Hadith;
Daripada Abi `Abdillah al-Nu`man bin Bashir r.`anhuma berkata, `Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda  (bermaksud): ``Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang), dan yang haram itu pun nyata (terang). Dan antara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia.  Maka barang siapa memelihara (dirinya dari)  segala yang kesamaran, sesungguhnya ia memelihara bagi agamanya dan kehormatannya. Dan barang siapa jatuh dalam  perkara kesamaran, jatuhlah ia ke dalam yang haram, seperti seorang poengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan hampir sangat (ternakan)  makan di dalamnya.
Ketahuilah bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah larangan Allah ialah segala yang haramnya. Katahuilah bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah sekaliannya. Katahuilah inilah yang dikatakan hati.        Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.
Mengenai konsep pendidikan Islam, Shaykh `Abdul Samad di  dalam karangannya Siyar al-Salikin dan Hidayat al-Salikin mendasarkan huraian konsep pendidikannya  kepada Hadith Nabi yang bermaksud:
``Sesungguhnya hati mengalami karat sebagaimana berkaratnya besi`.``
Di dalam pendekatan kesufiannya Al-Muhasibi ada membincangkan persoalan hati dengan mengatakan:
``Sesungguhnya bahawa Allah `Azza wa Jalla mewajibkan ke atas hamba hak-hak yang berhubung dengan  hati, tidak berhubung dengan anggota. Hak-hak dimaksudkan bahawa ada tiga:
Pertama:  I`tiqad keimanan dan menjauhi kekufuran
Kedua: I`tiqad Sunnah dan menjauhi  bid`ah
Ketiga: I`tiqad ketaatan dan menjauhi dari berterusan dari perkara yang dibenci Allah `Azza wa Jalla.
Dapat difahami bati yang dimaksudkan bukan `Hati yang dimaksudkan dengan perasaan`, tetapi melibatkan akal.
Walau bagaimana Al-Muhasibi menyebut `Hati` sebagai satu aspek di dalam diri yang dapat menerima elemen positif dan negatif, tetapi dia tidak membuat huraian tentang konsep hati dan rangka pengolahan yang hati  boleh kotor dan bersih, kandungan pendekatan dan implikasi sebagaimana yang dibuat oleh Al-Ghazali kelak.
Apa yang disebut oleh Al-Muhasibi, bahawa  perkara-perkara yang melibatkan hati seperti persoalan yang  melapangkan jiwa dan dapat menyelesaikan kewajipan di atas diri terhadap Allah. Rasa senang dan lapang sedemikian menurutnya adalah merujuk kepada hati, menyembunyikan sesuatu amalan baik seperti memberi sedekah, walaupun melibatkan sama perbuatan anggota. Ia adalah perkara yang melibatkan hati yang menandakan keikhlasan yang jelas merujuk kepada hati. Demikian melakukan sesuatu pekerjaan yang baik bukan mengharapkan pujian dan tidak bertujuan mencarri kemasyhuran. Jadi kemasyhuran melibatkan perasaan hati yang mungkin bagi yang terlibat merasa megah kerana terkenal.  Perkara yang melibatkan terkenal dan perasaan dengan terkenal adalah melibatkan hati.
Takut juga adalah perkara yang merujuk kepada hati. Takut sama ada terjatuh kepada yang tidak baik terjadi pada diri seperti keras hati, sebagaimana  yang digambarkan Allah Ta`ala kepada mereka yang keras hati seperti firemannya yang bermaksud:
``Kemudian hati mereka menjadi keras selepas itu ianya laksana batu atau lebih keras daripada itu.`` (Al-Baqarah: 74)
Maka adalah dibimbangi diri orang yang menjadi degil. Bimbang juga terhadap perkara yang baik seperti tidak mendapat keampunan Allah dan sebagainya. Pokoknya perkara-perkara sedemikian adalah merujuk kepada pekerjaan hati .
Jadi Al-Muhasibi membicarakan hati sebagai satu aspek dalaman diri yang menerima pengalaman sama ada aspek positif atau negatif. Pada peringkat Al-Muhasibi ini belum timbul pendekatan yang melihat hai sebagai elemen penting dalam tasawuf yang dia boleh dikategorikan kepada peringkat tinggi di dalam hiraki selepas, nafsu, akal, hati dan ruh. Hati juga sebagai jendela yang membuka ruang kepada cinta Ilahi dan sebagainya.
 Walau bagaimana sebagai permulaan Al-Muhasibi  membuka satu ruang baru bagi pendekatan ilmu tasawuf, walaupun secara melihat hati sebagai bahagian yang menerima dan mengalami seperti gembira, bahagia, duka dan sebagainya dan belum menggunakannya sebagai satu pendekatan bagi mengolah pendekatan  ilmu tasawuf itu sendiri. Namun apa yang diteroka beliau menjadi  asas bagi pengolahan lanjut oleh pendukung-pendukung ilmu tasawuf, khusus Al-Imam Al-Ghazali kelak.
Jadi Al-Muhasibi di samping pendekatan akhlak turut mengaitkan  hati sebagai elemen ketasawufan yang bersifat dalaman di samping anggota diri melibatkan amalan luaran.

Sekian

August 29, 2016

GANGGUAN KEROHANIAN: MENGATASINYA


BBB, 25 Zulkaedah 1437 = 28 Ogos 2016 (Ahad):
Beberapa gangguan  yang menghalang konsentrasi kerohanian, khususnya tentang kezuhudan disenarai dan dibicarakan oleh Al-Muhasibi, iaitu:
1)      Waswas dan cara menolaknya
2)      Takabbur, hasad dan penipuan
3)      Riya` dan waswas
4)      Tekanan hawa nafsu
5)      Syaitan
Apa yang disenaraikan di atas adalah gangguan-gangguan yang  teruk terhadap kerohanian bahkan kehidupan.
 Waswas
Bermula dari bisikan dan rasa tidak pasti tentang ketepatan amalan, khususnya niat, hingga diulang-ulang menyebabkan waswas, dan jika terus diikut waswas meningkat kepada `penyaklit kejiwaan` Ayat Al-Qur`an ada menyebut bermaksud:
``Dari kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam.  Yang melemparkan bisikan  dan hasutan ke dalam  hati  manusia. Iaitu pembisik dan penghasut dari kalangan jin dan manusia (Al-Nas, 4 -6).
Waswas adalah dari permainan syaitan  yang bagi menghindarinya ialah berpaling darinya dan jangan mendengar dan melayan kepada bisikan syaitan berkenaan.                                                                                                                              tidak tenteram dan dirasuk oleh jin dan syaitan dihalau  dengan isti`azah dan basmalah  (Surah al-Nas) dan terus bertindak dan yakin dengan amalan dan jangan melayan sebarang waswas jin dan syaitan.
Waswas dengan pegangan  jika dilayan dan dibiarkan boleh berkembang oleh  hawa nafsu  dan syaitan kepada meringan dan meninggalkan ketaatan kepada berjinak-jinak dengan ma`siat, kepada terlibat dengan shubahat, kepada meninggalkan yang sunat dan kemudian meninggalkan yang fardhu dan akhirnya menggugat keimanan.
 Takabbur, hasad dan penipuan dan lain-lain
Dua perkara di atas telah dibicarakan oleh Al-Muhasibi di dalam kitabnya Al-Ri`ayat Li Huquq Allah. Sebagai tambahan, kata Al-Muhasibi yang menyebabkan timbulnya takabbur oleh kerana yang takabbur melupai diri  dan siapa yang lebih tinggi daripadanya. Yang takabbur ialah yang terlindung oleh  nikmat dan kelalaian yang nisbi terhadap yang hakiki. Dia mengajak manusia mengkaguminya sebagaimana dia mengkagumi terhadap dirinya. Takabbur akan surut padam bila berlaku kebinasaan, tatkala mana tiada di dalam dirinya sebaranmg persediaan seperti waspada, tawadhu` dan tidak menerima putaran hidup yang meletakkan dirinya pada tahap kehinaan, bukan saja dirasai dirinya tetapi dipandang masyarakat kelilingnya yang sepatutnya mendapat simpati dan pembelaan. Keadaan yang sama kepada yang hasad apabila dia tidak menyenangi yang dihasad, tiba dia dibalas dengan sifat hasadnya, bahawa dia sendiri menerima bala dan kehinaan. Manakala penipu adal;ah lebih kedepan dari hasad, kerana dia sanggup bertindak melakukan penipuan. Orang yang menipu tidak selamat. Dengan penipuan sebenarnya ia memerangkap dirinya yang penipuannya terbungkar dan mendepani penghinaan, lebih-lebih lagi jika dia terbawa kepada pengadilan di dunia. Dan pasti pengadilanm lebih pedih akan dihadapi di akhirat. Dari aliran kekejian yang sama, ialah riya`  yang juga telah dibicarakan, sebagaimana orang takabbur, demikianlah dengan yang riya` dia akan mendepani kehinaan dan keinsafan apabila berdepan dengan kegagalan dan kekeciwaan yang menelanjangkan kepalsuan riya` dan menyedari diri tak lebih dari orang lain, bahkan meletakkan diri pada tahap yang lebih rendah akibat dari  lagak riya`
Cara melindungi diri dari takabbur, hasad, penipuan dan riya`   memerlukan pendidikan akhlak dan kerohanian, iaitu tidak lain dari mengukuh pegangan akidah, mematuhi perintah Allah  -   mematuhi segala suruhan dan menjauhi segala larangan. Mendidik diri dengan sifat insaf, tawaduk, ikhlas serta memupuk diri dengan rasa kasihan belas , berbaur dalam jiwa  rasa keihsanan dan keinsanan, mescaya jika ada di dalam diri  benih-benih didikan sedemikian, maka dari awal tidak tumbuh dalam diri  sifat takabbur, hasad, penipuan dan riya`.
Al-Muhasibi mengambil pinjaman dari bandingan  ayat Al-Qur`an (Al-Baqarah: 261), bahawa segala amalan yang baik digandakan Allah balasan tiap satu kepada  seratus hingga tujuh ratus dan lebih dari itu, sebaliknya bagi yang melakukan kejahatan seperti takabbur, hasad, penipuan dan riya` sebagai biji benih yang hampa di atas tanah gersang yang tidak menumbuhkan sebarang tumbuhan, bahkan menerima kesiksaan dari kekejian yang dilaku, bukan saja diakhirat, bahkan akibat kesemuanya diterima di dunia lagi.
Lantas bagaimana mengatasi gangguan kerohanian di atas  ? Tidak  lain dari melazimkan diri dengan sifat ta`abbudiyyah dan beribadat.  Di bawah pecahan  Al-Masa`il fi al-Zuhd`,    Al-Muhasibi  ada membicarakan tentang afdhal ibadat dengan katanya,``
``Afdhal ibadat ialah mengetahui keagungan Allah Subhanahu wa Ta`ala dan mengagungkanNya.``
Konsep mengetahui dapat difahami ialah dengan mempelajari keilmuan-keilmuan yang mendekat diri kita dan mengenali Allah Ta`ala. Pengajian melibatkan keilmuan  yang berhubung dengan Al-Qur`an dan Al-Hadith, keilmuan akidah, syari`at, akhlak (tasawuf), ilmu yang berhubung kejadian alam, bahkan apa jua ilmu yang baik secara langsung dan tidak langsung membawa kita mengenali hakikat ciptaan dan pengakuan dan pengagungan kita terhadap Allah Subhanahu wa Ta`ala. Pengajian pula seharusnya berterusan dan semakin mendalam pengajian, maka semakin kita mengenali Tuhan.
Sudah tentulah dengan pengajian membawa diri patuh kepada perntah Allah dan menjauhi segala laranganNya. Bukankah dengan solat mencegah diri dari melakukan kekejian dan munkar ? (Al-`Ankabut: 45), Bukankah puasa meningkatkan ketaqwaan ? (Al-Baqarah: 183), Bukankah dengan berzakat menggandakan pahala dan dapatan ? Al-Nisa`: 162). Demikianlah dengan berbagai-bagai ibadat  yang  lain.
Sesungguhnya jika seseorang Islam itu mendalami keilmuan Islam, mengamal dengan apa yang disuruh dan menbjauh diri dari segala larangan, dirinya bersifat ta`abbudiyyah, maka sesungguhnya  dirinya tidak menjadi orang yang ingkar, menentang perintah Tuhan, melakukan kejahatan dan berbagai-bagai lagi.
Pendidikan memupuk ta`abbudiyyah dan diperkukuh dengan ibadah makin mendekati diri dengan Allah.

Sekian.

August 28, 2016

MENDEPANI KAYA, SYUKUR DAN FAQR SECARA SAKSAMA


BBB,  24  Zulkaedah 1437 = 27 Ogos 2016 (Sabtu):
Ada  dua lapisan makna dari istilah-istilah di atas.
Pertama konsep kaya, syukur dan faqr dengan maksud biasa.
Kaya bererti mendapat kemudahan dan rezeki dari Allah yang menjadikan seseorang itu berada di dalam kelawasan, maka sebagai seorang yang  berada di dalam situasi keislaman, memberi peluang baginya bersyukur dengan menunaikan hak-hak Allah seperti berzakat sebagai satu kewajipan dan lebih daripada itu ia dapat melakukan kerja-kerja sunat dengan banyak membuat kebajikan yang memberi erti dia bersyukur. Dalam erti kata lain kekayaan yang dicapai secara halal memberi peluang baginya mendapat pahala. Sebaliknya faqr bererti faqir dan berada di dalam kesempitan adalah ujian daripada Allah dan yang faqir berkenaan yang hidup di dalam situasi Islam  juga mendapat ganjaran di atas kesabarannya.
Maksud bagi istilah-istilah di atas diterima, tetapi pembicaraan lebih kepada makna rohani. Dalam maksud. Kaya adalah kekayaan rohani, begitu juga dengan konsep syukur dan faqr
Al-Muhasibi menerangkan maksud kaya dalam bentuk soalan.
`Apa itu ghina (kaya) ? Katanya,
Kaya ialah membesarkan yang memberi nikmah (Allah). Ertinya ada nikmat-nikmat yang diterima baik bersifat material dan kejiwaan. Katanya lagi, ``Dengan kaya melahirkan kesyukuran dan dengan berterusan syukur mengurangkan rasa kekurangan. Siapa yang membesarkan nikmat Tuhan membangkitkan rasa cinta terhadapNya dan berterusan pula syukurnya.
Kata Al-Muhasibi yang membangkitkan rasa syukur oleh kerana kesedaran nikmat seperti  harta benda yang diterima adalah fana dan mungkin hilang dan dengan kesedaran ini, disamping syukur, kiranya berlaku kehilangan harta benda, maka dengan kesedaran dan keinsafan seperti itu tidak menjadikannya orang yang keciwa dan putus asa. Dengan demikian terpupuk dalam jiwa, bahawa mencari harta tidak menjadikan diri hamba kepada harta. Kerana kata hukama` sebagaimana dipetik oleh Al-Muhasibi, ``Tidak mementingkan oleh orang yang berakal melainkan Allah.`` Dia yang memberi, Dia yang menariknya dan mungkin akan memberi kembali.``
Menurut Al-Muhasibi syukur ada jenis-jenis. Antaranya syukur yang wajib, iaitu dengan menunaikan hak Ta`ala seperti mengeluarkan zakat dan syukur yang sunat, iaitu mengiringi sebarang kejayaan dan kurniaan yang diterima dari kurniaan Allah dilakukan kebajikan dan dia bersyukur dengan `Al-hamdulillah`.
Yang membangkitkan seseorang itu bersyukur kata Al-Muhasibi, kerana pengalaman yang lepas daripada menghadapi kesukaran, maka dengan kesenangan yang didapati menimbulkan penghargaan terhadap kurniaan dan mengharapkan agar terus mendapat keurniaan yang membolehkannya terus bersyukur dan berwaspada daripada ditarik kembali kurniaan yang diterima.
Dalam erti kata yang lain bagi yang mempunyai keinsafan kerohanian, perlu meletakkan diri pada pertimbangan yang wajar di dalam mengharapkan kurnia, hendaklah bersyukur dan sedar pula kurniaan bukan semestinya berterusan, mungkin ditarik kembali, sebab itu dalam bersyukur ada kesedaran, mengharapkan berterusan kurnia, tetapi jika ditarik, maka adalah di dalam kesedaran. Dengan harap dan ikhtiar kurniaan akan diberi kembali.
Adapun makna faqr, dari segi makna lahir, ialah sangat memerlukan dengan merasa diri kekurangan. Konsep faqr kepada harta benda atau sumber rezeki  itu dipindahkan kepada maksud yang bersifat kerohanian.
Jadi faqr ada dua makna. Makna lahiri, iaitu memerlukan kepada keperluan-keperluan terutama yang bersifat material bagi mengatasi kesempitan yang dihadapi. Di dalam hal ini tuntutan mencari nafkah dan keperluan sesuatu yang wajib bagi mengatasi keperluan.
Namun dari segi maknawi faqr dari segi kerohanian, tidak semestinya ia faqir dari segi material. Dia mungkin cukup dari segi keperluan dan mungkin seorang yang kaya yang menunaikan kewajipan yang fardhu dan banyak membuat kebajikan, tetapi dilihatnya ianya sebagai amanah yang diberi Tuhan terhadapnya dan dia menjalankan hak-hak, keperluan dan kewajaran dan bukan sebagai beban baginya.
Sebaliknya disamping kurniaan yang diterima disedarinya bahawa dia tetap berada pada kategori faqr kepada Allah. Yakni, walaupun dari segi lahir seorang itu relatifnya kaya, mewah dan berada di dalam kesenangan, tetapi kaya berkenaan bersifat nisbi dan kecil dengan nisbah faqrnya manusia dan segala kejadian kepada Allah. Manusia walaupun relatifnya kaya, tetapi faqr kepada Allah misalnya keperluan kepada  penjagaan Allah dari segi udara, cahaya, minuman dan makanan. Bagi negara faqr kepada Allah  agar  tidak dilanda bencana, musnah segala bahan tanaman dan tiada makanan. Manusia amat faqr kepada Allah dari segi keselamatan seperti selamat dari bencana gempa, banjir dan berbagai-bagai kerosakan. Manusia memerlukan penjagaan dari Allah tentang berterusannya pergerakan cakerawala. Sesungguhnya tanpa pemeliharaan Allah segalanya musnah.
Al-Muhasibi yang membicarakan tentang konsep kaya, syukur dan faqr, adalah terus membicarakan mengenai akhlak dan sikap manusia di dalam kehidupan. Di dalam mengejar kepentingan, manusia diperingatkan, kekayaan yang sebenarnya ialah kekayaan pada Allah. Kekayaan pada manusia adalah nisbi dia boleh datang dan pergi. Kekayaan nisbi kepada manusia bagi memberi ruang kepadanya untuk bersyukur dan berpeluang menunaikan kewajipan dan bagi membuat kebajikan. Manusia juga tidak terlepas dari ujian kesusahan dengan menghadapi situasi faqr, faqr memberi kesedaran pada manusia, betapa lemah dan terhadnya kemampuan manusia. Dengan mendepani situasi faqr, menyedarkan manusia dengan kelemahan yang ada. Dari satu segi dengan faqr menyedarkan manusia betapa ianya amat berharap kepada Allah. Konsep faqr kepada material yang nisbi  ini ditransformkan kepada faqr kepada Allah yang haqiqi. Faqr dan kaya bagai coin dua permukaan yang kedua-duanya mendukung nilai. Dengan permukaan faqr berpeluang  bersabar dan mendapat pahala, manakala permukaan kaya berpeluang bersyukur dan mendapat pahala.
Konsepsi faqr tidak bererti ketiadaan material, lantaran yang kaya material pada hakikat tetap faqr kepada Allah, sebagaimana yang kaya tidak bererti  dia  kaya, kerana yang kaya sebenarnya ialah Allah. Daripada pengalaman faqr dan kaya, manusia seharusnya mempunyai kekayaan jiwa yang dapat menilai dan bertindak  secara saksama.

Sekian.

August 27, 2016

DIAM DAN BERFIKIR: IMPLIKASI


B BB,  23 Zulkaedah 1437 =  26 Ogos 2016 (Jumaat):

Ada beberapa perkara (pecahan)  di bawah `Masalah Tentang Zuhud`. Persoalan pertama ialah tentang  `Diam Dan Berfikir`
Pertama yang meniumbulkan persoalan, apakah hubungannya soal diam dan berfikir dengan zuhud ?
Diam ertinya tidak bercakap, maka terhenti dan tersekat maklumat dari orang yang diam berkenaan. Sebaliknya jika bercakap, terkeluarlah apa yang dicakapkan. Bercakap (statement) ada beberapa kategori. Mungkin bercakap tentang perkara biasa di dalam kehidupan biasa. Misalnya menyuruh anak membaca pelajaran, makan dan sebagainya atau mungkin bersifat larangan. Misalnya jangan keluar rumah pada waktu malam dan sebagainya. Bercakap mungkin bersifat menyampaikan maklumat. Contoh, ada kawan akan datang yang melibatkan benar (jika datang) atau tidak benar (jika tidak datang). Ada bercakap seperti mengajar yang biasanya baik, kerana menyampaikan pengajaran – seperti oleh guru. Di dalam konteks penyampaian yang bersifat benar atau tidak, apa lagi jika berdusta,  maka ia melibatkan dosa, jika berdusta. Sebaliknya jika bercakap perkara yang baik seperti mengajar, maka ia  mempunyai pahala. Di dalam konteks ini dapat dilihat ianya ada hubungan dengan zuhud. Seorang misalnya wajar bersifat zuhud di dalam menggunakan percakapan, iaitu kepada perkara yang benar dan perlu berfikir dahulu sebelum mengeluarkan percakapan supaya tidak terjatuh kepada perkara yang salah dan berdosa. Adapun di dalam perkara yang baik dan berfaedah seperti bercakap kerana menyampaikan pengajaran, maka ianya tentulah perbuatan yang baik dan digalakkan.
Soal bercakap mempunyai hubungan yang rapat dengan berfikir, bahkan apa yang dicakap adalah melalui fikiran, tapisan dan bercakap.
Berfikir juga  mempunyai kategori
Fikiran di dalam minda tanpa dikeluarkan  ada yang baik seperti memikirkan tentang ciptaan Allah yang mengukuhkan akidah dan buruknya  seperti memikirkan  untuk melakukan penipuan, berbohong dan sebagainya
Fikiran spontan bagi tujuan. Misalnya dikeluarkan  bagi melarang anak bermain pokemen, kerana merugikan masa.
Fikiran bertaraf tinggi, misalnya memikirkan tentang kandungan pengajaran yang hendak disampaikan. Pendek kata berfikir ada yang baik dan ada yang buruk, sebab itu konsep zuhud berperanan di dalam berfikir. Ianya perlu kepada pengawalan (zuhud), supaya lebih kepada yang baik dari yang buruk. Ini sesuai dengan ungkapan
``Berfikir dahulu sebelum bercakap, kerana tersilap cakap besar padahnya.``
Juga kata-kata `Diam itu Emas`.
Di dalam membicarakan tentang `Senyap dan Berfikir`  ini   al-Muhasibi memulakan dengan soalan.
Bila kita sayugia senyap dan bila wajar bercakap ?
Walaupun judul menyebut  `Senyap` dahulu, kemudian diikuti dengan berfikir, beliau membicarakan tentang berfikir terlebih dahulu. Ini ada kewajarannya, sebagaimana diperkatakan di atas behawa untuk bercakap – kalau tidak diambil sikap senyap, adalah melalui berfikir dahulu. Percakapan orang normal adalah selepas rasional berfikir terlebih dahulu.
Menurut al-Muhasibi berfikir ada berbagai-bagai jenis.
Berfikir perkara-perkara baik menurut Al-Muhasibi:
·         Berfikir tentang ciptaan Allah yang memberi kita kefahaman tentang keagungan Allah
Seperti ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Sesungguhnya   pada ciptaan langit dan bumi dan bertukar siang dan malam menjadi tanda-tanda  bagi mereka yang mempunyai fikiran (Ali `Imran: 190).
·         Fikir tentang kekurangan amalan tidak sepadan dengan tuntutan Allah yang membawa kepada keinsafan dan menambahkan lagi amalan
·         Berfikir tentang kefanaan kewujudan dan membawa kepada ingatan terhadap mati hingga meningkatkan keinsafan.
Sesungguhnya fikiran positif memberi natijah yang poaitif, sebagaimana dimaksudkan bahawa
``Berfikir sesaat lebih baik dari ibadat setahun.`  !
Namun di sebalik itu  ada fikiran yang positif ada fikiran yang negatif yang tentulah dilarang seperti memikirkan perkara nafsu, berfikir untuk  membuat kebinasaan dan lain-lain.
Manakala dari segi diam, kata Al-Muhasibi, Diam dapat menghendar dari kesalahan, sebaliknya bercakap memperlihatkan kelemahan. Diam berpatutan memberi kehebatan  kepada yang diam dan menghilangkan kesilapan kata dan kekasaran bahasa. Diam melindung keaiban.
Namun tidak wajar semua masa dalam diam, sebaliknya bercakaplah tentang keperluan, tetapi berfikir sebelum mengeluarkan pendapat. Sesungguhnya fikiran yang baik adalah bagai luahan intan dan permata, bahkan lebih mahal daripada itu.  Bukankah keilmuan-keilmuan yang kita pelajari   adalah kita warisi   dari tokoh-tokoh ilmuan berjasa yang dengan kajian dan pemikiran mereka kita pelajari  keilmuan mereka.
Dalam kata lain sememangnya diam lebih baik dari bercakap,  jika percakapan tidak membawa faedah, apa lagi jika ianya mendedahkan kelemahan. Tetapi bercakapkah dengan disertai fikiran agar memberi faedah bagi pendengaran. Lebih digalakkan pemikiran yang bersifat keilmuan yang dapat  dimanfaatkan orang ramai, khususnya yang bersifat keilmuan.
Dari perbincangan  memperlihatkan bahawa istilah `Zuhud` dimaksudkan mempunyai erti yang luas. Bukan bererti lari dari dunia dan tidak bekerja.
Zuhud lebih bererti  berwaspada, prihatin, keinginan hidup secara bersih dan mengelak daripada perkara-perkara negatif.
Dengan pembicaraan tentang zuhud memperlihatkan Al-Muhasibi mengaitkan zuhud juga kepada persoalan akhlak dan adab yang seharusnya menjadi tonggak dan peribadi masyarakat umat.

Sekian.

August 26, 2016

MASALAH TENTANG ZUHUD: AL-MUHASIBI


BBB,  22 Zulkaedah 1437 = 25 Ogos  2016 (Khamis):
Di dalam Kitab Al-Masa`il Fi  A`mal al-Qulub Wa al-Jawarih sebagaimana telah disebutkan dipecahkan  kepada pecahaan – Al-Masa`il  fi al-Zuhd, Aa`mal al-Qulub wa al-Jawarih, Al-Makasib  dan Al-`Aql.
Mengapa Al-Muhasibi menyusun karangannya sedemikian ?
Ianya menunjukkan komitmen Al-Muhasibi  dengan prinsip pegangannya yang dihayati dari sabda Baginda Rasulullah s.a.w. bermaksud ``Seberat-berat apa yang diletakkan di dalam neraca timbangan ialah indah akhlak.``  yang bagi merealisasikan memerlukan orang yang utuh nilai peribadinya yang tidak dapat dihasilkan melainkan dengan berpegang kepada akidah tauhid, mengamalkan suruhan shariat, menjauhi larangan. Bagi melaksanakannya juga perlu sentiasa muhasabah, prihatin  untuk mengelak daripada terjatuh kepada  perkara-perkara shubhah, lebih-lebih lagi yang haram. Al-Muhasibi telah membuktikan tentang  wawasan membina manusia yang tinggi pereibadinya, iaitu dengan menjaga hak-hak Allah, mengenali dan menjauhi perkara-perkara muhlikat dan mengenali perkara-perkara munjiyat bagi mengamalkan.
Kitab Al-Masa`il fi Aa`mal al-Qulub wa al-Jawarih adalah huraian dan pengluasan bagaimana menyedari dan menjaga diri dari terkeluar dari garisan  menjaga hak-hak Allah. Antara cara terpenting ialah dengan mengawal diri sebagaimana  terkandung dengan konsep zuhud. Persoalan ini  telah dibicarakan sebelumnya oleh Abdullah bin al-Mubarak dan  juga oleh Ahmad bin Hanbal.
Apakah persoalan dan masalah yang ditimbulkan oleh Al-Muhasibi tentang zuhud sebagai permulaan bagi kitab ini ?
Al-Harith al-Muhasibi dikemukakan soalan oleh muridnya tentang zuhud di dunia, apakah bersifat fardhu atau sunat, maka bagaimanakah jika fardhu dan bagaimana pula jika sunat ?
Jawab Al-Muhasibi, Allah memfardhukan ke atas hamba  ialah fardhu di atas perkara-perkara haram dan al-nafil (sunat)  ialah berpada menurut keperluan  dan mengawal diri pada perkara-perkara halal. Misalny a tidak berlebih-lebihan dan jangan sampai membazir
Al-Muhasibi juga disoal, apakah yang membangkitkan rasa zuhud pada diri seseorang yang zahid?
Kata Al-Muhasibi, adapun yang membangkitkan perasaan zuhud pada keduniaan di dalam diri seseorang   ialah pendek    angan-angan, berfokus pada tugas secara bersungguh-sungguh tanpa ada masa untuk berangan-angan. Tambah Al-Muhasibi apabila tidak ada masa untuk berangan-angan, maka dapat diberi  tumpuan sepenuhnya kepada tugas, maka keberhasilan kerjanya elok. Apabila dia tidak tamak pada memiliki, tetapi lebih melihat kepada kepentingan dan muslihat ramai dia tidak diganggu oleh tamak menguasai harta untuk diri, lantaran semuanya akan hilang dan yang tidak hilang apabila ianya diikat dengan amalan-amalan kebajikan.
Zuhud sebagaimana telah dikatakan adalah sebagai pendekatan popular bagi perkembangan tasawuf pada peringkat permulaan. Ianya dicetuskan oleh `Abdullah bin al-Mubarak dan juga oleh Ahmad bin Muhammad bin Hanbal. Walaupun Abdullah al-Mubarak memberi judul bagi kitabnya Al-Zuhd wa al-Raqa`iq, namun tiada dibicarakan tentang zuhud dengan bab yang speseifik seperti yang diebri kepada bab bagi wara` dan tawakkal. Konsep Zuhud difahami dari pancaran persoalan-persoalan yang dibicarakan tentang, khusyu`, takut, tawakkal, taubat dan sebagainya yang semuanya dibicarakan di dalam nada keinsafan – kezuhudan.  Manakala di dalam Kitab Al-Zuhd oleh Imam Ahmad  bin  Hanbal juga difahami kezuhudan adalah dari gambaran situasi atau lisan al-Hal. Misalnya `Aishah  r.`anha, diriwayatkan bahawa  apabila beliau ditanya seorang lelaki , apakah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. bila kelapangan. `A`ishah mengatakan Baginda menjahit baju Baginda yang carik dan menampal kasutnya yang koyak.`` Gambaran ini mencerminkan sifat zuhud. Keadaan yang sama apabila digambarkan tentang zuhud para Rasul yang lain.
Di dalam hal ini dapat juga dikatakan, bahawa Al-Muhasibi, selain dari Pendekatan Muhasabahnya, beliau antara tokoh yang membina pendekatan kesufian berasaskan akhlak dan memberi definisi terhadap  konsep zuhud, ciri dan sebabnya.
Persoalan zuhud  adalah persoalan  kontroversi, terutama dalam konteks zaman kini. Zuhud  dimaksudkan antaranya sedikit, berpada, tidak mementingkan dunia dan tidak tamak, berawas agak tidak terjatuh kepada perkara yang shubhah, lebih-lebih lagi yang haram. Lebih dari itu keinginan diri menjadi bersih dan berfokus kepada Allah.
Sesungguhnya tujuan zuhud adalah baik dan murni. Visi dan misi kezuhudan ialah membina kejiwaan individu dan jika setiap  orang  bernilai-dengan nilai murni ini, maka ianya sebagai persediaan satu batu bata bagi pembinaan ummah. Maka jika setiap batu bata pembinaan bersih. Maka dia dapat menyediakan pembinaan ummah secara bersih dan kukuh. Dalam masa yang sama bagi satu pihak yang lain. Maksud ialah lawan bagi zuhud, iaitu tamak, satu sifat negatif . Dengan tamak memberi implikasi yang banyal yang secara mikronya dapat dibayangkan seorang yang tamak yang mau mengaut keuntungan dan pemilikan sebanyak yang mungkin. Lebih dari itu tamak mengundang kepada tindakan yang bercanggah dengan nilai murni seperti tidak jujur, mencuri, rasuah dan sebagainya. Maka jika ada  di dalam masayarakat batu binaannya yang terdiri dari yang kerja rasuah, maka binaan ummah dan negara tidak kukuh dan boleh rosak, bahkan boleh runtuh disebabkan rasuah pada berbagai pihak. Lantaran itu  ada kesedaran zuhud dalam jiwa dan amalan bersih amat penting di dalkam pembinaan masyarakat umat  dan  negara.
Namun konsep zuhud hendaklah ditampilkan dalam konteks kedudukan yang betul.
Zuhud bukan bererti  malas, zuhud tidak juga memada dengan peluang yang ada. Seharusnya ia bertindak kepada peringkat maksimum. Zuhud bererti melakukan sesuatu dengan secara bersih, walaupun dalam usaha mencari harta, tanpa usaha dan mempunyai harta misalnya tidak dapat ditunaikan tuntutan yang amat besar pahalanya seperti melakukan kerja-kerja kebajikan di dalam skala yang lebih besar  bagi meningkat ekonomi. Dengan kebersihan dapatan dapat menunaikan zakat, dapat menunaikan haji, mendapat peluang meningkat pengajian dan pembelajaran dan dapat melakukan berbagai kebajikan.
Dengan zuhud mengawal perjalanan secara bersih dan dengan pengawalan bersih merupakan piawaian yang dapat mengawal segala kerja secara murni dan jujur. Dengan demikian kehidupan semua pihak, insya  Allah  dalam berkat.

Sekian.

August 25, 2016

KITAB AL-MASA`IL OLEH AL-MUHASIBI


BBB,  21 Zulkaedah 1437 =  24 Ogos 2016 (Rabu):


Adalah kitab kedua bagi Al-Muhasibi kita bicarakan dari sejumlah  lapan kitab dihasilkan selain dari Al-Ri`ayah (tidak semuanya diterbitkan). Kalau di dalam Kitab Al-Ri`ayah Li Huquq Allah membicarakan tentang sifat Munjiyat dan Muhlikat yang lebih berfokus kepada tasawuf yang bersifat akhlak, maka berlainan dengan kitab Al-Masa`il yang judul penuhnya ialah `Al-Masa`il Fi Aa`mal al-Qulub Wa al-Jawarih, bererti  ``Masalah-Masalah Yang Berhubung Dengan Amalan-Amalan Hati Dan Anggota` yang merupakan jawapan-jawapan Al-Muhasibi terhadap soalan-soalan murid-murid atau pengikut-pengikutnya.
Di dalam Al-Masa`il banyak mencerminkan situasi pertelingkahan keilmuan dan intelektual pada zaman Al-Muhasibi yang sezaman dengan Ahmad bin Hanbal yang pada masa itu aliran Mu`tazilah mempunyai kedudukan yang kukuh di sisi pemerintah.
Al-Muhasibi dikenali sebagai Shaykh bagi al-Shuyukh  - Guru Bagi Guro-Guru, lantaran beliau mempunyai ramai pelajar.  Antara pelajar beliau yang terkenal Al-Junayd bin Muhammad al-Baghdadi. Al-Junayd dikenali  pendukung tasawuf Sunni yang merupakan guru bagi pelejar-pelajar tasawuf beraliran Sunni dan dikatakan tidak ada sanad daripada sanad-sanad jalan kesufian Sunni yang tidak bertalian dengan Al-Junayd.  Sesungguhny Al-Junayd al-Baghdadi  memindahkan pengajaran-pengajaran ustaznya – Al-Muhasibi, manhajnya dari segi suluk kepada murid-muridnya secara jelas dan teliti.
Pada zaman Al-Muhasibi hingga kepada pertengahan abad ketiga Hijrah,  timbul perbedaan  pendekatan antara keilmuan-keilmuan ketara pada zaman itu, iaitu:
1)       Pendekatan Sunni  seperti fiqh berasaskan Madrasah al-Nass dan Asbab al-Nuzul
2)      Mu`tazilah berasaskan nass dan tafsiran akal
3)      Tasawuf berasaskan Wujdan kerohanian juga berasaskan nas dan akal. Tasawuf ini asalnya bertolak dari zuhd sebagaimana yang dibina oleh Al-Muhasibi, juga Ibn Hanbal.
Pengantar bagi kitab Al-Masa`il ini  dibuat oleh Shaykh `Abdul Qadir Ahmad `Ata yang antaranya menyentuh tentang  Kitab  al-Masa`il,  Kitab al-Makasib dan Kitab al-al-`Aql
Kitab  ini diberi  Pengantar  oleh `Abdul Qadir Ahmad `Ata.  Dengan maklumat yang diberi  membantu kita mendapat maklumat berhubung dengan karya  Al-Muhasibi yang disebutkan itu.
Adapun kandsungan bagi Kitab Al-Masa`il adalah terdiri daripada:
a)      Al-Masa`il fi al-Zuhd wa Ghayrihi
b)      Al-Masa`il  fi Aa`mal al-Qulub wa al-Jawarih
c)       Al-Makasib
d)      Al-`Aql
Di dalam pengantar bagi kitab Al-Masa`il diberi sebab-sebab mengapa diterbit dan sebarkan Kitab al-Masa`il ini kepada ramai oleh kepentingan-kepentingan berikut:
!)  Al-Muhasibi adalah merupakan daripada pengarang  terawal  mengambil pendekatan akhlak keislaman bagi tasawuf Islam. Beliau pula terdekat dengan zaman salaf yang dia hidup dalam masyarakat berkenaan. Ketasawufannya menimba dari situasi keilmuan dan kehidpan pada zaman berkenaan. Beliau juga terdedah dengan berbagai perkembangan pemikiran sezamannya dan beliau dengan teliti dan bijaksana membina pendekatan tasawuf keakhlakan berkenaan sebagaimana terbukti di dalam Kitab Al-Ri`ayah dan Al-Masa`il bakal dibicarakan.
2)  Al-Muhasibi adalah pengarang yang mula mengarang beberapa kitab yang antara satu sama lain mengukuh dan mengintegrasikan pendekatan tasawuf keakhlakan berkenaan. Contoh seperti Kitab Al-Ri`ayah secara persendirian dan Al-Masa`il secara persendirian dan dilihat antara keduanya kukuh mengukuhkan dan tidak bercanggahan dan demikianlah dengan kitab-kitab beliau yang lain.
3)  Kitab-kitabnya  membahaskan satu-satu persoalan dengan halus dan mendalam. Sebagai contoh di bawah Aa`mal al-Qulub dibicarakan sebanyak 15 pecahan dan di bawah Al-Makasib  sebelas pecahan.   Demikian dilihat kepada Kitab Al-Ri`ayah, misalnya  di bawah al-Riya` dipecahkan kepada 42 persoalan dan di bawah Al-Ri`ayah 32 persoalan.
4)  Bila membicarakan persoalan muhlikat (negatif), beliau tidak setakat membicarakan semata-mata, tetapi memberi cadangan-cadangan bagi mengatasinya.
5)  Aspek-aspek yang dibicarakan oleh Al-Muhasibi, selalu menarik perdebatan semasanya, umpamanya antara golongan Sunni, Mu`tazilah dan juga bagi golongan sufi. Ini berert persoalan yang dibawa adalah semasa, releven dan menyentuh pegangan masyarakat umat. Bahkan persoalan-persoalan yang di bawa masih releven dengan keadaan kini.
6) Al-Muhasibi  menurut `Abdul Qadir Ahmad `Ata` menyusun kedudukan yang terafdhal di dalam kedudukan susunan sumber dan juga bagi ibadat tertinggi ialah bersumberkan Al-Qur`an, diikuti dengan al-Sunnah dan amalan sahabat. Sebagaimana kata `ulama` bahawa seafdhal ibadat ma`rifat Allah, diikuti membaca Al-Qur`an, istighfar, kemudian salawat ke atas Nabi s.a.w. Antara yang berpendapat sedemikian ialah Al-Tabari di dalam kitabnya al-Tidhkar.
7) Pendekatan Al-Muhasibi memberi pengaruh bukan saja pada zamannya, tetapi kepada generasi-generasi berikutnya seperti pada:
*  Abu Sa`id  al-Kharraz dengan karangannya Al-Sidq.
*  Abu Talib al-Makki dengan karangan Qut al-Qulub  dan `Ilmu al-Qulub
*  Al-Ghazali dengan Ihya` `Ulum al-Din
*  Muhyi al-Din Ibn `Arabi dengan Ruh al-Quds
Dan ramai lagi yang terpengaruh dengannya seperti Shaykh al-Darqawi al-Shadhili, Abu Bakar al-Bannani,  Shaykh Fathullah, Syed Muhammad Idris al-Sanusi, Sayyid Mustafa bin  Kamaluddin al-Bakri dengan karya masing-masing dan lain-lain.
8. Cetusan pendekatan akhlaknya sesuatu yang kukuh dan berterusan, bahkan merupakan pendekatan tasawuf Sunni.
Demikianlah kedudukan Al-Muhasibi di dalam pendekatan tasawufnya terutama dengan Al-Ri`ayah dan  Al-Masa`il yang pengaruhnya  berterusan hingga kini.

Sekian.

August 24, 2016

KESIMPULAN BAGI KITAB AL-RI`AYAH LI HUQUQ ALLAH


BBB,  20 Zulkaedah 1437 =  23 Ogos 2016 (Selasa):
Setelah membicarakan Kitab Al-Ri`ayah Li Huquq Allah oleh Abu `Abdillah  al-Harith bin Asad al-Muhasibi dapatlah dibuat kesimpulan  bahawa selepas Al-Imam Abu `Abdillah Ahmad  bin Muhammad bin Hanbal al-Shaybani (164-241H/780-855M.) meletakkan asas dan mengenalpasti ilmu kerohanian yang kemudian lebih dikenali dengan ilmu tasawuf, dengan kitabnya berjudul  `Al-Zuhd`  dan `Al-Wara`, maka dalam tempoh yang hampir bersamaan,  Al-Muhasibi (m. 243H.), membuat pendekatan ketasawufan secara lebih teratur dengan kelahiran Kitab al-Ri`ayat Li Huquq Allah.  Al-Muhasibi tidak hanya menghadkan kepada satu dua istilah yang bersifat tasawuf, tetapi membawa  pendekatan yang dikenali dengan Al-Ri`yat Li Huquq Allah. Pendekatan berkenaan ialah dengan mengenali sifat-sifat `Al-Munjiyat` (Positif) di bawah judul `Al-Ri`ayah` seperti  konsep  ma`rifat, konsep takut dan mengharap kepada Allah, perkembalian kepada Allah dan tawakkal kepadaNya, tizkar, tanbih dan kesedaran,  konsep waspada dan mengambil berat, tuntutan melakukan amalan sunat, kesedaran terhadap sifat-sifat keji dan perlu meninggalkannya, keperluan menuntut ilmu bagi mengatasi kejahilan. Pembicaraan aspek ini melibatkan satu pertiga daripada kandungan Kitab al-Ri`ayah.
Manakala dua pertiga lagi Al-Muhasibi membicarakan tentang aspek-aspek al-Muhlikat (Negatif), iaitu berhubung dengan al-riya`, al-`ujub,, al-kibr, al-ghurur dan al-hasad. Dalam kata lain Al-Muhasibi mengenalpasti dan mengemukakan kepada khalayak pembaca dan pelajar tentang dua kategori sifat-sifat berkenaan untuk diamal dan dijauhi.
Walau bagaimana  dilihat pada aspek-aspek yang dikemukakan oleh Al-Muhasibi, baik dari segi munjiyat dan muhlikat masih terhad dan tidak lengkap, walau bagaimana permulaan yang didekati oleh Al-Muhasibi membuka jalan kepada kalangan sufi dan pengarang-pengarang berikutnya memperbaiki dan melengkapkan pendekatan yang dibuat oleh Al-Muhasibi.
Satu fakta yang jelas dan ketara dengan pendekatan Al-Muhasibi yang membicarakan aspek-aspek munjiyat dan muhlikat yang sebahagian besar sebagaimana telah dibicarakan adalah bersifat akhlak dan dengan tambahan persoalan adab pada bahagian akhir bagi kitab Al-Ri`ayat Li Huquq Allah menjelaskan bahawa Al-Muhasibi mengambil pendekatan tasawuf atau bidang kerohaniannya adalah merupakan Pendekatan Akhlak. Pendekatan ini adalah merupakan pendekatan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah. Pendekatan ini diperkukuhkan yang pada puncaknya diolah oleh Al-Ghazali kelak, terutama di dalam kitabnya yang berjudul Ihya` `Ulum al-Din dan beberapa kitabnya yang lain.
Dari segi kepengarangan Al-Muhasibi menulis dengan cara karangan prosa biasa, bermaksud bahawa Al-Muhasibi tidak lagi menulis dengan gaya Hadith sebagaimana dilakukan oleh  `Abdullah bin al-Mubarak di dalam kitabnya yang berjudul Al-Zuhd wa al-Raqa`iq dan juga Al-Imam Ahmad bin Hanbal  dengan kitabnya yang berjudul Al-Zuhd dan Al-Wara`, tetapi ini tidak bererti beliau membelakangkan sumber-sumber utama, iaitu Al-Qur`an dan Al-Hadith, sebaliknya bagi setiap kitab dan bab yang dibicarakan ialah dengan mengambil hujah-hujah dari ayat Al-Qur`an dan Al-Hadth – dengan rawi, sanad dan matan hadith-hadith  yang disertakan. Juga dirujuk kepada pendapat-pendapat sahabat dan tabi`in bahkan mereka juga menjadi contoh teladan kesufian.  Konsep menulis sebagaimana prosa biasa dari pendekatan penulisan gaya Hadith, bukan berlaku kepada Al-Muhasibi sahaja, tetapi berlaku bagi bidang-bidang yang lain. Contoh kitab Sirah Ibn Ishak (85-151H.) ditulis di dalam gaya Hadith, tetapi kemudian dari sumber Ibn Ishak ini diolah oleh Ibn Hisham dengan karangan prosa biasa yang kemudian dikenali dengan  Sirah Ibn Hisham. Keadaan yang sama berlaku kepada bidang fiqh kepada  Imam Malik dengan Al-Muwatta`  yang ditulis dengan gaya Hadith dan juga karangan-karangan Muhammad bin Hanbal yang kemudian kitab-kitab fiqh juga ditulis dengan bahasa prosa biasa.
Di dalam Al-Ri`ayah, Asl-Muhasibi tidak menggunakan konsep `Kitab` bagi sebuah buku,  Al-Ri`ayah, sebaliknya istilah kitab ini digunakan sebagai pecahan-pecahan besar di dalam sebuah kitab, dan di bawah kitab ini terdapat pecahan bab-bab  sebagaimana telah dibicarakan. Penggunaan biasa, sepatut `Al-Ri`yah` adalah sebagai sebuah kitab. Pecahan yang dikatakan kitab-kitab itu sepatutnya sebagai bab-bab  dan pecahan di bawah bab-bab sepatutnya digunakan fasal-fasal, tetapi ini tidak digunakan oleh Al-Muhasibi. Ini membayangkan bahawa konsep pembahagian di dalam kitab-kitab belum lagi mantap. Al-Qur`an mempunyai identitinya yang tersendiri, di mana Al-Qur`an dipecah kepada juz`-juz` dan di bawah juz`-juz` ini ada surah-surah dan di dalam surah-surah ada ayat-ayat.
Berhubung dengan penggunaan istilah tasawuf bagi keilmuan tasawuf, walaupun dikatakan istilah ini telah dikenali sejak zaman Hasan Basari (m. 110H./728M.), dan dikaitkan dengan Abu Hashim al-Sufi (m. 150H./761M.), tetapi sebagai satu bidang keilmuan masih belum popular penggunaannya. Di dalam hal ini Al-Muhasibi masih belum menggunakan istilah ini di dalam Al-Ri`ayah. Dalam kata lain sebagaimana telah disebutkan istilah zuhud  terutamanya, termasuk istilah wara` adalah istilah  popular yang digunakan hingga kepada zaman Al-Muhasibi. Bagi Al-Muhasibi beliau menggunakan istilah yang lebih luas `Al-Ri`yah` bagi maksud keilmuan yang berkait dengan kerohanian dan keakhlakan ini.
Pendek kata konsep  Al-Ri`ayah Li Huquq Allah – Menjaga Hak-Hak Allah, ianya dapat memahami dan mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya adalah menjadi pendekatan bagi Al-Muhasibi. Keprihatinan Al-Muhasibi di dalam menjaga hak-hak Allah ini yang dikaitkan dengan istilah Muhasabah –Prihatin  terhadap hak-hak Allah menyebabkan Al-Muhasibi lebih dikenali dan dipanggil sebagai `Al-Muhasibi` - Yang Bermuhasabah` atau Yang Prihatin.
Sebagai kesimpulan bahawa Al-Muhasibi, terutamanya dengan kitabnya yang berjudul `Al-Ri`yat Li Huquq Allah` termasuk beberapa karangannya yang lain,  seperti  Al-Masa`il Fi A`amal al-Qulub wa Al-Jawarih yang bakal dibicarakan, membuktikan bahawa Al-Muhasibi adalah secara jelas mengambil pendekatan bagi karangan-karangannya berasaskan akhlak, bahkan shari`at, lantaran menjaga hak-hak Allah tidak hanya dengan akhlak, bahkan hendaklah mematuhi shariat Allah, melakukan apa yang diperintah dan menjauhkan apa yang dilarang. Akhlak keislaman lahir dari  ri`ayah terhadap perintah Allah dan menjauhi laranganNya. Dan induk bagi semuanya adalah berpegang dengan akidah tauhid Islam.
Dengan pendekatan Al-Muhasibi yang tasawufnya berasaskan akhlak, mematuhi suruhan shariat dan menjauhi larangan yang semuanya berdasarkan kepada akidah tauhid Islam, maka Al-Muhasibi adalah penegak pendekatan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah.

Sekian.

August 23, 2016

PENGAKHIRAN DENGAN PENDIDIKAN ADAB


BBB,  19 Zulkaedah 1437 = 22 Ogos 2016 (Isnin):
Al-Muhasibi mengakhiri Kitab al-Ri`ayat Li Huquq Allah, ialah dengan `Kitab Ta`dib al-Murid` bermaksud `Kitab  Mengadabkan Murid` sebagai kitab ke 19. Kitab  ini paling ringkas berbanding dengan 18 kitab sebelumnya.  Kitab ini hanya satu  bab dan tidak seperti kitab-kitab yang lain yang paling minimum  mempunyai dua bab (Kitab al-Tanbih) dan paling banyak dengan 42 kitab (Kitab al-Riya`). Jumlah bab  bagi semua kitab  ialah 123 bab. Bagi Kitab  Ta`dib al-Murid bab yang diberi judul – selepas membicarakan tentang Sirah al-Murid d fi al-Layli wa al-Nahar – Perjalanan murid pada malam dan siang  dengan bab bermaksud, ``Apa yang Ditakuti Hamba Kepada Dirinya Selepas Menunaikan  Konsep Ri`ayah Secara zahir dan Batin.
Tarbiah lebih khusus dari pengajian, Pengajian melibatkan pembelajaran mengenai keilmuan bagi menguasai ilmu yang melibatkan kurikulum ilmu, pelajar, guru dan sistem pengajian, manakala `Tarbiah` selain daripada mempelajari ilmu, ianya melibatkan adab-dan aturan yang memupuk murid mempelajari ilmu serentak pula dengan  terdidik dengan adab. Tarbiah selain dari ilmu melibatkan aspek akhlak dan adab yang bersifat nilai dan kerohanian. Sudah tentulah sumber ta`dib ini diambil dari Turath Islam sendiri – Al-Qur`an dan Al-Hadith.
Firman Allah Ta`ala  bermaksud:
``Dan sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang sangat mulia.`` (Al-Qalam:: 4).
Bahkan Rasulullah s.a.w.  bersabda bermaksud:
``Mengadabkan daku oleh Tuhanku, maka eloklah adabku`.
Rasulullah s.a.w. adalah menjadi model bagi akhlak dan adab.
Al-Muhasibi memilih membicarakan adab-adab kebiasaan sehari-hari – walaupun kelihatan kecil, tetapi dengannya dapat memupuk nilai adab yang lebih banyak dan besar.
Menurut Al-Muhasibi kehidupan kita siang dan malam dengan aturan yang dikenakan Allah antara hidup dan mati (ketika tidur) seharus mewaspadakan kita  dengan dua situasi pengalaman berkenaan.
Kata Ibn `Abbas, Allah menguji kita supaya berfikir, Dia mematikan kita pada waktu tidur yang seharusnya kita berwaspada dan wajib membersih diri dengan akidah yang betul dan menjauhi dari maksiat.
Didikan dan kewaspadaan  dapat dicontohi dari amalan Rasulullah yang pada setiap kali Baginda hendak tidur Baginda membaca, ``Bismika Allahumma amutu wa uhyi``  . Bermaksud, ``Dengan nama Engkau Tuhanku aku mati dan aku dihidupkan.``
Menurut Al-Muhasibi diri hendaklah melazimi taubat dan memperbaharuinya terutama menjelang tidur. Juga mengucap syukur setiap kali kembali hidup selepas mati (tidur).
Al-Muhasibi memetik Hadith  Rasulullah s.a.w. yang membaca setiap selepas jaga daripada tidur (bermaksud):
``Pujian bagi Allah yang menghidupkan daku selepas Dia mematikan daku dan Dia tidak mewafatkan daku dalam tidurku.``
Antara adab yang dilakukan oleh Rasulullah s.,a.w. masuk ke bilik  toelat Baginda membaca bermaksud:
``Dengan  nama Allah aku berlindung dengan Allah dari najis dan kekotoran. Aku berlindung dari syaitan yang kena rejam.``
Dan apabila baginda keluar Baginda membaca, bermaksud:
``Pujian  bagi Allah yang telah menghilangkan daripadaku apa yang boleh  memberi bencana bagiku dan mengekalkan daku dengan apa yang memberi manfaat kepadaku.``
Menurut `A`ishah kemudian Baginda mengambil wudhu` bagi menunaikan solah. Kata `Aishah Baginda menyebut, bermaksud :
``Adalah tidak diterima solat tanpa bersih .``
Antara adab di dalam pergaulan disebut oleh Al-Muhasibi ialah memberi salam. Beliau memetik sabda Rasulullah s.a.w. bersabda (bermaksud):
``Sebarkan salam di kalangan kamu.``
Daripada adab juga di dalam pertemuan dengan seseorang, khususnya  yang dikenali ialah bertanya khabar. Antara ungkapan  oleh `A`ishah r.`anha bahawa beliau berkata:
`Jika seorang berkata,   Apa khabar pagi ini ? Maka dia dijawab, ``Baik dan al-hamdulillah,``  Maka dengan demikian dia telah melahirkanm kesyukuran pada hari itu.``  Kata `A`ishah.
Al-Muhasibi juga menyebut antara adab yang wajar diamalkan ialah menziarah saudara mara dan kawan-kawan. Menziarah orang sakit, khususnya dari kalangan kenalan, menunaikan hajat dan menolong mereka yang di dalam kesempitan dan mengiringi jenazah kenalan bila berlaku kematian.
Demikianlah pengajaran adab yang diperturunkan oleh al-Muhasibi berasaskan nilai-nilai- Islam yang sewajarnya menjadi adat dan adab dalam kehidupan masyarakat Islam. Apa yang disebutkan adalah sebahagian dari nilai-nilai dan akhlak umat Islam. Banyak lagi aturan dan adab yang  boleh ditambah yang sumbernya terdapat di dalam Al-Qur`an,  Al-Hadith dan perjalanan sahabat dan tabi`in.
Dapatlah dikatakan kandungan  Kitab Al-Ri`ayat Li Huquq Allah merupakan adab dan aturan yang lebih  luas yang dianjurkan kepada orang Islam.  Iaitu dengan mengenali nilai-nilai muhlikat (negatif) seperti, riya`,   `ujub, ghurur (tertipu daya),  takabbur dan hasad dapat dijadikan sempadan dan dijauhi, sebaliknya mengamalkan sifat-sifat terpuji seperti muhasabah, taubah,  zuhud, wara`,  sabar, benar, takut, taqwa, raja`, ikhlas, redha, tawakkal dan syukur menjadi amalan di dalam kehidupan  sehari-hari. Dengan  beramal, beradab dan berakhlak dengan nilai-nilai keislaman  seseorang itu insya Allah berada di dalam ketenangan dan di dalam ri`yah Allah – Insya Allah.

Sekian.

August 22, 2016

HASAD DENGKI SIFAT KEJI PERLU DIJAUHI


BBB.  18 Zulkaedah 1437 = 21 Ogos 2016 (Ahad):
Al-Muhasibi menyusun sifat-sifat muhlikat (negatif) pada peringkat akhir dengan   sifat  riya`, `ujub, ghurur dan takabbur dan pengakhiran dengan sifat hasad. Di dalam bahasa Melayu kata hasad bererti dengki, tetapi dua perkataan ini sering digandingkan menjadi `hasad-dengki`. Sifat hasad dengki memang dilihat sebagai sifat yang keji lantaran ianya melibatkan lebih dari orang yang hasad, lantaran ada yang dihasadkan. Yang dihasadkan ini menjadi objek yang dihasadkan. Hasad timbul rasa tidak puas hati dan merasa dengki dan pihak yang hasad kalau dapat mau yang dihasadkan hilang pencapaian atau dapatan yang didengki. Misalnya hasad terhadap kekayaan yang dicapai oleh yang dihasad dan tidak menyenanginya.  Lebih berbahaya bila pihak yang hasad mengambil tindakan bagi memusnahkan kedudukan yang dihasad. Hasad mungkin dari segi kesenangan harta benda, kedudukan, kepimpinan dan sebagainya. Orang yang hasad tidak senang dan tidak tenteram selagi dia tidak memusnahkan  yang dihasad. Ia mungkin bersifat kecil, tetapi mungkin bersifat besar hingga membawa kepada sengkita,  perbalahan, pembunuhan,   bahkan peperangan.
Al-Muhasibi di dalam membicarakan tentang hasad ini membahagikan hasad kepada yang diharam dan ada yang diharuskan. Yang haram sebagaimana diterangkan di atas, bahawa seseorang yang hasad tidak senang hati dengan pencapaian dan kejayaan seseorang dan mau memusnahkan kedudukan. Sesungguhnya sifat sedemikian amat dikeji agama dan masyarakat.
Firman Allah bermaksud:
``Dan dari kejahatan orang yang hasad apabila ia melakukan hasad dengki.`` (Al-Falaq: 5).
Firman Allah lagi bermaksud:
``Adalah mereka  hasad terhadap mereka yang diberi kelebihan oleh Allah.``(Al-Nisa`: 54).
Dan maksud sabda Rasulullah s.a.w. :
``Bahawa hasad menghapuskan kebaikan sebagaimana api membakar kayu api.`
Hasad sedemikian dapat dilihat misalnya dendem orang-orang kafir Quraisy terhadap dakwah Rasulullah s.a.w. menyebarkan agama Islam di  Makkah pada peringkat permulaan dengan melakukan berbagai sekatan dan kepungan, sehingga berlakunya Hijrah Rasulullah s.a.w. dan pengikut-pengikut Baginda ke Madinah.
Contoh hasad saudara-saudara Nabi Yusuf terhadap dirinya, kerana kelebihan yang ada padanya dari paras wajahnya yang tampan dan dikasihi bapa mereka Ya`kub, sehingga saudara-saudara Yusuf mengadakan tipu helah terhadap bapanya dan membawa Yusof keluar dan di campak di dalam kawasan perigi buta dengan harapan Yusof akan mati, tetapi diselamatkan oleh musafir yang singgah di kawasan telaga dimana dia dicampakkan, sehingga akhirnya ianya dijual dan menjadi anak angkat pembesar Mesir. Yusof kemudian  menjadi pentadbir di Mesir dan kemudian dapat menemui keluarganya kembali dalam keadaan bahagia.
Banyak lagi contoh hasad yang berlaku baik di kalangan keluarga, masyarakat, bahkan antara negara yang membawa kepada peperangan.
Satu lagi hasad menurut al-Muhasibi,  ialah hasad yang diharuskan. Beliau memetik Hadith Nabi yang bermaksud: ``Tidak ada hasad pada dua perkara, iaitu lelaki yang diberi Allah `Azza wa Jalla harta, maka dibelanjakan pada jalan yang benar dan lelaki yang diberi ilmu oleh Allah dia beramal dengannya dan mengajar orang ramai dengannya.``
Dalam erti kata lain, contoh seseorang yang melihat orang yang kaya, dia mencontohinya, tanpa mau merosakkannya  dan dia berazam bagi mendapat kekayaan agar dengan kekayaan itu dia dapat banyak membuat kebajikan. Begitu seorang yang   memandang tinggi terhadap orang alim dan pengaruhnya, maka dia berazam untuk mencontohi orang alim berkenaan tana mau merosak atau meruntuhkannya, sebalik mau menjadi orang alim agar dapat memahami secara lebih luas dan mendalam terhadap berbagai keilmuan. Dengan mempelajari berbagai keilmuan , maka dia dapat mengamalkan dengannya, di samping melakukan kebajikan dengan mengajar keilmuan-keilmuan yang ada padanya bagi kepentingan orang ramai.
Hasad  seperti ini  adalah perkara yang baik. Hasad baik juga dinamakan `ghibtah`. Termasuk di bawah hasad yang baik ialah timbulnya sikap berlumba-lumba bagi membuat kebajian.  Firman Allah bermaksud:
`` Dan pada yang demikian itu mereka berlomba-lomba ingin merebut kesenangan dan kelebihan.`` (Al-Mutaffifin: 26).
Juga firman Allah bermaksud:
``Berlomba-lombalah untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu.``(Al-Hadid: 21).
Daripada huraian di atas bahawa sifat hasad dengki (negatif), bukan setakat keji, tetapi ianya boleh memberi implikasi besar baik kepada individu dan masyarakat. Hasad dengki yang berlaku di kalangan individu seperti di kalangan jiran tetangga, menyebabkan rosaknya hubungan kejiranan dan keharmonian masyarakat setempat. Hasad dengki yang serius boleh membawa kepada persengkitaan dan pembunuhan, bahkan mengganggu ketenteraman tanahair, misalnya ada puak-puak yang bertelingkah kerana ingin menguasai dan mengawal sesuatu kepentingan  dari pihak tertentu yang memawa kepada perkelahian, bahkan membawa kepada pembunuhan dan peperangan. Sebab itu perlu dicegahkan dari peringkat awal melalui pendidikan agama, akhlak dan moral serta kesedaran sivik yang tinggi.
Adapun keinginan berlumba-lumba bagi mencapai kejayaan tanpa berusaha menjatuhkan pihak lain (ghibtah), maka ianya tidak dilarang, lantaran ianya merupakan cara yang sihat yang boleh memajukan sesuatu bidang dan berkembang dengan usaha dan kreativiti.
Kitab al-Hasad adalah  bab terakhir  dari kandungan  Kitab al-Ri`ayah Li Huquq Allah yang bakal berakhir dengan konsep tarbiah yang diletak pada bahagian akhir Kitab. Dari cara penyusunan seolah-olah Al-Muhasibi memperkenalkan dahulu sebahagian aspek-aspek negatif (muhlikat)  yang merupakan dua pertiga dari kandungan al-Kitab, di samping aspek positif yang merupakan satu pertiga dari kandungan Al-Kitab, bila berkenalan dengan kedua-kedua jenis sifat al-Muhlikat dan al-Munjiyat, maka dengan perkenalan memudahkan kefahaman dan pengajaran dan lebih memberi kesan positif  kepada pendekatan pendidikan dan pengajaran.

Sekian.

August 21, 2016

TAKABBUR SIFAT MUHLIKAT


BBB, 17 Zulkaedah 1437 =  20 Ogos  2016 (Sabtu):
Telah diperkatakan, bahawa Al-Muhasibi lebih banyak memperkatakan sifat muhlikat di dalam pendekatan Kitab Al-Ri`ayat Li Huquq Allah – karangannya. Salah sati sifat negatif yang dibicarakan ialah sifat Takabbur. Sebenarnya  riya`, `ujub,  ghurur dan takabbur hampir berdekatan dari segi sifat dan  cirinya. Semuanya bertolak dari sifat diri yang boleh diletak di bawah kata `Sombong.
Riya` kesombongan diri seseorang dengan merasa lebih dan rasa mengatasi orang lain yang tidak menyamainya, lantas dia merasa megah dan sombong dan manifestasi dari dirinya lahir sikap memandang rendah orang lain, tidak suka bergaul dengan mereka kerana menganggap mereka  lemah  dan rendah dari dirinya yang dianggap lebih. Orang seumpama ini suka dipuji, walaupun pada hakikatnya  tiada sangat kelebihan yang dianggap ada padanya.
Manakala `Ujub juga terletak di bawah kategori sombong. Orang seumpama ini merasa kagum terhadap kemampuan diri, sukar untuk bergaul. Apa lagi untuk menolong orang lain, suka memuji diri dan merendah orang lain. Amat menjaga status di dalam kehidupan sosial. Kesombongan sedemikian dapat mencetuskan persengkitaan.
Manakala ghurur, ialah orang tertipu daya dengan menyangka diri lebih dan menganggap dirinya tidak perlu kepada orang lain oleh kerana misalknya kesenangan yang dinikmati. Dia tidak menyedari bahawa harta kekayaan misalnya tidak menjamin keselamatannya. Kesedaran mungkin berlaku dengan berlakunya kematian, kemalangan atau jatuh susah yang mungkan menyedarkan diri, bahawa hidup  bersendiri tidak menjamin kedudukan. Manusia perlu berhubungan dan membantu antara satu sama lain.
Satu istilah yang hampir dan berdekatan makna  dengan sifat-sifat di atas, ialah `Takabbur` yang dari segi bahasanya ialah membesar diri dan merendah-rendahkan orang lain. Orang yang takabbur biasanya orang yang cuba menyembunyikan kelemahan diri berdepan dengan khalayak dan masyarakat.
Sifat takabbur adalah satu sifat keji yang ditempelak oleh Allah dan Rasul serta masyarakat.
Antara ayat-ayat Al-Qur`an  bermaksud:
``Sebenarnya, bahawa Allah mengetahui  akan apa yang nmereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan. Sesungguhnya Ia tidak suka kepada orang-orang yang sombong takabbur.`` (Al-Nahl:  23). Orang yang takabbur bercakap besar, sedangkan sering yang bersifat  takabbur tidak mampu melaksanakan apa yang dicakap. Ini  bererti yang bersifat takabbur juga  bersifat dusta.  Ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh takabbur daripada mematuhinya. Merekalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.`` (Al-A`raf: 36).
Dan orang-orang takabbur ialah orang-orang menyimpang dari kebenaran seperti firman Allah bermaksud:
``Aku akan memalingkan  (hati) orang-orang yang sombong takabbur di muka bumi dengan  tiada  alasan  yang benar.``  (Al-A`raf: 146)
Dan Hadith dipetik oleh Al-Muhasibi bahawa, `Abdullah bin Salam berkata, ``Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud: ``Tidak  masuk syurga siapa yang di dalam hatinya seberat biji zarrah  daripada takabbur.``
Takabbur  seperti riya`, `ujub dan ghurur (tertipu daya oleh diri yang hilang pertimbangan)  yang turut dibicarakan oleh Al-Muhasibi adalah merupakan penyakit-penyakit hati dan rohani, berbanding dengan riya`. `ujub dan ghurur yang lebih bertapak pada diri individu, maka takabbur dapat dikatakan lebih serius implikasinya, iaitu pada dirinya, agama dan kemasyarakatan.
Takabbur pada diri adalah merosakkan diri dan reputasi diri. Kesan pada diri orang yang takabbur ialah orang yang hilang pertimbangan rasional, lantaran meletakkan diri pada bukan tempat dan salah. Orang dapat menilai dirinya melalui proses hubungan dan pergaulan. Orang seperti ini ialah orang hilang keyakinan dan mau menutup kelemahannya, juga kurang ilmu hingga dia sanggup mengada dan mengata apa yang tidak benar atau jika ada fakta benar, tetapi sengaja ditambah dan dibesar-besarkan. Maklumat dan dakwaan yang disampaikan mungkin pada awalnya ada kebenaran, tetapi selepas ditokok tambah dan diperbesarkan, maka sebenarnya ia bukan lagi sesuatu yang benar, tetapi sudah menjadi tidak benar dan dusta. Orang yang dusta akan kehilangan kepercayaan dari orang sekeliling dan masyarakat dan dia menjadi orang yang tidak dipercayai.
Orang yang takabbur yang ada di dalam unsur-unsur dusta, bukan saja tidak dipercayai oleh masyarakat,  dia sendiri yang sanggup berdosta, sebenarnya tidak jujur  dan mudah melanggar perinah-perintah Allah. Takabbur juga berpotensi menjadi benih-benih jenayah, sama ada tindakan dilakukan oleh si takabbur sendiri,  lantaran mau supaya diri dipandang tinggi, maka penipuan dan pendustaan dilakukadan takabbur  atau dia sendiri menghadapi tindakan .
Riya`, `ujub,   ghurur dan takabbur ialah pancaran dari satu permukaan dari permulkaan hati yang telah rosak yang mungkin tidak kena dengan pendidikan yang betul sejak dari kecil. Mendidik diri supaya tidak bersifat riya`, `ujub, ghurur dan takabbur perlu dilakukan dari peringkat awal pendidikan – sejak keci, khususnya didikan agama.
Al-Muhasibi di dalam kitabnya Al-Ri`ayah Li Huquq Allah, dengan penuh sedar dan melihat bahawa aspek-aspek negatif sedemikian adalah merupakan faktor-faktor yang menghalang diri dari dapat menjaga hak-hak Allah. Bagaimana hak-hak Allah dapat dijaga, kalau diri tidsak jujur dengan diri dan masyarakat. Fakta-fakta di atas dengan jelas pendekatan tasawuf berasaskan akhlak telah dibina pendekatannya  sejak Al-Muhasibi yang kelak  diperkemaskan , terutama oleh Al-Imam Al-Ghazali. Pendekatan ini adalah selari dengan misi Rasulullah s.a.w. yang diutuskan bagi menyempurkan akhlak dan diri Baginda sebaik-baik contoh teladan  dari segi keakhlakan.

Sekian.

August 20, 2016

AL-MUHASIBI LEBIH BANYAK MEMBICARAKAN ASPEK MUHLIKAT - `UJUB


BBB, 16 Zulkaedah 437 =  19 Ogos 2016 (Juma`at):
Daripada  9 kitab di dalam Kitab Al-Ri`ayat Li Huquq Allah, Al-Muhasibi  membicarakan persoalan-persoalan Munjiyat hanya di dalam tiga kitab (satu pertiga), iaitu di bawah Al-Ri`ayat (termasuk taqwa, wara` dan tawakkal)  Kitab Al-Ikhwan wa Ma`rifat al-Nafs (taubah) dan kitab terakhir, iaitu Kitab Ta`dib al-Murid..  Manakala enam kitab lagi (dua pertiga)ialah mengenai Al-Muhlikat (negatif), iaitu Kitab al-Riya`  sebagaimana telah dibicarakan. Kitab al-Tanbih (Tentang Nafsu, Kitab al-`Ujub, Kitab al-Kibr, Kitab al-Ghurrah  dan  Kitab al-Hasad). Mengenai `Taubah` sebagai satu poecahan (Satu) kitab sebenarnya sudah dibicarakan di bawah Kita al-Ri`ayah, maka tidak perlu diulang kembali(sepatutnya ia berkedudukan sebagai kitab kedua).
Berhubung dengan Kitab Al-Tanbih, iaitu peringatan bagi mengenali konsep  hawa  nafsu, sepatutnya kitab ini mendahului Kitab Al-Riya`.
Persoalan Hawa Nafsu:
Al-Muhasibi nelihat konsep hawa nafsu kepada yang bersifat negatif dengan  membukakan pembicaraan dengan merujuk kepada firman Allah yang bermaksud:
``Sesungguhnya  Kami telah jadikan apa yang ada  di muka  bumi, sebagai perhiasan baginya, kerana Kami hendak menguji  mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.`` (Al-Kahfi: 7).
Bermaksud apakah perhiasan, keindahanm dan keterpesonaan mendorong manusia kepada keinsafan, sedar kepada kebesaran Allah lalu memuji dan mensyukuriNya atau adakah ianya mendorong kepada kelalaian, nafsu dan kemungkaran ?
Menurut Al-Muhasibi, jika persediaan di dalam diri baik maka  terdorong kepada amal yang baik,  berkelakuan dengan sifat-sifat terpuji dan beramal dengan amalan-amalan yang salih, maka ianya membawa kepada kehidupan yang baik di akhirat sebaliknya tanpa pendidikan dan terdorong kepada elemen-elemen yang jahat, maka  membawa kepada kerosakan dan kebinasaan di akhirat.
Pada dasrnya sifat nafsu sememangnya cenderung kepada perkara yang keji, sebagaimana firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Sesungguhnya bahawa nafsu (ammarah)  cenderung kepada perkara-perkara yang jahat.`` ( Yusof: 53).
Di dalam konteks ini Al-Muhasibi mengatur sifat-sifat muhlikat kepeda (selepas al-Riya`), ialah:
`Ujub:
Merasa  diri lebih mengatasi yang lain. Menurut Al-Muhasibi , ``Ujub ialah orang yang buta hati dengan merasakan `ujub adalah baik pada hal ia adalah jahat, dia menjangka dia berjaya, pada hal dia celaka dan menyangka diri betul pada hal dia salah.``  
Al-Muhasibi memetik Hadith daripada Abi Hurairah r.a, daripada Nabi s.a.w. bahawasanya Baginda bersabda  (bermaksud): Tiga perkara yang merosakkan, pengasar yang ditaati, pendorong hawa nafsu yang diikuti dan yang `ujub dengan dirinya.
Berkata Ibn Mas`ud, ``Di dalam `ujub ada kebinasaan, kerana bila seorang `ujub dia membersihkan dirinya (semuanya betul), apabila ia membesar diri tidak ada lagi rasa salah, dia tidak lagi mengira perbuatannya, walaupun bertentang dengan perintah Allah. Dia merasa berjaya.``
Pada hal Allah Subhanahu wa Ta`ala berfirman bermaksud:
``Maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu, (bahawa kamu suci bersih dari dosa), Dialah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.`` (Al-Najm: 32).
Firman Allah Ta`ala (bermaksud), ``Wahai orang-orang yang beriman ! Jangan kamu rosakkan  pahala sedekah kamu dengan perkataan yang membangkit-bangkit dan kelakuan yang menyakiti.`` (Al-Baqarah: 264).
Al-Muhasibi  juga memetik apa yang diriwayatkan daripada `A`ishah r.`anha, bahawa beliau ditanya, ``Bila seseorang itu melakukan keburukan  ? Katanya, ``Apabila menyangka  seseorang itu bahawa dirinya baik !``
Benarlah kata-kata `A`ishah r.`anha kata Al-Muhasibi, bahawa apabila seseorang merasa dirinya baik,lalu dia `ujublah dengan amalannya. Ketika itu juga ia melupai Allah Ta`ala !
Benarlah sabda Nabi s.a.w. seperti dipetik oleh Al-Muhasibi bahawa Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda (bermaksud):
``Tiga jenis manusia yang Allah `Azza wa Jalla tidak bercakap dengan mereka itu pada hari kiamat dan tidakl melihat mereka itu dan tidak membersihkan mereka dan bagi mereka azab yang pedih, satu daripada mereka itu yang membangkit-bangkit kebaikan yang dilakukan.``
Menurut  Al-Muhasibi `ujub juga melibatkan empat pihak, iaitu yang bermegah dengan kerja yang dilakukan, orang alim yang bermegah dengan ilmunya, orang yang bermegah dan mencanangkan pendapatnya yang betul, walaupun betul dan yang mencanangkan pendapatnya konon betul, sedangkan salah ! Dengan ilmu sepatutnya dimanfaat dan disebarluas bagi kepentingan dan kemajuan masyarakat dan umat.
Selanjutnya Al-Muhasibi membicarakan tentang  `ujub dengan keduniaan  seperti kaya dan tenggelam dengan kehidupan nafsu (berhiburan memanjang), `ujub dengan keturunan, keluarga dan anak pinak. Sepatutnya dengan banyaknya harta membuka peluang untuk banyak membuat kebajikan dan menolong orang-orang yang susah. Hiburan melampau boleh hanyut dan melalaikan, akhirnya rugi dan merosakkan. Keluarga sepatutnya memberi ruang untuk menghubung silatul rahim dan membuat kebajikan.
Al-Muhasibi membicarakan `ujub dengan detail  dan ianya begitu halus. Ianya tidak lain dari mengingatkan semua supaya tidak terjebak dan terjatuh di dalam  lubuk `ujub yang dapat menenggelamkan seseorang   yang sebenarnya tidak memberi faedah baginya. Segala kemudahan, kebaikan  dan apa jua nikmat Allah patut sama dapat dimanfaat oleh orang banyak, supaya nikmat-nikmat itu benar-benar menjadi nikmat apabila ianya dapat dinikmati bersama secara kebajikan yang memberi faedah kepada diri dan masyarakat umat.

Sekian.