August 22, 2016

HASAD DENGKI SIFAT KEJI PERLU DIJAUHI


BBB.  18 Zulkaedah 1437 = 21 Ogos 2016 (Ahad):
Al-Muhasibi menyusun sifat-sifat muhlikat (negatif) pada peringkat akhir dengan   sifat  riya`, `ujub, ghurur dan takabbur dan pengakhiran dengan sifat hasad. Di dalam bahasa Melayu kata hasad bererti dengki, tetapi dua perkataan ini sering digandingkan menjadi `hasad-dengki`. Sifat hasad dengki memang dilihat sebagai sifat yang keji lantaran ianya melibatkan lebih dari orang yang hasad, lantaran ada yang dihasadkan. Yang dihasadkan ini menjadi objek yang dihasadkan. Hasad timbul rasa tidak puas hati dan merasa dengki dan pihak yang hasad kalau dapat mau yang dihasadkan hilang pencapaian atau dapatan yang didengki. Misalnya hasad terhadap kekayaan yang dicapai oleh yang dihasad dan tidak menyenanginya.  Lebih berbahaya bila pihak yang hasad mengambil tindakan bagi memusnahkan kedudukan yang dihasad. Hasad mungkin dari segi kesenangan harta benda, kedudukan, kepimpinan dan sebagainya. Orang yang hasad tidak senang dan tidak tenteram selagi dia tidak memusnahkan  yang dihasad. Ia mungkin bersifat kecil, tetapi mungkin bersifat besar hingga membawa kepada sengkita,  perbalahan, pembunuhan,   bahkan peperangan.
Al-Muhasibi di dalam membicarakan tentang hasad ini membahagikan hasad kepada yang diharam dan ada yang diharuskan. Yang haram sebagaimana diterangkan di atas, bahawa seseorang yang hasad tidak senang hati dengan pencapaian dan kejayaan seseorang dan mau memusnahkan kedudukan. Sesungguhnya sifat sedemikian amat dikeji agama dan masyarakat.
Firman Allah bermaksud:
``Dan dari kejahatan orang yang hasad apabila ia melakukan hasad dengki.`` (Al-Falaq: 5).
Firman Allah lagi bermaksud:
``Adalah mereka  hasad terhadap mereka yang diberi kelebihan oleh Allah.``(Al-Nisa`: 54).
Dan maksud sabda Rasulullah s.a.w. :
``Bahawa hasad menghapuskan kebaikan sebagaimana api membakar kayu api.`
Hasad sedemikian dapat dilihat misalnya dendem orang-orang kafir Quraisy terhadap dakwah Rasulullah s.a.w. menyebarkan agama Islam di  Makkah pada peringkat permulaan dengan melakukan berbagai sekatan dan kepungan, sehingga berlakunya Hijrah Rasulullah s.a.w. dan pengikut-pengikut Baginda ke Madinah.
Contoh hasad saudara-saudara Nabi Yusuf terhadap dirinya, kerana kelebihan yang ada padanya dari paras wajahnya yang tampan dan dikasihi bapa mereka Ya`kub, sehingga saudara-saudara Yusuf mengadakan tipu helah terhadap bapanya dan membawa Yusof keluar dan di campak di dalam kawasan perigi buta dengan harapan Yusof akan mati, tetapi diselamatkan oleh musafir yang singgah di kawasan telaga dimana dia dicampakkan, sehingga akhirnya ianya dijual dan menjadi anak angkat pembesar Mesir. Yusof kemudian  menjadi pentadbir di Mesir dan kemudian dapat menemui keluarganya kembali dalam keadaan bahagia.
Banyak lagi contoh hasad yang berlaku baik di kalangan keluarga, masyarakat, bahkan antara negara yang membawa kepada peperangan.
Satu lagi hasad menurut al-Muhasibi,  ialah hasad yang diharuskan. Beliau memetik Hadith Nabi yang bermaksud: ``Tidak ada hasad pada dua perkara, iaitu lelaki yang diberi Allah `Azza wa Jalla harta, maka dibelanjakan pada jalan yang benar dan lelaki yang diberi ilmu oleh Allah dia beramal dengannya dan mengajar orang ramai dengannya.``
Dalam erti kata lain, contoh seseorang yang melihat orang yang kaya, dia mencontohinya, tanpa mau merosakkannya  dan dia berazam bagi mendapat kekayaan agar dengan kekayaan itu dia dapat banyak membuat kebajikan. Begitu seorang yang   memandang tinggi terhadap orang alim dan pengaruhnya, maka dia berazam untuk mencontohi orang alim berkenaan tana mau merosak atau meruntuhkannya, sebalik mau menjadi orang alim agar dapat memahami secara lebih luas dan mendalam terhadap berbagai keilmuan. Dengan mempelajari berbagai keilmuan , maka dia dapat mengamalkan dengannya, di samping melakukan kebajikan dengan mengajar keilmuan-keilmuan yang ada padanya bagi kepentingan orang ramai.
Hasad  seperti ini  adalah perkara yang baik. Hasad baik juga dinamakan `ghibtah`. Termasuk di bawah hasad yang baik ialah timbulnya sikap berlumba-lumba bagi membuat kebajian.  Firman Allah bermaksud:
`` Dan pada yang demikian itu mereka berlomba-lomba ingin merebut kesenangan dan kelebihan.`` (Al-Mutaffifin: 26).
Juga firman Allah bermaksud:
``Berlomba-lombalah untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu.``(Al-Hadid: 21).
Daripada huraian di atas bahawa sifat hasad dengki (negatif), bukan setakat keji, tetapi ianya boleh memberi implikasi besar baik kepada individu dan masyarakat. Hasad dengki yang berlaku di kalangan individu seperti di kalangan jiran tetangga, menyebabkan rosaknya hubungan kejiranan dan keharmonian masyarakat setempat. Hasad dengki yang serius boleh membawa kepada persengkitaan dan pembunuhan, bahkan mengganggu ketenteraman tanahair, misalnya ada puak-puak yang bertelingkah kerana ingin menguasai dan mengawal sesuatu kepentingan  dari pihak tertentu yang memawa kepada perkelahian, bahkan membawa kepada pembunuhan dan peperangan. Sebab itu perlu dicegahkan dari peringkat awal melalui pendidikan agama, akhlak dan moral serta kesedaran sivik yang tinggi.
Adapun keinginan berlumba-lumba bagi mencapai kejayaan tanpa berusaha menjatuhkan pihak lain (ghibtah), maka ianya tidak dilarang, lantaran ianya merupakan cara yang sihat yang boleh memajukan sesuatu bidang dan berkembang dengan usaha dan kreativiti.
Kitab al-Hasad adalah  bab terakhir  dari kandungan  Kitab al-Ri`ayah Li Huquq Allah yang bakal berakhir dengan konsep tarbiah yang diletak pada bahagian akhir Kitab. Dari cara penyusunan seolah-olah Al-Muhasibi memperkenalkan dahulu sebahagian aspek-aspek negatif (muhlikat)  yang merupakan dua pertiga dari kandungan al-Kitab, di samping aspek positif yang merupakan satu pertiga dari kandungan Al-Kitab, bila berkenalan dengan kedua-kedua jenis sifat al-Muhlikat dan al-Munjiyat, maka dengan perkenalan memudahkan kefahaman dan pengajaran dan lebih memberi kesan positif  kepada pendekatan pendidikan dan pengajaran.

Sekian.

No comments:

Post a Comment