August 30, 2016

AL-MUHASIBI MEMBICARAKAN TENTANG HATI


BBB, 26 Zulkaedah 1437 =  29 Ogos 201`6 (Isnin):
Persoalan `Hati` adalah persoalan penting di dalam  bidang tasawuf. Hati dibariskan dengan nafs, akal hati dan rohani. Al-Imam Al-Ghazali menjadikan `Hati`  sebagai pendekatan penting  bagi ilmu tasawufnya. Hati memang disebut di dalam Al-Qur`an dan Al-Hadith, sebagai  contoh ayat-ayat Al-Qur`an menyebut, bermaksud:
``Di dalam hati mereka itu penyakit, maka Allah menambahkan lagi penyakit kepada mereka.`` (Al-Baqarah:  10)
Atau ayat yang bermaksud:
``Bagi mereka ada hati yang mereka tidak memahami dengannya dan ada mata yang tidak mereka melihat dengannya.`` (Al-A`raf: 179).
Dan ayat bermaksud::
``Orang-orang yang beriman dan tenang  tenteram hati mereka  dengan zikir Allah.. Ketahuilah dengan zikir Allah itu tenang tenteramlah hati manusia.`` (Al-Ra`d: 28).
Manakala Hadith yang  masyhur berhubung dengan hati, ialah Hadith;
Daripada Abi `Abdillah al-Nu`man bin Bashir r.`anhuma berkata, `Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda  (bermaksud): ``Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang), dan yang haram itu pun nyata (terang). Dan antara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia.  Maka barang siapa memelihara (dirinya dari)  segala yang kesamaran, sesungguhnya ia memelihara bagi agamanya dan kehormatannya. Dan barang siapa jatuh dalam  perkara kesamaran, jatuhlah ia ke dalam yang haram, seperti seorang poengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan hampir sangat (ternakan)  makan di dalamnya.
Ketahuilah bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah larangan Allah ialah segala yang haramnya. Katahuilah bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah sekaliannya. Katahuilah inilah yang dikatakan hati.        Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.
Mengenai konsep pendidikan Islam, Shaykh `Abdul Samad di  dalam karangannya Siyar al-Salikin dan Hidayat al-Salikin mendasarkan huraian konsep pendidikannya  kepada Hadith Nabi yang bermaksud:
``Sesungguhnya hati mengalami karat sebagaimana berkaratnya besi`.``
Di dalam pendekatan kesufiannya Al-Muhasibi ada membincangkan persoalan hati dengan mengatakan:
``Sesungguhnya bahawa Allah `Azza wa Jalla mewajibkan ke atas hamba hak-hak yang berhubung dengan  hati, tidak berhubung dengan anggota. Hak-hak dimaksudkan bahawa ada tiga:
Pertama:  I`tiqad keimanan dan menjauhi kekufuran
Kedua: I`tiqad Sunnah dan menjauhi  bid`ah
Ketiga: I`tiqad ketaatan dan menjauhi dari berterusan dari perkara yang dibenci Allah `Azza wa Jalla.
Dapat difahami bati yang dimaksudkan bukan `Hati yang dimaksudkan dengan perasaan`, tetapi melibatkan akal.
Walau bagaimana Al-Muhasibi menyebut `Hati` sebagai satu aspek di dalam diri yang dapat menerima elemen positif dan negatif, tetapi dia tidak membuat huraian tentang konsep hati dan rangka pengolahan yang hati  boleh kotor dan bersih, kandungan pendekatan dan implikasi sebagaimana yang dibuat oleh Al-Ghazali kelak.
Apa yang disebut oleh Al-Muhasibi, bahawa  perkara-perkara yang melibatkan hati seperti persoalan yang  melapangkan jiwa dan dapat menyelesaikan kewajipan di atas diri terhadap Allah. Rasa senang dan lapang sedemikian menurutnya adalah merujuk kepada hati, menyembunyikan sesuatu amalan baik seperti memberi sedekah, walaupun melibatkan sama perbuatan anggota. Ia adalah perkara yang melibatkan hati yang menandakan keikhlasan yang jelas merujuk kepada hati. Demikian melakukan sesuatu pekerjaan yang baik bukan mengharapkan pujian dan tidak bertujuan mencarri kemasyhuran. Jadi kemasyhuran melibatkan perasaan hati yang mungkin bagi yang terlibat merasa megah kerana terkenal.  Perkara yang melibatkan terkenal dan perasaan dengan terkenal adalah melibatkan hati.
Takut juga adalah perkara yang merujuk kepada hati. Takut sama ada terjatuh kepada yang tidak baik terjadi pada diri seperti keras hati, sebagaimana  yang digambarkan Allah Ta`ala kepada mereka yang keras hati seperti firemannya yang bermaksud:
``Kemudian hati mereka menjadi keras selepas itu ianya laksana batu atau lebih keras daripada itu.`` (Al-Baqarah: 74)
Maka adalah dibimbangi diri orang yang menjadi degil. Bimbang juga terhadap perkara yang baik seperti tidak mendapat keampunan Allah dan sebagainya. Pokoknya perkara-perkara sedemikian adalah merujuk kepada pekerjaan hati .
Jadi Al-Muhasibi membicarakan hati sebagai satu aspek dalaman diri yang menerima pengalaman sama ada aspek positif atau negatif. Pada peringkat Al-Muhasibi ini belum timbul pendekatan yang melihat hai sebagai elemen penting dalam tasawuf yang dia boleh dikategorikan kepada peringkat tinggi di dalam hiraki selepas, nafsu, akal, hati dan ruh. Hati juga sebagai jendela yang membuka ruang kepada cinta Ilahi dan sebagainya.
 Walau bagaimana sebagai permulaan Al-Muhasibi  membuka satu ruang baru bagi pendekatan ilmu tasawuf, walaupun secara melihat hati sebagai bahagian yang menerima dan mengalami seperti gembira, bahagia, duka dan sebagainya dan belum menggunakannya sebagai satu pendekatan bagi mengolah pendekatan  ilmu tasawuf itu sendiri. Namun apa yang diteroka beliau menjadi  asas bagi pengolahan lanjut oleh pendukung-pendukung ilmu tasawuf, khusus Al-Imam Al-Ghazali kelak.
Jadi Al-Muhasibi di samping pendekatan akhlak turut mengaitkan  hati sebagai elemen ketasawufan yang bersifat dalaman di samping anggota diri melibatkan amalan luaran.

Sekian

No comments:

Post a Comment