August 25, 2016

KITAB AL-MASA`IL OLEH AL-MUHASIBI


BBB,  21 Zulkaedah 1437 =  24 Ogos 2016 (Rabu):


Adalah kitab kedua bagi Al-Muhasibi kita bicarakan dari sejumlah  lapan kitab dihasilkan selain dari Al-Ri`ayah (tidak semuanya diterbitkan). Kalau di dalam Kitab Al-Ri`ayah Li Huquq Allah membicarakan tentang sifat Munjiyat dan Muhlikat yang lebih berfokus kepada tasawuf yang bersifat akhlak, maka berlainan dengan kitab Al-Masa`il yang judul penuhnya ialah `Al-Masa`il Fi Aa`mal al-Qulub Wa al-Jawarih, bererti  ``Masalah-Masalah Yang Berhubung Dengan Amalan-Amalan Hati Dan Anggota` yang merupakan jawapan-jawapan Al-Muhasibi terhadap soalan-soalan murid-murid atau pengikut-pengikutnya.
Di dalam Al-Masa`il banyak mencerminkan situasi pertelingkahan keilmuan dan intelektual pada zaman Al-Muhasibi yang sezaman dengan Ahmad bin Hanbal yang pada masa itu aliran Mu`tazilah mempunyai kedudukan yang kukuh di sisi pemerintah.
Al-Muhasibi dikenali sebagai Shaykh bagi al-Shuyukh  - Guru Bagi Guro-Guru, lantaran beliau mempunyai ramai pelajar.  Antara pelajar beliau yang terkenal Al-Junayd bin Muhammad al-Baghdadi. Al-Junayd dikenali  pendukung tasawuf Sunni yang merupakan guru bagi pelejar-pelajar tasawuf beraliran Sunni dan dikatakan tidak ada sanad daripada sanad-sanad jalan kesufian Sunni yang tidak bertalian dengan Al-Junayd.  Sesungguhny Al-Junayd al-Baghdadi  memindahkan pengajaran-pengajaran ustaznya – Al-Muhasibi, manhajnya dari segi suluk kepada murid-muridnya secara jelas dan teliti.
Pada zaman Al-Muhasibi hingga kepada pertengahan abad ketiga Hijrah,  timbul perbedaan  pendekatan antara keilmuan-keilmuan ketara pada zaman itu, iaitu:
1)       Pendekatan Sunni  seperti fiqh berasaskan Madrasah al-Nass dan Asbab al-Nuzul
2)      Mu`tazilah berasaskan nass dan tafsiran akal
3)      Tasawuf berasaskan Wujdan kerohanian juga berasaskan nas dan akal. Tasawuf ini asalnya bertolak dari zuhd sebagaimana yang dibina oleh Al-Muhasibi, juga Ibn Hanbal.
Pengantar bagi kitab Al-Masa`il ini  dibuat oleh Shaykh `Abdul Qadir Ahmad `Ata yang antaranya menyentuh tentang  Kitab  al-Masa`il,  Kitab al-Makasib dan Kitab al-al-`Aql
Kitab  ini diberi  Pengantar  oleh `Abdul Qadir Ahmad `Ata.  Dengan maklumat yang diberi  membantu kita mendapat maklumat berhubung dengan karya  Al-Muhasibi yang disebutkan itu.
Adapun kandsungan bagi Kitab Al-Masa`il adalah terdiri daripada:
a)      Al-Masa`il fi al-Zuhd wa Ghayrihi
b)      Al-Masa`il  fi Aa`mal al-Qulub wa al-Jawarih
c)       Al-Makasib
d)      Al-`Aql
Di dalam pengantar bagi kitab Al-Masa`il diberi sebab-sebab mengapa diterbit dan sebarkan Kitab al-Masa`il ini kepada ramai oleh kepentingan-kepentingan berikut:
!)  Al-Muhasibi adalah merupakan daripada pengarang  terawal  mengambil pendekatan akhlak keislaman bagi tasawuf Islam. Beliau pula terdekat dengan zaman salaf yang dia hidup dalam masyarakat berkenaan. Ketasawufannya menimba dari situasi keilmuan dan kehidpan pada zaman berkenaan. Beliau juga terdedah dengan berbagai perkembangan pemikiran sezamannya dan beliau dengan teliti dan bijaksana membina pendekatan tasawuf keakhlakan berkenaan sebagaimana terbukti di dalam Kitab Al-Ri`ayah dan Al-Masa`il bakal dibicarakan.
2)  Al-Muhasibi adalah pengarang yang mula mengarang beberapa kitab yang antara satu sama lain mengukuh dan mengintegrasikan pendekatan tasawuf keakhlakan berkenaan. Contoh seperti Kitab Al-Ri`ayah secara persendirian dan Al-Masa`il secara persendirian dan dilihat antara keduanya kukuh mengukuhkan dan tidak bercanggahan dan demikianlah dengan kitab-kitab beliau yang lain.
3)  Kitab-kitabnya  membahaskan satu-satu persoalan dengan halus dan mendalam. Sebagai contoh di bawah Aa`mal al-Qulub dibicarakan sebanyak 15 pecahan dan di bawah Al-Makasib  sebelas pecahan.   Demikian dilihat kepada Kitab Al-Ri`ayah, misalnya  di bawah al-Riya` dipecahkan kepada 42 persoalan dan di bawah Al-Ri`ayah 32 persoalan.
4)  Bila membicarakan persoalan muhlikat (negatif), beliau tidak setakat membicarakan semata-mata, tetapi memberi cadangan-cadangan bagi mengatasinya.
5)  Aspek-aspek yang dibicarakan oleh Al-Muhasibi, selalu menarik perdebatan semasanya, umpamanya antara golongan Sunni, Mu`tazilah dan juga bagi golongan sufi. Ini berert persoalan yang dibawa adalah semasa, releven dan menyentuh pegangan masyarakat umat. Bahkan persoalan-persoalan yang di bawa masih releven dengan keadaan kini.
6) Al-Muhasibi  menurut `Abdul Qadir Ahmad `Ata` menyusun kedudukan yang terafdhal di dalam kedudukan susunan sumber dan juga bagi ibadat tertinggi ialah bersumberkan Al-Qur`an, diikuti dengan al-Sunnah dan amalan sahabat. Sebagaimana kata `ulama` bahawa seafdhal ibadat ma`rifat Allah, diikuti membaca Al-Qur`an, istighfar, kemudian salawat ke atas Nabi s.a.w. Antara yang berpendapat sedemikian ialah Al-Tabari di dalam kitabnya al-Tidhkar.
7) Pendekatan Al-Muhasibi memberi pengaruh bukan saja pada zamannya, tetapi kepada generasi-generasi berikutnya seperti pada:
*  Abu Sa`id  al-Kharraz dengan karangannya Al-Sidq.
*  Abu Talib al-Makki dengan karangan Qut al-Qulub  dan `Ilmu al-Qulub
*  Al-Ghazali dengan Ihya` `Ulum al-Din
*  Muhyi al-Din Ibn `Arabi dengan Ruh al-Quds
Dan ramai lagi yang terpengaruh dengannya seperti Shaykh al-Darqawi al-Shadhili, Abu Bakar al-Bannani,  Shaykh Fathullah, Syed Muhammad Idris al-Sanusi, Sayyid Mustafa bin  Kamaluddin al-Bakri dengan karya masing-masing dan lain-lain.
8. Cetusan pendekatan akhlaknya sesuatu yang kukuh dan berterusan, bahkan merupakan pendekatan tasawuf Sunni.
Demikianlah kedudukan Al-Muhasibi di dalam pendekatan tasawufnya terutama dengan Al-Ri`ayah dan  Al-Masa`il yang pengaruhnya  berterusan hingga kini.

Sekian.

No comments:

Post a Comment