March 7, 2018

ULASAN TERHADAP KERTASKERJA OLEH IR. HAJI ISHAK



BBB, 18 Jamadil-Akhir 1439H. = 06 Mac 2018M. (Selasa):
Ulasan terhadap kertaskerja yang dibentangkan oleh Ustaz Dr. Ideris Endut dilakukan oleh Ir. Haji Ishak Arshad yang merupakan Timbalan Pengerusi Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm yang juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Teknikal.
Beliau melihat pendekatan kertaskerja yang dibentangkan oleh Dr. Ideris Endut melalui tiga aspek, iaitu,
1)      Tadbirurus Masjid di Negeri Selangor pada bahagian permulaan
2)      Keperluan Kepada Masjid Baru di Sungai Ramal Dalam
3)      Cabaran yang dihadapi oleh masjid baru
Antara keperluan yang dilakukan oleh AJK menurut Ir. Haji Ishak, bahawa pihak AJK selain dari berurus dengan pihak berkuasa tempatan misalnya dari segi mendapat kelulusan plan oleh pihak masjid, perlu juga dikemukakan kepada pihak JAIS selaku pemilik masjid. Beliau menyebut tentang antara  kelainan plan, bahawa Masjid Al-Falah Sungai Ramal Dalam mempunyai jumlah menara yang agak berlainan dari masjid yang lain, iaitu sebanyak empat menara, sedang Masjid Al-Umm hanya dua menara. Beliau bertanya, `` Apakah falsafah dan maksud empat menara itu ?``
Satu kelainan, kata Tuan Haji Ishak, di luar jangkaan, bahawa AJK Masjid Al-Falah yang lama tidak terlibat di dalam pembinaan Masjid yang baru. Jangkaan biasa seharusnya AJK Masjid Al-Falah (Lama) sepatutnya mengambil inisiatif bersama membina masjid yang baru (menjadi AJK misalnya), tetapi keadaan adalah sebaliknya.
Berhubung dengan cabaran kepada AJK Pembinaan Masjid Al-Falah yang baru yang dibicarakan ialah,
a)      Usaha menyediakan masjid yang agak besar bagi menampung  jamaah hingga tujuh ribu jama`ah. Ini menggerak AJK membina masjid Al-Falah yang baru sebanyak 3 tingkat. Beliau kagum dengan tindakan pihak AJK melakukan design (plan pembinaan), bahkan pihak AJK bertindak menjadi kontrektor sendiri.
b)      Memuji pihak AJK yang mengambil pendekatan di dalam mencari dana dengan mewujudkan saham waqaf yang dijual kepada orang ramai dengan harga RM150.00 seunit dan tiada had bagi orang ramai membeli dari segi jumlah unit. Manakala AJK Masjid Al-Umm adalah melalui derma yang dipungut dari orang ramai dengan keizinan MAIS.
c)       Pembinaan fizikal masjid dapat dilakukan selepas mendapat kelulusan dari berbagai pihak berkenaan seperti Majlis Perbandaran, JAIS-MAIS dan ada sejumlah kewangan tertentu, maka proses tender dilakukan. Menurut Ir. Tuan Haji Ishak, beliau terlibat selaku AJK Pembinaan Masjid Al-Umm ialah selepas peringkat tender, iaitu  pada sekitar bulan Ogos 2012.
Menurut Ir. Haji Ishak, bahawa sesuatu plan arkitek yang digunakan oleh kontrektor bagi pembinaan, boleh diubahsuai dalam kadar yang minimum, tetapi tidak boleh melakukan perubahan melebihi dari 20%, kerana penambahan yang banyak boleh merosakkan plan arkitek yang asal dan boleh berubah kepada bentuk yang lain, lagi pula dengan penambahan yang banyak meningkatkan kos dan banyak kerja terpaksa diubahsuai. Penambahan yang dibuat perlu diangkat kepada pihak berkuasa tempatan dan kemungkinan dengan perubahan yang banyak tidak diluluskan.
Menurut Ir. Haji Ishak yang merupakan Pengerusi bagi Jawatankuasa Teknikal bagi Masjid Al-Umm, bahawa penambahan yang agak banyak berlaku pada Masjid Al-Umm (tidak sampai 20%) selepas masjid ini hampir siap, maka didapati misalnya, pintu masuk ke masjid terdedah kepada tempias, maka dicadang ditambah anjung gerbang pada bahagian hadapan yang mengurangkan ruang lapang dan mencacatkan pandangan dengan terlindungnya  gerbang masuk yang mempunyai ciri estetika yang harmoni dengan bentuk asal. Banyak ruang masuk yang terbuka dan sukar dikawal dari kemasukan, termasuk kucing yang senantiasa mengotorkan ruang dengan najis. Dua ruang airwell yang sengaja terbuka dari atas untuk kemasukan udara ditutup, kononnya untuk mengelak dari tempias (sebenarnya untuk hujan turun secara langsung untuk menyejukkan) dan bermasalah bila ditutup, selain dari tujuan asalnya hilang. Selepas penggunaan masjid adalah dilihat tempat mainan kanak-kanak di dalam masjid adalah tidak praktikal. Kerana menyebabkan bising bila anak-anak datang dan mengganggu solat dan pengajaran. Ruang mainan yang bahagian bawahnya kotor dan anak-anak yang bermain berlari-lari ke ruang yang lain menyebabkan kekotoran berlaku berulang-ulang dan memasalahkan dari segi pembersihan. Pintu ketiga yang dapat dimasuk kenderaan, ditukar kepada jalan bertingkat dan bertangga. Kawasan tadahan air hujan (kolam), mengambil ruang yang banyak dan fungsi menadah air hujan tidak praktikal (perlu hanya ruang lebih kecil), lantaran itu berlaku pembaziran ruang yang dapat digunakan untuk rekreasi dan parking. Dan banyak lagi penambahan-penambahan kecil pada bangunan yang semuanya  menambahkan kos. Penambahan-penambahan ini perlu diubahsuai pada plan arkitek dan menjadi sebab kelewatan kelulusan dari pihak MPKj.
Menurut Ir. Haji Ishak, sehingga kini pihak Masjid  Al-Umm masih menunggu kelulusan dari MPKj pada peringkat minimum, sebahagian besar keperluan telah diluluskan. Kita menunggu kelulusan untuk mendapat CCC. Bila lulus akan diadakan acara penyerahan kepada pihak JAIS dan satu Jawatankuasa sementara akan dilantik menggantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Pengimarahn Masjid Al-Umm yang telah berusaha menyiapkan bangunan dan menjalankan pengimarahan secara sementara. Jawatankuasa sementara akan mentadbir dan mengimarahkan masjid sehingga pemilihan jawatankuasa rasmi dipilih oleh ahli kariah menurut procedure  berdasarkan peraturan Kerajaan Negeri Selangor dan anekmen berhubung dengan Masjid dan Surau (JAIS-MAIS) Negeri Selangor (2017).
Sekian.

No comments:

Post a Comment