September 21, 2018

PAS PERLU TELITI DALAM MEMILIH STRATEGI


PAS PERLU TELITI DALAM MEMILIH  STRATEGI
(Fikrah Bangi – 3)
BBB, 20 September 2018M. = 10 Muharram 1440H. (Khamis):
Melihat kepada kedudukan Umno  yang makin kecamuk dengan keluar parti – terakhir kemelut dua tokoh penting, iaitu Dato` Seri Mustapa  Mohamad  dan Tan Seri Anipah Aman dan dijangka ramai lagi akan keluar dari UMNO dan mengingati bahawa makin intimnya Umno dengan Pas  sehingga  hadirnya Dato` Seri Ahmad Zahid Hamidi Presiden Umno ke Muktamar Pas pada pertengahan September lepas di Kuala Terengganu menimbulkan tanda tanya dalam minda, apakah Pas sanggup menerima risiko dari bahana keruntuhan yang sedang berlaku di dalam Umno ?
Kemelut yang berlaku di dalam Umno dan antara sebab yang membawa kepada keluarnya Tokpa (panggilan mesra kepada Dato` Seri Mustapa) ialah kerana dikatakan  tidak bersetuju dengan usaha ke arah kerjasama antara Umno dan Pas. Selama 40 tahun beliau berjuang dalam Umno dan sebahagian besar dari masanya ditumpukan untuk membina Umno di Kelantan. Ironinya kini Umno bekerjasama dengan Pas yang memungkinkan ke arah penggabungan. Bagi pihak Pas, walaupun perwakilan cenderung kepada memberi laluan (tidak semestinya bersetuju ?) ke arah penggabungan, tetapi perlu dilihat kepada pendukung-pendukung Pas dari kalangan grassroot sebahagian daripada mereka tidak menyetujui cadangan untuk bergabung, bahkan sebahagian daripada mereka tidak setuju, walaupun pada tahap kerjasama. Apa lagi mengingatkan kepada ungkapan-ungkapan pemimpim Pas pada masa lepas, bahawa tidak mungkin berlaku `kerjasama apa lagi penggabungan antara Pas dengan Umno`.
Namun pengalaman mengajar Pas, bahawa kesan dari perpecahan dalam Pas yang melahirkan  Amanah, bahawa Pas kehilangan sebahagian besar kepimpinan yang bermutu dan Pas terpinggir sebagai sebuah parti yang berjuang bersendirian dalam pilihanraya ke 14. Walaupun Pas dapat bertapak kukuh seperti di Kelantan dan Terengganu, juga di Kedah, walaupun tidak dapat memerintah, tetapi Pas kehilangan medan perjuangan di tengah masyarakat majmuk. Kerusi-kerusi yang pernah dimenangi di negeri-negeri bersifat majmuk hilang dari kekuasaan, termasuklah di Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan beberapa negeri lain. Jika dengan keadaan bersendirian seperti sekarang, pola pengaruh Pas akan terhad kepada negeri-negeri majoriti Melayu yang kuat  pegangan dengan nilai Islam.
Namun untuk meluaskan pengaruh Pas tidak boleh bersendirian. Pas perlu mencari  rakan gabungan bagi mengukuhkan kedudukannya. Ini disedari oleh Presiden Pas – Dato` Seri Abdul Hadi Awang  yang pernah mengatakan selepas dari persidangan Pas di Kuala Terengganu bahawa, ``Akan berlaku perubahan yang akan mewujudkan gagasan dan barisan pembangkang.`` Ini mengisyaratkan ke arah kerjasama dan kemungkinan seterusnya wujudnya penggabungan barisan pembangkang yang mungkin dimaksudkan pada masa itu kerjasama dan penggabungan dengan Umno ?
Dalam keadaan sekarang memanglah antara Umno dan Pas mengharapkan antara satu sama lain untuk mendapat kekuatan. Namun dalam keadaan sekarang – dalam mana Umno  kehilangan keyakinan sebahagian dari ahli-ahli, apakah  bijak bagi  Pas bekerjasama atau bergabung dengan Umno ?  Adalah dibimbangi kehilangan kepercayaan  dalam Umno akan melibatkan Pas sendiri. Ia ibarat `Sokong yang kedua-duanya membawa rebah.``
Memang diakui Pas perlu mencari rakan kerjasama atau gabungan, tetapi hendaklah mempunyai ciri-ciri yang boleh sama Pas melangkah di tengah kancah perjuangan masyarakat majmuk.
Ada beberapa alternatif bagi Pas mendapat keyakinan  semua kaum di Malaysia.
1)      Pas perlu mengetengahkan  konsep universal, adil, jujur  dan ihsan dalam Islam.
2)      Mewujudkan kembali golongan intelektual yang faham Islam dan dapat memperkatakannya dengan  jelas kepada masyarakat, termasuk yang bukan Islam
3)      Mendapatkan rakan kerjasama dari parti lain, jika dengan Umno, maka Umno perlu melakukan perubahan yang tidak menunjukkan perkauman. Antara pengubahsuaian  Umno kepada parti multi-racial seperti menukarkan maksud Umno kepada  `United Malaysians Nation Organisation`  yang dari segi akronimnya tetap sama, iaitu  Umno.
4)      Mewujudkan sebuah parti baru yang multi-racial sifatnya yang dengannya Pas mengadakan kerjasama, termasuk Umno yang seharus mentransformasikan dirinya secara dinamik dan dapat diterima termasauk bukan Melayu danbukan bumiputra.
5)      Memahami parti-parti lawan secara mendalam  dari segi kekuatan dan kelemahan dan menawarkan  alternatif yang lebih baik.
Sekian.

No comments:

Post a Comment