September 19, 2011

Meraikan Warga Emas Ke Jom Shopping - Siri Dua

Pejabat Adun Bangi, 19 Syawal = 17 September (Sabtu):


Setelah berjaya mengadakan Program Jom Shopping Warga Emas kali pertama pada 18 Ogos yang lepas bertempat di Pasaraya Econsave, Jalan Reko, Kajang, maka diadakan pula Program Jom Shopping bagi kali ke 2 di Pasaraya yang sama.

Program kali ini lebih besar dan lebih ramai berbanding dengan program pertama yang melibat 100 orang (hadir 80 orang). Pada kali ini pemilihan dan jemputan dibuat terhadap 200 orang, tetapi yang hadir adalah 170 orang. Sebelum dari itu berminggu-minggu persediaan dibuat dengan menghubungi penerima terpilih, menyediakan kad-kad nama bagi mereka yang terpilih, menempah bas dibuat terlebih dahulu dan persediaan di Econsave yang perlu dibuat.

Sebelum ke Kompleks Econsave, peserta-peserta Warga Emas terpilih dikehendaki datang dan mendaftar di Pejabat Dun Bangi. Antara mereka ada yang datang sejak pagi-pagi lagi, walaupun mereka dikehendaki datang jam 10.00 pagi. Proses pendaftaran memakan masa dan mereka datang beruncit. Walau macam mana dapat disiapkan jam 10.00 pagi. Pihak Pengurus Skim warga Emas – En. Kamsani tidak dapat hadir. Berdasarkan pengalaman pengendalian pada bulan Ogos lepas, maka diyakini pihak Pentadbir di Pejabat Adun dapat mengendalikan sendiri. Yang hadir meraikan Warga Emas kali ini selain dari Adun Bangi, turut hadir ialah YB Teo Nie Ching. Ahli Parlimen Serdang. Isteri Adun Puan Hajjah Mu`minah turut sama hadir. Juga hadir Puan Zuryati Ketua Muslimat Pas Serdang.

Sebelum bertolak ke Kompleks Econsave YB Teo Nie Ching berucap mengucapkan Selamat Hariraya kepada semua yang hadir. Beliau mengucap tahniah kepada Warga-Warga Emas yang terpilih bagi Jom Shopping. Jumlah Voucher sebanyak RM100/= mungkin sedikit, kata YB Teoh, tetapi kita harap ianya dapat memberi semacam keceriaan kepada penerimanya. Sebab itu kita kena bersyukur kerana Kerajaan Pakatan prihatin terhadap wagra Emas. Adun Bangi yang juga berucap memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor memberi perhatian terhadap Warga Emas di negeri Selangor yang setakat ini yang mendaftar melebihi 150,000 orang. Untuk pusingan pertama kerajaan memperuntukkan sebanyak RM10 juta ringgit untuk diberi voucher bernilai RM100 bagi Warga Emas yang terpilih. Hingga akhir tahun 2011 dijangkan dapat diadakan 5 siri. Pemberian RM100 ini adalah pendekatan yang diambil bagi mengurangkan rasa tidak puashati warga Emas bahawa peruntukan RM2,500 bagi setiap kematian Warga Emas, sebenarnya tidak dapat dinikmati Warga Emas. Pemberian RM100 antara pendekatan yang diambil bagi mengurangkan ketidakpuasan oleh warga Emas. Antaranya ada yang mencadangkan agar peruntukan RM100 diberi terus kepada Warga Emas, tanpa menyusahkan warga Emas untuk datang, terutama yang sakit dan uzur. Tapi tujuan dari mengadakan program Jom Shopping ialah untuk menghibur golongan warga Emas, selama ini tidak pernah keluar rumah agar dapat berinteraksi bersama masyarakat di samping menghiburkan mereka. Untuk memandu dan mengiring warga Emas ke Program Jom Shopping Pejabat Adun menyediakan tenaga memandu 30 orang semasa Warg Emas bershopping. Warga Emas dibawa ke Kompleks Econsave dengan bas dan ramai daripada mereka dibawa oleh anak-anak dan keluarga dengan kenderaan masing-masing ke Kompleks Econsave. Adun mengucapkan selamat bershopping.

Sementara itu selepas berucap dan warga-warga Emas bergerak Adun & isteri dan Ahli Parlimen segera ke Kompleks Econsave menyambut kesampaian mereka dan dilayan oleh pengiring-pengiring untuk mereka memilih barang-barang yang mereka suka. Ada antara Warga Emas yang dibawa dengan berkerusi roda. Untuk urusan kiraan 3 kaunter dikhaskan bagi warga Emas. Selepas setengah jam bershopping sudah ada yang keluar dengan barang-barang pilihan. Mereka dipandu ke kaunter. Mereka dikenal pasti dengan kad nama yang mereka pakai. Warga Emas boleh berbelanja lebih dari RM100, tetapi hendaklah menambah bayaran lebihan secara sendiri. Setiap Warga Emas dihadiah dengan extra barang-barang oleh pihak Econsave. Penyampaian dilakukan oleh Adun dan Ahli Parlimen. Proses shopping memakan masa lebih dari 2 jam. Beberapa peserta Warga Emas memuji Program Jom Shopping, menurut mereka, kerajaan sebelum ini tidak pernah memberi perhatian dan penghormatan terhadap mereka. Mereka berterima kasih kepada Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor.

Sementara itu bagi sejumlah 30 orang yang tidak datang, pihak tenaga kerja pejabat memilih barangan-barangan asas untuk mereka dan dibawa pulang ke pejabat penuh satu kereta Hilux. Waris Warga Emas akan dihubungi dan dijemput datang ke pejabat untuk mengambil barang-barang berjumlah RM100/=, jika mereka tidak datang, maka Adun dengan pengiring-pengiring sekali lagi akan turun ke alamat-alamat Warga Emas berkenaan bagi menziarah mereka dan menyampaikan barangan yang dibeli untuk mereka.

Perjalanan dan pengurusan Jom Shopping Al-Hamdulillah berjalan lancar dan semua pihak berpuashati. Dengan itu siri Jom Shopping akan diteruskan – Insya Allah.

Sekian.

September 18, 2011

Haji Tahir Ketua Kampong Simpang Balak Meninggal Dunia: Sambutan Raya Ketua-Ketua Kampong Bertukar Majlis Tahlil

Simpang Balak, Balakong, 19 Syawal = 17 September (Sabtu):

Pada pagi hari ini beliau masih seperti baiasa keluar minum pagi di warung bersama penduduk setempat dan bercakap-cakap dengan mereka. Pada petang nanti Sambutan Raya Ketua-Ketua Kg. Hulu Langat akan diadakan. Beliau turut ditugaskan menyediakan menu khusus bagi pertemuan Hari Raya Ketua-Ketua kampong Mukim Kajang di Kompleks Penghulu di Teras Jernang di sini. Tiba-tiba pada tengahari semasa kami sedang meraikan warga-warga emas bershopping di Pasarraya Econsave, Jalan Reko, kami mendapat berita mengejutkan bahawa Tuan Haji Tahir bin Salleh (49) meninggal dunia selepas terjatuh dalam bilik air di rumahnya jam 12.00 tengahari ini. Beliau telah dikejarkan ke Klinik KPJ dan dirujuk ke Hospirtal Serdang dan disahkan kematiannya oleh Doktor. Tuan Haji Tahir meninggalkan seorang Balu Puan Hamidah binti Abdul Majid dan empat orang anak - 2 lelaki dan 2 perempuan. Beliau dilantik menjadi Ketua Kampong Simpang Balak, Balakong pada 1.8.2008 lepas dan perkhidmatannya diteruskan hingga ke kematiannya. Sebelumnya beliau adalah seorang pekerja di Petronas di Bangi sebelum bersara. Pada awal tahun 2011 penunubuhan Cawangan Pas di Simpang Balak dilakukan oleh Adun Bangi selaku YDP Pas pada masa itu dan beliau dilantik sebagai Pengerusi Protem Komiti, manakala seorang anaknya dilantik menjadi Setiausaha.

Jenazah Tuan Haji Tahir diuruskan segera dan dikebumikan segera pada petang ini juga di Tanah Perkuburan Islam Sungai Sekamat, Kajang. Adun Bangi yang turut sama ke kubur berada di dalam hujan rahmat yang lebat dan pengkebumian di dalam keadaan hujan lebat tersebut. Pembacaan talqin dan tahlil terpaksa diadakan di bawah khemah di atas kubur al-Marhum di dalam keadaan berdiri, kerana tanah basah dan becak. Adun berkesempatan mengucap takziah kepada anak-anak al-Marhum yang sama menguruskan pengkebumian jenazah ayahanada mereka yang dikasihi. Adun pulang ke Pejabat Adun di Bangi jam 6.00 petang.

Sementara itu pada malam ini satu Majlis Perayaan Hari Raya Idul Fitri Ketua-Ketua Kampong Mukim Kajang diadakan di Kompleks Penghulu Mukim Kajang di Teras Jernang di sini. Menurut Tok Rusli Muhibat Ketua Penghulu Mukim Kajang, Tok Haji Tahir, menurut keputusan, JKKK di bawahnya sepatutnya menyediakan nasi beriani, di samping ketua-ketua kampung yang lain menyediakan menu-menu yang lain. Adun Bangi yang hadir ke Majlis tersebut mendapati menu nasi beriani bertukar kepada nasi putih biasa. Menurut Tok Rusli, Majlis Perayaan pada malam ini ditukar kepada Majlis Tahlil selepas Maghrib. Nyanyian-nyanyian raya patut dipasang pada malam ini ditarik balik. Namun jamuan raya tetap diteruskan.

Kita mengucapkan TAKZIAH kepada keluarga Tok Haji Tahir – Al-Fatihah.

Sekian.

September 17, 2011

Rumah Terbuka Adun Bangi: Turun Padang Mengedarkan Jemputan

Pejabat Adun Bangi, 19 Syawal = 17 September (Sabtu):

RUMAH TERBUKA sempena Idul Fitri 1432H = 2011M
Anjuran: Adun Bangi, Parlimen Serdang dan Pas Kawasan Serdang
Tarikh: 18 September 2011 (Ahad)
Masa: 12.00 Tengahari – 3.00 Petang
Tempat: Kompleks Sukan Seksyen 15, Bandar Baru Bangi.

Sebagai satu tradisi dan acara tahunan, maka Rumah Terbuka tersebut di atas diadakan secara tahunan dengan anjuran secara bersama antara Adun, Ahli Parlimen dan Kawasan.

Secara tradisi juga sebelum tiba tarikh Hari Terbuka tersebut pengumuman dibuat melalui blog, memasang poster dan mengedarkan handbill kepada orang ramai. Tempat-tempat tumpuan orang ramai selalu menjadi pilihan kami untuk mengedarkan handbill – terutama seperti di pasar dan pasar-pasar malam dengan turun secara berpasukan. Pada kali ini, seminggu sebelum dari tarikh Rumah Terbuka di atas kami turun secara berpasukan mengedarkan handbill-handbill:

1) Ke Pasar Basah, Seksyen Satu, Bandar Baru Bangi

Pasar ini paling hampir dengan Pejabat Adun Bangi, sebab itu sebarang sebaran maklumat dilakukan di pasar ini terlebih dahulu. Kami turun di sini pada pagi hari Ahad 11 September. Hari Sabtu atau Ahad merupakan hari-hari yang ramai dengan pengunjung datang membeli belah atau minum pagi. Kami berkesempatan mengedarkan hand bill di sini lebih kurang 500 handbill. Di samping mengedarkan handbill-handbill kami juga mengedarkan akhbar Selangor Kini dan Buletin Bangi. Pengunjung di sini pada keseluruhannya adalah orang Melayu.

2) Turun ke Pasar Kwantung, Sungai Chua
Selepas dari mengedarkan handbill di Pasar Bandar Baru Bangi di Seksyen Satu di sini, kami sepasukan bergerak ke Pasar Sungai Chua antara jam 9.30 – 10.30 pagi. Pengedaran handbill di sini tidak perlu bergerak masuk ke dalam pasar sebagaimana di BBB, kerana Pasar ini begitu ramai dengan pengunjung-pengunjung. Memada bagi kami yang datang seramai 8 orang berdiri di pintu masuk ke pasar dan mengedarkan bil-bil. Kami memang biasa datang ke pasar ini sebagaimana di pasar-pasar yang lain di DUN Bangi bagi mengedarkan maklumat, mereka tahu dengan kedatangan kami dan mereka menerima baik kehadiran kami. Dalam masa lebih dari sejam kami dapat mengedarkan sebanyak

2,000 handbil. Jika di Pasar BBB pengunjung-pengunjung adalah orang Melayu, tetapi di Pasar Sungai Chua ini pengunjung-pengunjungnya adalah terdiri dari kalangan orang Cina, di samping ada sedikirt pengunjung dari kalangan orang India. Kami mempunyai hubungan mesra dengan pengunjung-pengunjung di sini.

3) Ke Pasar Malam Seksyen 16, Bandar Baru Bangi

Adalah kunjungan ke Pasar Malam pertama kami lakukan, iaitu pada Selasa 13 September. Walaupun dinamakan pasar malam. Waktu yang kami berkunjung secara berpasukan ini ialah antara jam 6.00 petang hingga jam 7.15 petang.. Kehadiran di Pasar Malam di sini adalah ramai seperti satu lagi Pasar malam di sini pada hari Sabtu.. Kami hanya berada di bahagian masuk ke pasar malam dan edarkan risalah secara sepasukan. Lebih kurang 1,500 handbill bersama Akhbar Selangor Kini dan Buletin Bangi dapat diedarkan.

4) Ke Pasar Malam Pekan Bangi

Pasar malam kedua kami kunjungai selepas Pasar Malam Selasa BBB. Kunjungi ke sini ialah pada petang Khamis 15 September. Kami ke sini jam 6.00 hingga jam 7.00 malam. Tenaga kami bertambah di sini dengan turun ramainya ahli-ahli dan dapat mengedarkan handbill dengan lebih cepat. Pasar malam di sini dihadiri pengnjung-pengunjung Melayu, Cina dan India. Sebanyak 1,500 handbill dapat diedarkan.

5) Ke Taman Jasmin

Pada petang yang sama 15 September, selepas solat Maghrib kami bertolak ke Taman Jasmin. Setibanya kami di sana, sukarelawan tempatan mulai turut membahagikan handbill-handbill. Kami menggandakan pengedaran dan berjaya mengedarkan handbill sebanyak 1,500. Pengunjung ke pasar malam Jumaat di sini adalah terdiri dari berbagai kaum. Kami bergembira berinteraksi dengan mereka.

6) Ke Pasar Kajang

Kami turun pada pagi Sabtu 17 September. Pasar Kajang berkedudukan di sempadan antara Dun Kajang dan Dun Bangi. Ianya dikunjungi oleh penduduk kawasan Dun Kajang Dan Bangi. Sebab itu di pasar ini dikunjungi Adun Kajang dan juga Adun Bangi. Pengunjung di sini adalah bersifat multirasial. Pengeradarn di sini mencapai jumalh 1,500 handbill di samping turut diedarkan akhbar Selangor Kini dan Buletin Bangi.

7) Kunjungan Ke Pasar Malam Bandar Seri Putra

Kunjungan terakhir, iaitu pada petang 17 September. Pasar malam ini antara pasar malam yang ramai dikunjungi pengunjung. Pengujung adalah terdiri dari kalangan Melayu. Kami mendapat sokongan dari tenaga cawangan dan tempatan. Di sini dapat diedarkan sebanyak 1,500 edaran.

Kami tidak jangka semua yang menerima handbill akan semua hadir ke jemputan Rumah Terbuka kami. Tetapi dengan pengedaran bahan-bahan kami dapat berinteraksi dengan masyarakat setempat di samping mengedar bahan-bahan yang lain.

Selamat menghadiri ke rumah terbuka kami – Insya Allah.

Sekian.

September 16, 2011

Catatan Berhariraya

BBB, 18 Syawal = 16 September (Jumaat):

Selepas seminggu Syawal, sambutan Hariraya dengan nama `Hari Terbuka`begitu rancak diadakan. Antara sambutan Hariraya yang Adun hadiri ialah:

Kajang Utama (Sabtu 10 September)

Sambutan Hariraya di Kajang Utama adalah anjuran Cawangan Pas Kajang Utama yang diketuai Haji Abdul Razak bin Abdullatif dan AJK seperti saudara Azman dan lain-lain. Sambutan bertempat di Pasti As-Syakirin berhampiran dengan Surau Al-Muhajirin di sini bermula dari jam 10.00 pagi hingga 4.00 petang. Adun hadir bersama isteri dan beberapa tenaga dari Pejabat Adun. Turut hadir Ustaz Shafie Ngah YDP Pas Serdang, pimpinan pemuda peringkat Pusat seperti Sdr. Sani Hamzan, sdr. Adram Musa yang juga Ketua Pemuda Pas Serdang, saudara Abang Kerdee, Tuan Haji Mazwan ahli MPKj. Sementara para tetamu setempat ramai hadir memeriahkan suasana. Berbagai menu disediakan termasuklah sate, lemang, laksa asam, mee dan sebagainya. Sambutan begitu meriah.


Hari Terbuka Ketua Kampung Teras Jernang

Hari Terbuka di sini (Sabtu 10 September) adalah anjuran JKKK Teras Jernang yang diketuai Ketua Kampong Encik Shukur Jantan. Majlis diadakan di rumah Ketua Kampong berkenaan. Penyediaan makanan Hariraya dilakukan secara bergotong royong. Adun hadir bersama isteri pada jam 5.30 petang. Hadir sama ialah Ustaz Shafie Ngah dan isteri YDP Pas Serdang. Turut hadir En. Zulkifli Timbalan YDP MPKj. Menu utama ialah lemang, nasi impit, sate dan laksa penang.

Sambutan Raya di Surau Al-Falah, Jalan 6, BBB

Pagi ini (Ahad 11 September) hadir Hariraya yang diadakan oleh AJK Surau Al-Falah, Jalan 6 yang dihadiri Adun, Ustaz Shafie Ngah YDP Pas Serdang, Pengerusi Surau Tuan Haji Adnan, Imam Tuan Haji Mat Ali, Ustaz Shauqi dan penduduk setempat yang keluar beramai-ramai memeriahkan sambutan. Majlis dikendalikan oleh Tuan Haji Mat. Pengerusi Surau mengalu-ngalukan kehadiran tamu-tamu kehormat dan orang ramai setempat yang datang memeriahkan sambutan.
Adun Bangi dalam ucapan mengucap tahniah di atas kerjasama penduduk menyambut Idul Fitri secara gotong royong dengan begitu meriah. Adun Bangi juga mengucapkan tahniah kepada pihak Surau Al-Falah yang baru-baru ini menerima keizinan mendirikan solat Jumaat. Ini akan lebih memakmurkan Surau. Sememangnya Jalan 6 akan berkembang maju dalam masa terdekat, kerana Pusat Islam (Pejabat Agama Daerah Hulu Langat sedang dalam pembinaan) berdekatan dengan Sekolah Kafa Integrasi dan sebuah Sekolah Menengah juga akan dibina berdekatan. Kemudahan-kemudahan yang lain juga akan diadakan di kawasan Jalan 6 insya Allah.

Sebelum berundur diri Adun dan Ustaz Shafie Ngah dijemput mencabut nombor-nombor bertuah dan menyampaikan hadiah.

Berhariraya di Kg. Bahagia Pekan Bangi

Selepas berhariraya di Jalan 6, kami bertolak ke Kampung Bahagia, Pekan Bangi. Kami disambut Ketua Kampong En. Azlan, Dr. Azmi, En. Sanusi dan AJK Kg. dan Surau. Turut hadir En. Lau, Ketua Kampong Kg. Baru Cina, Pekan Bangi. Sambutan bertempat di Balairaya di sini.

Ketibaan kami selepas bersalam terus dijemput menikmati jamuan raya. Dua menu keistimewaan di sini yang tidak terdapat di tempat lain ialah Nasi Dagang ala Terengganu yang dimasak, menurut Ketua Kampong oleh orang berasal dari Terengganu. Kami makan agak banyak hingga kenyang. Selepas makan nasi dagang kami dihidang dengan sop panas. Masakan sop adalah merupakan menu tahunan. Kerana di sini ada pakar tukang masak sop. Rasanya memang amat enak. Malangnya kami telah terlampau kenyang. Sop yang dihidang di dalam mangkok polistrin begitu banyak terpaksa dikurangkan separuh. Menu lain termasuklah sate dan kuih-kuih.

Selepas makan Adun diminta berucap ringkas. Adun mengucapkan terima kasih di atas jemputan. Terima kasih di atas hidangan yang menyelirakan. Adun berharap hubungan mesra antara masyarakat terus dipereratkan, termasuk antara yang bukan Islam seperti dapat dilihat En. Lau, keluarga dan kawan-kawannya turut hadir, juga dari kalangan keturunan India. Bersyukur kepada Allah kita hidup dalam keadaan harmoni saling menghormati antara satu sama lain.

Berhariraya Di Rumah Tuan Haji Sukaimi di Pekan Bangi

Pada tengahari hari bekerja hari ini (Rabu 14 September), kami serombongan dari pejabat – Adun, Nabilah, Aishah dan Sabrina berhariraya di rumah Tuan Haji Sukaimi Rasmi, Setiausaha Pas Serdang. Beliau mengadakan `Rumah Terbuka` selain dari menjemput kami, dijemput staf-staf sejabatan dengannya di UKM. Kami tiba sedikit awal dan menikmati berbagai jamuan raya lebih awal. Selepas itu tiba pelajar-pelajar – antara jemputan teramai selain dari staf pejabat. Kebanyakan pelajar-pelajar yang datang ialah pelajar-pelajar peringkat Ijazah Ph. D dan Masters. Sebahagian daripada mereka adalah pelajar-pelajar dari luar Negara. Antara mereka pelajar-pelajar dari Libya, Iraq dan Yaman, lelaki dan perempuan. Kami sempat berbincang dengan mereka. Mereka belum mampu berbahasa Melayu, kecuali sedikit-sedikit. Kami berkomunikasi melalui bahasa Arab dan English. Kebanyakan daripada mereka mengambil pengajian dalam bidang sains. Berhubung dengan pergolakan di Libya, mereka nampaknya tak kisah sangat berkenaan politik. Semua pelajar-pelajar yang datang tidak terdedah dengan keadaan setempat, termasuk pelajar dari Malaysia. Mereka tak taupun siapa Adun Bangi yang datang bersama mereka. Mereka agak terkejut bila diperkenalkan Adun dari Bangi.

Sekian.

September 15, 2011

Mat Sabu Yang Menggugat !

BBB, 07 Syawal = 15 September (Khamis):

Tempoh sambutan kemerdekaan tanahair akan berakhir esok, tetapi sambutan ulang tahun bagi kali ke 54 tidak seharmoni sebagaimana diharap oleh BN seperti sebelumnya. Mat Sabu yang baru dilantik sebagai Timbalan Presiden Pas Jun 2011 amat tidak mententeramkan Umno. Dia benar-benar mengkucar-kacirkan Umno. Kempen bersih pertama pada November 2007 yang dipimpinnya benar-benar memberi kesan pada pilihanraya Mac 2008 yang menyebabkan BN kehilangan 5 buah negeri. Ketakutan dari kesan Kempen Bersih 2 yang dipimpin oleh Ambiga dan Mat Sabu pada 9 Julai 2011 menyebabkan bukan saja ketakutan pada BN, tetapi menimbulkan phobia kepada BN. Sesungguhnya BN tahu jika pilihanraya betul-betul dijalankan secara bersih, maka akan lebih banyak lagi negeri akan jatuh kepada Pakatan Rakyat dan semakin tipis peluang bagi BN mempertahankan pemerintahan pada peringkat Pusat. Sebab itu usaha menyekat dari berlakunya Kempen Bersih 2 dilakukan dengan berbagai cara. Bukan saja permit tidak dikeluarkan, bahkan `undang-undang mee segera` terpaksa dikeluarkan, iaitu melarang daripada memakai, bahkan memiliki `Baju Kuning Bersih`. Penahanan dan penangkapan berlaku terhadap pemakai dan pemilik baju berkenaan. Disebalik larangan dan sekatan dilakukan Kempen Bersih perhimpunan dan perarakan tetap berjalan, meskipun disekat dan penangkapan-penangkapan dilakukan. Sekatan dan tindakan yang dilakukan oleh pemerintah BN meletakkan Malaysia terkebelakang di dunia dari segi kebebasan mengeluarkan pendapat, iaitu berada pada ranking ke 142 berbanding dengan US (25), UK (29) dan Burma (194).

Di samping kempen supaya pilihanraya dijalankan secara bersih berterusan tuntutan dilakukan seperti pembersihan daftar pemilih dari berbagai kemungkinan penyelewengan dan tuntutan penggunaan dakwat kekal. Serangan terbaru dilakukan terhadap Umno yang selama ini dibina Legacy bahawa yang memperjuangkan kemerdekaan tanahair hanya Umno dan tokoh.tokoh pejuang kemerdekaan adalah dari kalangan Umno seperti Dato` Onn bin Jaafar yang sebenarnya tidak setia terhadap Umno yang pada pada awalnya hanya memperjuangkan Hidup Melayu – bukan Merdeka, dan Wira Utama memperjuangkan kemerdekaan adalah hanya Tunku Abdul Rahman. Gugatan Mat Sabu berhubung dengan Wira Bukit Kepong dengan penampilan Mat Indera yang dikatakan wira adalah gugatan permulaan yang mengejutkan masyarakat dengan desakan agar menilai kembali sejarah negera ini terutama dari segi perjuangan kemerdekaan. Lontaran pandangan yang dikemukakan oleh Mat Sabu mengundang kontroversi. Berbagai lapisan masyarakat memberi pandangan dari peringkat pendukung-pendukung Umno membawalah kepada kalangan akademik, pegawai-pegawai dan rakyat biasa. Lebih ramai mengecam dari yang mendukung. Yang tidak demokratik dan bercanggah dari hak mengeluarkan pendapat timbul suara-suara songsang yang membuat laporan Polis dan yang mengugut Mat Sabu untuk mengambil tindakan mahkamah.

Walau apa pun Mat Sabu berjaya melontarkan idea yang mengejutkan masyarakat hingga menimbulkan polemik tentang wira kemerdekan dan fakta sejarah kemerdekaan hingga menjadikan pihak establishment tergugat. Umno mula merasai legacy dan keunggulan Umno yang dibina selama ini tergugat. Sekiranya berlaku perubahan pandangan terhadap Umno akan menggugat keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap Umno. Walau apa pun penilaian kembali sejarah tetap akan berlaku dan cetusan awal ini akan mendorong kepada penilaian yang lebih luas dan mendalam yang melibatkan Umno dan boleh menjatuhkan keyakinan masyarakat terhadap Umno. Banyak perkara yang boleh ditimbulkan tentang fakta-fakta yang disembunyikan dari masyarakat. Misalnya sejarah kemerdekaan yang meningkat hangat diperjuangkan selepas kekalahan pihak Bersekutu, khususnya British. Ini memberi keyakinan bahawa penjajah British boleh dikalahkan dan penentangan terhadap British berlaku. Perjuangan diteruskan semasa Jepun menguasai Malaya dan bila Jepun kalah usaha memerdekakan Negara ini dari Jepun sebelum British kembali. Dr. Burhanuddin Hilmi antara mereka yang berperanan mengisytiharkan kemerdekaan Malaya berikut dari pengisytiharan kemerdekaan Indonesia dari Belanda. Apakah episod penting dalam perjuangan kemerdekaan tanahair seperti ini disembuntyikan begitu sahaja ? Banyak organisasi yang memperjuangkan kemerdekaan tanahair jauh lebih awal dan unggul dari Umno, mau diabaikan begitu sahaja ? Demikian berderet pejuang-pejuang kemerdekaan yang patut diberi tempat di dalam sejarah perjuangan kemerdekaan tanahair dilupakan begitu sahaja ?

Seterusnya apakah motif British menekan pejuang-pejuang kemerdekaan yang tidak disenangi, sebaliknya mengambil pendekatan lonak dengan pemimpin establishment yang memang rapat dengannya ? Ianya tidak lain dari usaha mengekalkan pengaruh British dari Negara ini selepas ia keluar dari Negara ini, sebaliknya jika pemerintahan terlepas kepada yang anti terhadapnya merugikan masa depan British dari segi pengaruh dan kepentingan ekonomi di nagara ini. Pendek kata banyak perkara, fakta dan isu yang dapat ditimbulkan yang dapat mnenggugat kewibawaan Umno dan peranannya, khususnya dalam perjuangan kemerdekaan tanah air dan mungkin wajar dikaji sejauhmanakah peranan Umno sebenarnya di dalam pembelaan terhadap orang Melayu dan pembangunan Negara ini.

Ruang dan fakta terbuka untuk didebat dan dipolimikkan. Mat Sabu memulakan sepakan bola di gelanggang politik!

Sekian.

*Tontoni Rakaman Forum "Mat Indera Pejuang atau Pengkhianat Kemerdekaan?"






September 14, 2011

Budaya Raya

Bangi, 16 Syawal = 14 September (Rabu):

Sambutan Hariraya – Idul Fitri adalah amalan bersifat keagamaan, iaitu melahirkan kesyukuran terhadap Allah kerana berjaya mengatasi ujian, dapat menunaikan Ramdhan dan dapat mengisi Ramadhan dengan berbagai-bagai amalan kebajikan yang digalak dan dituntut dalam Islam. Di atas kejayaan melalui tarbiah Madrasah Ramadhan, maka sebagai pernyataan syukur, maka dilahirkan dalam ungkapan, takbir, tahmid dan tasbih. Lebih dari itu digalakkan melakukan ziarah dan bermaaf-maafan. Sambutan ini berlaku pada hari raya pertama dan mungkin berterusan hingga raya ketiga.

Konsep raya yang asalnya berprinsip agama, mengalami penambahan dan perubahan kerana dipengaruhi unsur setempat dan kepentingan kemasyarakatan, Raya di Pantai Timur misalnya disambut hanya satu hari, hari pertama dan sebanyak-banyaknya disambut selama tiga hari. Selama tempoh ini dianggap sudah cukup masa bagi digunakan untuk beraya dan menziarah keluarga dan kawan setempat. Tetapi raya di Kuala Lumpur langsung berubah, bukan lagi satu atau dua tiga hari, tetapi menjangkau sehingga sebulan Syawal. Raya satu dua hari dianggap tidak mencukupi, kerana ianya bukan saja disambut bersifat keluarga, tetapi disambut oleh individu dengan konsep rumah terbuka, ketua-ketua kampong, masjid-surau, jabatan, institusi, pertubuhan, peringkat cawangan, kawasan, Daerah dan negeri.

Konsep ziarah dan maaf zahir batin memperkembangkan budaya raya. Bila hampir raya bangkit kerinduan kepada orang tua, kampong halaman dan teman-teman, apa lagi lagu-lagu raya dimainkan memupuk kerinduan kepada yang dikasihi untuk bersalam dan bermaaf-maafan. Pulang Kampong adalah popular digunakan bagi Hariraya. Sebab itu sebaik dekat hariraya, fenomena balik kampong terjadi dengan exodus kenderaan di berbagai jalan. Paling mendukacitakan ialah kemalangan-kemalangan meningkat berlaku – ratusan meninggal dan ribuan kemalangan biasa terjadi. Suatu pendekatan perlu dilakukan bagi mengurangkan kemalangan, lebih-lebih lagi kematian.

Budaya beraya di kampung memang nostalgik dan menyeronokkan, tetapi budaya beraya di Bandar lebih hebat dari di Kampung. Raya di Bandar ini boleh dikatakan lanjutan dari beraya di kampong. Biasanya pulang Kampong dan beraya di kampong adalah berlaku pada minggu pertama, terutama bagi perantau yang pulang, sedang minggu pertama di Bandar masih kurang sambutan kerana kebanyakan penghuni dari kampong, pulang ke kampong dan minggu pertama masih belum dapat diadakan perayaan kerana ramai pula berpuasa Syawal.

Hari-hari dari minggu kedua Syawal – hingga ke akhir Syawal di Kuala Lumpur adalah hari-hari yang meriah dengan sambutan Idul Fitri, terutama pada hari minggu – Sabtu dan Ahad. Sambutan antaranya dibuat oleh individu yang menjemput teman dan jiran tetangga beraya dan makan-makan. Selain dari orang perseorangan, sambutan dilakukan oleh tokoh-tokoh setempat, misalnya orang berpengaruh di satu tempat mengadakan rumah terbuka seperti ketua kampong, ahli majlis perbandaran dan sebagainya. Selain dari tokoh-tokoh sambutan juga diadakan oleh pihak institusi seperti diadakan oleh pihak Majlis Perbandaran, Pegawai Daerah, bahkan Pejabat Menteri Besar.

Sambutan Hariraya juga membuka peluang bagi orang politik mendekati rakyat, bahkan sebulan sebelum Ramadhan kegiatan-kegiatan berhubung dengan raya telah diadakan seperti menyampaikan bantuan raya kepada keluarga miskin, ibu tunggal dan anak yatim. Pada bulan Syawal ini orang politik mengadakan rumah-rumah terbuka di cawangan-cawangan, Daerah dan Negeri. Adun sendiri mengadakan Hari Terbuka. Lanjutan peringkat Adun ini disertai pihak kawasan dan cawangan dan kerjasama dengan pihak-pihak yang lain. Bagi pihak individu pada bulan Syawal pula, selain dari mengadakan hari terbuka, bagi pihak diri sendiri terutama bagi orang politik sebok pula menunaikan jemputan-jemputan hari raya, terutama pada hari Sabtu dan Ahad.

Budaya hariraya telah bertukar dari bersifat agama per-se, kepada bersifat kemasyarakatan. Hariraya yang juga dikenali dengan Hari Terbuka disertai oleh semua rakyat dari berbagai-bagai lapisan masyarakat. Melalui Hariraya mengiratkan hubungan antara pemimpin dengan masyarakat dan sesama masyarakat. Hariraya berperanan menceria dan mengharmonikan masyarakat dan menjadi identiti masyarakat di Malaysia.

Sekian.

September 13, 2011

Yang Kumakan Buah-Buah Fikiran Lebih Dari Hidangan Makanan

(Buat Keluarga Nurul Yang Menerima Kami Dengan Senang Hati)

Bermula dari hanya gurauan
Kepada tenaga kerja Jabatan
Bahawa pada Hariraya nanti
Kami mau adakan mesra kunjungan
Mengiratkan silaturrahim dari berkenalan
Sambil makan dari air tangan masakan kalian.

Demikianlah gurauan menjadi realiti
Kami serombongan – termasuk isteriku
Tiba di rumah Nurul staf di pejabatku
Kami disambut ibubapa Nurul sekeluarga
Wakil Rakyat Ampangan dan jiran kebetulan ada
Selepas menginjak ke jalan dan memberi salam
Aku membuka gurauan – `Eh jalan baru diturapkan`
`Ya semalam secara kebetulan` – Bapa Nurul beri jawapan
`Agaknya mereka tahu program kunjungan kami`, gurauku,
`Walaupun kami rahsiakan` – berderai ketawa mengiring jawapan.

Sebagaimana biasa berhariraya sebelum duduk berbicara
Dijemput menjamah hidangan menurut pilihan
Nasi impit, mee goreng, kek, martabak & minuman
(Difahamkan Nurul & Adiknya semalaman menyediakan)
Tapi dalam memilih hidangan kami tersudut membincang
Tentang minat bapa Nurul – tertumpu pada Kajian Al-Qur`an
Significant penemuan menyumbang pada pengukuhan iman
Sumber ilmu, konsep wahyu, bersifat syahadah & ghaibiyah
Perbincangan dipuncaki Kehebatan Susunan Al-Qur`an
Manifestasi mengisyarat tersirat kandungan alam
Menjadikan perbincangan menyentuh Prinsip dan Inti Keislaman
Menyebabkan aku menjamah makanan secara ringan
Tapi lebih tertumpu pada memamah idea berat dikemukakan.


Namun di hari lebaran sedemikian
Dengan tamu bersama di kelilingan
Tidak manis tanpa memberi perhatian pada semua
Lebih lagi mereka datang meraikan kehadiran
Setelah bersimbang mengenai situasi semasa
Aku mengenali mereka pendukung YB Paroi
Menghidupkan Pusat Khidmat setia bergiat
Duduknya tidak berjauhan dari kunjungan setempat.


Oleh asyik perbincangan
Kami melewati masa diperuntukkan
Apa yang lebih bermakna dari kunjungan
Sebelum memohon diri menghargai layanan
Aku diberi hadiah dengan tiga cenderaminda
(Hasil kajian bapa Nurul yang diterbitkan)
Buku Pengukuhan Akidah Menerusi Sains Al-Qur`an
Kedua Buku Kehebatan Susunan Al-Qur`an
Ketiga Sebuah Diagram Surah-Surah
Membentuk Kalimah Allah dan Muhammad

Dengan hadiah bermakna semua ini
Menambah bahan untuk kumengkaji-hayati
Memperluas wawasan mendalami Al-Qur`an
Sesungguhnya kunjungan ke rumah Nurul
Membuka ruang pengenalan
Menambah ilmu pengetahuan
Kita bukan sekadar beraya
Tetapi berwacana minda.


Shafie Abu Bakar,
Taman Tasik Jaya, Senawang
12 Syawal 1432
10 September 2011.