September 14, 2011

Budaya Raya

Bangi, 16 Syawal = 14 September (Rabu):

Sambutan Hariraya – Idul Fitri adalah amalan bersifat keagamaan, iaitu melahirkan kesyukuran terhadap Allah kerana berjaya mengatasi ujian, dapat menunaikan Ramdhan dan dapat mengisi Ramadhan dengan berbagai-bagai amalan kebajikan yang digalak dan dituntut dalam Islam. Di atas kejayaan melalui tarbiah Madrasah Ramadhan, maka sebagai pernyataan syukur, maka dilahirkan dalam ungkapan, takbir, tahmid dan tasbih. Lebih dari itu digalakkan melakukan ziarah dan bermaaf-maafan. Sambutan ini berlaku pada hari raya pertama dan mungkin berterusan hingga raya ketiga.

Konsep raya yang asalnya berprinsip agama, mengalami penambahan dan perubahan kerana dipengaruhi unsur setempat dan kepentingan kemasyarakatan, Raya di Pantai Timur misalnya disambut hanya satu hari, hari pertama dan sebanyak-banyaknya disambut selama tiga hari. Selama tempoh ini dianggap sudah cukup masa bagi digunakan untuk beraya dan menziarah keluarga dan kawan setempat. Tetapi raya di Kuala Lumpur langsung berubah, bukan lagi satu atau dua tiga hari, tetapi menjangkau sehingga sebulan Syawal. Raya satu dua hari dianggap tidak mencukupi, kerana ianya bukan saja disambut bersifat keluarga, tetapi disambut oleh individu dengan konsep rumah terbuka, ketua-ketua kampong, masjid-surau, jabatan, institusi, pertubuhan, peringkat cawangan, kawasan, Daerah dan negeri.

Konsep ziarah dan maaf zahir batin memperkembangkan budaya raya. Bila hampir raya bangkit kerinduan kepada orang tua, kampong halaman dan teman-teman, apa lagi lagu-lagu raya dimainkan memupuk kerinduan kepada yang dikasihi untuk bersalam dan bermaaf-maafan. Pulang Kampong adalah popular digunakan bagi Hariraya. Sebab itu sebaik dekat hariraya, fenomena balik kampong terjadi dengan exodus kenderaan di berbagai jalan. Paling mendukacitakan ialah kemalangan-kemalangan meningkat berlaku – ratusan meninggal dan ribuan kemalangan biasa terjadi. Suatu pendekatan perlu dilakukan bagi mengurangkan kemalangan, lebih-lebih lagi kematian.

Budaya beraya di kampung memang nostalgik dan menyeronokkan, tetapi budaya beraya di Bandar lebih hebat dari di Kampung. Raya di Bandar ini boleh dikatakan lanjutan dari beraya di kampong. Biasanya pulang Kampong dan beraya di kampong adalah berlaku pada minggu pertama, terutama bagi perantau yang pulang, sedang minggu pertama di Bandar masih kurang sambutan kerana kebanyakan penghuni dari kampong, pulang ke kampong dan minggu pertama masih belum dapat diadakan perayaan kerana ramai pula berpuasa Syawal.

Hari-hari dari minggu kedua Syawal – hingga ke akhir Syawal di Kuala Lumpur adalah hari-hari yang meriah dengan sambutan Idul Fitri, terutama pada hari minggu – Sabtu dan Ahad. Sambutan antaranya dibuat oleh individu yang menjemput teman dan jiran tetangga beraya dan makan-makan. Selain dari orang perseorangan, sambutan dilakukan oleh tokoh-tokoh setempat, misalnya orang berpengaruh di satu tempat mengadakan rumah terbuka seperti ketua kampong, ahli majlis perbandaran dan sebagainya. Selain dari tokoh-tokoh sambutan juga diadakan oleh pihak institusi seperti diadakan oleh pihak Majlis Perbandaran, Pegawai Daerah, bahkan Pejabat Menteri Besar.

Sambutan Hariraya juga membuka peluang bagi orang politik mendekati rakyat, bahkan sebulan sebelum Ramadhan kegiatan-kegiatan berhubung dengan raya telah diadakan seperti menyampaikan bantuan raya kepada keluarga miskin, ibu tunggal dan anak yatim. Pada bulan Syawal ini orang politik mengadakan rumah-rumah terbuka di cawangan-cawangan, Daerah dan Negeri. Adun sendiri mengadakan Hari Terbuka. Lanjutan peringkat Adun ini disertai pihak kawasan dan cawangan dan kerjasama dengan pihak-pihak yang lain. Bagi pihak individu pada bulan Syawal pula, selain dari mengadakan hari terbuka, bagi pihak diri sendiri terutama bagi orang politik sebok pula menunaikan jemputan-jemputan hari raya, terutama pada hari Sabtu dan Ahad.

Budaya hariraya telah bertukar dari bersifat agama per-se, kepada bersifat kemasyarakatan. Hariraya yang juga dikenali dengan Hari Terbuka disertai oleh semua rakyat dari berbagai-bagai lapisan masyarakat. Melalui Hariraya mengiratkan hubungan antara pemimpin dengan masyarakat dan sesama masyarakat. Hariraya berperanan menceria dan mengharmonikan masyarakat dan menjadi identiti masyarakat di Malaysia.

Sekian.

No comments:

Post a Comment