September 1, 2011

Sejarah Bukan Milik Umno ! Hormat Ketelusan Maklumat

BBB, 2 Syawal = 31 Ogos (Rabu):

Sambutan Kemerdekaan Tanahair ke-54 secara berkembar dengan Hariraya Idul Fitri digoncang dengan lontaran pandangan kontroversi oleh Tuan Haji Mat Sabu Timbalan Presiden Pas yang rumusan pandangan, bahawa pendapat klisye bahawa yang memperjuangkan kemerdekaan adalah semata-mata oleh Umno perlu dinilai kembali. Bahawa ada pejuang-pejuang kemerdekaan sejati mendahului tokoh-tokoh Umno yang lebih terlibat dan komited dengan perjuangan kemerdekaan yang perlu diberi tempat sewajarnya dalam sejarah perjuangan kemerdekaan tanah air. Lantaran sedemikian amatlah tidak adil saban tahun dan masa diulang-ulang bahawa tokoh pejuang kemerdekaan adalah Dato` Onn bin Jaafar dan Tunku Abdul Rahman sahaja! Tunku Abdul Rahman lebih bersifat penerima kemerdekaan dari British, sedang yang berjuang dari awal terutama melalui Pesatuan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) seperti Dr. Burhanuddin Hilmy, Ahmad Boestamam, Shamsiah Fakeh, Khadijah Sidek, Musa Muhammad, Rashid Maidin dan sebagainya. Mereka berada digaris hadapan perjuangan kemerdekaan. Tetapi di bawah tekanan British ada yang ditahan British seperti Dr. Burhanuddin Hilmy, Khadijah Sidek terselamat dan mengikut aliran perdana dan kemudian Pas, manakala pejuang seperti Shamsiah Fakeh, Musa Muhammad dan Rashid Maidin memilih gerakan kiri memasuki hutan, berjuang bersenjata bagi memerdekakan tanahair dari Penjajahan British. Mereka dicop dengan istilah kontroversi sebagai Komunis! Kononnya bertentang dengan agama Islam, sedang pada hakikatnya tokoh seperti Shamsiah Fakeh, Musa Muhammad dan Rashid Maidin adalah mereka yang patuh pada agama Islam.

Fakta jelas bahawa mereka adalah berjuang demi kemerdekaan tanah air. Di dalam hal ini kata Shamsiah Fakeh,

``Penubuhan PKMM sebagai sebuah parti politik yang memperjuangkan kemerdekaan daripada penjajahan British. Aku anggap lahirnya PKMM di bumi Malaysia merupakan mercu sinar bangsa kita untuk bergerak menyusun tenaga rakyat menitis jalan menuju kemerdekaan (Memoir Shamsiah Fakeh, Penerbit UKM, 2004: 13). Menurut Penerbit bahawa,

``Shamsiah and her fellow communists made mistakes, but they contributed to the fight for independence … that cannot be denied (Chong Ton Sin, The Sunday Star, 25 May 2008: SM5). Kata Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, ``, Today, Shamsiah is hardly mentioned in the History books, and when she is discussed, it is often in a bad light. That does not do justice to her sacrifice (The Sunday Star, 25 May, 2008: SM6).

Berhubung dengan perjuangan kemerdekaan, kata Rashid Maidin,

``Saya telah melalui pahit maung di bawah penjajah Inggeris dan Jepun. Pada masa pendudukan Jepun (1941-45) saya bergerak melawan pendudukan tersebut setakat yang saya mampu. Begitulah juga apabila Inggeris kembali menjajah semula Malaya pada tahun 1945. Di antara 1945-48, tempoh perjuangan secara aman melawan Inggeris, saya menjadi salah seorang wakil terbuka PKM bergerak menyusun massa rakyat untuk kemerdekaan (Memoir Rashid Maidin, Penerbit SIRD, 2005: 1).

Keterlibatan Shamsiah Fakeh, Rashid Maidin, Musa Muhammad, Ibrahim Chik bahkan Cheng Peng, Dato` Onn bin Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Dr. Burhanuddin Hilmy, Ahmad Boestamam, Khadijah Sidek dan ramai lagi tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan adalah fakta-fakta nyata, tidak diragu dan tak boleh dinafikan.

Di dalam disiplin sejarah fakta yang wujud, mungkin diberi tafsiran berlainan. Contoh Sejarah Negara sebelum kemerdekaan dipengaruhi European/British Centric, bila merdeka diubah sejarawan tempatan kepada Malaysian Centric. Begitu juga Sejarah Kemerdekaan terpulang kepada pendekatan dan interpretasi pengkaji selagi dia mampu menunjukkan kemampuan ilmiah dan akademik dari segi kajian dan huraian. Adalah tidak ilmiah Umno yang menguasai politik selama ini mahu memaksa pula pendirian sejarahnya kepada orang lain. Ini bercanggah dengan dasar kebebasan maklumat dan interpretasi ilmiah. Adalah tidak demokratik dan bercanggah dengan kebebasan maklumat dan ilmiah misalnya apabila Penerbit UKM dikecam mengeluarkan buku-buku kajian berhubung dengan tokoh-tokoh seperti Shamsiah Fakeh, Rashid Maidin, Ibrahim Chik dan lain-lain semata-mata mereka ini tidak sealiran dengan pihak pemerintah, pada hal mereka ini adalah fakta-fakta yang menjadi sebahagian dari sejarah perjuangan kemerdekaan Negara, sedangkan tokoh-tokoh lain, khususnya dari Umno begitu banyak diberi kajian.

Semua pihak berada di dalam fakta sejarah dan semua pihak harus terbuka untuk dikaji dan diberi tempat di dalam sejarah kemerdekaan tanahair menurut kedudukan dan kesesuaian. Satu pihak tidak seharusnya memaksa pandangannya ke atas orang lain. Pada akhirnya kajian yang bersifat ilmiah akan lebih diterima tanpa mengira dari pihak mana mereka. Berilah peluang pihak yang terlibat dalam sejarah perjuangan kemerdekaan untuk dikaji. Adalah tidak akademik dan ilmiah bila satu pihak menuduh pihak yang lain `Buta Sejarah` sedang sejarah `Secara Celik` tidak dibentangkan secara akademik dan ilmiah. Apa yang mendukacitakan, apabila timbul cadangan-cadangan yang anti ilmiah, supaya menyiasat, menangkap dan menggunakan ISA terhadap mereka yang tidak mengikut pandangan klisye dan konservatif Umno terhadap sejarah kemerdekaan Negara ini.

Umno tidak mampu menyekat kajian akademik yang akan menjelaskan secara akademik tentang sejarah kemerdekaan tanahair, sebagaimana Umno juga tidak akan mampu mengekalkan dirinya memerintah Negara apabila perubahan demi perubahan berlaku dan majoriti rakyat mahukan perubahan terhadap pemerintahan yang didominasi Umno-Bn selama ini !

Sekian.

1 comment: