September 25, 2011

Merasmikan Pembukaan 2 Bloks Greenvilla Apartment Di Sungai Tangkas

Sungai Tangkas, 26 Syawal = 24 September (Sabtu):

Antara kesibukan menunaikan jemputan beraya, maka salah satu agenda yang Adun anggap penting dan bersejarah pada hari ini ialah Perasmian Pembukaan Greenvilla Apartment yang terletak di kawasan Taman Universiti di Sungai Tangkas. Kawasan ini sedang pesat membangun, antaranya bagi mengisi keperluan rumah bagi beberapa institusi pendidikan penting di kawasan ini seperti, German Malaysian Institut, UKM, Tweentech dan lain-lain. Lantaran itu lahir projek-projek perumahan di sini seperti Alam Sari, Kajang Metro dan antara projek perumahan terbaru ialah Greenvilla Apartment- iaitu dua bloks yang baru dihuni mulai April 2011. Perluasan kawasan perumahan di sini akan menyentuh ke Taman Teknologi di Semenyih dan juga projek perumahan Kajang Metro di Kajang Utama.

Pada pagi ini Adun dijemput oleh Persatuan Penduduk Greenvilla Apartment bagi merasmikan 2 bloks berkenaan. Kehadiran Adun disambut oleh Jawatankuasa Penduduk En. Hisham bin Mulot (Pengerusi), saudara Faizal bin Abdullah (Setiausaha), En. Mohd Rashid (Pengerusi Surau) dan lain-lain.

Adun difahamkan oleh En. Hisham bahawa Projek Greenvilla ini adalah di bawah Pemaju BMG. Setiap bloks (A & B) terdiri daripada 120 x 2 unit. Perumahan ini dianggap perumahan kos sederhana. Setiap unit berharga antara RM100,000 hingga RM130,000 bergantung kepada keluasan lantai dan level. Setakat ini 80% dari unit-unit apartment di sini sudah dihuni. Lebih dari 95% penduduk orang Melayu dan golongan muda yang rata-rata baru mendirikan rumah tangga dan mempunyai anak-anak yang masih kecil.

Majlis berjalan secara ringkas dan amat bermakna. Setiba Adun Pengerusi Majlis menjemput En. Hisham menyampaikan ucapan alu-aluan dan menyampaikan info berhubung dengan Apartment dan penduduk dan berterima kasih di atas kehadiran Adun. En. Hisham juga memaklumkan bahawa Apartment berkenaan mempunyai sebuah surau yang agak selesa dan mulai digunakan sejak awal Ramadhan baru-baru ini. En. Hisham juga memaklumkan keperluan-keperluan surau yang diharap mendapat kerjasama dari pihak Adun. Secara bergurau saudara Hisham berkata,

``Oleh kerana bangunan di sini dinamakan Greenvilla, maka kami akan berusaha menghijau penduduk dan kawasan di sini,`` disambut ketawa hadirin ramai-ramai.

Dalam majlis perasmian ini, Adun mengucapkan terima kasih di atas jemputan dan hadir ke dalam kawasan perumahan di sini bagi kali pertama. Adun memuji penduduk yang mempunyai kesedaran tinggi akan perlunya ada persatuan. Dengan adanya persatuan dapat diberi perhatian terhadap sebarang kepentingan penduduk. Contoh melengkapkan surau sehingga dapat digunakan pada awal Ramadhan baru-baru ini.

Dengan adanya persatuan dapat diberi perhatian pada kerosakan bangunan yang dapat diangkat kepada pihak pemaju dalam tempoh yang masih boleh dibuat aduan. Penduduk juga boleh memohon padang dan alat permainan untuk kanak-kanak, penghijauan kawasan yang relatifnya baru. Lebih dari itu mengisi surau dengan pengajian-pengajian bagi anak-anak dan juga orang dewasa. Persatuan boleh memikirkan berbagai-bagai kegiatan kemasyarakatan seperti sambutan raya yang juga disertakan pada hari ini. Adun sedia memberi kerjasama dan mempertimbangkan sebarang cadangan dan permohonan yang wajar.

Selepas ucapan perasmian Adun ke plak bagi menandatangani plak sebagai perasmian diikuti jamuan raya, penyampaian duit raya kepada anak-anak dan akhirnya melawat surau.

Sekian.

No comments:

Post a Comment