Agak menjadi tandatanya Adun, apakah dimaksudkan dengan `Santai Merdeka`, walaupun Adun dilibatkan di dalam iklan Blog Adun, agaknya sebagai perasmi pembuka bicara. Jangkaan Adun perkara yang akan dibicarakan mengenai kontroversi sejarah dan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan tanahair sebagaimana dicetuskan oleh saudara Mat Sabu. Walau bagaimana Adun sampai lewat ke Majlis Santai Merdeka kerana menghadiri ke majlis-majlis lain terlebih dahulu. Majlis Santai Merdeka yang berlangsung di Up Town mulai jam 9.30 malam itu hanya disertai satu panel iaitu Bob Lokman, Tiada saudari YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang yang sepatutnya bersama sebagai ahli panel, manakala Ustaz Ridhuan Mohd Nor bertindak sebagai moderator dan penyoal. Semasa bersama audien dihadapan pentas Adun sempat menangkap perkara-perkara yang dibincangkan yang kelihatan tidak selari dan masing-masing bercakap tentang bidang yang dikuasai masing-masing. Ustaz Ridhuan Mohd. Nor lebih tersorot kepada peranan ulama dari peringkat awal dalam memperjuangkan kemerdekaan tanahair berdasarkan buku yang ditulisnya mengenai tokoh-tokoh ulama, tanpa memberi ruang kepada pejuang-pejuang kiri dan nasionalis yang tidak dapat dinafikan mereka juga mempunyai saham dalam perjuangan kemerdekaan tanahair.
Manakala Bob Lokman lebih bercakap tentang pengalaman seni perfilaman dan nyanyian yang pernah dilibatinya, walaupun Ustaz Ridhuan cuba menariknya memperkatakan tentang perjuangan kemerdekaan, tetapi tidak berjaya, kerana Bob Lokman lebih sebati dengan dunia perfileman dan nyanyian pernah dilibatinya, tapi kini beliau cuba mencanggahinya dengan elemen dakwah. Untuk mengatakan Santai Merdeka sebagai satu pembicaraan tentang kemerdekaan adalah tidak tepat dan untuk memperkatakannya sebagai Wacana Seni perfileman dan nyanyian juga tidak tepat. Masing-masing membawa arah yang berlainan dengan kemampuan masing-masing. Kiranya ada satu dua panel yang lain mungkin arah Santai Merdeka lebih berkelainan dan terarah bawaannya.
Apakah Santai Merdeka, satu majlis yang gagal ? Mungkin tidak. Kekuatan dan kejayaan majlis pada malam itu adalah dari kekuatan aura Bob Lokman yang memang banyak publisiti mengenai beliau yang lantang berbicara mengenai seni dan dakwah dan beliau senang diterima oleh Pas sebagai tokoh dan asset bagi Pas. Bob Lokman memang petah dan pandai berbicara mengenai seni perfileman dan nyanyian dan beliau mampu menjalinkan percakapan dengan keilmuan Islam dan fasih menyelitkan hujah dengan ayat Qur`an dan Hadith. Adun sebenarnya pertama kali mendengarnya bercakap dan tertarik dengan kedalaman maklumat dalam bidang dikuasainya. Dia nampaknya mendalami ilmu keagaman.
Selain dari itu kekuatan Majlis kerana Bon Lokman sekali sekala menyanyi, lebih-lebih lagi Majlis mempunyai Pasukan Muzik yang sedikit mempunyaii nama (Man`s Music), dan perbincangan dihentikan sekali sekala dengan diberi ruang kepada pasukan muzik yang hanya dua orang itu (guitaris dan gendangis) mendendangkan lagu latar dan bersenikata dari lagu-lagu Ramli Sharif, Sharifah Aini, P. Ramli, M. Nasir dan lain-lain. Mutu nyanyian tidaklah sebaik mana, tetapi aura Bob Lokman dan nyanyian yang disertakan menjadikan majlis hidup dan audien kebanyakan kekal menunggu dan pertambahan yang baru.
Sebagai mengambil hati Adun yang sepatutnya datang dari awal dan memberi kata-kata aluan, maka dipertengahan majlis Adun dijemput memberi ucapan santai. Kerana menilai majlis lebih terarah kepada membicarakan tentang seni dan kurang terarah kepada soal kemerdekaan, maka Adun membicarakan tentang seni kelengkapan keperluan dalam hidup dan boleh didekatinya dengan jiwa kemanusiaan dan keislaman.
Walau bagaimana eksperimen Majlis Santai Merdeka dapat mengisi masa dengan sesuatu yang berfaedah. Audien tidak saja datang membeli belah, tetapi dibekalkan juga sedikt sebanyak dengan unsur dakwah. Pada masa hadapan majlis sedemikian perlu diperkemas. Pembicaranya perlu ditambah dan persembahan juga perlu dipertingkatkan secara kreatif. Walaupun masa Up Town melebihi jam 12.00 malam sewajarnya majlis tidak melebihi dari masa ini.
Sekian.
No comments:
Post a Comment