September 26, 2011

Daya Tarikan: Ikan Patin, Panggang Kambing Dan Sop Lembu

BBB, 27 Syawal = 25 September (Ahad):

Anekdot

Pada hujung-hujung minggu bulan Syawal – Ahad dan Sabtu jemputan berhariraya memang banyak, bahkan berganda. Jemputan berkenaan sama ada dari masjid, surau, persatuan penduduk, pejabat atau orang perseorangan. Makin penghujung bulan, makin bertindihlah jemputan, ditambah pula jemputan kahwin juga turut dilakukan pada bulan Syawal.

Demikianlah Sabtu & Ahad (24 & 25) bagi bulan Syawal bagi kali ini Adun menerima sehingga 15 jemptan sehari. Seboleh-bolehnya Adun mau tunaikan semua jemputan berkenaan. Masalahnya dengan jumlah jemputan sedemikian tidak mampu dari segi kesempatan masa untuk dihadiri, apalagi sebahagian besar dari jemputan berkenaan mempunyai masa terhad. Contoh jemputan kahwin antara jam 12.00-4.00 petang. Paling banyak yang dapat dihadiri dari pagi hingga ke malam 12 jemputan. Hadir meraikan, makan tentu tidak mampu, kecuali menjamah sedikit-sedikit. Dengan jemputan yang banyak terpaksa buat pilihan dan tidak dapat hadir sebahagain. Tidak hadir dilihat faktor tempat misalnya jauh, luar kawasan dan sebagainya.

Bagi jemputan raya yang melibatkan makan tengahari dan malam, ada sahabat-sahabat dari istitusi surau dan persatuan yang tau Adun mempunai banyak jemputan, sengaja memancing minat dan selera Adun dengan menu-menu istimewa agar menghadiri jemputan. Misalnya pada Sabtu malam seorang sahabat dari sebuah persatuan penduduk selain dari memberi kad jemputan formal untuk menghadiri jamuan raya di padang di kawasan Persatuan Penduduk mengingatkan Adun,

``Pada malam jemputan ini ada menu istimewa, masak IKAN PATIN diorder khas dari Temerloh, Pahang !``, `YB hadirlah,` tambah sahabat itu.

Surau dikenali dengan nama Surau al-Kauthar yang AJK dari persatuan penduduk ahli Surau berkenaan mempunyai teman rapat dari Temerloh yang tinggal di sini yang boleh order Ikan Patin dari penjual di Temerloh. Jamuan makan berlauk Ikan Patin menu istimewa ini sudah banyak kali Adun hadir ke surau berkenaan. Rasanya memang lazat ditambah dengan cara masakan yang dilakukan oleh tukang masak istimewa di surau. Mereka tahu dengan kesukaan Adun lauk Ikan Patin. Tentu orang lain juga suka dengan jenis ikan terkenal dari Pahang itu. Sebab itu diumpannya Adun dengan menu istimewa itu.

Manakala pada keesokan harinya (25 April), sebuah surau lagi yang dikenali dengan Surau Ar-Rahim, pengerusinya menjemput Adun berhariraya pada tengaharinya. Selain dari memberi jemputan bertulis, bagi memancing kehadiran Adun, diingatkan kepada Adun,
``Kali ini kita juga menyediakan Life Panggang Kambing,`` ``YB hadirlah,`` pancing minat Adun, kata sahabat yang menjemput.

Surau ini memang semacam tradisi menyediakan menu `life Panggang Kambing` yang dipanggang di pinggir majlis jamuan raya diadakan. Adun yang hadir ke majlis raya yang lepas memang didapati menyediakan menu panggang kambing.

Memang pada malam 24 Syawal jemputan persatuan penduduk Adun hadir. Malangnya tiba sedikit lewat. Sedang kebanyakan yang hadir sudah menyelesaikan jamuan. Kehadiran Adun dihidang jamuan khas masakan Ikan Patin dalam satu bekas istimewa !

Tapi oleh kerana Adun makan berseorangan, sedang hadirin keliling meja memerhati Adun makan, Untuk tidak menunjukkan gelojoh, Adun terpaksa menghadkan makan ikan yang dihidangkan kepada separuh sahaja, walaupun mampu untuk menghabiskan kesemua! Meskipun sahabat-sahabat keliling meja menggalakkan, ``Makan sungguh-sungguh YB !`` dan yang lain berkata, ``Habiskan YB!`

Walau macam mana Adun mempunyai alasan yang releven untuk menutup keghairahan Adun makan Ikan Patin. Apabila Adun dijemput berucapa ringkas, Adun menyatakan,
``Tuan-tuan dan puan-puan, kehadiran saya pada malam ini adalah juga bertujuan melihat court yang baru disiapkan dari peruntukan Adun yang fungsinya tiga dalam satu, iaitu digunakan untuk badminton, sepak takraw dan bola tampar.`` Adun menambah, ``Malangnya saya difahamkan court yang diatasnya diadakan jamuan pada malam ini, begitu mendapat sambutan, terutama dari anak-anak muda di sini, sehingga hasrat orang tua untuk sama bermain, kurang mendapat kesempatan.`` Tambah Adun, ``Tapi wajarlah bagi kita beri kesempatan yang lebih kepada anak-anak kita bermain. Bagi kita orang tua bolehlah berjogging keliling padang yang keliling padang berkenaan juga telah turut diperbaiki.`` Berhubung dengan permohonan memasang api limpah yang diminta pihak persatuan, kita cuba membuat permohonan (pada permulaan tiba Adun diaju dengan permohonan ini yang menggelabahkan Adun!).

Sebelum memohon diri, sahabat dari AJK Surau al-Kauthar yang turut hadir, memancing lagi Adun. ``YB, malam esok kita di Surau al-Kauthar mengadakan jamuan raya, dua ekor lembu disembelih pagi esok. Meskipun jemputan spontan, harap YB hadir malam esok! Adun yang mulai bergerak ke kenderaan bersama pengiring Adun menjawab, ``Insya Allah`.

Pada tengahari keesokan hari, selepas menunaikan jemputan tempat-tempat lain, Adun bergerak ke Surau Ar-Rahim di Seksyen 8 Tambahan dalam gambaran di kepala akan menikmati `Panggang Kambing` istimewa di situ.` Malangnya ketibaan kami dikira lewat untuk peluang makan Panggang Kambing, namun menu-menu lain masih banyak.

Dengan tidak rasa kecewa, Adun dijemput berucap. Adun berucap secara ringkas, memuji penduduk yang sentiasa kerjasama dan sepakat mengadakan berbagai-bagai kegiatan, Termasuklah mengadakan sambutan hari raya. Pada kali ini semacam pecah tradisi. Biasanya sambutan di sini diadakan pada malam hari, tapi kini siang hari. Adun juga memuji tentang aktiviti dan produktiviti penduduk yang rata-rata kalangan muda.``Satu rekod yang belum dipecahkan oleh tempat lain, khususnya di Bangi, bahawa pembinaan surau di sini dapat disiapkan dalam tempoh sebulan sahaja menjelang Ramadhan beberapa tahun lalu (Taman di sini relatifnya baru), sedangkan untuk menyiapkan sebuah surau biasanya memakan masa bertahun-tahun lamanya (lebih disebabkan masalah dana), bahkan dari pengalaman Adun ada surau terpaksa diadakan dua kali perasmian tapak !

YDP Persatuan penduduk menambah, `YB, penduduk di sini juga begitu produktif, Dulu duit raya untuk anak-anak sebanyak 150 sampul, tapi hari ini bertambah menjadi 200 sampul!``
Adun menambah, ``Produktiviti penduduk di sini bukan saja dari segi pertambahan keturunan, tetapi bagi semua kegiatan. Al-Hamdulillah. Pengakhiran kunjungan di sini, ialah berjamaah zohor di surau sederhana besar yang memecahkan rekod itu.

Pada sebelah petang 25 Syawal itu, setelah menunaikan berbagai jemputan. Adun teringat pada jemputan sahabat dari Surau Al-Kauthar pada malam tadi – Jamuan raya di Surau Al-Kauthar dengan dua ekor lembu !`` Dalam fikiran Adun, ``Kalau aku pergi malam ini, nampak sangat nak makan !``, tapi terfikir di sana ramai sahabat kenalan isteri yang tentu sama memasak lembu, sedang aku ada sedikit perselesihan kecil dengan isteri. Ini adalah peluang untuk memulihkan kemesraan kami. Lantas Adun mencadangkan untuk ke Jamuan di Surau Al-Kauthar. Al-Hamdulillah mujur isteri menerima cadangan. Jadi pada malam itu, tanpa menghiraukan anggapan kerana nak makan, kami berdua ke sana pada malam itu dan sama menikmati jamuan berbagai masakan dari daging lembu dan terlebih istimewa Sop Gearboxnya. Surau ini memang terkenal suka berjamu, kerana para jamaah suka menderma untuk berjamu. Masakan ikan patin, lauk kambing dan lembu memang menjadi jamuan biasa. Adun tertarik hadir ke sini sebagaimana diperkatakan, terutama menu lauk Ikan Patinnya!

Dalam percakapan guraun dalam masa makan bersama AJK surau Adun menyebutkan bahawa,
``Semua AJK Surau Al-Kauthar ini sihat-sihat, tubuh sasa dan gempal lebih-lebih lagi setiausaha dan Bendahari. Adun berharap tidak mendatangkan masalah kesihatan kepada AJK yang boleh memasalahkan pula pada jamaah." Gurauan Adun disambut dengan ketawa oleh jamaah keliling Adun. Walau macam manapun, kehadiran Adun ke Surau Al-Kauthar menepati tujuan serampang dua mata. Menikmati jamuan dan memulihkan kasih sayang.

Walau apa pun kesemua episod yang dipaparkan adalah kemesraan-kemesraan yang dilalui Adun dalam kegiatan harian. Bersyukur kepada Allah di atas nikmat dan kemesraan yang diberi.

Sekian.

1 comment:

  1. Alahai YB, kami surau² kecil ni tak ada apa nak dijadikan umpan...

    ReplyDelete