September 2, 2011

Ke Arah PERUBAHAN, sejauh manakah Perlaksanaannya Oleh Pakatan Rakyat?

BBB, 04 Syawal = 02 September (Jumaat):

Selepas menyambut Hariraya Idul Fitri dan Sambutan Kemerdekaan Negara bagi kali ke 54. masing-masing akan kembali semula bekerja. Bagi ahli-ahli politik sama ada pihak pemerintah, maupun pembangkang akan meningkatkan kerja-kerja parti dan khidmat masyarakat bagi mendapatkan kepercayaan dan keyakinan masyarakat. Pakatan Rakyat menjanjikan `Perubahan`. Perubahan apakah yang dapat ditawarkan ?

Pakatan sekarang berdepan dengan Umno-Bn yang boleh disifatkan berada di dalam keraguan antara untuk mengadakan Pilihanraya Umum pada akhir tahun ini atau awal tahun depan. Ada tanda-tanda keyakinan pihak Umno-Bn untuk menghadapi rakyat oleh kerana ekonomi Negara makin baik dan gejala sosial dan moral makin menurun. Tapi masih belum cukup meyakinkan persis slogan Satu Malaysia sebenarnya lebih bersifat retorik dari bukti kejayaan, terutama dari segi fizikal. Misalnya sejak Zaman Pak Lah dan Najib tidak ada sebarang bangunan unggul dibina atau projek unggul dilaksana ! Sebaliknya apa yang dialami rakyat ialah inflasi dengan kenaikan harga barang berterusan yang terus membebankan. Indeks ketara dapat dilihat dari kenaikan harga rumah hingga di luar dari kemampuan bagi rakyat. Dengan situasi ini satu survey menunjukkan popularity Dato` Sri Najib makin menurun.

Apakah menurunnya popularity Datuk Seri Najib ada hubungan dengan perubahan yang dianjurkan oleh Pakatan dan kempen agresif dari pihak Pakatan terhadap kepimpinan Umno-Bn ? Untuk mengatakan solidarity di dalam Pakatan Rakyat makin mantap sukar ditunjukkan dengan jelas. Kerjasama pada peringkat tertinggi parti tidak menunjukkan adanya kesatuan Pakatan. Yang ada boleh dikatakan wujudnya persefahaman, bahawa masing-masing menghormati pendekatan yang lain. Penawaran perubahan yang nyata adalah diambil oleh Pas dengan penawaran `Negara Berkebajikan` - sejauhmana significantnya tawaran ini, setakat ini belum dibuat survey. Tapi boleh dikatakan pendekatan menggembirakan kalangan dalam Pakatan Rakyat dan dilihat relevanci di kalangan negeri-negeri di Pantai Barat, tetapi mungkin tidak sedemikian bagi negeri-negeri di Pantai Timur.

Kekukuhan ketara dengan mesej perubahan ialah apa yang dibawa oleh negeri Selangor. Perubahan berlaku secara berstrategik dan bertahap. Ianya benar-benar mencerminkan konsep Pakatan Rakyat dengan pendekatan `Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor, peningkatan dari segi industri dan pelancongan,, menekankan kebajikan bagi rakyat, khususnya bagi warga Emas. Selangor benar-benar dapat meningkatkan prestasi ekonominya, kerana jika selama ini Bajet Belanjawan Negeri bergerak dari RM1.3 hingga ke RM1.4 bilion, maka dengan kemantapan ekonominya dijangka meningkat kepada RM1.7 bilion sesuai dengan pertambahan hasilnya dan sumbangannya kepada Persekutuan lebih daripada 20% pendapatan Negara, biarpun apa yang dipulangkan kembali kepada Selangor hanya melebihi RM300 juta setahun. Pulau Pinang juga menunujukkan prestasi ekonomi yang tinggi menghampiri kemajuan negeri Selangor. Tetapi bagi negeri-negeri Pakatan Rakyat seperti Kelantan dan Kedah mempunyai pendekatan ekonomi dan politik sendiri berlandaskan keislaman.

Di sebalik kelonggaran ikatan pada peringkat tertinggi, Pakatan Rakyat bertindak secara agresif dan padu di dalam menuntut pihak Kerajaan Persekutuan menjalankan pilihanraya secara adil dan bersih. Untuk menghadapi pilihanraya secara adil, maka mekanisme pilihanraya hendaklah berjalan secara bersih baik dari segi pendaftaran pengundi, kaedah mengundi dan perjalanan pengundian itu sendiri. Kempen dan tunjuk perasaan Bersih yang diadakan berjaya menyedarkan masyarakat dan perlu dijalankan secara adil. Pihak SPR juga memberi respond terhadap desakan. Pihak rakyat bersetuju dengan desakan dan pihak kerajaan termasuk SPR sedikit sebanyak mulai akur dengan tuntutan-tuntutan.

Walau macam mana setakat ini belum ada isu besar yang dapat ditimbulkan oleh masing-masing terhadap lawan. Masing-masing bekerja menurut kebiasaan memperkukuhkan parti dan mendekati rakyat dengan program-program kemasyarakatan. Masing-masing percaya apa yang dicapai selama ini dapat dikekalkan, tetapi bagaimana menambahkan sokongan perlu diusahakan bagi mengatasi lawan masing-masing.

Untuk melonjak keluar dari lingkaran politik biasa perlu kepada kebijaksanaan dan kreativiti di dalam berpolitik agar rakyat tidak melihat apa yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat terlalu biasa. Perlu ada perubahan dan kelainan yang sedikit sebanyak dipelopori Selangor sehingga mudah bagi rakyat nampak perbezaan dan mudah dan jelas bagi mereka memberi sokongan.

Sekian.

1 comment:

  1. boleh laa.. sebab sejauh mana apa yg PR buat tak dibincangkan dgn halus : 49%

    ReplyDelete