September 21, 2011

Sidang Akhbar Oleh Jawatankuasa Isu PTPTN (JIP). Jadikan Pinjaman Pelajaran Negeri Selangor Model Ikutan

Bandar Baru Bangi, 21 Syawal = 19 September (Isnin):

JIP yang diketuai oleh YB Mohd Taufek Abdul Ghani Adun Paroi, Negeri Sembilan yang juga Timbalan Pengerusi Lajnah Pengguna Parti Islam SeMalaysia mengadakan Sidang Akhbar membangkitkan isu yang membebankan mahasiswa dan implikasinya terhadap masa depan mereka. Sidang Akhbar diadakan di sebuah restoran di belakang Stesyen Petronas di Seksyen 15 di sini. Hadir di dalam Sidang Akhbar yang diadakan pada jam 4.00 petang itu ialah YB Dato` Mahfoz Omar Naib Presiden Pas, YB Dr. Shafie Abu Bakar Adun Bangi, Ustaz Shafie Ngah YDP Pas Serdang, Peguam Abang Ahmad Kerdee, beberapa pemimpin pelajar dan pelajar-pelajar.

Saudara Taufek menyebut bahawa mendapat peluang menyambung pelajaran ke pengajian tinggi adalah menjadi harapan bagi ibu bapa, tetapi pengajian tinggi kini memerlukan kos tinggi dan pelajar-pelajar terjerat dengan pinjaman yang membebankan. PTPTN ditubuhkan pada 1 Julai 1997 (Akta 566). Selama 14 tahun PTPTN memberi pinjam.kepada sejumlah 1.7 milion pelajar dengan pinjaman keseluruhannya dikeluarkan sebanyak RM38.15 bilion. Di samping ada yang dapat melunaskan hutang ada yang tidak dapat menyelesaikannya.

Saudara Taufek mengibaratkan PTPTN menjadi barah kepada golongan muda. Mereka menjadi peminjam seawal umur 20an, malangnya bila mereka keluar dari pengajian mereka tidak mendapat pekerjaan sesuai dengan kelayakan akademik mereka. Golongn muda menjadi masyarakat berhutang. Dalam keadaan tertekan boleh menyebabkan mereka terjebak di dalam kegiatan jenayah dan tidak bermoral dan menjadi masalah kepada masyarakat dan Negara.

Menyedari masalah yang dihadapi terutama oleh golongan muda, maka Lajnah Pengguna PAS Pusat telah menubuhkan Jawatankuasa Isu PTPTN (JIP) yang diketuai Timbalan Pengerusi YB Mohd Taufek Abdul Ghani bagi mengenal pasti isu-isu dan kelemahan-kelemahan PTPTN dan menangani dan mengatasi isu-isu berkenaan. Antara isu-isu ialah:

1) Yuran atau kos pentadbiran 3% yang dikenakan kepada pihak peminjam dan 3% ini adalah dikira dari jumlah pinjaman PTPTN yang dibuat.

2) Tempoh bertenang wajar dipanjangkan dari 6 bulan kepada sekurang-kurang 1 tahun bagi memastikan peminjam mendapat pekerjaan sebelum dikehendaki peminjam membuat pembayaran balik

3) Tempoh kuasa tindakan kepada peminjam yang gagal membuat pembayaran balik pinjaman hendaklah mematuhi Akta Had Masa, iaitu 6 tahun dan bukannya seperti yang dikenakan hari ini iaitu 12 tahun

4) Tindakan PTPTN meminta pihak Jabatan Imigresen menyenaraihitamkan peminjam-peminjam yang terbabit untuk ke luar Negara perlu dikaji semula.

5) Pihak JIP mendapati bahawa urusan menukar pinjaman skim Ujrah tidak dipermudahkan di mana syarat-syarat Ujrah ini sangat ketat dan tidak menolong menyelesaikan masalah peminjam-peminjam yang mempunyai tonggakan dan saman mahkamah.

Pihak JIP sedia memberi khidmat kepada peminjam-peminjam yang menghadapi masalah-masalah di atas dan mencari jalan penyelesaian sebaiknya.

Sebagai langkah awal menurut YB Taufek, pihak JIP pada hari ini melancarkan Facebook Jawatankuasa Isu PTPTN (JIP) sebagai wadah bagi semua pihak yang terbabit untuk berkongsi dan berbincang berkaitan dengan Isu PTPTN. Facebook berkenaan boleh dilawati di alamat www.facebook.com/Jawatankuasa.Isu.PTPTN.JIP.

Selepas sidang akhbar YB Dato` Mahfoz Omar menambah, bahawa JIP berharap mendapat respond dari pelajar-pelajar, khususnya dari peminjam-peminjam dalam tempoh sehingga Oktober depan. Pandangan-pandangan dari peminjam akan diangkat kepada pihak Kerajaan dan juga kepada Pakatan Rakyat dan kalau perlu aduan akan diangkat kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

Walau bagaimana di dalam pertemuan dan Sidang Akhbar iniu tidak berlaku kerancakan dari segi perbincangan dan tidak timbul pertanyaan atau cadangan dari pihak mahasiswa sebagai peminjam.

Secara ideal kita mau pengajian tinggi sebagaimana pengajian pada peringkat rendah dan menengah adalah percuma. Apakah ini di dalam atau di luar kemampuan pemerintah ? Kalau di dalam kemampuan bagaimanakah mekanismenya ? Apakah di Negara kita mampu diwujudkan badan, yayasan atau institusi wakaf sebagaimana di Universiti Al-Azhar yang pengajiannya bersifat percuma. Apakah di Negara kita mampu diwujudkan universiti yang berdikari kerana mempunyai asset tersendiri seperti di Harvard misalnya, tetapi tidak pula bersifat percuma. Atau bayaran tidak dapat dielakkan, maka ibu bapa mesti menanggung sendiri, biasiswa hanya disediakan kepada yang benar-benar layak. Elak dari tawaran meminjam, kecuali yang benar-benar perlu. Sekarang pinjaman diberi kepada sesiapa yang dapat masuk universiti, walaupun ibu bapa mampu membiayai. Dengan ini dapat mengelakkan pelajar dari meminjam.

Masalahnya ada yang menjadikan pinjaman sebagai satu cara perniagaan bagi mendapat keuntungan. Kita difahamkan ada pihak tertentu mendirikan asrama di dalam sesebuah kampus dan memeras pelajar dengan bayaran yang diambil dari pihak universiti yang pinjaman sampai ke situ terlebih dahulu. Ada pelajar tidak menerima lebihan dari pinjaman dan terpaksa mencari sumber lain untuk meneruskan pengajian. Pihak berkuasa perlu menyelidik dan menyekat dari tindakan memeras pelajar demi keuntungan semata-mata.

Adun Bangi turut bercakap mengenai konsep pinjaman yang diberi oleh Kerajaan Negeri Selangor yang bersifat prihatin, tanpa dikenakan bunga atau khidmat pengurusan. Pelajar yang meminjam dikehendaki membayar sejumlah apa yang dipinjam sahaja. Bahkan jika pelajar mencapai keputusan cemerlang, maka pinjaman ditukar kepada biasaiswa. Potongan juga dibuat separuh atau satu perempat berdasarkan tahap kecemerlangan yang dicapai. Ini satu contih yang baik yang dilakukan di Selangor. Adakah Kerajaan Persekutuan atau PTPTN sanggup mencontohinya ?

Jadikan Pelajaran Bersifat Kebajikan Bukan Jalan Memeras Pelajar Bagi Mendapat Keuntungan!

Sekian.

No comments:

Post a Comment