September 20, 2011

Rumah Terbuka Dun Bangi & Kawasan Serdang Dibanjiri Pengunjung

Kompleks Sukan, Seksyen 15, BBB, 20 Syawal = 18 September (Ahad):

Setelah berbulan merancang dan mengatur Program Rumah Terbuka Idul Fitri, maka pada hari ini tibalah Hari Terbuka yang ditunggu-tunggu. Hari Terbuka pada hari ini adalah anjuran Adun Bangi bersama Pas Kawasan Serdang dan bersama Dap Serdang. Sejak pagi-pagi petugas-petugas tiba setelah malam tadi menyiapkan khemah-khemah dan menghantar barang-barang ke Stadium sejak petang dan malam tadi.

Mulai dari pagi hingga sebelum jam 12.00 tengahari Stadium didatangi petugas-petugas bagi mempersiapkan menu-menu bagi setiap gerai yang telah ditentukan. Penyediaan makanan dan minuman dibahagi-bahagikan menurut cawangani di samping sedikit peruntukan dikeluarkan oleh Pejabat Adun bagi cawangan-cawangan bagi menyediakan bahan-bahan. Adalah difahamkan lebih dari 20 jenis menu disediakan. Ini termasuklah nasi impit, soto, roti canai Mat Indera, nasi berlauk, gulai kawah, roti Perancis, keropok lekor, laksa Mat Sabu, kari kambing Bukit Kepong, keropok lekor, air Hijau PAS, mee sup, mee goreng, tembikai, nasi beriani, biskut Rakyat Selangorku, roti jala dan sebagainya.



Setelah pulang dari persiapan pagi dan datang untuk perasmian sebelum jam 12.00 didapati pengunjung-pengunjung bertali arus memulakan jamuan secara tidak rasmi. Upacara perasmian dijalankan semasa jamuan sedang rancak berjalan. Pengunjung-pengunjung memilih apa jenis makanan yang mereka suka dan makan di meja, di atas kerusi dan bertenggek di mana saja mereka rasa selesa.
Jam 12.00 majlis formal dimulakan dengan pembacaan doa dan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Program saudara Azmi bin Ahmad yang mengalu-ngalukan kehadiran pengunjung-pengunjung dan berterima kasih kepada petugas-petugas yang bertungkus lumus menyediakan persiapan dan menghidang kepada para pengunjung. YB saudari Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang yang merupakan Pengantin Baru mengucap Selamat Hariraya Idul Fitri kepada semua yang hadir. Beliau bergembira dengan kerjasama semua pihak sehingga berjaya menarik pengunjung yang begitu ramai. Beliau menyebut bahawa hubungan antara beliau selaku Ahli Parlimen Serdang dengan Adun Bangi amat baik dan kerjasama dari dulu dahulu hingga kini tetap utuh. Beliau berharap masyarakat akan memberi sokongan dalam rangka cita-cita untuk menambah kerusi bukan saja pada peringkat negeri, tetapi mencapai kemenangan pada peringkat Pusat dengan menguasai Putrajaya.

YDP Pas Serdang yang menyampaikan ucapan, bahawa cawangan-cawangan Pas Serdang memberi kerjasama yang erat dalam menjayakan sambutan Idul Fitri pada kali ini. Menu-menu yang dihidang adalah hasil dari persiapan cawangan dengan menu-menu ditentukan.. Beliau maukan cawangan-cawangan memantapkan kedudukan masing-masing bagi peresiapan pilihanraya yang mula diperkatakan sekarang.

Adun Bangi memfokuskan ucapan kepada khidmat masyarakat yang menurutnya makin dipertingkatkan. Menurutnya Adun dan AJK-AJK terus turun padang dan melakukan khidmat masyarakat. Misalnya bagi menarik pengunjung ke Hari Terbuka ini, Adun dan pengiring-pengiring turun ke 7 pasar dan Pasar Malam menyampaikan handbill jemputan ke Hari Terbuka. Sebulan Ramadhan menziarah surau dan masjid dan menyampaikan bantuan kepada faqir miskin dan menyampaikan bantuan raya terutama kepada ibu tunggal, orang miskin, anak yatim, warga emas dan sebagainya.. Adun Bangi dan AJK-AJK akan terus menjalankan khidmat masyarakat dan menggunakan peruntukan bagi khidmat masyarakat. Adun berterima kasih kepada semua yang terus memberi sokongan dan sokongan diharap akan terus meningkat. Buat akhirnya dengan lafaz bismillah Adun Bangi merasmikan Rumah Terbuka Idil Fitri 1432H = 2011. Turut hadir ke Majlis Hari Terbuka ialah YB Tony Phua Ahli Parlimen PJ Utara, Puan Zuryati Yasin Ketua Muslimat Pas Serdang. Ketua PKR Cabang Kajang, iaitu Cikgu Ridhuan, Tuan Haji Marzuki Pengerusi Rumah Prihatin, Sungai Ramal Luar, Tuan Haji Mohd.Yusof bin Abdul Kadir Ketua Kampong Sungai Ramal Luar, En Latif Manan Ketua Kampong Sungai Ramal Dalam, En. Azlan Ketua Kampong Kampong Bahagia, Bangi dan lain-lain.

Dalam Majlis Hari Terbuka ini juga disampaikan bantuan-bantuan kepada institusi seperti kepada Rumah Prihatin, Ma`had Tahfiz dan warga-warga emas. Puncak penyampaian yang menimbulkan kekecohan ialah bila menyampaikan duit raya kepada anak-anak yang datang menyerbu secara bersesak-sesak, kekecohan juga diakibatkan oleh hujan mulai turun. Kepada anak-anak yang telah menerima duit raya di arah masuk ke dewan bahagian belakang. Kemudian pembahagian duit raya dapat dilakukan dengan lancar. Beberapa persembahan nasyid dilakuakn, termasuklah dari Kumpulan Nasyid Anak-Anak Prihatin. Sungguhpun pada bahagian pertengahan Majlis hujan turun, ianya tidak menghalang pengunjung-pengunjung yang datang membanjiri kawasan Kompleks Sukan Bangi. Berlaku jem di jalan masuk ke stadium, kerana begitu ramai pengunjung-pengunjung membanjiri stadium.

Sementara itu sambil meraikan tamu-tamu yang datang bersama YB Teo dan yang lain-lain, Adun mengambil kesempatan melawat gerai-gerai dan makanan yang disediakan dan bercakap-cakap dengan pengunjung-pengunjung yang sedang makan dan yang baru tiba dan juga bersalam dengan mereka yang mulai pulang. Dari perhatian Adun, makanan yang disediakan mencukupi. Kehadiran dijangka mencecah 15,000.

Al-Hamdulillah semua berjalan lancar dan bersyukur kepada Allah di atas kelicinan perjalanan dan kejayaan Sambutan Idul Fitri 1432 = 2011.

Sekian.

No comments:

Post a Comment