Sebagaimana firman Allah - Sesungguhnya Allah jua yang mengetahui tentang tempoh sesuatu – termasuk kiamat (Luqman: 34) dan firman-Nya lagi bermaksud:
`Maka apabila tiba ajal mereka itu, maka tidak akan tertangguh dan tidak terkedepan walaupun sesaat (Al-A`raf: 34).
Demikianlah Nuramfaizul Mohd Nor Wartawan Bernama yang mengikuti misi Putera Malaysia I ke Mogadishu, Somalia mungkin boleh dipersoal dan terkilan, mengapa Datuk Abdul Aziz selaku Ketua Putera memilih tarikh 28 Ogos=28 Ramadhan ke Somalia. Tidakkah seeloknya ditanggah beberapa hari kemudian selepas sambutan Hariraya Idul Fitri dan Sambutan Merdeka ? Walaupun boleh disoal, tapi itulah penentuan takdir dan panggilan ajal, Noramfaizul, dia sama bertolak ke Mugadishu bersama 54 peserta yang lain atas misi kemanusiaan pada 28 Ramadhan sehari sebelum hariraya Idul Fitri.
Sesungguhnya apabila berita tengah malam pagi 3 September (Sabtu) dimaklumkan bahawa Noramfaizul Pemberita Bernama ditembak mati dan seorang kawannya Aji Seregar luka dalam perjalanan pulang ke Hotel, kita mempersoalkan lagi apakah pemergian diatur dengan rapi dan dikenal pasti terlebih dahulu dari segi logistic dan keselamatan. Cakap-cakap yang timbul dari kalangan yang sama pergi dalam rombongan, kematian bukan sebenarnya kerana terkena peluru sesat, tetapi kenderaan ditembak oleh pihak anggota tentera African Union yang berkawal, kerana kenderaan memasuki kawasan larangan ! Ini mendedahkan bahawa tidak ada ketelitian dari segi keselamatan dibuat oleh Putera Malaysia. Bukti tiada ketelitian lagi apabila didedahkan bahawa tiada perlindungan keselamatan dan insuran yang dibuat terhadap peserta-peserta yang mengikuti Putera Malaysia ini – termasuk Noramfaizul, meskipun diketahui destinasi tempat pergi adalah dalam suasana peperangan dan amat membahayakan, tetapi demi publisiti bagi Putera Malaysia I dan bagi Umno, maka misi diteruskan dalam keadaan tiada persediaan rapi.
Di sebalik persoalan-persoalan yang ditimbulkan, tragidi kematian bagi misi keamanan ini satu yang besar. Tembakan yang memakan korban itu adalah sebagai letusan yang menggemparkan dunia, khususnya di Malaysia. Misi Kemanusiaan dan Keamanan terkorban. Ianya satu yang menarik simpati masyarakat dan melihat kerjaya wartawan satu tugas glamour dan murni, tetapi amat terdedah kepada keselamatan nyawa sebagaimana yang berlaku kepada Nuramfaizul. Pagi ini Adun mendapat lebih maklumat, bahawa keluarga Noramfaizul adalah tinggal di kawasan Serdang Raya dan tidak jauh dari Masjid Al-Islah, Seri Kembangan, iaitu masjid yang sering Adun kunjungi. Mengetahui bahawa jenazah Noramfaisul akan tiba di Pengkalan TUDM sungai Besi jam 10.00 pagi ini, akan dimandikan di Surau Pengkalan di TUDM dan akan disembahyangkan di sana. Adun membuat konteks dengan Tuan Haji Rushdi Ketua Lajnah Kebajikan Adun yang tinggal di Serdang Raya, untuk mengetahui perkembangan. Adun yang berada di lokasi Kajang Mewah, kerana membuat lawatan di sana dimaklumkan bahawa jenazah Noramfaizul selepas tiba dan diuruskan di Pengkalan TUDM, maka sebagai menghormati hasrat ibu bapa dan keluarga jenazah akan dibawa pulang ke rumah Noramfaizul berhampiran dengan masjid di sini dan kemudian akan disembahyangkan sekali lagi di masjid al-Islah di sini selepas solat zohor dan kemudian akan disemadikan di tanah Perkuburan UPM.
Dengan maklumat ini Adun yang pulang ke Pejabat selepas selesai program di Kajang Mewah, bertolak dengan saudara Azizi ke Masjid Al-Islah, Serdang Raya, Seri Kembangan. Mula-mula ke Masjid, kemudian ke rumah Noramfaizul. Orang ramai terutama dari kalangan media ramai menunggu kesampaian Van Jenazah. Hadir seblum jenazah tiba ialah Datin Seri Rosmah Mansur yang mewakili Perdana Menteri Dato` Seri Najib Tun Razak (PM menyambut kesampaian jenazah di TUDM & juga TPM). Tan Sri Rais Yatim Menteri Penerangan Malaysia, YB Yaakob Sapari Exco Kerajaan Negeri Selangor yang mewakili Menteri Besar Selangor, Adun Bangi, Ustaz Shafie Ngah YDP Pas Serdang dan saudara Adram Musa Ketua Pemuda Pas Serdang. Kesampaian jenazah yang didahului penghormatan pasukan bermotosikal dari Polis Diraja Malaysia disambut terutama oleh keluarga dan media dan mereka yang bukan dari keluarga tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah, kecuali vip-vip penting. Lebih kurang sejam jenazah ditatap oleh keluarga terdekat, jenazah dibawa ke Masjid al-Islah di sini. Sebelum tiba pihak masjid yang diketuai Imam di sini mengadakan bacaan Yasin dan tahlil. Jenazah tiba lima minit sebelum waktu zohor dan selepas solat zohor, solat jenazah dilakukan dengan diimami oleh Imam Masjid Al-Islah di sini. Turut bersembahyang jenazah di sini ialah YB Datuk Jamil Khir Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Rais Yatim, Menteri Penerangan Malaysia, Adun Bangi, saudara Adram Musa, pegawai-pegawai. kakitangan dan sahabat-sahabat.
Kemudian Jenazah diiringi kenderaan bertali arus ke Perkuburan UPM. Adun Bangi turut sama mengiringi jenazah dan sama menyaksikan perkebumian, talqin dan doa.
Dari Allah kita datang dan kepada Allah kita berpulang. Semoga Allah mencucuri roh al-Marhum saudara Noramfaisul Mohd. Nor. Amin !
Sekian.
No comments:
Post a Comment