Al-Marhum Noramfaizul mangsa tembak di Mogadishu, Somalia selamat dibawa pulang ke tanahair dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam UPM, zohor 4 September. Di sebalik sanjungan dan pengiktirafan tentang kewiraan Noramfaizul makin banyak dipersoalkan cara pengendalian dan pengurusan apa yang dinamakan sebagai `misi kemanusian` itu.
Motif utama misi berkenaan dilihat adalah lebih bersifat politik. Kelab Putera 1 Malaysia adalah sebagai proxy bagi Umno menjalankan aktiviti-aktiviti kemanusiaan bagi memprojekkan imej unggul Umno di mata masyarakat dan di mata antarabangsa. Bahkan dilihat misi keamanan ke Mogadishu, Somalia antaranya bagi memulihkan imej Perdana Menteri Dato` Seri Najib yang semakin menurun. Pemilihan Mogadishu dilihat dalam keadaan tergesa-gesa, tanpa membuat perancangan yang rapi dari segi logistic dan keselamatan. Adalah dipercayai projek walaupun dilihat sebagai di bawah kendalian Kelab Putera 1 Malaysia, pada hakikatnya ialah Projek Umno, bahkan projek kerajaan BN, kerana ianya melibatkan peruntukan yang besar bagi satu misi yang anggotanya seramai 55 orang, antaranya menggunakan pesawat pertahanan Negara dan peruntukan Negara ? Wartawan-wartawan baik dari Bernama dan stesen-stesen tv yang lain adalah menerima tawaran dan arahan untuk turut serta, kerana inilah saluran-saluran maklumat yang penting untuk disampaikan kepada rakyat. Tidak banyak pilihan bagi wartawan, termasuk Noramfaizul untuk mempersoalkan dari segi keselamatan dan kita juga mempersoalkan adakah kajian teliti dibuat sebelum misi dihantar dari segi kesesuaian tempat, lebih-lebih lagi dari segi keselamatan. Mereka adalah bersifat patuh – sami`na wa ata`na.
Apa yang diketahui Somalia adalah di dalam keadaan perang antara golongan Syabab yang memberontak dan pihak Kerajaan yang mempertahankan kedudukan. Negara Somalia juga adalah teruk dari segi keamanan. Di darat berlaku persengkitaan senjata dan di laut lanun pula bermaharajalela – termasuk yang menjadi mangsa dan tawanan lanun ialah kapal-kapal dagang dari Malaysia. Huruhara yang dialami Somalia menyebabkan rakyatnya terperangkap dan menjadi mangsa keadaan. Rakyat merempat, kekurangan makanan dan berpenyakit. Inilah situasi lokasi pilihan misi keamanan pilihan Kelab Putera 1 Malaysia.
Memang beberapa hari terawal kesampaian misi rombongan, publisiti begitu hebat di dalam media letronik dan cetak yang menunjukkan Ketua Rombongan yang juga Ketua Kelab Putera 1 Malaysia Dato` Abdul Azeez bin Abdul Rahim menyampaikan bantuan makanan kepada kelompok penduduk di Mogadishu yang kelaparan. Pada satu peringkat terkeluar kenyataan dari Abdul Azeez yang mau membawa balik 5 orang anak Somalia ke Malaysia untuk dididik dan dibesarkan di Malaysia. Begitu hebatnya perancangan Kelab Ketua Pemuda 1 Malaysia itu, tetapi selepas tragedi terbunuhnya Noramfaizul Abdul Azeez sepi membatu dari membuat kenyataan yang juga menimbulkan pertanyaan. Mungkin tersentak dan tersedar dari exploitasi murahan yang dilakukan bagi mendapat pablisiti dan akibat kecuaian terpaksa dibayar dengan harga yang mahal – nyawa seorang warganegara yang merupakan wartawan yang dedicated dengan profesyennya. Kita juga bertanya, kerana tidak ada kenyataan, sejauhmanakah rundingan dengan pihak kerajaan Somalia dibuat sebelumnya, kerana dari peristiwa tragis seolah-olah pihak berkuasa Somalia tidak peka dengan kehadiran rombongan Kelab Pemuda. Lebih dari itu timbul lagi pertanyaan, mengapa operasi bagi mengeluarkan rombongan kelab dilakukan secara mencuri-curi dengan pesawat turun tanpa berhenti dan mengambil rombongan termasuk mayat Noramfaizul dan terbang ke Pulau Seychelles. Tindakan ini menimbulkan pertanyaan dan keraguan kerana tidak menurut procedurekeselamatan dan penerbangan secara normal.
Apa pun kematian seorang wartawan secara ditembak di luar Negara dengan tugas suci bersama misi kemanusiaan adalah berita besar di dunia dan segera menarik sentiment dan simpati, khususnya bagi rakyat Malaysia dan segera menjadi berita utama bagi media letronik dan media cetak dan ini adalah peluang yang memang dicari bagi publisiti terutama bagi pemimpin-pemimpin politik, peluang ini tidak dilepaskan – Dato` Seri Najib dan isteri yang bercuti di Australia memendekkan percutian, kerana mau mengambil peluang bersama menyambut kepulangan jenazah Noramfaizul seterusnya sama bersembahyang jenazah. Dari segi publisiti ini menunjukkan betapa prihatinnya Perdana Menteri terhadap tragidi yang berlaku kepada Noramfaizul. Beberapa Menteri lain turut sama termasuklah Dato` Seri Rais Yatim dan Dato`Jamil Khir Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang beliau nampaknya dua kali sembahyang jenazah Noramfaizul, satu di Masjid TUDM dan sekali lagi di Masjid Al-Islah di Serdang Raya.
Berhubung dengan kematian Noramfaizul juga timbul beberapa kenyataan antaranya bercanggah. Kenyataan awal Rais Yatim bahawa Noramfaizul tidak dilindungi ansuran khas, tetapi kemudian mengubah kenyataan bahawa beliau dilindungi dan berhak mendapat pampasan RM200,000. Kita berharap perkara ini tidak hanya bersifat cakap-cakap sahaja. Rais Yatim juga membuat kenyataan untuk menggubal procedure bagi misi-misi keamanan bagi menjamin keselamatan mereka, iaitu kenyataan biasa yang bersifat sesudah terantuk baru tengadah, begitu juga kenyataan-kenyataan perlu dipastikan keselamatan peserta dengan memakai baju kalis peluru dan sebagainya, manakala Dato` Seri Shahrizat Abdul Jalil membuat kenyataan untuk memberi perhatian terhadap anak-anak Noramfaizul, kita menyaksikan apakah janji-janji akan ditunaikan.
Pendek kata dari Tragidi Kematian di Mogadishu ini, banyak yang mengambil kesempatan menumpang publisiti. Namun kita berpendapat publisiti yang sesuai bagi peringkat Negara, jika serius mau bertindak, ialah kerajaan perlu menghantar rombongan mengusahakan perdamaian antara puak-puak yang bersengkita di Negara Islam itu, agar dapat dikembalikan keamanan dan rakyat tidak tersepit antara konflik yang mengakibatkan penderitaan dan kelaparan atau gunakan mekanisme OIC. Jika ini dapart dilakukan oleh Dato` Seri Najib dan berjaya beliau boleh jadi jaguh keamanan dan dkenang oleh rakyat di Somalia dan juga Malaysia ! Pemergian dan setakat pembahagian makanan secara murahan tak lebih dari cara Wakil Rakyat masuk kampong dan tidak sesuai bagi tahap NGO antarabangsa, apa lagi pada peringkat Negara.
Walau bagaimana berhubung dengan Tragidi Mogadishu yang banyak menimbulkan persoalan ini perlu dijelaskan kepada rakyat dan kita berharap persoalan ini akan ditimbulkan di Parlimen, oleh itu sebuah suruhanjaya atau sekurang-kurang badan bebas dilantik menyiasat pengurusan misi kemanusiaan ke Mogadishu, Somalia ini dan didedahkan apakah ianya benar-benar telus. Kita berharap dari kajian menjelaskan kepada rakyat apakah misi benar-benar berhasrat memberi bantuan, atau betul-betul bersifat kemanusiaan atau semata-mata untuk mencari kesempatan bagi publisiti murahan, terutama ahli-ahli politik Kerajaan Umno-Bn. Program yang diatur, tetapi terhenti juga wajar dibentang Jika ini dapat dibuktikan ianya bersifat murahan, maka usaha membina imej Umno melalui misi ke Somalia adalah tidak mencapai objektif, sia-sia dan bagi Umno, ianya ibarat senjata makan tuan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment