September 10, 2011

Di Sebalik Beraya: Kami Berziarah Membawa Simpati Dan Doa

Bangi, 10 Syawal = 08 September (Khamis):

Tanggapan biasa, bahawa Hariraya adalah hari bergembira, kunjung berkunjung mempereratkan silaturrahim, tetapi di sebalik itu tak kurang pula yang berada di dalam suasana duka, khususnya bagi keluarga yang berkenaan. Setelah mendapat maklumat, maka pada petang ini, kami dari Lajnah Kebajikan mengatur program membuat ziarah kepada mereka yang mengalami masalah – lebih awal dari ziarah Hariraya berkelompok.

Ke Hospirtal Serdang

Oleh kerana hari ini hari kerja, lajnah mengatur program selepas Asar, selepas sebahagian dari yang bekerja pulang. Kmi ke Hospital Serdang, kerana salah seorang Imam di Masjid Al-Hasanah, iaitu Imam Supaat bin Abdul Rahman sakit yang berhubung dengan paru-paru. Beliau dimasukkan ke Klinik dan kemudian ke Hospital selepas bertugas sebagai Khatib dan Imam pada pagi raya Selasa lepas. Adun bersama isteri, saudara Harun dan saudara Amir Osman menziarah beliau di Hospital Serdang dengan beberapa orang AJK menunggu di Hospital Serdang. Al-Hamdulillah keadaan Imam Supaat bertambah baik, jika sebelum ini beliau dimasukkan ke ICU, pada masa kami ziarah beliau dikeluarkan ke wad biasa. Semasa menziarah kami disambut isteri Tuan Imam dan anak-anak beliau yang menjaga suami/ayah kesayangan mereka. Kita berdoa kepada Allah semoga beliau segera sembuh dan kembali sihat secara normal insya Allah dan dapat kembali bertugas.

Ke Bukit Mahkota

Rombongan AJK Kebajikan bergerak dari Hospital Serdang bersama Tuan Haji Rushdi dan isteri dalam kenderaan berasingan, menuju ke Seksyen 5, Bukit Mahkota. Kami ke Bukit Mahkota untuk menziarah isteri kepada saudara Fazli Daud, Timbalan Setiausaha Pas Kawasan dan Setiausaha Majlis Adun Bangi. Isteri beliau mengalami masalah darah tinggi. Kami disambut saudara Fazli dan isteri beliau didekati oleh isteri Ketua Lajnah Kebajikan. Menurut saudara Fazli yang terpaksa bercuti, bahawa isterinya semakin pulih. Anak-anak yang belajar di luar kawasan turut pulang untuk bersama ibu mereka. Kita mendoakan kesihatan isteri saudara Fazli kembali pulih insya Allah.

Ke Bandar Sei Putera

Dari Bukit Mahkota kami bertolak ke Surau Dahlia di Bandar Seri Putera dan menunaikan Solat Maghrib di sini. Selepas itu bersama Ketua Cawangan di sini, kami dibawa melawat seorang ibu tunggal – tidak jauh dari surau, iaitu Puan Sapura Binti Ibrahim yang kematian suami, iaitu En. Kamaruzzaman Bin Haji Othman (39), meninggalkan 3 orang anak. Sejak kematian suami isterinya masih belum bekerja dan berpindah ke rumah pangsa di sini, untuk mengurangkan perbelanjaan sewa. Ketiga-tiga anak sedang bersekolah. Kami memanjangkan simpati dan berharap buat sementara ini Puan Sapura dapat menjaga anak-anak jiran-jiran yang bekerja dan berharap pihak cawangan berusaha mendapatkan pekerjaan yang sesuai bagi Puan Sapura menanggung anak dan juga membayar sewa rumah. Pemindahan beliau ke sini kerana ada waris yang beliau dapat sedikit sebanyak bergantung harap dan menguatkan semangat. Kami memanjangkan simpati dan menyampaikan bantuan.

Sekian..

No comments:

Post a Comment