Selepas seminggu Syawal, sambutan Hariraya dengan nama `Hari Terbuka`begitu rancak diadakan. Antara sambutan Hariraya yang Adun hadiri ialah:
Kajang Utama (Sabtu 10 September)
Sambutan Hariraya di Kajang Utama adalah anjuran Cawangan Pas Kajang Utama yang diketuai Haji Abdul Razak bin Abdullatif dan AJK seperti saudara Azman dan lain-lain. Sambutan bertempat di Pasti As-Syakirin berhampiran dengan Surau Al-Muhajirin di sini bermula dari jam 10.00 pagi hingga 4.00 petang. Adun hadir bersama isteri dan beberapa tenaga dari Pejabat Adun. Turut hadir Ustaz Shafie Ngah YDP Pas Serdang, pimpinan pemuda peringkat Pusat seperti Sdr. Sani Hamzan, sdr. Adram Musa yang juga Ketua Pemuda Pas Serdang, saudara Abang Kerdee, Tuan Haji Mazwan ahli MPKj. Sementara para tetamu setempat ramai hadir memeriahkan suasana. Berbagai menu disediakan termasuklah sate, lemang, laksa asam, mee dan sebagainya. Sambutan begitu meriah.
Hari Terbuka Ketua Kampung Teras Jernang
Hari Terbuka di sini (Sabtu 10 September) adalah anjuran JKKK Teras Jernang yang diketuai Ketua Kampong Encik Shukur Jantan. Majlis diadakan di rumah Ketua Kampong berkenaan. Penyediaan makanan Hariraya dilakukan secara bergotong royong. Adun hadir bersama isteri pada jam 5.30 petang. Hadir sama ialah Ustaz Shafie Ngah dan isteri YDP Pas Serdang. Turut hadir En. Zulkifli Timbalan YDP MPKj. Menu utama ialah lemang, nasi impit, sate dan laksa penang.
Sambutan Raya di Surau Al-Falah, Jalan 6, BBB
Pagi ini (Ahad 11 September) hadir Hariraya yang diadakan oleh AJK Surau Al-Falah, Jalan 6 yang dihadiri Adun, Ustaz Shafie Ngah YDP Pas Serdang, Pengerusi Surau Tuan Haji Adnan, Imam Tuan Haji Mat Ali, Ustaz Shauqi dan penduduk setempat yang keluar beramai-ramai memeriahkan sambutan. Majlis dikendalikan oleh Tuan Haji Mat. Pengerusi Surau mengalu-ngalukan kehadiran tamu-tamu kehormat dan orang ramai setempat yang datang memeriahkan sambutan.
Adun Bangi dalam ucapan mengucap tahniah di atas kerjasama penduduk menyambut Idul Fitri secara gotong royong dengan begitu meriah. Adun Bangi juga mengucapkan tahniah kepada pihak Surau Al-Falah yang baru-baru ini menerima keizinan mendirikan solat Jumaat. Ini akan lebih memakmurkan Surau. Sememangnya Jalan 6 akan berkembang maju dalam masa terdekat, kerana Pusat Islam (Pejabat Agama Daerah Hulu Langat sedang dalam pembinaan) berdekatan dengan Sekolah Kafa Integrasi dan sebuah Sekolah Menengah juga akan dibina berdekatan. Kemudahan-kemudahan yang lain juga akan diadakan di kawasan Jalan 6 insya Allah.
Sebelum berundur diri Adun dan Ustaz Shafie Ngah dijemput mencabut nombor-nombor bertuah dan menyampaikan hadiah.
Berhariraya di Kg. Bahagia Pekan Bangi
Selepas berhariraya di Jalan 6, kami bertolak ke Kampung Bahagia, Pekan Bangi. Kami disambut Ketua Kampong En. Azlan, Dr. Azmi, En. Sanusi dan AJK Kg. dan Surau. Turut hadir En. Lau, Ketua Kampong Kg. Baru Cina, Pekan Bangi. Sambutan bertempat di Balairaya di sini.
Ketibaan kami selepas bersalam terus dijemput menikmati jamuan raya. Dua menu keistimewaan di sini yang tidak terdapat di tempat lain ialah Nasi Dagang ala Terengganu yang dimasak, menurut Ketua Kampong oleh orang berasal dari Terengganu. Kami makan agak banyak hingga kenyang. Selepas makan nasi dagang kami dihidang dengan sop panas. Masakan sop adalah merupakan menu tahunan. Kerana di sini ada pakar tukang masak sop. Rasanya memang amat enak. Malangnya kami telah terlampau kenyang. Sop yang dihidang di dalam mangkok polistrin begitu banyak terpaksa dikurangkan separuh. Menu lain termasuklah sate dan kuih-kuih.
Selepas makan Adun diminta berucap ringkas. Adun mengucapkan terima kasih di atas jemputan. Terima kasih di atas hidangan yang menyelirakan. Adun berharap hubungan mesra antara masyarakat terus dipereratkan, termasuk antara yang bukan Islam seperti dapat dilihat En. Lau, keluarga dan kawan-kawannya turut hadir, juga dari kalangan keturunan India. Bersyukur kepada Allah kita hidup dalam keadaan harmoni saling menghormati antara satu sama lain.
Berhariraya Di Rumah Tuan Haji Sukaimi di Pekan Bangi
Pada tengahari hari bekerja hari ini (Rabu 14 September), kami serombongan dari pejabat – Adun, Nabilah, Aishah dan Sabrina berhariraya di rumah Tuan Haji Sukaimi Rasmi, Setiausaha Pas Serdang. Beliau mengadakan `Rumah Terbuka` selain dari menjemput kami, dijemput staf-staf sejabatan dengannya di UKM. Kami tiba sedikit awal dan menikmati berbagai jamuan raya lebih awal. Selepas itu tiba pelajar-pelajar – antara jemputan teramai selain dari staf pejabat. Kebanyakan pelajar-pelajar yang datang ialah pelajar-pelajar peringkat Ijazah Ph. D dan Masters. Sebahagian daripada mereka adalah pelajar-pelajar dari luar Negara. Antara mereka pelajar-pelajar dari Libya, Iraq dan Yaman, lelaki dan perempuan. Kami sempat berbincang dengan mereka. Mereka belum mampu berbahasa Melayu, kecuali sedikit-sedikit. Kami berkomunikasi melalui bahasa Arab dan English. Kebanyakan daripada mereka mengambil pengajian dalam bidang sains. Berhubung dengan pergolakan di Libya, mereka nampaknya tak kisah sangat berkenaan politik. Semua pelajar-pelajar yang datang tidak terdedah dengan keadaan setempat, termasuk pelajar dari Malaysia. Mereka tak taupun siapa Adun Bangi yang datang bersama mereka. Mereka agak terkejut bila diperkenalkan Adun dari Bangi.
Sekian.
No comments:
Post a Comment