March 22, 2015

Mewariskan Kesusasteraan Melayu Yang Kukuh - Klasik


BBB, 30 Jamadil Awwal 1436 = 21 Mac 2015 (Sabtu):
Era selepas Islam memperkayakan persuratan Melayu. Sebahagian dari hasil persuratan yang besar dan penting adalah dari zaman keagungan Melaka dan zaman ini merupakan permulaan zaman prolifiknya persuratan Melayu. Penghasilan persuratan tidak terhenti di zaman Melaka, tetapi berterusan berlaku. Walau bagaimana kebanyakan hasil persuratan dan kesusasteraan tidak dikenal pasti dari tempat mana dan bila dihasilkan. Namun ini bukanlah perkara yang penting. Pokoknya ianya merupakan hasil persuratan Melayu yang dihasilkan dalam kawasan ini.
Berbagai pendekatan dilakukan oleh pengkaji-pengkaji bagi melihat, menilai dan mendokomentasikan hasil-hasil persuratan berkenaan yang menandakan kekayaan hasil-hasil kesusasteraan dan persuratan berkenaan. Antara pendekatan popular ialah membahagikan hasil-hasil persuratan dan kesusasteraan kepada periode zaman seperti klasik, tradisional dan moden.
Adapun yang mengklasifikasikan kesusasteraan pada peringkat klasik, lantas yang banyak  dilihat ialah prasasti-prasasti kuno dan lama yang merupakan batu-batu bersurat dan batu-batu nisan. Ruang zaman yang diterobos hingga kepada zaman pra-sejarah dan sejarah kuno. Ini sebagaimana dilakukan oleh Teuku Iskandar yang menjadi sebahagian dari kandungan bukunya yang berjudul Kesusasteran Klasik Melayu Sepanjang Abad. Bahan-bahan klasik yang menjadi kajiannya seperti sejarah penggunaan tulisan, Prsasti Kedukan Bukit, Talang Tuwo, Kota Kapur dan Batu Bersurat Terengganu. (Teuku Iskandar, Kesusasteraan Klasik Melayu Sepanjang Abad, Universiti Brunei, Brunei Darussalam, 1995: 684hlm.).


Pendekatan yang banyak mempengaruhi bidang persuratan dan kesusasteraan Melayu ialah dilakukan oleh Winstedt. Beliau melihat sastera klasik Melayu dari segi periode zaman yang disusun secara logik bermula dari sastera rakyat membawa kepada  zaman pengaruh Hindu, Jawa, transisi antara Hindu dan Islam, zaman Islam, cerita-cerita kepahlawanan, cerita berbingkai, persuratan aqidah, syari`ah dan histriografi, sastera sejarah undang-undang dan puisi-puisi. Beliau membataskan antara tradisi dan moden dengan Abdullah Munshi. Pendekatan ini meluaskan apa yang dikatakan tradisi termasuk di bawah klasik.  Pendekatan Winstedt ini begitu berpengaruh di dalam pengajian Melayu khususnya di Universiti Malaya. Pendekatannya dilanjutkan oleh pendukung-pendukungnya. (Winstedt, R., A History of Classical Malay Literature, Oxford University Press, Kuala Lumpur-Singapore, 1972: 323hlm.).
Antara yang turut membicara dan membataskan pembicaraan kepada bidang klasik ialah Profesor Mohd. Taib Osman bersama Abu Hassan Sham dengan buku mereka yang berjudul `Warisan Prosa Klasik` ialah tentang cerita-cerita rakyat, sastera epik, Sastera sejarah  dan sastera Roman.
(Mohd. Taib Osman dan Abu Hassan Sham, Warisan Prosa Klasik, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1983: 302hlm.).
 Manakala Liaw Yock Fang membicarakan Sejarah Kesusasteraan Melayu Klasik di dalam dua jilid melibatkan aspek yang lebih luas, iaitu Kesusasteraan Rakyat, Epos India dalam Kesusasteraan Melayu dan Wayang, Cerita Panji dari Jawa, Sastera Zaman Peralihan Hindu Islam, Kesusasteraan Zaman Islam. Manakala dalam jilid kedua pula dibicarakan Cerita Berbingkai, Sastera Kitab, Sastera Sejarah, Undang-Undang Melayu Lama dan Pantun dan Syair.
(Liaw Yock Fang, Sejarah Kesusasteraan Melayu Klasik – 1 & II, Penerbit Erlangga, Indonesia, 1991 &1993: 306 & 264hlm.).
Jelas daripada kandungan buku-buku yang membicarakan sastera Melayu Klasik, bahawa bahan kesusasteraan yang menjadi warisan sastera Melayu bahagian klasik itu begitu banyak. Ini mecerminkan kekayaan sastera dan Bahasa Melayu.
Dari semua pembicraan hanya Teuku Iskandar mengambil pendekatan yang lebih lengkap mengenai kesusasteraan Melayu klasik. Beliau membicarakan bukti-bukti kesusasteraan Melayu klasik berdasarkan  prasasti-prasati Batu Bersurat dan batu-batu nisan seperti Batu Bersurat di Minye Tujuh, Batu Bersurat Terengganu dan Batu Nisan Sultan Malikul Salih di Aceh dan berbagai-bagai prasasti yang lain.


Adapun dari segi pendekatan-pendekatan yang lain adalah hampir bersamaan. Mereka memulakan pendekatan tentang sastera rakyat.  Teuku Iskandar menekankan tentang sastera asal usul, Winstedt tentang Mythology, Muhammad Taib Osman dan Abu Hassan Sham memberi perhatian kepada Hikayat Anggun Cik Tunggal, Si Gombang, Awang Lutong dan Hikayat Terung Pipit, Manakala Liaw Yock Fang membicarakan tentang cerita Asal usul. Semua pendekatan membicarakan pengaruh Hindu dalam kesusasteraan Melayu terutama dengan Hikayat Seri Rama. Teuku Iskandar memberi tumpuan pada kesusasteraan Pasai khususnya berhubung dengan Hikayat Raja-Raja Pasai, sedangkan Winstedt memberi perhatian terhadap sastera pengaruh Jawa termasuk dalam perwayangan. Semua pendekatan membicarakan tentang sastera epik atau kepahlawanan terutama terhadap karya Amir Hamzah dan Muhammad Hanafiah. Liaw Yock Fang memberi perhatian terghadap apa yang diistilahkan sebagai Zaman Peralihan Hindu Islam seperti Hikayat Puspa wiraja, Hikayat Parang Punting, Hikayat Lang-Lang Buana dan sebagainya. Liaw Yock Fang juga memberi peruntuk khusus membicarakan kesusasteraan Zaman Islam kepada cerita-cerita Al-Qur`an, Cerita Nabi Muhammad, Cerita Sahabat Nabi Muhammad. Beliau juga memberi perhatian terhadap persuratan undang-undang, khususnya tentang Hukum Kanun Melaka –termasuk Undang-Undang Laut Melaka.
Teuku Iskandar membicarakan kesusasteraan zaman Acheh yang tidak diberi perhatian oleh pendekatan-pendekatan yang lain seperti karya-karya oleh Hamzah Fansuri, Shamsuddin al-Sumatrani, Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf Singlkel. Winstedt mempunyai pendekatan berlainan dengan membicarakan sastera yang berhubung dengan aqidah dan syariah dan Winstedt dan Liaw Yock Fang membicarakan tentang sastera berbingkai yang merupakan sebagai sastera yang dipengaruhi Islam yang mengambil contoh seperti karya Seribu Satu Malam, Hikayat Bakhtiar dan sebagaiinya. Dengan penumpuan bidang-bidang yang dominan yang dibicarakan oleh semua pendekatan seperti mengenai sastera rakyat, pengaruh Hindu dan Islam dan epic dan ada bidang yang diberi perhatian oleh satu pendekatan dan yang lain tidak memberi tumpuan sebenarnya makin melengkapkan bidang dan ruang lingkup kesusasteraan klasik itu sendiri.
Melihat kepada bidang-bidang, apa lagi mebaca kandungan bagi setiap bidang menyedarkan kita bahawa betapa kayanya bidang kesusasteraan Melayu Klasik itu sendiri. Ia antaranya asli tempatan, saduran dan antaranya dari pengaruh zaman Hindu dan Islam. Semuanya ini memperkaya dan mengukuhkan bidang kesusasteraan Melayu Klasik itu sendiri.

Sekian.

March 21, 2015

Sikap Islam Terhadap Warisan Sastera Yang Selari Dan Tidak Selari Dengan Islam


BBB, 29 Jamadil Awwal 1436 = 20 Mac 2015 (Jumaat):
Sastera zaman Jahiliyyah adalah sastera lisan diperturun dan diwariskan adalah secara hafalan. Sastera yang diwariskan adalah umumnya di dalam bentu puisi. Semua hasil-hasil zaman Jahiliyyah ini diperturunkan secara tulisan pada zaman Islam selepas berkembangnya tradisi penulisan (Butrus al-Bustani, `Udaba` al-`Arab fi al-Jahiliyyah wa Sadr al-Islam, Dar Nazir `Abud, Beirut, 1989: 36-37).
Pola sastera sebelum Islam dan selepas Islam juga berlaku di dalam persuratan Melayu. Sebagaimana maklum bahawa tradisi persuratan di dalam bahasa Melayu hanya berlaku selepas penerimaan Islam dan peneriman huruf-huruf Al-Qur`an yang dikenali sebagai Tulisan Jawi yang penggunaan awalnya terakam pada Batu Bersurat Terengganu pada Juma`at 4 Rajab 702H bersamaan  22 Februari 1303H. Selepas penerimaan tulisan jawi, maka baharulah hasil-hasil sastera Melayu sebelum dan sesudah Islam terakam di dalam persuratan.


Kita telah membicarakan bahawa kemakmuran Melaka sebagai pelabuhan Enterpot dan Emporium Timur telah memperkembangkan bahasa Melayu dan menjadi lingua-franca di Alam Melayu, sebagai kesannya bahasa Melayu menjadi bahasa perdagangan, bahasa dakwah keislaman dan bahasa persuratan. Kemajuan Melaka telah menghasilkan karya-karya besar di dalam bahasa Melayu seperti Hikayat Hang Tuah. Sulalat al-Salatin (Sejarah Melayu Naskhah Awal), Hukum Kanun Melaka dan banyak lagi karya-karya yang lain.
Selain dari karya-karya besar bersifat tempatan sebagaimana diperkatakan di atas, persuratan Melayu bersifat terbuka terhadap karya-karya luar. Khususnya yang telah ada di dalam bahasa Melayu. Keterbukaan dimaksudkan bahawa tradisi Melayu-Islam menerima karya-karya sama ada yang selari dengan Islam dan yang tidak selari dengan Islam. Sikap ini berlaku pada zaman keagungan Melaka lagi.
Antara yang selari dengan Melayu Islam sebagai contohnya ialah Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Muhammad Hanafiyyah. Di dalam Sejarah Melayu disebutkan semasa Portugis menyerang Melaka kedua-dua hikayat ini diminta Sultan Ahmad supaya dibaca bagi menaikkan semangat dan jaya juang pahlawan-pahlawan Melayu menentang Portugis.   (Sejarah Melayu, Edisi Shellabear, Oxford University Press, Kuala Lumpur, 1967: 264).
Adalah dijangka Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Muhammad Hanafiyyah sudah terhasil di Melaka sejak zaman kegemilangan dan kedua-dua hikayat ini sudah terkenal pada zaman Melaka, Kata A. Samad Ahmad, penyelenggara Hikayat Amir Hamzah:
``Satu perkara dapat dipastikan dengan sah, ialah bahawa sejak dari zaman kesultanan Melaka lagi, kira-kira lima abad dahulu Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Muhammad Hanafiyyah sudah ada dan sudah terkenal kepada orang Melayu, terutama di kalangan istana. Kedua-dua hikayat teresebut dijeniskan sebagai ``hikayat perang`` memang tepat sekali, kerana dalam sedemikian tebalnya kedua-dua buah hikayat itu hampir keseluruhan isinya dari awal hingga ke akhir, penuh dengn kisah peperangan.``
(Hikayat Amir Hamzah, Penyelenggara A.Samad Ahmad, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1987: VIII-IX).
Amir Hamzah merupakan pahlawan Perang yang gugur di dalam peperangan Badar (tahun 2H.). Watknya menjadi tema Hikayat Amir Hamzah.
Manakala Hikayat Muhammad Hanafiyyah juga adalah Hikayat yang sudah terkenal di Melaka sejak abad ke 16 lagi yang memberi semangat kewiraan pahlawan-pahlawan Melaka di dalam menentang Portugis. Watak Muhammad Hanafiyyah ialah pembela Sayyiduna Ali di dalam peperangan dengan tentera Yazid. Watak ini menjadi tema bagi Hikayat Muhammad Hanafiyyah.
(Hikayat Muhammad Hanafiyyah, E.F. Brakel, Terjemahan Junaidah Salleh, Mokhtar Ahmad, Nor Azman Shehidan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1988: VII).
Sebuah lagi karya pengaruh Islam yang dijangka dihasilkan pada zaman Melaka, ialah Hikayat Iskandar Zulkarnain. Menurut Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka – Syed Nasir Ismail,  yang membuat kata pengantar kepada Hikayat Iskandar Zulkarnain yang diselenggarakan oleh saudara Khalid Hussein, bahawa kemungkinan Hikayat dihasilkan sezaman dengan Hikayat Amir Hamzah dan Muhammad Hanafiyyah, tetapi nama Iskandar sudah lama popular sebagai nama raja-raja Melayu seperti Sultan Iskandar Shah raja Melaka dan beberapa yang lain. (Hikayat Iskandar Zulkarnain, diselenggarakan oleh Khalid Hussein, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur,1967: IX)


Apa yang hendak ditekankan di sini bahawa, sejak Zaman Melaka banyak terhasilnya karya-karya sastera, terutama mengenai kepahlawanan sama ada berwatak tempatan atau berwatak tokoh-tokoh Islam.
Walau bagaimana sebagaimana pada zaman awal Islam, karya-karya yang tidak selari dengan Islam turut ditulis sebagai hasil warisan, maka demikian selepas berkembangnya tulisan jawi, maka hasil-hasil yang tidak selari dengan Islam turut ditulis sebagai hasil warisan, sebagai contoh hikayat  Seri Rama (Ramayana) dan Mahabharata yang jelas dari pengaruh Hindu.
Cerita Ramayana dan Mahabharata adalah cerita tua dari zaman Hindu, tidak dipasti bila masuk ke dalam bahasa Melayu. Ada antaranya bersifat lisan, tetapi di dalam cerita Seri Rama menunjukkan adalah dihasilkan selepas Islam, lantaran terdapat di dalamnya unsur-unsur Islam seperti menggunakan istilah Allah Subhanahu wa Ta`ala, dikaitkan cerita dengan Nabi Adam dan mengelak dari elemen syirik. (Shellabear, W.G. Hikayat Seri Rama, Malaysia Publishing House Ltd., Singapore, 1964: 1 – 2).
 Cerita-cerita mengenai Ramayana (Seri Rama) dan Mahabharata popular di dalam sastera dan budaya tradisi, ianya bukan setakat karya berteks, tetapi menjadi tema perwayangan. Cerita perwayangan ini pula turut digunakan bagi memperkembangkan Islam seperti yang dilakukan oleh Wali Songo di Jawa.
Sikap terbuka Islam sama ada terhadap sastera Arab sebelum Islam dan sastera Melayu sebelum Islam membolehkan kita mewarisi karya-karya berkenaan. Ianya dapat digunakan sebagai bahan-bahan bagi kajian bahasa, sastera dan budaya. Juga sebagai kajian-kajian bandingan.

Sekian.

March 20, 2015

Hudud Ujian Menggoncang Ketahanan


Setelah  dua dekad dibincang
Prinsip perundangan azam Pas melaksanakan
Jadi isu penentangan musuh politik dan kawan
Begitu kontroversi menyerlahkan sikap
Dalam Pakatan juga dalam Barisan
Musuh ideologi walaupun dalam Pakatan
Dari Karpal Singh ke Lim Guan Eng
Sudah lama dikenal lantang membangkang
Tapi Keadilan tak kurang menyederhanakan tentangan
Bahkan dalam separti ternyata tak sekata pendirian.

Hari ini Rabu 27 Jamadil Awwal 1435 = 18 Mac 2015
Datuk Ahmad Yakob Menteri Besar Kelantan
Membentangkan Enakmen Hudud bersejarah
Bukan saja pada Ahli Dewan tetapi rakyat keseluruhan
Yang jelas menentang mengambil sikap tidak datang
Di samping tandatanya sikap beberapa individu
Namun BN musuh tradisi berzaman menyokong
Proksi di bawah Jurucakap Datuk Alwi
Pendekatan lunak seperti Diplomasi Banjir
Dan Pilihanraya Cempaka atas nama kerjasama
Sedangkan Gerakan Proksi sebahagian BN
Menentang Hudud dibentang Kerajaan Kelantan
Bersikap keras mengambil tindakan mahkamah.

Enakmen Jenayah Syariah 2
Mengenai hudud, qisas dan takzir
Tidak melibatkan yang bukan Islam
Bersifat pindaan beberapa perkara tersedia
Mencetuskan politik kontroversi
Membuka ruang kepada berbagai interpretasi
Paling lumrah Pas dari Pakatan akan berpecah
Di samping andaian adalah semata gertakan
Akhirnya dianggap ribut dalam cawan.
Satu lagi andaian popular
BN makin menjinakkan musuh tegar
Menafikan segala kemungkinan penyatuan
Atas alasan pernah menjadi mangsa penipuan
Walaupun dalam keadaan sekarang
Ancaman berada di sekeliling pinggang
Paling tidak walaupun penolakan parti
Dengan diplomasi diharap rakyat beri simpati.

Pembentangan Enakmen Hudud
Sebenarnya ujian untuk semua
Kelihatan kemenangan permulaan untuk Pas
Tapi jalan panjang politik berliku
Adalah ujian-ujian harus dilalu
Rakyat berminat mengikuti perkembangan
Perlu bijaksana dalam semua tindakan
Menyerlahkan kebenaran keputusan.

Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi,
28 Jamadil Awwal 1436

19 Mac 2015.

March 19, 2015

ADUN Bangi Menyampaikan Sumbangan Kepada Masjid Al-Umm


Surau Al-Umm: 27 Jamadil Awwal 1436 = 18 Mac 2015 (Rabu):
Adun Bangi Y.B. Ustaz Shafie Ngah pada malam ini datang ke Surau Al-Umm bagi menyampaikan Derma kepada Masjid Al-Umm yang dalam peringkat akhir pembangunan. Beliau tiba selepas solat Isyak dan disambut oleh Pengerusi Surau dan AJK. Turut hadir para jamaah Isyak berjumlah lebih kurang 30 orang.


Majlis bermula dengan taklimat mengenai pembangunan Masjid Al-Umm yang disampaikan oleh Tuan Haji Abdul Rahman bin Haji Daud selaku AJK dan Pengarah Projek. Beliau menggalurkan kelancaran projek ialah selepas lawatan Mantan Menteri Besar Tan Sri Datuk Seri Abdul Khalid Ibrahim pada 6 Januari 2013 yang menjanjikan pihak kerajaan negeri akan memberi sumbangan `dolar to dolar` hingga kepada RM6 juta, tapi jumlah ini sedang diusahakan untuk mendapatinya. Beliau juga memberi taklimat tentang pembangunan fizikal masjid secara power point. Menurutnya secara bonus melalui mesyuarat masjid yang asal dua tingkat dapat ditambah menjadi tiga tingkat dengan tingkat bawah tanah.
Dari segi kewangan, setakat ini hasil dari derma orang ramai berjumlah RM10.1 juta. Keperluan mungkin meningkat dari jumlah asal RM12 juta kepada RM17 juta.
Beliau menyebut mengenai permohonan kepada Adun Bangi untuk menyiapkan tempat letak kereta di bawah laluan cable letrik yang menurutnya telah mendapat kebenaran dari Pejabat Tanah dan TNB. Kos bagi pembinaan tempat parking ini adalah lebih dari RM300 ribu.
Menurut Tuan Haji Abdul Rahman, pihak AJK merangka pembangunan bagi tahap kedua, iaitu pembinaan bangunan 10 tingkat bagi pejabat dan komersil dan juga pembangunan kawasan padang yang mengekalkan padang permainan dengan kompleks pentadbiran dan pendidikan. Kos bagi projek fasa kedua ini dijangka RM100 juta. Bagi melaksanakan projek ini pihak AJK dalam proses menubuhkan koperasi bagi menjayakan projek besar berkenaan.
Menurut Tuan Haji Abdul Rahman Masjid Al-Umm dijangka dapat digunakan sempena Hariraya Idul Adhha kelak.


Sementara itu Pengerusi Pembangunan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm Dr. Shafie Abu Bakar dalam ucapan alu-aluannya berterima kasih kepada Y.B. Ustas Shafie Ngah yang sudi turun bagi menyampaikan derma dari peruntukan Adun Bangi bagi menambahkan derma yang sedia ada yang masih belum cukup dengan target yang diperlukan. Secara bergurau beliau berkata. ``Oleh kerana kehadiran pada malam hari` maka tidak dapat dilihat bangunan, sekiranya majlis pada siang hari, mungkin majlis boleh diadakan di tapak dan boleh ke dalam bangunan secara langsung.``, Walau bagaimana tambah Dr. Shafie, ``Taklimat telah disampaikan secara power point oleh Tuan Haji Abdul Rahman sebagaimana diikuti oleh pihak YB dan para jamaah yang hadir.
Secara kasar pembinaan yang bermula dengan masuk Tapak pada 10 Disember 2013 dan hingga akhir Februari 2015 adalah telah siap hampir 70%. Secara kasar juga bangunan dari segi fizikal telah siap. Kini tumpuan kerja adalah pada `Finishing Dalaman`. Kini sejak seminggu lepas kerja-kerja pemasangan rangka kubah dilakukan oleh Syarikat Majleza di kawasan letak kereta di tepi Medan Usahawan. Kerja-kerja ini memakan masa lebih kurang sebulan sebelum rangka tersebut diangkat ke tapak Kubah di puncak bangunan Masjid Al-Umm yang telah disiapkan.
Kontrektor Pambangunan Fizikal Masjid ialah Tekad Nusantara Sdn. Bhd., manakala Arkitektor ialah Urusbina Sdn. Berhad Perlis dengan beberapa Juru Perunding yang dilantik. Dana bagi pembinaan Masjid ini setakat ini adalah derma dari beberapa institusi dan orang ramai. Pungutan yang telah didapati setakat ini adalah berjumlah RM10 juta dan pihak AJK memerlukan lebihkurang RM4 juta. Walaupun Kerajaan Negeri Selangor menjanjikan peruntukan RM6 juta, setakat ini pihak AJK Pembinaan dan Pengimarahan Masjid belum menerima bayaran bagi janji tersebut dan rundingan sedang berjalan sebagaimana ditaklimatkan.
Jangkaan asal Masjid Al-Umm ini  akan dapat digunakan setibanya Ramadhan 1436/Mei 2015 ini, tetapi kemungkinan belum dapat disiapkan. Adalah diharapkan Masjid Al-Umm dapat digunakan pada Zulhijjah 1436/September2015 insya Allah.
Kelancaran pembangunan banyak bergantung kepada komitmen AJK. Ada tiga AJK yang bermesyuarat setiap Selasa berturut minggu iaitu AJK Tapak diketua Ir. Tuan Haji Ghazali, AJK Teknikal yang dipengerusikan oleh Ir. Tuan Haji Ishak dan AJK Induk diketuai oleh Dr. Shafie Abu Bakar. Dari mesyuarat-mesyuarat yang berterusan banyak pembaikan telah dilakukan. Beliau berterima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus menjayakan pembangunan. Akhirnya beliau sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada Adun Bangi yang sudi hadir dan menyampaikan derma.


Adun Bangi Y.B. Ustaz Shafie Ngah yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor menyatakan, bahawa kehadiran beliau adalah dalam rangka melawat masjid-masjid yang di dalam pembinaan. Menurutnya ada dua jenis pembinaan masjid. Pertama yang dibina oleh kerajaan yang biasanya tiada masalah. Kedua yang dibina oleh ahli kariah dan masyarakat. Masalahnya janji-janji yang dibuat oleh pihak pimpinan negeri dulu, tapi tidak dapat ditunaikan. Ini menurutnya termasuk Masjid Bandar Seri Putera dan Masjid Al-Umm. Pihak Bendahari Negeri mengeluarkan peruntukan menurut apa yang ada di dalam bajet, tiada luar dari itu, lantaran itu peruntukan diminta dibuat terhadap JAIS dan bahagian waqaf dan sebagainya. Walau bagaimana perkara ini beliau akan berusaha untuk menyelesaikan dengan pihak pentadbir negeri.
Berhubung dengan pembangunan peringkat kedua yang melibatkan Medan Usahawan dan padang berdekatan Masjid Al-Umm beliau menyokong kuat cadangan projek berkenaan. Beliau berharap projek ini akan memajukan kawasan seksyen satu yang merupakan seksyen terawal, juga memakmurkan masjid. Beliau berharap dengan projek ini dapat memberi insentif kepada generasi ketiga di sini untuk berpeluang berkhidmat dan memajukan tempat kelahiran mereka. Tapi beliau mengingatkan, masalah pembangunan ialah ketiadaan dana seperti rancangan membangunkan Seksyen 16 yang sehingga kini masih belum dapat dilaksanakan. Beliau berharap projek yang bakal dijalankan di Seksyen Satu ini dapat mengusahakan dana bagi pembangunan berkenaan. Berhubung dengan tempat letek kereta beliau akan berusaha bagi mengatasi masalah kewangan yang diperlukan.
Akhirnya beliau berharap Masjid Al-Umm dan pembangunan sekitaran akan membangun sebagai Pusat Ilmu dan berharap para ilmuan yang ramai terdapat di Bandar Baru Bangi dapat sama memberi tenaga bagi merealisasikan kawasan Wadi Ilmu sebagai induk bagi Bangi Bandar Ilmu.
Selepas ucapan, YB Ustaz Shafie Ngah menyampaikan cek bernilai RM5,000.00 dari peruntukan Adun kepada Pengerusi Pembangunan Masjid Al-Umm – Dr. Shafie Abu Bakar.

Sekian.

March 18, 2015

Pulang Mendepani Tanah Kelahiran


Adalah memanggil kembali kesilaman
Adalah seperti semalam
Setengah abad kelana berlalu
Mengecil hilang dari pengalaman
Kembali aku seperti anak awal persekolahan
Berdiri di tebing sungai tapak moyang mula mendarat
Membuat pilihan tapak keturunan bakal berkembang
Bukankah di sini alam keliling mempesonakan
Mendidik memperkayakan pengalaman
Sungai Paka yang tenang berlari
Adalah larian kehidupan terus dilalui
Dari hulu sungai  menuju muara
Bapa nelayan menongkah gelombang
Mencari rezeki mendepani zaman kepayahan
Tabah dirinya bagai banjaran Bukit Bauk
Menghadang ribut taufan mengancam
Bukankah digaris tebing sungai memanjang itu
Adalah larian bersama teman-teman
Sambil memerhati kepulangan perahu
Kembali membawa tangkapan harian
Kadangkali bila sungai surut
Beting pasir timbul memanjang
Tepian tanjung menghalang ombak
Dari terus mengancam sungai
Ketika itu sekawan  mengambil kesempatan berperahu
Memungut etak, kepah dan kupang dikais dari pasir
Yang diutama bukan hasil tapi gembira keseronokan
Namun pernah tragedi memakan korban lemas kematian
Tapi laut, tanjung dan muara tidak menghalang
Penerusan kegiatan.


Tapi nostalgia itu terhenti digugat realiti
Bukankah rumah  gedang ninda runtuh usang
Yang tinggal hanya anjung kerosakan
Tebing Sungai dulu bebas pengunjung bergerak
Kini berpagar banglo larangan ke dalam
Jalan ke tepian tebing hanya sempit laluan
Pemilikan aruah ninda telah bertukar tangan
Lantas suasana bertukar spontan
Perahu bersauh di permukaan sungai itu
Tenang dioleng oleh kesayuan
Realitinya setengah abad zaman memisahkan
Ninda dan sebahagian keluarga
Telah lama bersemadi di kuburan tepi masjid
Para jamaah yang segenerasi dulu begitu ramah
Kini adalah generasi baru tidak dikenali.

Pulang mendepani tanah kelahiran
Pulang mendepani perubahan
Terpisah diri oleh kelainan generasi
Yang didepani ialah kenangan-kenangan.


Shafie Abu Bakar.
Tebing Tembah, Paka
24 Jamadil Awwal 1436,

15  Mac 2015. 

March 17, 2015

Kunjungan Bekas Pelajar Mengukuhkan Azam Takmilah


Pejabat, BBB, 22 Rabiul Akhir 1436 = 13 Mac 2015 (Juma`at):


Seminggu sebelum ini mereka telah membuat temu janji untuk berjumpa Penulis hari ini jam 3.30 petang di pejabat Penulis. Sebelum solat Juma`at Penulis menyusun kembali buku-buku rujukan yang walaupun disusun akan kembali tidak teratur kerana bertukar-tukar digunakan mengikut keperluan.
Tepat jam 3.30 dua bekas pelajar Penulis yang bijaksana dan gigih belajar itu tiba. Mereka ialah  Dr. Mawar Shafei Pensyarah Kanan yang berkhidmat di bawah Program Persuratan Melayu di Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan UKM dan Dr. Kamariah Kamarudin Pensyarah Kanan dari Jabatan Bahasa dan Sastera di UPM. Mereka berdua bukan semata-mata tenaga akademik, tetapi juga adalah penulis-penulis kreatif yang menghasilkan novel, cerpen dan puisi. Mereka adalah penulis-penulis generasi baru yang mapan dan terkenal.
Mereka berdua membuat kunjungan, menurut mereka, ``Sudah lama tidak ketemu, datang untuk bertanya khabar berkenaan Penulis bagi mengetahui perkembangan terkini, di samping ada beberapa tujuan.``
Sesungguhnya selepas tidak menjadi Wakil Rakyat, Penulis lebih banyak bersendirian dan bersunyi di pejabat menumpukan perhatian pada pembacaan dan penulisan, di samping melibatkan diri sedikit pada kerja-kerja kebajikan yang berhubung dengan surau dan masjid.
Antara tujuan mereka, ialah untuk meninjau kemungkinan Penulis dapat meluangkan masa bertemu pelajar-pelajar di UKM dan UPM bercakap tentang `Teori Takmilah` yang menurut mereka -  Ramai pelajar-pelajar yang mengikuti kursus dan menggunakan teori ini  berharap dapat bertemu secara langsung dengan Penulis yang mencetuskan teori ini. Penulis pada dasarnya bersetuju, tetapi hari dan masa yang dicadangkan adalah bertembung dengan jadual tetap mingguan Penulis bermesyuarat mengenai pembinaan masjid, mereka bercadang untuk meneliti kembali masa yang sesuai yang melibatkan beberapa pihak.
Mereka juga memaklumkan, mereka berdua dan seorang lagi tenaga pengajar dari Universiti Malaya  (Dr. Intan) bercadang untuk mengadakan projek penyelidikan secara bersama yang sedikit sebanyak mempunyai kaitan dengan Penulis dan mengharapkan kerjasama Penulis. Penulis sebenarnya tidak berkeberatan sekiranya releven, tetapi mengharapkan proposal bagi projek ini dan cadangan kandungan dapat dikemukakan untuk diteliti dan dinilaikan terlebih dahulu.
Dr. Kamariah menimbukan masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar yang mengikuti kursusnya terutama yang berhubung dengan Takmilah, ialah kekurangan bahan-bahan rujukan yang dapat digunakan oleh pelajar-pelajar. Apa yang ditimbulkan oleh Dr. Kamariah sememangnya benar. Sememangnya tulisan berkenaan dengan Takmilah terbit di dalam majalah-majalah, terutamanya Dewan Sastera dan sebahagian dari artikal diterbit di dalam buku-buku hasil dari seminar-seminar dalam mana Penulis membentangkan kertaskerja, terutama buku-buku yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Persatuan Suluh Budiman dan beberapa pihak yang lain. Penulis sendiri telah mengkompailkan sebahagian dari kertas-kertas kerja berkenaan, bahkan sudah ada di dalam bentuk manuskrip dan berhasrat untuk menerbitkan, tetapi ada kekangan-kekangan yang dihadapi. Masalah utama ialah kekurangan masa. Sesungguhnya banyak bahan yang telah dihasilkan berkenaan Takmialh, tetapi untuk meneliti, menyusun kembali, memerlukan tenaga dan masa. Penulis terpaksa menghadapi semua kerja berseorangan. Tumpuan kerja ialah terhadap kerja-kerja kini dan untuk meneliti, menyusun dan memperbaiki yang sudah amat memerlukan masa. Untuk mengambil tenaga pekerja terpaksa memikirkan dari segi kemampuan kewangan. Seorang pesara tidak mempunyai kewangan yang dapat mengambil pekerja. Walau bagaimana Penulis menawarkan kerja secara `menyiapkan kerja yang ditentukan dengan bayaran yang ditentukan`. Hasil dari kerja sedemikian beberapa manuskrip dapat disiapkan.
Sebenarnya hasrat untuk menerbitkan buku-buku Penulis memang tinggi. Dari pengalaman sukar untuk mendapat penerbit, khususnya yang terkenal, maka mendorong Penulis menjadi Penerbit dengan mendaftar Penerbit di Putera Jaya. Tujuannya untuk menerbitkan tulisan-tulisan sendiri. Hasilnya sejumlah penerbitan atas nama Penerbit Galeri Bangi Bandar Ilmu telah diterbitkan dengan semua kos ditanggung sendiri. Penerbitan tidaklah bertujuan bersifat komersil dan tidak mencari keuntungan. Bahkan hasil-hasil penerbitan lebih banyak dihadiahkan kepada mereka yang berkenaan dengan bidang-bidang berkenaan terutamanya dari kalangan akademik.
Penulis juga menimbulkan soal tugas harian Penulis sebagai menjawab perbualan Penulis dengan Dr. Mawar dan Dr. Kamariah. Penulis memaklumkan bahawa Penulis kini terus menulis dan tumpuan lebih diberikan kepada `Perluasan Teori Takmilah` sebagai tahap kedua bagi perkembangan Teori Takmilah yang boleh diperluaskan kepada  semua bidang yang bersifat seni. Tahap kedua ini dicetuskan semasa Penulis membentangkan kertaskerja di UPSI pada bulan Mac 2014. Penulis tumpukan penulisan Takmilah di dalam bidang sastera, senibina, khat, permuziuman dan estetika Al-Qur`an. Banyak lagi bidang yang dapat diaplikasikan (10 bidang dikenalpasti). Penulis melahirkan kerisauan bahawa, soal masa dan tenaga menjadi halangan.
Dr. Kamariah dan Mawar mencadangkan agar diadakan kerjasama dengan pakar-pakar bidang berkenaan untuk menulis berhubung dengan kepakaran mereka dengan menggunakan Teori Takmilah` Penulis bersetuju dengan cadangan antaranya melalui persidangan dan seminar dan juga melalui projek-projek tertentu dengan mendapat tajaan, terutama dari institusi-institusi berkenaan. Cadangan sedemikian mungkin dapat diadakan sekiranya ada tenaga dan kerjasama dengan pihak-pihak berkenaan. Penulis amat bersetuju sambil melahirkan kebimbangan, memikirkan umur yang lanjut, apakah projek-projek sedemikian berkesempatan dapat dilaksanakan. Walau bagaimana Penulis melahirkan rasa optimis dengan adanya pendukung-pendukung teori ini, terutama dari pensyarah-pensyarah beberapa buah universiti dan pelajar-pelajar yang mengikuti kursus, Penulis berkeyakian teori Takmilah terus berkembang. Penulis juga gembeira dimaklumkan oleh Dr. Kamariah bahawa oleh kerana bahan-bahan rujukan berkurangan, tulisan Penulis di dalam Blog Penulis, khususnya berkenaan Takmilah adalah menjadi bahan rujukan kepada pelajar-pelajar.
Pertemuan selama lebih kurang dua jam itu diakhiri dengan pertukaran buah tangan. Penulis telah menghadiahkan kepada Dr. Mawar dan Dr. Kamariah buku-buku yang dihasilkan Penulis sebagai cenderahati untuk kegunaan mereka. Untuk menjadi bahan rujukan juga Penulis meminta mereka menyalin dua buah bahan penulisan Penulis dari komputer Penulis. Kami juga berharap pertemuan lanjut akan dapat diadakan.

Sekian.