March 22, 2015

Mewariskan Kesusasteraan Melayu Yang Kukuh - Klasik


BBB, 30 Jamadil Awwal 1436 = 21 Mac 2015 (Sabtu):
Era selepas Islam memperkayakan persuratan Melayu. Sebahagian dari hasil persuratan yang besar dan penting adalah dari zaman keagungan Melaka dan zaman ini merupakan permulaan zaman prolifiknya persuratan Melayu. Penghasilan persuratan tidak terhenti di zaman Melaka, tetapi berterusan berlaku. Walau bagaimana kebanyakan hasil persuratan dan kesusasteraan tidak dikenal pasti dari tempat mana dan bila dihasilkan. Namun ini bukanlah perkara yang penting. Pokoknya ianya merupakan hasil persuratan Melayu yang dihasilkan dalam kawasan ini.
Berbagai pendekatan dilakukan oleh pengkaji-pengkaji bagi melihat, menilai dan mendokomentasikan hasil-hasil persuratan berkenaan yang menandakan kekayaan hasil-hasil kesusasteraan dan persuratan berkenaan. Antara pendekatan popular ialah membahagikan hasil-hasil persuratan dan kesusasteraan kepada periode zaman seperti klasik, tradisional dan moden.
Adapun yang mengklasifikasikan kesusasteraan pada peringkat klasik, lantas yang banyak  dilihat ialah prasasti-prasasti kuno dan lama yang merupakan batu-batu bersurat dan batu-batu nisan. Ruang zaman yang diterobos hingga kepada zaman pra-sejarah dan sejarah kuno. Ini sebagaimana dilakukan oleh Teuku Iskandar yang menjadi sebahagian dari kandungan bukunya yang berjudul Kesusasteran Klasik Melayu Sepanjang Abad. Bahan-bahan klasik yang menjadi kajiannya seperti sejarah penggunaan tulisan, Prsasti Kedukan Bukit, Talang Tuwo, Kota Kapur dan Batu Bersurat Terengganu. (Teuku Iskandar, Kesusasteraan Klasik Melayu Sepanjang Abad, Universiti Brunei, Brunei Darussalam, 1995: 684hlm.).


Pendekatan yang banyak mempengaruhi bidang persuratan dan kesusasteraan Melayu ialah dilakukan oleh Winstedt. Beliau melihat sastera klasik Melayu dari segi periode zaman yang disusun secara logik bermula dari sastera rakyat membawa kepada  zaman pengaruh Hindu, Jawa, transisi antara Hindu dan Islam, zaman Islam, cerita-cerita kepahlawanan, cerita berbingkai, persuratan aqidah, syari`ah dan histriografi, sastera sejarah undang-undang dan puisi-puisi. Beliau membataskan antara tradisi dan moden dengan Abdullah Munshi. Pendekatan ini meluaskan apa yang dikatakan tradisi termasuk di bawah klasik.  Pendekatan Winstedt ini begitu berpengaruh di dalam pengajian Melayu khususnya di Universiti Malaya. Pendekatannya dilanjutkan oleh pendukung-pendukungnya. (Winstedt, R., A History of Classical Malay Literature, Oxford University Press, Kuala Lumpur-Singapore, 1972: 323hlm.).
Antara yang turut membicara dan membataskan pembicaraan kepada bidang klasik ialah Profesor Mohd. Taib Osman bersama Abu Hassan Sham dengan buku mereka yang berjudul `Warisan Prosa Klasik` ialah tentang cerita-cerita rakyat, sastera epik, Sastera sejarah  dan sastera Roman.
(Mohd. Taib Osman dan Abu Hassan Sham, Warisan Prosa Klasik, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1983: 302hlm.).
 Manakala Liaw Yock Fang membicarakan Sejarah Kesusasteraan Melayu Klasik di dalam dua jilid melibatkan aspek yang lebih luas, iaitu Kesusasteraan Rakyat, Epos India dalam Kesusasteraan Melayu dan Wayang, Cerita Panji dari Jawa, Sastera Zaman Peralihan Hindu Islam, Kesusasteraan Zaman Islam. Manakala dalam jilid kedua pula dibicarakan Cerita Berbingkai, Sastera Kitab, Sastera Sejarah, Undang-Undang Melayu Lama dan Pantun dan Syair.
(Liaw Yock Fang, Sejarah Kesusasteraan Melayu Klasik – 1 & II, Penerbit Erlangga, Indonesia, 1991 &1993: 306 & 264hlm.).
Jelas daripada kandungan buku-buku yang membicarakan sastera Melayu Klasik, bahawa bahan kesusasteraan yang menjadi warisan sastera Melayu bahagian klasik itu begitu banyak. Ini mecerminkan kekayaan sastera dan Bahasa Melayu.
Dari semua pembicraan hanya Teuku Iskandar mengambil pendekatan yang lebih lengkap mengenai kesusasteraan Melayu klasik. Beliau membicarakan bukti-bukti kesusasteraan Melayu klasik berdasarkan  prasasti-prasati Batu Bersurat dan batu-batu nisan seperti Batu Bersurat di Minye Tujuh, Batu Bersurat Terengganu dan Batu Nisan Sultan Malikul Salih di Aceh dan berbagai-bagai prasasti yang lain.


Adapun dari segi pendekatan-pendekatan yang lain adalah hampir bersamaan. Mereka memulakan pendekatan tentang sastera rakyat.  Teuku Iskandar menekankan tentang sastera asal usul, Winstedt tentang Mythology, Muhammad Taib Osman dan Abu Hassan Sham memberi perhatian kepada Hikayat Anggun Cik Tunggal, Si Gombang, Awang Lutong dan Hikayat Terung Pipit, Manakala Liaw Yock Fang membicarakan tentang cerita Asal usul. Semua pendekatan membicarakan pengaruh Hindu dalam kesusasteraan Melayu terutama dengan Hikayat Seri Rama. Teuku Iskandar memberi tumpuan pada kesusasteraan Pasai khususnya berhubung dengan Hikayat Raja-Raja Pasai, sedangkan Winstedt memberi perhatian terhadap sastera pengaruh Jawa termasuk dalam perwayangan. Semua pendekatan membicarakan tentang sastera epik atau kepahlawanan terutama terhadap karya Amir Hamzah dan Muhammad Hanafiah. Liaw Yock Fang memberi perhatian terghadap apa yang diistilahkan sebagai Zaman Peralihan Hindu Islam seperti Hikayat Puspa wiraja, Hikayat Parang Punting, Hikayat Lang-Lang Buana dan sebagainya. Liaw Yock Fang juga memberi peruntuk khusus membicarakan kesusasteraan Zaman Islam kepada cerita-cerita Al-Qur`an, Cerita Nabi Muhammad, Cerita Sahabat Nabi Muhammad. Beliau juga memberi perhatian terhadap persuratan undang-undang, khususnya tentang Hukum Kanun Melaka –termasuk Undang-Undang Laut Melaka.
Teuku Iskandar membicarakan kesusasteraan zaman Acheh yang tidak diberi perhatian oleh pendekatan-pendekatan yang lain seperti karya-karya oleh Hamzah Fansuri, Shamsuddin al-Sumatrani, Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf Singlkel. Winstedt mempunyai pendekatan berlainan dengan membicarakan sastera yang berhubung dengan aqidah dan syariah dan Winstedt dan Liaw Yock Fang membicarakan tentang sastera berbingkai yang merupakan sebagai sastera yang dipengaruhi Islam yang mengambil contoh seperti karya Seribu Satu Malam, Hikayat Bakhtiar dan sebagaiinya. Dengan penumpuan bidang-bidang yang dominan yang dibicarakan oleh semua pendekatan seperti mengenai sastera rakyat, pengaruh Hindu dan Islam dan epic dan ada bidang yang diberi perhatian oleh satu pendekatan dan yang lain tidak memberi tumpuan sebenarnya makin melengkapkan bidang dan ruang lingkup kesusasteraan klasik itu sendiri.
Melihat kepada bidang-bidang, apa lagi mebaca kandungan bagi setiap bidang menyedarkan kita bahawa betapa kayanya bidang kesusasteraan Melayu Klasik itu sendiri. Ia antaranya asli tempatan, saduran dan antaranya dari pengaruh zaman Hindu dan Islam. Semuanya ini memperkaya dan mengukuhkan bidang kesusasteraan Melayu Klasik itu sendiri.

Sekian.

No comments:

Post a Comment