March 23, 2015

Persuratan Tradisional: Batas Antara Klasik Dan Moden


BBB, 01 Rabiul Akhir 1436 = 22 Mac 2015 (Ahad):
Tidak jelas di dalam mengklasifikasikan Persuratan Melayu. Tetapi yang nyata di dalam mengklasifikasikan lahir istilah-istilah seperti klasik, tradisional dan moden. Ada juga digunakan istilah `lama`. Tapi sastera lama ini adalah lebih bersifat umum dan dapat dikategorikan di bawahnya klasik dan tradisional. Istilah ini kurang digunakan di dalam pembicraan yang bersifat akademik. Jadi istilah yang popular yang sering digunakan oleh pengkaji-pengkaji akademik ialah klasik, tradisional dan moden. Penggunaan istilah `Lama` seperti yang digunakan oleh Sutan Takdir Alisjahbana bagi buku puisinya `Puisi Lama`.


Sebagaimana telah diperkatakan penggunaan istilah klasik dengan memasukkan semua hasil kesusasteraan dari zaman awal sehingga zaman moden, tetapi satu istilah yang digunakan ialah `tradisional` yang tidak membicarakan sastera peringkat awal, tetapi tidak pula lari dari membicarakan bahagian daripada apa yang dikategorikan sebagai sastera klasik. Demikianlah ada duplikasi antara yang dikatakan sebagai sastera klasik dan tradisional.
Penulis berkecenderungan membataskan kepada tiga kategori pembahagian persuratan Melayu.
1)      Sastera Klasik
Terletak di bawahnya ialah sastera yang bersifat purba. Ini termasuklah prasasti Batu Bersurat, Batu nisan dan artifek-artifek yang seumpamanya yang dijumpai.
Termasuk di bawah kategori ini ialah pantun, cerita-cerita asal usul, kejadian dan binatang serta cerita-cerita yang berasal dari Hindu.
2)      Sastera Tradisional
Ialah persuratan yang terhasil selepas kedatangan Islam bermula dari karya yang dihasilkan pada zaman kerajaan Pasai seperti Hikayat Raja-Raja Pasai, zaman Melaka hinggalah kepada zaman penjajahan  dan persuratan moden sekitar akhir abad ke 19.
3)      Sastera Moden
Bermula dengan pendidikan moden yang melahirkan berbagai-bagai genre penulisan moden yang belum wujud sebelumnya.
Sebagaimana telah dibicarakan tentang sastera klasik, maka sebagai penerusan dibicarakan sastera tradisional.  Menurut Zalila Sharif dan Jamilah Ahmad:
``Istilah `tradisional, `lama` dan `klasik` saling digunakan apabila memperkatakan sastera tradisional. Namun istilah ini mempunyai ukuran yang berbeza dari segi penggunaannya tetapi saling melengkapi dari segi zaman, bentuk dan ciri sastera itu sendiri. Sastera `lama` memperlihatkan pembahagian zaman, iaitu tahun 1800 M. dirujuk sebagai sempadan pembahagi antara sastera  lama dan sastera baru. Istilah `klasik` pula memperlihatrkan objektiviti dari segi pemilihan sifatnya yang mudah dari segi gaya dan strukturnya yang jelas dan formal. Istilah `tradisional` pula merujuk kepada bentuk dan ciri, iaitu merangkumi, struktur, plot, gaya dan teknik yang dicirikan oleh bahasa, persembahan, fungsi dan faktor-faktor yang lain.``
(Zalila Sharif & Jamilah Ahmad, Kesusasteraan Melayu Tradisional, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1993: XI).
Seterusnya kata pengarang yang dimaksudkan dengan sastera tradisional di dalam pembicaraan:
``Dalam buku ini istilah `tradisional` dimaksudkan bertepatan dengan sifatnya yang kolektif, milik bersama masyarakat, oleh sebab keseluruhan karya ini tidak menyatakan nama pengarang atau penulisnya. Karya-karya sastera Melayu tradisional, baik prosa maupun puisi biasanya tidak menyebutkan nama pengarangnya, khususnya karya-karya sebelum Hamzah Fansuri.``.(Ibid.).
Pendapat di atas dikemukan bagi menunjukkan bahawa batas dan ciri yang dikemukakan adalah longgar. Batas bagi sastera tradisional ialah selepas 1800 adalah bercanggah dengan pendapat tokoh-tokoh yang lain yang mengambil kira sastera zaman Melaka misalnya adalah juga termasuk sastera tradisional dan ciri-ciri yang membedakan tidak konkrit.


Melihat pendapat yang mengatakan bahawa sastera tradisional Melayu bermula dengan tradisi penulisan yang dibawa oleh Islam dan tidak bercanggah dengan berbagai-bagai pendapat mengenai sastera Melayu klasik dan tradisional, maka sesungguhnya bidang dan ruanglingkup sastera Melayu tradisional adalah amat luas yang dari segi masanya adalah merentangi zaman dari abad ke 14 hingga 1850. Lantaran itu kata Noriah Taslim:
``Budaya Melayu tradisional sebenarnya menawarkan satu sistem kesusasteraan yang begitu luas wawasan dan cakupannya yang memungkinkan kita menelitinya daripada pelbagai sudut dan perspektif.``
(Noriah Taslim, Teori Dan Kritikan Sastera Melayu Tradisional, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1993: VII).
Dalam konteks di atas sastera tradisional adalah melibatkan semua bidang sastera selain dari klasik (bagi yang memisahkannya) dan sastera moden. Ini adalah melibatkan semua pendapat mereka yang membicarakan tentang sastera klasik dan tradisional. Kepelbagaian jenis sastera di dalam sastera tradisional mencerminkan watak Melayu yang terbuka yang mempunyai tradisi, ciri dan nilai sendiri dan dengan secara terbuka menerima nilai budaya dan sastera dari luar yang memperkayakan sastera Melayu itu sendiri. Sifat ini juga dapat dilihat di dalam hasil-hasil sastera berbahasa Melayu berkenaan. Elemen-elemen berkenaan juga memperkayakan bahasa Melayu yang menjadi bahasa Nusantara dan lingua franca bagi kawasan tersebut. Sesungguhnya persuratan sastera, khususnya tradisional adalah arkib yang menyimpan dan memancarkan keunggulan nilai budaya dan peradaban Melayu.

Sekian.

No comments:

Post a Comment