March 12, 2015

Melaka Memperkasakan Persuratan Melayu: Epik Melambangkan Keagungan Melaka


BBB, 20 Rabiul Akhir 1436 = 11 Mac 2015 (Rabu):
Melaka adalah kerajaan Melayu yang muncul sejak akhir abad ke 14M. dan berkembang maju lebih dari satu abad di bawah kepimpinan beberapa orang Sultan seperti Sultan Muhammad, Sultan Muzaffar,  Sultan `Alauddin, Sultan Mansur, Sultan Mahmud dan Sultan Ahmad dengan beberapa Bendahara terkenal seperti Seri Amar Diraja,  Seri Wak Raja,  Seri Nara Diraja, Tun Perak,  Seri Maharaja dan Bendahara Tepak sebelum dikuasai oleh Portugis pada 1511. Melaka berkembang maju sebagai pelabuhan enterpot dan juga dikenali sebagai `Emporium of the East`. Ianya dimakmurkan oleh pedagang-pedagang Islam di samping pegang-pedagang alam Melayu. Antara pedagang-pedagang yang mendukung kemajuan Melaka termasuk berperanan menyebarkan agama Islam dan keilmuan Islam. Bahasa perantaraan yang digunakan di dalam pengajaran, pentadbiran dan perdagangan adalah bahasa Melayu yang bahasa tersebut berkembang luas yang merupakan lingua-franca di Nusantara.


(Al-Attas, Syed Muhammad Naguib, Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu,  penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur, 1972: 21-22).
Selari dengan keagungan Melaka  di dalam berbagai bidang yang disebutkan di atas. Melaka menghasilkan karya-karya kesusastreraan yang agung yang mencerminkan keagungan negara tersebut. Sebagai menggambarkan pencapaian Melaka sebagai negara berdaulat, makmur dan kuat serta mempunyai hubungan diplomat dengan negara-negara besar dunia, maka seniman dan sasterawan Melaka yang dipercayai rapat dengan istana dan mengetahui banyak berhubung dengan maklumat istana dan pemerintahan, maka dikarang sebuah epik yang diberi judul Hang Tuah. Menurut Profesor Mohd. Taib Osman dan Abu Hassan Sham bahawa:
``Hikayat ini (Hang Tuah) merupakan epik Melayu asli yang terbesar dan yang terpenting.``
(Mohd. Taib Osman dan Abu Hassan Sham, Warisan Prosa Klasik, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1983: 98).
Hikayat Hang Tuah ialah epik menceritakan tentang Melaka dari permulaan pembukaannya dan perkembangan, kemajuan hingga kejatuhannya selepas tempoh lebih dari seabad. Hang Tuah berlima saudara (Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Likiu) adalah melambangkan Melaka dengan pendukung-pendukung yang memajukannya yang boleh juga dilambangkan kepada Raja-Raja utama yang memerintah seperti Sultan Muhammad, Sultan Muzaffar, Sultan Alauddin, Sultan Mansur dan Sultan Mahmud yang dari pimpinan mereka termasuk watak-watak Bendahara dari Seri Amar Diraja, Seri Wak Raja, Seri Nara Diraja, Tun Perak dan Seri Maharaja Melaka mencapai tamadun dan peradaban yang tinggi. Pencapaian Melaka dan kewiraan watak Hang Tuah dan saudara-saudaranya dipandang tinggi dan dimegahi oleh bangsa Melayu. Persoalan benar atau tidak fakta-fakta yang tidak menepati sejarah tidak timbul, kerana pengarang dengan sedar, bahawa watak-watak yang digambarkan melebihi dari usia manusia biasa, begitu juga dengan watak-watak luar yang tidak selari dalam konteks sejarah. Apa yang diimaginasi dan mau ditampilkan oleh pengaranngnya ialah Keagungan sebuah kerajaan bernama Melaka dengan pemerintah-pemerintah, rakyat jelata dan interaksi dengan luar,  Hikayat Hang Tuah adalah sebuah karya kreatif dan epik !
Kandungan Hikayat Hang Tuah ialah tentang  asal usul Hang Tuah – dari Bentan dan pemergiannya ke Melaka dia bertembung dengan kehadiran Pateh Kerma Wijaya dari Jawa sebagai antigonis. Peranan Hang Tuah dan saudara-saudaranya ialah menjaga Raja, keselamatan dan keamanan Melaka di samping banyak melaksanakan misi-misi Diraja/Melaka dan menjadi  sebagai duta ke luar beberapa negara.
Hang Tuah diutus meminang puteri Inderapura dan juga ke Majapahit serta perkahwinan Raja Melaka, pertarungan antara Hang Tuah dan Gajah Mada semasa ke Majapahit. Episod Hang Tuah melarikan Tun Teja dan pertarungannya dengan Megat Panji Alam dari Terengganu tunang kepada Tun Teja dan Betara Majapahit dengan Raja Melaka. Hang Tuah difitnah dan klimek ialah pertikaman antara Hang Tuah dengan Hang Jebat dan episod kedua antara Betara Majapahit dengan Raja Melaka.
Tema yang penting yang menunjukkan kebesaran Melaka, bahawa Hang Tuah dan sahabat-sahabat memimpin misi-misi penting ke luar negara seperti Hang Tuah ke Benua Kling dan juga ke Cina, memimpin perutusan ke Siam, dengan kebijaksanaannya hingga Inderaputra Tunduk Kepada Melaka, Hang Tuah memimpin perutusan ke Turki sebanyak dua kali.


Dari cerita dan episod-episod di atas Hikayat Hang Tuah adalah memprojek imej dengan meletakkan Melaka dan Raja-Rajanya sebagai sebuah negara agung yang setaraf dengan negara-negara besar pada masa itu seperti dengan negara India, Cina, Siam dan Turki. Hang Tuah adalah lambang yang terus cergas sepanjang zaman Melaka, tetapi apabila Melaka menghadapi serangan dari luar – Portugis dinyatakan bahawa Hang Tuah mengundur diri yang mebawa kepada kejatuhan Melaka. Dikatakan Laksamana, Bendahara dan Temenggong mengasingkan diri untuk beribadat. Akan Laksamana Hang Tuah beribadat di Bukit Jugra, Bendahara di Tanjung Kling dan Temenggung di Tanjung Tuan (Nama-nama tempat ini masih kekal hingga sekarang). Kata Hikayat Hang Tuah:
``Maka Tuan Sheikh  (Gurunya dari Gujerat menemaninya semasa khalwat beribadat) itulah yang bersama-sama dengan Laksamana duduk di Bukit Jugra itu mengerjakan amar Allah siang malam, terlalu keras, tiadalah lagi Laksamana ingatkan pekerjaan dunia, melainkan syuhudnya pada Allah Ta`ala semata-mata... Maka tiadalah tersebut lagi perkatan Laksamana dan Bendahara dan Temenggong khalwat itu, wallahu a`lam bi`sawab.  Diikuti kemudian kekalahan Melaka di tangan Portugis.
(Hang Tuah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1973: 483).
Kejatuhan Melaka memanglah amat mengecewakan, tetapi pengarang Hikayat Hang Tuah mau membangkitkan semangat orang Melayu dengan beraspirasikan sejarah kegemilangan Melaka yang mengambil contoh bagi mengembalikan kegemilangan yang pernah dicapai. Adalah dijangka penghasilan Hikayat Hang Tuah adalah mengambil contoh Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Muhammad Hanafiyyah dua tokoh wira Islam yang dikarang secara epik-kreatif. Kedua-dua epik Islam ini juga berakhir dengan episod sedih. Pengarangnya meniup semangat kewiraan kepada pembaca agar tidak keciwa, tetapi bangkit dengan jiwa penuh kewiraan Islam. Peranan kedua epik Islam ini disebut dalam Sejarah Melayu diminta dibaca bagi menaikkan semangat ketika menentang pencerobohan Portugis. (Sejarah Melayu, 1967: 264).
Melaka banyak menghasilkan persuratan Melayu. Hikayat Hang Tuah adalah satu dari penghasilan tersebut yang jelas menampilkan kemampuan bahasa Melayu mengungkapkan epik kewiraan yang panjang yang sekalkigus merakamkan kewiraan pahlawan, kedaulatan Raja dan negara Melaka.

Sekian.



No comments:

Post a Comment