March 13, 2015

Sulalatu`s-Salatin (Sejarah Melayu) Karya Agung Melayu


BBB, 21 Rabiul Akhir 1436 =  12 Mac 2015 (Khamis):


Sulalatu`s Salatin adalah nama sebenar karya yang telah diubah oleh pengkaji-pengkaji – termasuklah oleh W.G. Shellabear kepada `Sejarah Melayu`, mungkin kerana berat sebutan judul yang berbahasa Arab. Sulalatu`s-Salatin adalah mempunyai pertalian yang rapat dengan beberapa karya histriografi Melayu yang lain terutama karya-karya yang dihasilkan pada zaman Aceh seperti Taju`s-Salatin dan Bustanu`s-Salatin.  Walau bagaimana di dalam tulisan ini rujukan akan dibuat sebagai Sejarah Melayu.
Sejarah Melayu tidak syak lagi adalah merupakan karya sejarah atau histriografi teragung dalam bahasa Melayu yang merakamkan asal usul pemerintahan Kerajaan Melaka, kemajuan dan keagungannya yang menjadi induk bagi pemerintahan negeri-negeri Melayu yang lain. Tempohnya melebihi satu abad mulai akhir abad ke 13 hingga awal abad ke 15, tetapi dari segi jatuh bangunnya `Kerajaan Melayu` berkekalan dan berkesinambungan hingga kepada pemerintahan kini.
Sejarah Melayu dimulai karangannya oleh Tun Seri Lanang Bendahara Negeri Johor pada tahun 1020H./1600M. atas permintaan `Orang Besar-Besar` bagi menyempurnakan naskhah asal yang dibawa dari Goa. Menurut catatan Tun Sri Lanang:
``Wa ba`dahu`, adapun kemudian dari itu telah berkata faqir yang insaf akan lemah kedaan dirinya dan singkat pengetahuan ilmunya; dan pada suatu masa bahawa faqir duduk pada suatu majlis dengan orang besar-besar, terlebih mulianya dan terlebih martabatnya daripada yang lain, maka berkata ia kepada faqir, ``Hamba dengar ada Hikayat Melayu dibawa oleh orang dari Goa; barang kita perbaiki kiranya, supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita, dan boleh diingatkannya oleh segala mereka itu, syahadan adalah beroleh faedah ia daripadanya.``
(Sejarah Melayu, Edisi Shellabear, W.G., Oxford University Press, Kuala Lumpur, 1967: 2).
Dari kenyatan di atas dapat difahami bahawa selepas lebih kurang seabad dari kejatuhan Melaka ke tangan Portugis, maka naskhah asal Sejarah Melayu yang kemungkinan salah satu daripada naskhah Sejarah Melayu di bawa Portugis ke Goa – tanah jajahan Portugis di India dan dibawa balik ke Melaka (ada yang berpendpat di bawa dari simpanan salah satu Gua, tempat simpanan naskhah) bagi diperbaiki oleh Tun Sei Lanang. Ini bermakna naskhah asal adalah dihasilkan sejak zaman keagungan Melaka dan asalnya dikarang oleh pengarang yang melihat antara perkara-perkara atau peristiwa-peristiwa yang berlaku dengan mata kepala pengarang. Contoh seperti Perlantikan Sultan Muzaffar Shah dan merangka undang-undang, perlantikan Tun Perak menjadi Bendahara dan penentangan terhadap pencerobohan Siam dan sebagainya. Dibandingkan dengan Hikayat Hang Tuah ada setengah persamaan maklumat di dalam Hikayat Hang Tuan dan Sejarah Melayu, tetapi Hikayat Hang Tuah karya sastera epik yang diseri unsur-unsur imaginatif yang kurang menjaga dari segi fakta dan kedudukannya di dalam sejarah, sebaliknya Sejarah Melayu lebih mendekati fakta-fakta sejarah, lantaran itu judul barunya diberi sebagai sejarah Melayu, namun untuk dikatakan Sejarah Melayu sebagai karya sejarah, maka tidaklah sepenuhnya tepat sebab itu dikategorikan sebagai `Histriografi Melayu`. Walau apa pun Sejarah Melayu adalah sebuah `Karya Agung` yang pernah dihasilkan di dalam persuratan Melayu pada zaman tradisi.
Sejarah Melayu disusun secara pecahan  (34 Cerita) menceritakan tentang asal usul keturunan Raja Melaka yang juga asal keturunan Raja-Raja Melayu yang berasal dari Bukit Siguntang ke Singapura  dan ke Melaka membuka negara tersebut, bermula dengan Sultan Muzaffar Shah diceritakan juga tentang Merah Silu membuka Pasai dan pengislaman Rajanya Sultan Mlikul Salih. Sebagaimana Raja Pasai menerima Islam melalui mimpi, maka Sutan Melaka (Sultan Muhmmad) menerima Islam melalui mimpi dan kemudian didatangai Pendakwah Sayyid Abdul Aziz (Raja Pasai melalui Syeikh Ismail). Kenaikan Melaka peringkat awal diganggu oleh Raja Siam yang menghantar tenteranya mau menawan Melaka, tetapi atas kebijaksanaan Bendahara Tun Perak, maka ancaman musuh dapat dihendarkan. Dimuatkan tentang hubungan dengan kerjaan Majapahit dan Cina. Puncak dari pemerintahan ialah dengan kenaikan Sultan Mansur Shah yang bijaksana mengatur pemerinthan negeri dengan Bendahara terkenal Tun Perak dan Tun Mutahir dan wujudnya Laksamana Hang Tuah bersama kawan-kawannya.
Pada zaman Sultan Mansur Syah juga  berkembangnya pengajian. Pengajaran disampaikan oleh Maulana Abu Bakar yang dihadiri Sultan dan Pembesar-pembesar. Antara kitab yang dipelajari ialah Kitab Al-Durru l-Manzum, di samping pengajian bidang fiqh. Nahu dn saraf. Manakala pada zaman Sultan Mahmud Syah dikatakan baginda  dan pembesar-pembesar mempelajari Kitab al-Luma` (dikatakan Kitab Maklumat). Pendeknya pengajian keilmuan berkembang subur di Melaka yang dibimbing oleh Maulana Yusof. Jika di dalam Hikayat Hang Tuah pada akhir pemerintahan Melaka Hang Tuah bersama Bendahara dan Temenggung berekhalwat mengasingkan diri dan ceritanya  tidak lagi timbul, tetapi di dalam Sejarah Melayu Hang Tuah dikatakan meninggal pada zaman Sultan Mahmud dan dikebumikan di Tanjung Keling. (Sejarah Melayu, 1967: 213).  Sebagaimana Hikayat Hang Tuah Melaka mengalami kekalahan apabila diserang Portugis.  Sejarah Melayu tidak memberi tumpuan pada hubungan luar dan diplomatik. Walaupun Sejarah Melayu lebih dekat dengan realiti sejarah, tetapi tidak terlepas dari unsur mitos dan legenda, termasuk mengenai asal usul keturunan Raja. 
Didapati di dalam sejarah Melayu terdapat banyak unsur-unsur Islam. Ini menggambarkan bahawa pengarang termasuk seorang yang mendalam di dalam keilmuan Islam. Pengaruh Islam dapat dilihat dari judul asal Sejarah Melayu adalah berbahasa `Arab, iaitu Sulalatu`s-Salatin bermaksud – Jalur Keturunan Sultan-Sultan. Sebagaimana kitab-kitab Islam, maka Sulalatu`s-Salatin bermula dengan khutbah kitab bermula dengan basmalah, pujian kepada Allah dan salawat kepada Rasulullah, bahkan membangkitkan tentang asal usul kejadian alam membawa kepada kejadian Adam. Ayat-ayatnya diselang seli dengan ayat-ayat di dalam bahasa `Arab.  Selepas daripada itu barulah pengarang masuk kepada tujuan mengarangnya. Selain daripada itu terdapat di sana sini ungkapan-ungkapan dan istilah-istilah keislaman yang digunakan oleh pengarang. Pendek kata Sulalatu`s-Salatin dikarang oleh pengarang yang mempunyai jiwa dan pandangan wujud keislaman.
Sesungguhnya Sejarah Melayu mengungkap dan menyerlahkan susur galur pemerintah dan asal usul Melayu yang menjadi akar tradisi sebagai tempat berpijak bagi langkah-langkah ke hadapan bagi membina kemajuan dan menghadapi cabaran masa hadapan.

Sekian.                   

No comments:

Post a Comment