Pagi ini tepat jam 11.15 pagi rangka kubah
Masjid Al-Umm berjaya diangkat ke tapaknya di puncak Masjid Al-Umm dengan menggunakan
crane kuasa tinggi seberat 400 tan mengangkat rangka kubah seberat 10 tan yang
dipasang di medan parkir hadapan masjid sejak pertengahan Mac ini. Upacara
mengangkat rangka kubah ini disaksikan lebih kurang 120 tamu termasuklah
Pengerusi AJK Induk Dr. Shafie Abu Bakar, Pengerusi AJK Teknikal Ir. Tuan Haji
Ishak Haji Arshad, Pengerusi AJK Tapak Ir. Tuan Haji Ghazali bin Hussin,
Pengarah Pembangunan Masjid Tuan Haji Adul Rahman Daud, Pengarah Urusan
Syarikat Majliza Sdn Bhd. Tuan Haji Abdul Majid sub. kontrektor Pembinaan
Kubah, Tuan Haji Marzuki bin Hj. Che Omar Pengarah Tekad Nusantara Sdn. Bhd. Kontrektor
pembangunan masjid, Ar.Raja Fuaddin bin Raja Ahmad Arkitek bagi Masjid Al-Umm,
wakil-wakil Juru Perunding, AJK-AJK dan orang ramai. Dalam majlis itu diedarkan
secara percuma kepada yang hadir buku `Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu` yang
di dalam buku tersebut maklumat mengenai Masjid Al-Umm yang diharap menjadi
induk bagi perkembangan ilmu di Wadi Ilmu secara khusus dan Bangi secara
menyeluruh.
Sebelum daripada pengangkatan rangka kubah
dilakukan satu Majlis Kecil diadakan. Pengerusi Majlis Tuan Haji Ghazali bin
Haji Abas membukakan majlis dengan pembacaan `Al-Fatihah`. Berikut dari itu
beliau menjemput Tuan Haji Abdul Rahman Pengarah Pembangunan menyampaikan
ucapan.
Tuan Haji Abdul Rahman bercakap tentang
bangunan masjid yang terdiri dari tiga tingkat dengan tingkat bawah tanah
adalah tambahan baru dari asalnya dua tingkat. Tingkat bawah adalah sebagai
`bonus` hasil dari cadangan AJK mesyuarat. Ruang solat utama dapat menampung
jamaah seramai 3,000 orang. Pada tingkat ini ada bilik imam, bilik mesyuarat
dan bilik tarbiah anak-anak. Tingkat atas adalah untuk muslimat. Pada tingkat
ini ada 6 bilik termasuk bilik mesyuarat, seminar, tahfiz, IT dan bilik sumber.
Tingkat bawah tanah ialah bilik seminar
(besar), jamuan perkahwinan, bilik aqad nikah, persalinan dan bilik penyediaan
makanan. Menurutnya pungutan derma yang didapati adalah sejumlah RM10.2 juta
dari jumlah keperluan RM16 juta. Beliau menyeru kepada penderma-penderma bagi
memenuhi jumlah keperluan pembinaan
masjid atau memilih menderma item-item khusus seperti carpet, kipas, air-cond
dan sebagainya.
Ir. Tuan Haji Ishak Arshad Pengerusi AJK
Teknikal turut dijemput bercakap. Beliau memaklumkan setakat ini pembinaan
Masjid Al-Umm adalah 65%. Ada sedikit kelewatan dan tarikh dijangka siap pada
25 Mei 2015 menjelang Ramadhan mungkin lewat daripada itu, walau bagaimana
beliau berharap penggunaan masjid dapat dilakukan dan digunakan bagi Hari Raya
Idul Adhha 1436/2015 ini – Insya Allah.
Berhubung dengan Kubah yang akan diangkat
berikut dari majlis pagi ini adalah dilakukan oleh Sub-Kontrektor – Syarikat
Majleza Alluminium Sdn. Bhd. Dari Ulu Tiram, Johor. iaitu sebuah syarikat yang memang pakar dan
banyak membina kubah-kubah di berbagai tempat di tanah air, terbaru majlis
mengangkat kubah seperti ini dilakukan di Masjid Universiti Malaysia Pahang
(UMP) beberapa hari yang lepas.
Berhubung dengan kubah ketumpatan luasnya
ialah 800 meter persegi dengan 11 diemeter lilit seberat 10 tan yang bakal
diangkat. Rangka dipasang dengan dua layers dengan warna permukaan ialah warna
keemasan. Siang hari terpantul warna keemasan bila dipancar cahaya matahari dan
bila malam warna keemasan itu bertambah seri bila digemerlapkan dengan cahaya
lampu. Pada puncak kubah adalah lambang
Al-Umm sebagai `tunjuk langit`. Menurutnya pemasangan kubah melibatkan ikatan
16 bolt, setiap bolt adalah 4 inci. Satu-satu bolt berkekuatan 5 ton.
Pengerusi AJK Induk Dr. Haji Shafie Abu Bakar
pula memaklumkan dalam ucapannya bahawa, setelah setahun tiga bulan selepas
penyerahan tapak dan mulai masuk kerja pada 10.12. 2013, maka pada hari ini insya Allah
dengan menaikkan rangka kubah Masjid Al-Umm, maka sempurnalah rangka binaan
fizikal Masjid Al-Umm keseluruhan, masa seterusnya ialah kerja-kerja finishing
yang kebanyakannya dalaman bagi masjid. Merujuk kepada pembinaan kubah,
sebenarnya sebelum penyerahan tapak, AJK telah berusaha mencari jurubina kubah.
Misalnya pada 11.9.2013 kita telah memanggil Syarikat Aktif Alluminium Sdn.
Bhd. Kuala Lumpur berbincang mengenai kepakaran syarikat, berikut dari itu
pihak AJK juga menginterview dua syarikat yang menawarkan diri untuk bina
kubah, iaitu Kubah Anum dari Setapak dan TA Deck Sdn. Bhd. dari Subang. Kedua-dua telah datang untuk dinterview pada
14.5.2014, walau macam mana pihak AJK tidak mengambil keputusan untuk mencari
syarikat terbaik dan banyak pengalaman di dalam membina kubah. Kita
diperkenalkan dengan Syarikat Majleza Sdn. Bhd. Dari Ulu Tiram, Johor sejak
28.8.2014 dan pihak AJK menginterview Pengarah Urusan Syakitat Tuan Haji Abdul
Majid pada 9.9.2014 dan berpuashati. Pihak Majleza sering datang membincang
proposal yang bukan saja melibatkan kubah, tetapi mihrab, mimbar, kipas dan
dekorasi bahagian hadapan dalam, tiang seri dan bahagian dalaman dari kubah. Harga bagi pembinaan
kubah sahaja mencecah RM800,000 dan kesemua yang melibat bahagian-bahagian yang
disebutkan perbelanjaan RM2.689 juta.
Untuk memastikan kemampuan syarikat ini sebahagian AJK telah melawat kilang
syarikat berkenaan pada 3.3.2015 dan berpuashati dengan kemampuan syarikat dan
hari ini kita melihat, sejak pemasangan rangka kubah dua minggu lepas di medan
parkir hadapan masjid ini pada hari rangka kubah ini akan dinaikkan ke tapak di
puncak Masjid Al-Umm. Saya difahamkan kata Pengerusi AJK Induk, Crane yang
didatangkan pada hari semalam seberat
400 ton, dan berat kubah Masjid Al-Umm diangkat cuma 10 tan.
Reka
bentuk kubah Masjid Al-Umm adalah mengambil bentuk bujur telur. Bilah yang
dibina bagi membentuk rangka kubah ini ialah 30 bilah dengan bilah lilit
lintang ialah 10 bilah. Kita berharap dengan siapnya Masjid Al-Umm ianya menjadi daya utama bagi
masyarakat setempat datang berjamaah dan mengimarahkan masjid. Sesungguhnya
dari segi visi dan misi masjid ini pertama dan paling utama ialah sebagai
tempat ibadat bagi masyarakat setiap waktu dan masa, kedua sebagai pusat
pengajian yang setiap lepas solat ada pengajian berbagai keilmuan. Ada
pengajian berkurikulum pada hari minggu yang dapat dihadiri bukan saja penduduk tempatan, tetapi
luar dari Bangi, bahkan luar dari Selangor. Penmgajian juga ada bagi muslimat.
Pengajian yang dianjurkan adalah dengan kerjasama pengajian tinggi tempatan dan
dinilai untuk diberi ijazah dan pengiktirafan. Kita juga akan mengadakan pengajian
tahfiz di samping pengajian ala pondok bagi warga emas. Ketiga masjid juga
diharap menjadi pusat kegiatan kemasyarakatan, terutama menggunakan aras bawah
tanah. Di sini dapat diadakan konvensyen, seminar dan kursus dan berbagai
sambutan. Juga sebagai tempat jamuan perkahwinan, bahkan disediakan tempat aqad
dan juru nikah. Pihak masjid juga menyediakan kegiatan bagi kalangan muda
seperti kerjasama melalui Belia Abim yang pejabatnya berdekatan dengan masjid.
Berbagai kegiatan dapat diadakan seperti sukan, kembara, kelas nasyid, kelas
tarannum dan berbagai lagi. Bangunan Surau al-Umm sekarang akan dinaik taraf
menjadi rumah imam-imam dan bilik-bilik tumpangan.
Pengerusi AJK Induk memaklumkan pihak AJK
Masjid selain dari membina masjid, bercadang membangunkan kawasan Medan
Usahawan dengan kompleks bangunanan 10 tingkat sebagai pusat komersil dan pusat
pendidikan disamping membangunkan padang berdekatan masjid dengan kompleks
pendidikan dan sukan dengan mengekalkan padang permainan. Kos bagi pembangunan semua ini dijangka memerlukan peruntukan sebanyak
RM100 juta. Bagi menjayakan hasrat ini koperasi bagi pembangunan
bangunan-bangunan dalam proses penubuhan. Beliau berharap orang ramai, termasuk
hadirin dapat sama terlibat bagi menjayakan hasrat murni yang agak besar ini.
Selepas Pengerusi AJK Induk berucap, Ustaz
Ahmad Haji Hasbullah membaca doa selamat dan selepas itu crane mulai mengangkat
barang-barang keperluan bagi kubah ke atas dan diikuti dengan pengangkatan
kubah. Semasa kubah sedang diangkat crane, Cikgu Nasir Jali Bilal Surau Al-Nur
menyampaikan azan dan apabila kubah berjaya diletakkan kepada tapaknya di
puncak masjid dan membetuli kiblat menurut tanda pada bilah yang telah ditanda
sebelum daripada itu, maka takbir Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
dilaung beramai-ramai secara berturut-turut, tanda menyatakan kesyukuran dan
kebesaran Allah di atas kejayaan meletakkan kubah ke tapaknya di puncak Masjid Al-Umm.
Orang ramai mengikuti pergerakan kubah yang diangkat crane dan mereka turut
sama merakamkan saat bersejarah dengan handphone masing-masing, bahkan ramai
pula bergambar berlatarkan kubah sama ada sebelum atau sedang diangkat. Orang
ramai selain dari dihadiah cenderahati berupa buku dijamu dengan nasi lemak,
karipap dan air mineral yang disediakan di bawah khemah yang dipasang sejak
petang semalam.
Sekian.
No comments:
Post a Comment