BBB, 29 Jamadil Awwal 1436 = 20 Mac 2015
(Jumaat):
Sastera zaman Jahiliyyah adalah sastera lisan
diperturun dan diwariskan adalah secara hafalan. Sastera yang diwariskan adalah
umumnya di dalam bentu puisi. Semua hasil-hasil zaman Jahiliyyah ini
diperturunkan secara tulisan pada zaman Islam selepas berkembangnya tradisi
penulisan (Butrus al-Bustani, `Udaba` al-`Arab fi al-Jahiliyyah wa Sadr
al-Islam, Dar Nazir `Abud, Beirut, 1989: 36-37).
Pola sastera sebelum Islam dan selepas Islam
juga berlaku di dalam persuratan Melayu. Sebagaimana maklum bahawa tradisi
persuratan di dalam bahasa Melayu hanya berlaku selepas penerimaan Islam dan
peneriman huruf-huruf Al-Qur`an yang dikenali sebagai Tulisan Jawi yang
penggunaan awalnya terakam pada Batu Bersurat Terengganu pada Juma`at 4 Rajab
702H bersamaan 22 Februari 1303H. Selepas
penerimaan tulisan jawi, maka baharulah hasil-hasil sastera Melayu sebelum dan
sesudah Islam terakam di dalam persuratan.
Selain dari karya-karya besar bersifat
tempatan sebagaimana diperkatakan di atas, persuratan Melayu bersifat terbuka
terhadap karya-karya luar. Khususnya yang telah ada di dalam bahasa Melayu.
Keterbukaan dimaksudkan bahawa tradisi Melayu-Islam menerima karya-karya sama
ada yang selari dengan Islam dan yang tidak selari dengan Islam. Sikap ini
berlaku pada zaman keagungan Melaka lagi.
Antara yang selari dengan Melayu Islam sebagai
contohnya ialah Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Muhammad Hanafiyyah. Di dalam
Sejarah Melayu disebutkan semasa Portugis menyerang Melaka kedua-dua hikayat
ini diminta Sultan Ahmad supaya dibaca bagi menaikkan semangat dan jaya juang
pahlawan-pahlawan Melayu menentang Portugis.
(Sejarah Melayu, Edisi Shellabear, Oxford University Press, Kuala
Lumpur, 1967: 264).
Adalah dijangka Hikayat Amir Hamzah dan
Hikayat Muhammad Hanafiyyah sudah terhasil di Melaka sejak zaman kegemilangan
dan kedua-dua hikayat ini sudah terkenal pada zaman Melaka, Kata A. Samad
Ahmad, penyelenggara Hikayat Amir Hamzah:
``Satu perkara dapat dipastikan dengan sah,
ialah bahawa sejak dari zaman kesultanan Melaka lagi, kira-kira lima abad
dahulu Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Muhammad Hanafiyyah sudah ada dan sudah
terkenal kepada orang Melayu, terutama di kalangan istana. Kedua-dua hikayat
teresebut dijeniskan sebagai ``hikayat perang`` memang tepat sekali, kerana
dalam sedemikian tebalnya kedua-dua buah hikayat itu hampir keseluruhan isinya
dari awal hingga ke akhir, penuh dengn kisah peperangan.``
(Hikayat Amir Hamzah, Penyelenggara A.Samad
Ahmad, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1987: VIII-IX).
Amir Hamzah merupakan pahlawan Perang yang
gugur di dalam peperangan Badar (tahun 2H.). Watknya menjadi tema Hikayat Amir
Hamzah.
Manakala Hikayat Muhammad Hanafiyyah juga adalah
Hikayat yang sudah terkenal di Melaka sejak abad ke 16 lagi yang memberi
semangat kewiraan pahlawan-pahlawan Melaka di dalam menentang Portugis. Watak
Muhammad Hanafiyyah ialah pembela Sayyiduna Ali di dalam peperangan dengan
tentera Yazid. Watak ini menjadi tema bagi Hikayat Muhammad Hanafiyyah.
(Hikayat Muhammad Hanafiyyah, E.F. Brakel,
Terjemahan Junaidah Salleh, Mokhtar Ahmad, Nor Azman Shehidan, Dewan Bahasa dan
Pustaka, Kuala Lumpur, 1988: VII).
Sebuah lagi karya pengaruh Islam yang dijangka
dihasilkan pada zaman Melaka, ialah Hikayat Iskandar Zulkarnain. Menurut
Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka – Syed Nasir Ismail, yang membuat kata pengantar kepada Hikayat
Iskandar Zulkarnain yang diselenggarakan oleh saudara Khalid Hussein, bahawa
kemungkinan Hikayat dihasilkan sezaman dengan Hikayat Amir Hamzah dan Muhammad
Hanafiyyah, tetapi nama Iskandar sudah lama popular sebagai nama raja-raja Melayu
seperti Sultan Iskandar Shah raja Melaka dan beberapa yang lain. (Hikayat
Iskandar Zulkarnain, diselenggarakan oleh Khalid Hussein, Dewan Bahasa dan
Pustaka, Kuala Lumpur,1967: IX)
Apa yang hendak ditekankan di sini bahawa,
sejak Zaman Melaka banyak terhasilnya karya-karya sastera, terutama mengenai
kepahlawanan sama ada berwatak tempatan atau berwatak tokoh-tokoh Islam.
Walau bagaimana sebagaimana pada zaman awal
Islam, karya-karya yang tidak selari dengan Islam turut ditulis sebagai hasil
warisan, maka demikian selepas berkembangnya tulisan jawi, maka hasil-hasil
yang tidak selari dengan Islam turut ditulis sebagai hasil warisan, sebagai
contoh hikayat Seri Rama (Ramayana) dan
Mahabharata yang jelas dari pengaruh Hindu.
Cerita Ramayana dan Mahabharata adalah cerita
tua dari zaman Hindu, tidak dipasti bila masuk ke dalam bahasa Melayu. Ada
antaranya bersifat lisan, tetapi di dalam cerita Seri Rama menunjukkan adalah
dihasilkan selepas Islam, lantaran terdapat di dalamnya unsur-unsur Islam
seperti menggunakan istilah Allah Subhanahu wa Ta`ala, dikaitkan cerita dengan
Nabi Adam dan mengelak dari elemen syirik. (Shellabear, W.G. Hikayat Seri Rama,
Malaysia Publishing House Ltd., Singapore, 1964: 1 – 2).
Cerita-cerita mengenai Ramayana (Seri Rama)
dan Mahabharata popular di dalam sastera dan budaya tradisi, ianya bukan
setakat karya berteks, tetapi menjadi tema perwayangan. Cerita perwayangan ini
pula turut digunakan bagi memperkembangkan Islam seperti yang dilakukan oleh
Wali Songo di Jawa.
Sikap terbuka Islam sama ada terhadap sastera
Arab sebelum Islam dan sastera Melayu sebelum Islam membolehkan kita mewarisi
karya-karya berkenaan. Ianya dapat digunakan sebagai bahan-bahan bagi kajian
bahasa, sastera dan budaya. Juga sebagai kajian-kajian bandingan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment