Pejabat, BBB, 22 Rabiul Akhir 1436 = 13 Mac
2015 (Juma`at):
Tepat jam 3.30 dua bekas pelajar Penulis yang
bijaksana dan gigih belajar itu tiba. Mereka ialah Dr. Mawar Shafei Pensyarah Kanan yang
berkhidmat di bawah Program Persuratan Melayu di Fakulti Sains Kemasyarakatan
dan Kemanusiaan UKM dan Dr. Kamariah Kamarudin Pensyarah Kanan dari Jabatan
Bahasa dan Sastera di UPM. Mereka berdua bukan semata-mata tenaga akademik, tetapi
juga adalah penulis-penulis kreatif yang menghasilkan novel, cerpen dan puisi.
Mereka adalah penulis-penulis generasi baru yang mapan dan terkenal.
Mereka berdua membuat kunjungan, menurut
mereka, ``Sudah lama tidak ketemu, datang untuk bertanya khabar berkenaan
Penulis bagi mengetahui perkembangan terkini, di samping ada beberapa tujuan.``
Sesungguhnya selepas tidak menjadi Wakil
Rakyat, Penulis lebih banyak bersendirian dan bersunyi di pejabat menumpukan
perhatian pada pembacaan dan penulisan, di samping melibatkan diri sedikit pada
kerja-kerja kebajikan yang berhubung dengan surau dan masjid.
Antara tujuan mereka, ialah untuk meninjau
kemungkinan Penulis dapat meluangkan masa bertemu pelajar-pelajar di UKM dan
UPM bercakap tentang `Teori Takmilah` yang menurut mereka - Ramai pelajar-pelajar yang mengikuti kursus
dan menggunakan teori ini berharap dapat
bertemu secara langsung dengan Penulis yang mencetuskan teori ini. Penulis pada
dasarnya bersetuju, tetapi hari dan masa yang dicadangkan adalah bertembung
dengan jadual tetap mingguan Penulis bermesyuarat mengenai pembinaan masjid,
mereka bercadang untuk meneliti kembali masa yang sesuai yang melibatkan
beberapa pihak.
Mereka juga memaklumkan, mereka berdua dan
seorang lagi tenaga pengajar dari Universiti Malaya (Dr. Intan) bercadang untuk mengadakan projek
penyelidikan secara bersama yang sedikit sebanyak mempunyai kaitan dengan
Penulis dan mengharapkan kerjasama Penulis. Penulis sebenarnya tidak
berkeberatan sekiranya releven, tetapi mengharapkan proposal bagi projek ini
dan cadangan kandungan dapat dikemukakan untuk diteliti dan dinilaikan terlebih
dahulu.
Dr. Kamariah menimbukan masalah yang dihadapi
oleh pelajar-pelajar yang mengikuti kursusnya terutama yang berhubung dengan
Takmilah, ialah kekurangan bahan-bahan rujukan yang dapat digunakan oleh pelajar-pelajar.
Apa yang ditimbulkan oleh Dr. Kamariah sememangnya benar. Sememangnya tulisan
berkenaan dengan Takmilah terbit di dalam majalah-majalah, terutamanya Dewan
Sastera dan sebahagian dari artikal diterbit di dalam buku-buku hasil dari
seminar-seminar dalam mana Penulis membentangkan kertaskerja, terutama
buku-buku yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Persatuan Suluh
Budiman dan beberapa pihak yang lain. Penulis sendiri telah mengkompailkan
sebahagian dari kertas-kertas kerja berkenaan, bahkan sudah ada di dalam bentuk
manuskrip dan berhasrat untuk menerbitkan, tetapi ada kekangan-kekangan yang
dihadapi. Masalah utama ialah kekurangan masa. Sesungguhnya banyak bahan yang
telah dihasilkan berkenaan Takmialh, tetapi untuk meneliti, menyusun kembali,
memerlukan tenaga dan masa. Penulis terpaksa menghadapi semua kerja
berseorangan. Tumpuan kerja ialah terhadap kerja-kerja kini dan untuk meneliti,
menyusun dan memperbaiki yang sudah amat memerlukan masa. Untuk mengambil
tenaga pekerja terpaksa memikirkan dari segi kemampuan kewangan. Seorang pesara
tidak mempunyai kewangan yang dapat mengambil pekerja. Walau bagaimana Penulis
menawarkan kerja secara `menyiapkan kerja yang ditentukan dengan bayaran yang
ditentukan`. Hasil dari kerja sedemikian beberapa manuskrip dapat disiapkan.
Sebenarnya hasrat untuk menerbitkan buku-buku
Penulis memang tinggi. Dari pengalaman sukar untuk mendapat penerbit, khususnya
yang terkenal, maka mendorong Penulis menjadi Penerbit dengan mendaftar
Penerbit di Putera Jaya. Tujuannya untuk menerbitkan tulisan-tulisan sendiri.
Hasilnya sejumlah penerbitan atas nama Penerbit Galeri Bangi Bandar Ilmu telah
diterbitkan dengan semua kos ditanggung sendiri. Penerbitan tidaklah bertujuan
bersifat komersil dan tidak mencari keuntungan. Bahkan hasil-hasil penerbitan
lebih banyak dihadiahkan kepada mereka yang berkenaan dengan bidang-bidang
berkenaan terutamanya dari kalangan akademik.
Penulis juga menimbulkan soal tugas harian
Penulis sebagai menjawab perbualan Penulis dengan Dr. Mawar dan Dr. Kamariah.
Penulis memaklumkan bahawa Penulis kini terus menulis dan tumpuan lebih
diberikan kepada `Perluasan Teori Takmilah` sebagai tahap kedua bagi
perkembangan Teori Takmilah yang boleh diperluaskan kepada semua bidang yang bersifat seni. Tahap kedua
ini dicetuskan semasa Penulis membentangkan kertaskerja di UPSI pada bulan Mac
2014. Penulis tumpukan penulisan Takmilah di dalam bidang sastera, senibina,
khat, permuziuman dan estetika Al-Qur`an. Banyak lagi bidang yang dapat
diaplikasikan (10 bidang dikenalpasti). Penulis melahirkan kerisauan bahawa,
soal masa dan tenaga menjadi halangan.
Dr. Kamariah dan Mawar mencadangkan agar
diadakan kerjasama dengan pakar-pakar bidang berkenaan untuk menulis berhubung
dengan kepakaran mereka dengan menggunakan Teori Takmilah` Penulis bersetuju
dengan cadangan antaranya melalui persidangan dan seminar dan juga melalui
projek-projek tertentu dengan mendapat tajaan, terutama dari
institusi-institusi berkenaan. Cadangan sedemikian mungkin dapat diadakan
sekiranya ada tenaga dan kerjasama dengan pihak-pihak berkenaan. Penulis amat
bersetuju sambil melahirkan kebimbangan, memikirkan umur yang lanjut, apakah
projek-projek sedemikian berkesempatan dapat dilaksanakan. Walau bagaimana
Penulis melahirkan rasa optimis dengan adanya pendukung-pendukung teori ini,
terutama dari pensyarah-pensyarah beberapa buah universiti dan pelajar-pelajar
yang mengikuti kursus, Penulis berkeyakian teori Takmilah terus berkembang.
Penulis juga gembeira dimaklumkan oleh Dr. Kamariah bahawa oleh kerana
bahan-bahan rujukan berkurangan, tulisan Penulis di dalam Blog Penulis,
khususnya berkenaan Takmilah adalah menjadi bahan rujukan kepada
pelajar-pelajar.
Pertemuan selama lebih kurang dua jam itu
diakhiri dengan pertukaran buah tangan. Penulis telah menghadiahkan kepada Dr.
Mawar dan Dr. Kamariah buku-buku yang dihasilkan Penulis sebagai cenderahati
untuk kegunaan mereka. Untuk menjadi bahan rujukan juga Penulis meminta mereka
menyalin dua buah bahan penulisan Penulis dari komputer Penulis. Kami juga
berharap pertemuan lanjut akan dapat diadakan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment