BBB, 27 Rabiul Akhir 1436 = 06 Mac 2015
(Jumaat):
Melayu walaupun terbukti wujud sejak
pra-sejarah di Alam Melayu, khususnya di Semenanjung Tanah Melayu, tetapi
kewujudannya dalam sejarah purba agak terpinggir oleh kerajaan semasa yang
lebih besar terutamanya Kerajaan Sriwijaya (Abad ke 7-12M.) di Sumatera dan
kerajaan Langkasuka (Abad ke 6 hingga kedatangan Islam) bertempat di utara
Semenanjung termasuk wilayah Patani yang merupakan kerajaan bermazhab Buddha Mahayana. Bukti-bukti
tentang kerajaan ini antaranya terdapat batu-batu bersurat seperti di Palembang
Tiga Batu Bersurat (terutama di Kedukan Bukit), di Karang Brahi, Batang Hari dan di Kota Kapor.
Ini dibuktikan lagi dengan maklumat dari I-Ching yang singgah (685-689M.) di
Sumatera zaman kerajaan Sriwijaya dalam pelayaran ke Nalanda, India. Disebut
bahawa pada batu-batu bersurat adalah merupakan bahasa Melayu purba pada zaman
Kerajaan Sriwijaya. Kedudukan Sriwijaya adalah selari dengan perkembangan agama
Buddha dengan jiran-jiran terdekat seperti Cambodia dan Thailand.
(Coedes, G., The Indianized States of
Southeast Asia, University of Malaya Press, Kuala Lumpur – Singapore, 1968: 82).
Kelangsungan kerajaan Sriwijaya juga
Langkasuka berterusan sehingga abad 12M. Antara faktor kemunduran kerajaan
Sriwijaya selepas itu ialah dengan kehadiran Agama Islam ke Alam Melayu yang
sedikit demi sedikit melemahkan kerajaan Sriwijaya. Kehadiran Islam tertumpu ke
rantau kepulauan Melayu secara meluas
misalnya menurut Hikayat Acheh Islam tersebar di Utara Acheh sejak 500H./1112M. dibawa oleh pendakwah Shaykh Abdullah
Ariff dan muridnya Shaykh Burhanuddin menyebarkan Islam ke Priaman ke selatan
barat perpantaian Sumatera sekitar 601/1204. Hikayat Raja-Raja Pasai menyebut
bahawa Sharif Makkah menghantar pendakwah bernama Shaykh Ismail di utara
Sumatera pada pertengahan abad ke 7/13 ke Perlak dan Samudera, Pasai dan
kawasan ini menerima Islam pada 652/1282 dan Sultan Pasai yang menerima Islam,
iaitu Sultan Malikul Salih sebagaimana tercatat pada batu nisannya ialah pada
697/1297 atau 707/1307. Dari gelombang yang sama dakwah Islam sampai ke pantai
Timur Semenanjung, iaitu di Kuala Berang, Hulu Terengganu. Apa yang menarik
pengislaman di Terengganu terbukti dengan wujudnya Batu Bersurat Terengganu
bertulisan jawi bertarikh 702/1302. Ini adalah merupakan pertama kali dan
terawal bukti penggunaan tulisan jawi digunakan di Alam Melayu. Dari gelombang
yang sama dakwah Islam tiba hingga ke Jolo di Sulu di mana kedapatan kuburan
pendakwah Islam di sana.
(Al-`Attas, Syed Naguib, Preliminary Statement
On A General Theory of The Islamization of The Malay-Indonesian Archipelago,
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1969: 11-12).
Kehadiran Islam mulai abad 12 dan memuncak pada abad ke 13M.
membawa perubahan yang besar bagi kawasan Alam Melayu. Kesan dari penerimaan
Islam di kawasan-kawasan di atas menukarkan kepercayaan masyarakat dari
pengaruh Hindu-Buddha (Bukti Hindu di Kedah) kepada kepercayaan Islam. Ada
beberapa perubahan penting berlaku kepada kawasan menerima Islam dan ke
kawasan-kawasan persekitaran:
Kedatangan Islam yang antaranya dibawa oleh
pendakwah dan peniaga mewujudkan pelabuhan-pelabuhan perniagaan yang meningkat
kepada pusat dakwah seperti pelabuhan Samudra Pasai, Perlak, Periaman, Kuala
Berang, Hulu Terengganu, Jolo, Sulu dan kemudian Melaka dan Aceh. Pusat-pusat
ini berkembang sebagai pusat perniagaan dan menjadi pusat dakwah keislaman.
Dengan kehadiran Islam membuka lembran baru
bagi kerajaan Melayu (Baru). Walaupum sebelumnya sudah ada kerajaan Melayu lama
seperti Sriwijaya, Langkasuka juga kerajaan-kerajaan di Jawa yang tidak diberi
nama Melayu, tetapi dengan datangnya Islam kawasan Melayu di Bukit Seguntang yang
tebal dengan kepercayaan Hindu tidak begitu membangun, tetapi selepas
perpindahan pemerintahanya ke Melaka, maka Melaka dikenali sebagai negeri
Melayu dan berikutnya negeri-negeri lain selepas menerima Islam dikenali
sebagai negeri-negeri Melayu. Pelabuhan Melaka dimakmurkan oleh
pedagang-pedagang Islam, begitu juga Aceh selepas Melaka. Hingga kini Melayu
lebih dikenali dan merujuk kepada negeri-negeri di Malaysia.
Islam memilih bahasa Melayu yang asal
terpinggir, tetapi murni, kerana tidak dimasukkan istilah Hindu-Buddha, tidak
mengelirukan. Pemilihn bahasa Melayu memperkayakan bahasa itu dengan istilah-istilah
keislaman, perniagaan, komunikasi dan keilmuan, lantaran itu, bahasa yang
asalnya terpinggir itu menjadi bahasa utama dan dikenali sebagai bahasa
lingua-franca di dunia timur.
Islam juga memperkenalkan tulisan jawi
sebagaimana bukti terawal tulisan jawi terakam pada Batu Bersurat Terengganu
bertarikh Juma`at 4 Rajab 702 Hijrah bersamaan 22 Februari 1303 Masihi
bertempat di Kuala Berang Terengganu.
(Al-Attas. Syed Muhammad Naguib, The Correct
Date of The Trengganu Inscription, Muzium Negara, Kuala Lumpur, Malaysia, 1970:
22-23).
Dengan pengenalan tulisan yang berasal dari huruf
Al-Qur`an, maka tradisi penulisan secara meluas berlaku baik bagi pengajaran
keilmuan Islam, pentadbiran, perniagaan dan berbagai-bagai pengurusan.
Dengan berkembangnya tradisi menulis dan
pengajian, maka lahirlah pengarang-pengarang dan karangan-karangan di dalam
bahasa Melayu yang menghasilkan antaranya karangan ketatanegaraan seperti Tun
Sri Lanang yang mengarang Sulalat al-Salatin (Sejarah Melayu), Bukhari
al-Jauhari yang mengarang Taj Al-Salatin, Nuruddin al-Raniri yang mengarang
Bustan al-Salatin. Ramai pula pengarang yang mengarang kitab-kitab agama
seperti Nuruddin al-Ranini yang mengarang kitab fiqh – Sirat al-Mustaqim. Abdul
Rauf Singkel antaranya mengarang Kitab Tafsir, Abdul Malik bin Abdullah
mengarang Sharah Hikam Melayu dan bidang-bidang yang lain. Antaranya sebagai
sasterawan seperti Hamzah Fansuri mengarang Rubai dan banyak lagi
karangan-karangan yang dihasilkan oleh ulama. Pendek kata bahasa Melayu melalui
tulisan Jawi menjadi bahasa persuratan ilmu terkenal.
Pendek kata bahasa Melayu yang menggunakan
tulisan jawi bukan saja menjadi bahasa keilmuan, perdagangan dan pentadbiran,
tetapi dengan bahasa Melayu dan agama Islam menyatukan kawasan Melayu sebagai
umat Islam, bahkan menjadi umat Islam yang paling ramai di dunia.
Hingga kini bahasa Melayu dan agama Islam
menjadi faktor yang penting di dalam menyatukan penduduk dan umat Islam di Alam
Melayu.
Sekian.
No comments:
Post a Comment