BBB, 07 Jamadil Akhir 1436 = 28 Mac 2015
(Sabtu):
Satu
lagi puisi yang masuk melalui Islam di dalam persuratan Melayu ialah Ghazal.
Kemasukannya dapat dikatakan bersamaan dengan mathnawi dan rubai dan
bentuk-bentuk ini terdapat di dalam Taj al-Salatin. Dikatakan puisi ghazal
sudah ada di dalam kesusasteraan Arab sejak zaman Jahiliyyah, tetapi tidak
begitu berkembang oleh kerana suasana kehidupan mereka selalu di dalam
persengkitaan, peperangan dan perpindahan. Ghazal dari segi kata bermakna
`tenunan` atau juga bermaksud `rusa`. Dari segi istilah kepuisian ialah puisi
yang bertemakan puisi kecintaan – khususnya terhadap perempuan atau boleh juga
dikatakan puisi kasih dan cinta. Puisi yang bertemakan sedemikian memang ada di
dalam kehidupan Arab badui, tetapi gambaran adalah langsung yang mencerminkan
hubungan kasih sayang di dalam kehidupan badui yang keras dan kasar.
Namun tema puisi ghazal yang tidak berkembang
di dalam zaman Jahiliyyah ini, mendapat tempat dan berkembang pada zaman
Umawiyyah. Pada zaman tersebut kehidupan masyarakat Arab yang dahulunya
bersifat badui dan padang pasir, maka dengan naiknya kerajaan Umawiyyah wujud
masyarakat bandar yang bertukar dari sifat badui yang tinggal di khemah-khemah
di padang pasir kepada kehidupan di kota yang mendiamai bangunan batu , kuat,
kukuh dan mencerminkan kemewahan hidup. Maka sebahagian dari penduduk, termasuk
kalangan penyair mengalami kehidupan mewah dan berpoya-poya dan mempunyai
hubungan dengan wanita-wanita yang hidup di bangunan-bangunan hebat dengan gaya
kehidupan mewah. Tema ghazal dikatakan berkembang pada zaman Umawiyyah hingga
ke zaman Abbasiyyah.
Perkembangan ghazal dapat dibahagikan kepada
dua, iaitu ghazal badui dan ghazal bandar
Ghazal badui dianggap lebih murni dan jauh
dari bersifat berpoya-poya, mereka bertempat di Najd dan Hijaz. Kecintaan
mereka dikatakan lebih bersifat setia. Gambaran lebih kepada kepedihan
perpisahan, kepahitan berhijrah dan halangan-halangan. Antara penyair ghazal
badui ialah seperti Jamil bin Ma`mar, Qays bin Duraij atau lebih dikenali
dengan Layla dan Majnun.
Adapun penyair ghazal bandar ditenggelami
suasana senang dan kelalaian, perpoya dan pembaziran lebih cenderung kepada
berlindung di bawah pengaruh khalifah untuk mendapat rahmat dan kurniaan.
Lantaran mereka berada di dalam kelazatan, lalai dan berpoya-poya, maka
terpancarlah dari mereka puisi-puisi ghazal yang bersifat bandar dan istana.
Antara penyair-penyair ghazal bandar antaranya Umar bin Abi Rabi`ah, Al-`Arji
al-Qurashiyyan, dan Al-Ahwas bin Muhammad al-Ansari.
(Butrus al-Bustani, Shu`ara` al-`Arab fi al-Jahiliyyah
wa Sadr al-Islam, Dar Nazir `Aud,, Beirut, 1989: 283-285).
Contoh puisi Jamil bin Ma`mar yang dianggap
kasihnya lebih murni:
Pemula yang membawa kepada pengenalan antara
kami
Di Wadi Baghid, Ya Bushayn yang malu bercakap
Sepatah ditanya sepatah dijawab
Tiap percakapan Ya Bushayn menjawab.
Agak biasa dan bersahaja dari segi ungkapan
dan kandungan.
(Butrus al-Bustani, hlm. 286).
Adapun ungkapan ghazal bandar ialah seperti
ungkapan ghazal Umar bin Abi Rabi`ah yang berkesempatan dengan Hassan bin
Thabit;
Runtuh hatiku oleh perpisahan dengan kekasih
Di hari perpindahan menggoncangkan kedudukan.
((Butrus al-Bustani, hlm. 294).
Ungkapan Umar bin Abi Rabi`ah lebih mendalam
dan intuitif berbanding dengan ungkapan Jamil bin Ma`mar.
Pengaruh Ghazal tiba ke Alam Melayu terutama
melalui persuratan zaman Acheh. Namun dari segi bentuk agak berlainan dari ghazal
di dalam bahasa Arab. Sifatnya semacam susunan syair yang dikawal oleh wazan
dan qafiah, tetapi ghazal di dalam bahasa Melayu jadi terikat dengan aaaa dan
seterusnya yang tentulah membosankan. Contoh:
Ghazal
Kekasihku seperti nyawapun adalah kekasih dan
Mulia juga,
Dan nyawapun, mana daripada nyawa itu jauh
Ia juga,
Jika seribu tahun lamanyapun hidup kita
sia-sia juga,
Hanya jika pada nyawa ini hampir dengan sedia
Suka juga,
Nyawa itu yang menghidupkan sentiasa nyawa
Manusia juga,
Dan menghilangkan cintanyapun itu kekasihku
Yang
setia juga,
Kekasihku itu yang mengenak hatiku dengan
rahsia
Juga,
Bukhari yang ada serta nyawa itu ialah
berbahagia
Juga.
(S. Takdir Alisjahbana, Puisi Lama, Zaman Baru Limited, Petaling Jaya, 1965:
120).
Yang mnengukuhkan puisi di atas sebagai ghazal
ialah dari segi tema yang berhubung dengan kecintaan, selain daripada itu pada
akhir puisi dibawa sama nama penggubahnya.
Kerana cirinya yang agak terikat dan tidak
jelas dari segi ciri dan sifat puisi, maka adalah wajar ianya tidak berkembang.
Puisi seperti ini turut digunakan dalam lagu-lagu. Contoh di Johor umpamanya
ada kumpulan lagu dinamakan ghazal, bahkan ghazal di Johor sebagai satu aliran
lagu dan muzik khusus yang berkembang di Johor.
Perkembangan ghazal dari satu segi tidak
digemari oleh masyarakat dan kalangan yang mendukung nilai budaya yang lebih
beradab, lantaran itu ghazal menghadapi tentangan dari golongan sufi yang mau
memurnikan kehidupan dan membersih diri berhadapan dengan Allah. Perkembangan
tasawuf turut sama berkembang dari segi persuratan. Mereka yang mendalami
kerohanian ini turut menghasilkan puisi, bahkan puisi mereka jauh lebih tinggi
dan bermutu dari puisi ghazal. Bahkan puisi-puisi sufi adalah puncak dari
ketinggian perpuisian di dalam Islam. Mereka yang mengungkapkan puisi
kerohanian seperti Jalaluddin Rumi, Hafiz, Sa`di. Firdausi, Jami dan ramai lagi
membawalah ke pada Muhammad Iqbal.
Sekian.
Mungkin elok juga jika dibuat perbandingan dengan parsi. Begitu banyak perkataan melayu datangnya dari parsi Iran. Zaman kegemilangan parsi sampai dahulu ke tanah melaya dari arab. Pergi lah ke tehran, anda akan terkejut kerana jawi melayu lama adalah bahasa parsi
ReplyDelete