BBB, 09 Rabiul Akhir 1436 = 28 Februari 2015
(Sabtu):
Pengenalan huruf di dalam sesuatu masyarakat
adalah merupakan tahap penting bagi kemajuan masyarakat berkenaan. Logik
perkembangan selepas itu bermulanya tradisi persuratan dalam masyarakat
berkenaan. Tradisi persuratan Islam adalah mewarisi huruf-huruf Aram (Nasakh)
dari utara (Sham) dan huruf-huruf musnad dari selatan (Yaman) yang dikenali
dengan khat kufi yang sebelumnya berkembang sejak 5,000 S.M. (Sumeria) hingga
ke Babylonia (3,800 S.M.), Mesir (3,200 S.M.) dan terbaru Pheonix 2000 S.M.
Bangsa yang menguasai tulisan dan persuratan adalah bangsa yang maju.
Contohnya
Islam yang menggunakan tulisan mengolahkan keilmuan yang berindukkan Al-Qur`an.
Islam maju dan berkembang sejak abad ke 7M. hingga awal abad ke 20. Kekuatan
Islam adalah dari kekuatan ilmu yang dapat membina tamadun dan peradaban –
termasuk ilmu dan seni-budaya.
Bangsa-bangsa lain yang pernah bangkit, tidak
lain bangkit, melainkan dengan kekuatan ilmu dan seni- budaya. Negara-negara
Barat adalah bertolak dari perkembangan bahasa Latin yang tulisannya telah
digunakan sejak 240 S.M. Apabila Kerajaan Rome diwujudkan pada tahun 753 S.M.,
maka bahasa dan persuratan yang digunakan ialah bahasa Latin. Rome terkenal
dengan negara yang kukuh dengan peraturan dan undang-undang. (Children`s
Brittanicca, Vol 10. 1978: 175-176). Bahasa Latin yang dikenali sebagai Roman
Language ini menjadi induk bagi bahasa Inggeris, Perancis, Itali, Spain,
Portugis dan Rumania (Children`s Brittannica, Vol. 15, 1978: 54). Negara-negara
tersebut terkenal sebagai negara-negara maju. Berindukkan dari bahasa Latin
terbina bahasa negara-negara masing-masing. Negara-negara ini mempunyai
tanah-tanah jajahan yang bahasa penjajah yang berasal dari bahasa Latin-Roman
ini dikembangkan ke tanah-tanah jajahan mereka, termasuklah tulisan. America
negara yang relatif baharu turut memperkembangkan bahasa dari Barat berkenaan,
khususnya bahasa Inggeris.
Antara negara yang mempunyai tradisi persuratan
yang awal ialah India yang tamadunnya sejak abad ke 6 S.M. dengan kelahiran
agama Buddha dan dengan kelahiran kitab-kitab Veda dan Upanishad yang
mencerminkan bahawa bahasa India (Sanskrit) adalah antara bahasa tua di dunia. Tempiasnya
turut sampai ke luar dari India, termasuk Asia Tenggara. Demikian China yang
dapat dikenal pasti tamadunnya sejak 3,000 S.M. dari dinasti Fu dan
berbagai-bagai dinasti hingga ke Dinasti Manchu terakhir sebelum China menjadi
negara Republic pada pertengahan abad ke 20 yang kemudian menjadi negara
Komunis China. Tokoh pemikir China ialah Confucius (551-479 S.M.) dan China
terkenal dengan Tembok Besar China yang siap pada 220 S.M. China mempunyai
tulisan tersendiri dan mempunyai persamaan tulisan Jepun dan Korea. China mempunyai
rekod-rekod catatan-catatan tertua tentang politik pemerintahan, diplomasi dan
hubungan luar. (Children`s Brittannica, Vol. 4: 251).
Peradaban dunia sama disemarak oleh kelahiran
tamadun Rum dan Helenistik yang walaupun sumber asal juga adalah bersumber
agama yang dari kawasan yang tidak jauh dari sumber Islam, dan walaupun
akhirnya berlaku pertentangan dan konfrontasi antara tamadun dan peradaban
Islam dengan peradaban Barat yang peradaban ini juga hasil sentuhan dengan
Islam, walaupun dari satu segi berlaku konflik dan pertentangan, tetapi dilihat
dari sudut yang lain, ianya menjadi katalis dan penggerak bagi berbagai-bagai
pihak berlumba di dalam meluaskan maklumat dan keilmuan yang dari satu segi
berlaku penentangan dan membawa kepada penjajahan, menjadikan kawasan-kawasan
yang dilalui dan mengalami penjajahan dari satu segi membangkitkan kesedaran
dan usaha membebaskan diri dan meningkatkan kemajuan masing-masing.
Selain dari pertembungan dua tamadun dan
peradaban besar yang merubah permukaan dunia kepada perjuangan pembebasan. Dua
negera yang disentuh pada bahagian awal, iaitu India lebih kepada tumpuan
kepada negara sendiri, walaupun pada zaman sejak seawal tahun Masihi negara ini
begitu aktif mempengaruhi negara-negara di Asia, khususnya di Asia Tenggara
termasuk ke China – tanpa menggunakan kekuatan senjata. Walaupun begitu dengan
jumlah penduduknya kedua teramai di dunia dan kejayaan semasa India masih tetap
dipandang mulia dan dihormati di kalangan antara bangsa.
Keadaan yang sama dengan negara Cina yang
mempunyai rakyat teramai di dunia, China dihormati bukan semata-mata kerana
mempunyai rakyat teramai di dunia, tetapi sikapnya yang tidak mengganggu
negara-negara jiran dan tidak mengambil dasar memperluaskan kawasan. China
dihormati kerana mempunyai bukti-bukti dan bahan-bahan yang ianya merupakan
negara tua dan mempunyai budaya dan tradisi sendiri. Walaupun begitu china
merupakan negara pro-aktif dan ianya tidak terikat dengan nilai-nilai
tradisional dan bersikap terbuka mendepani perubahan dan ianya turut berubah.
Bagi negara seperti Malaysia dan Indonesia-
termasuk Brunei dan Singapura, sebagai negara serumpun yang mengalami nasib
sejarah dan keyakinan yang hampir sama sebenarnya menghadapi cabaran di dalam
pembinaan negara dan identiti bangsa. Bagaimanakah corak negara dan identiti
bangsa yang mau ditegak dan diunggulkan ? Dari paparan di atas, semua negara
maju adalah mewarisi tradisi unggul sebelum darinya – Warisan saudara semanusia
dalam keluarga besar yang serumah di
dunia. Kita harus berbangga sebagaimana negara-negara lain mewarisi tamadun dan
peradaban dunia yang besar. Masalahnya, walaupun kita yang pernah bangkit dan besar
dengan Kerajaan Sriwijaya, Majapahit dan Melaka bersama warisan diterima, tapi
apakah kita mampu dengan suasana kekinian dengan keilmuan secara kreatif dan
inovatif mampu mengadun formula sendiri,
sehingga setara dengan negara-negara maju serantau dan juga di dunia ?
Apa yang dialami kini, bahawa kita jauh dari
untuk bangkit dengan mempamerkan wajah kita bertaraf dunia, sebaliknya kita adalah
pada tahap imej politik percakaran – di luar dari skema Takmilah dan sukar
melihat apakah gagasan besar yang dapat ditawarkan bagi menawan minda dan jiwa
rakyat sehingga sama berusaha bagi membina keunggulan rupabangsa yang dikagumi
dan dihormati dunia.
Sekian.
No comments:
Post a Comment