March 31, 2015

Masjid Al-Umm: Pendekatan Mentakmilah Diri Mendekati Ilahi


Adalah pendekatan dan prinsip
Bahawa masjid perlu diasas di atas dasar taqwa
Menjadi pusat ibadat mendekati Ilahi
Wadah  berlumba membuat kebajikan
Demi  `Rumah Allah` secara keikhlasan
Demikian Masjid Al-Umm nyata terbina
Dari susunan kepingan keikhlasan
Berbagai lapisan masyarakat menghulurkan.

Menjelma ke arah itu
Ketika tapak masih bernama hutan kecil
Terkepung oleh pembangunan kelilingan
Masih tiada keputusan antara dua pilihan
Menggantikan surau yang lama dan utama
Atau mendirikan masjid di tapak belum digezet
Namun atas satu komitmen diambil
Adalah janji bagi merealisasikan masjid di sini
Sesuai dengan cetusan `Bangi Bandar Ilmu`
Sambutan tiga dekad (1977-2007) Bandar Bangi
Dan tiga tahun berikutnya (2010) adalah keputusan
Diambil dalam mesyuarat pertemuan
Bahawa Masjid Al-Umm akan didirikan
Atas kerjasama berbagai pihak dan komitmen
Maka hari ini Masjid Al-Umm menjadi kenyataan.

Secara kebetulan
Sejak 1990an teori Takmilah dicetuskan
Keterlibatan di dalam pembinaan Masjid Al-Umm
Mengilham meluaskan teori dari semata sastera
Kepada bidang berciri estetika, khususnya masjid
Ilham ini menjelma bagi membentang kertas kerja
Tahun 2014 di Universiti Pendidikan Sultan Idris
Teori Takmilah Perluasan dan Penafsiran
Masjid adalah satu wadah pendekatan.

Lantaran itu masjid dilihat tiga dimensi
Pertama utama dimensi ibadat
Ruangnya sentiasa terbuka bagi sesiapa
Datang beribadat setiap waktu solat
Mengamal sunat bertahajud dan iktikaf
Bersedekah bantuan yang memerlukan
Menaja program masjid bersifat kemasyarakatan.

Dimensi pengajian aktiviti disusunkan
Di Masjid Induk  Wadi Ilmu
Dapat diikuti setiap solat fardu mengiringi
Lebih intensif pada hari-hari minggu
Pengajian berjadual mirip pengajian tinggi
Kerjasama institusi tenaga pengajian tinggi
Dihadiri pengaji tempatan atau luaran
Anak-anak mengikuti pengajian tahfiz
Mendalami tajwid bertarannum memahiri khat
Para muslimat dengan pengajian khas
Warga emas ala pondok pengajian kitab
Acara berkala mengadakan seminar konvensyen
Dengan topik pilihan menurut kesesuaian.

Mengisi Tamilah dimensi seni rohani
Bukan semata pendidikan menghayati keindahan
Berdepan senibina masjid indah terpampang
Dari kubah, menara, mihrab, tiang-tiang
Pintu-pintu, jendela-jendela arch semi circle
Mengambil bentuk bulat lambang sempurna
Mengagungkan Yang Esa Maha Pencipta
Tapi seni rohani itu juga dapat dihayati
Dari tilawah al-Qur`an muazzin melafaz azan
Salawat tahlil ratib zikir dan tabhil
Bahkan pengajian bersifat kerohanian
Adalah pembersihan karat logam hati
Gemerlap tergilap suci murni.

Masjid Al-Umm dan penghayatan
Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu
Membuka ruang pendekatan
Mendekati diri kepada Ilahi
Melalui ibadat, pendidikan, seni rohani
Tiganya bersepadu mentakmilah diri
Mengagung Ilahi.

Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi,
09 Jamadil Akhir 1436

30 Mac 2015.

No comments:

Post a Comment